Iwan Reaz & Wan Shah - Itulah Impian Ku

Silakan follow untuk mengetahui perkembangan terkini.

Selamat Datang

Tuesday, November 22, 2011

Duka Yang Terlindung



Dinginnya angin yang menyentuh kulit nipis ini membuatkan aku menggigil kesejukan. Lantas, aku segera berpeluk tubuh. Jaket biru yang aku sarungkan ini tidak mampu untuk membekalkan haba yang secukupnya bagi berdepan dengan cuaca yang sebegini. Langkahku dipercepatkan.

Aku melihat jam di tangan. Sudah hampir pukul 6 petang. Beberapa minit sahaja lagi kelasku akan bermula. Untuk semester ini, aku telah mendaftarkan diri untuk mengambil subjek Sejarah. Bukan sejarah Malaysia, akan tetapi sejarah Amerika. Satu subjek yang aku tidak pasti mengapa harus aku mempelajarinya. Tetapi itulah antara matapelajaran yang diwajibkan oleh pihak universitiku sebelum aku dibenarkan untuk menggengam segulung ijazah dari bumi Amerika ini. Aku menerimanya dengan hati terbuka. Ilmu itu terlalu luas. Jika semua pohon di dunia ini menjadi pena dan lautan itu pula menjadi dakwatnya, maka sesungguhnya masih belum cukup untuk menulis segala ilmu milik Allah ini.

Aku duduk di sebelah seorang rakan baikku, Zaim. Menurutnya, dia sudah tiba di kelas berkenaan hampir sepuluh minit yang lalu. Aku mengagumi sikapnya yang sering mendahului masa. Jarang sekali aku melihat masa berjaya mendahuluinya. Cuma butir bicara Zaim kadangkala mudah meretakkan hati insan di sekeliling. Aku juga pernah makan hati dengan kata-katanya yang penuh emosi tanpa memikirkan perasaan orang lain. Tetapi aku cuba untuk bersabar dan berazam untuk mengubah kelakuannya itu.

Seorang lelaki warga Amerika berkulit putih memasuki kelas dengan beberapa helaian dokumen di tangannya. Usianya mungkin sudah mencecah setengah abad. Tetapi dirinya masih gagah untuk berdiri di hadapan kelas bagi berkongsi ilmu dan pengetahuan. Dialah pensyarahku untuk subjek Sejarah ini. Aku berharap dia dapat membimbingku dengan baik kerana aku sedar bahawa aku begitu lemah untuk matapelajaran yang sebegini.

Setelah memperkenalkan diri, pensyarahku itu memulakan topik pengenalan bagi subjek ini dengan menceritakan serba ringkas mengenai kehidupan orang Red Indian, iaitu suku kaum asal yang mendiami Amerika pada suatu masa dahulu. Kelas berjalan dengan baik sekali sehinggalah seorang pelajar yang duduk di bahagian hadapan kelas mencelah bicara pensyarahku. Aku semakin tidak selesa apabila dia kerap mengulangi perbuatannya itu tanpa mengangkat tangan terlebih dahulu. Bukan apa, fokusnya mudah terganggu dan pemahamanku juga akan tersekat apabila dia bertindak sedemikian. Hatiku berasa geram sekali. Sudahlah matapelajaran ini kurasakan begitu sukar.

Rupa-rupanya, bukan aku seorang sahaja yang ‘panas’ dengan sikap pelajar itu. Aku dapat melihat air muka teman-teman sekelasku yang masam sebaik sahaja mereka melangkah keluar dari kelas. Zaim yang turut berasa geram meluahkan rasa tidak puas hatinya kepadaku ketika kami berjalan beriringan untuk pulang ke rumah.

Jika sekali dua, tidak mengapalah. Tetapi berbelas-belas kali dia mencelah semasa pensyarah sedang mengajar. Apa tujuan sebenar dia? Dia mahu tunjuk pada kita semua bahawa dia itu berpengetahuan luas? Dia itu pandai? Huh! Sakit hati aku!” bentak Zaim dengan mengepalkan penumbuk. Marah benar Zaim nampaknya.

Aku sekadar mengangguk sahaja. Aku tidak mahu emosiku ini umpama minyak yang menyemarakkan lagi nyalaan sang api. Cukuplah sekadar aku memendamkannya di dalam hati. Biarlah angin malam yang bertiup dingin ini memadamkan api kecil berkenaan. Aku dan Zaim sama-sama menuju ke arah sebuah stesen kereta api.

Pada minggu berikutnya, aku dapati sikap pelajar yang bernama Richard itu semakin menjadi-jadi. Konsentrasiku sering sahaja lari apabila dia membuat bunyi-bunyian yang menjengkelkan sebagai respons ketika pensyarah sedang mengajar. Aku fikir, dia ini mungkin mahu menceriakan suasana di dalam kelas. Namun, tindakannya itu boleh dianggap sebagai berlebihan kerana aku dan teman sekelas yang lain langsung tidak terhibur dengan jenakanya itu. Aku perasan ramai antara kami yang saling berpandangan lalu mencebik sesama sendiri. Tetapi Richard tidak menyedarinya kerana faktor kedudukannya yang berada di hadapan sekali.

Apa masalah dia ini?” bisik Zaim kepadaku.

Aku mengangkat bahu dan meletakkan jari telunjukku di bibir sebagai isyarat agar Zaim terus menumpukan perhatian pada sessi pembelajaran. Aku malas mahu memikirkan masalah Richard ini dengan begitu serius. Apa yang aku tahu, dia begitu aktif semasa perbincangan kelas sedang berlangsung. Hampir semua soalan yang diajukan oleh pensyarah akan dijawab oleh Richard. Apakah jangkaan Zaim bahawa Richard sengaja mahu menunjukkan kepandaiannya adalah satu perkara yang benar?

Astagfirullahhalazim. Lafaz istighfar meniti di bibirku. Aku tidak sepatutnya menuduh Richard sedemikian rupa. Aku tidak layak untuk menilai hati budi seseorang hanya dengan melihat sikapnya tanpa mengenali siapakah sebenarnya dia. Mungkin dia benar-benar ikhlas. Aku cuba untuk memujuk hatiku biarpun perasan geram tetap wujud di sebalik senyuman yang aku lemparkan ini. Aku juga adalah manusia biasa.

Pada kelas berikutnya, aku dapati Richard tertidur semasa kelas baru sahaja beberapa minit berlangsung. Ketika itu barulah aku dan yang lain-lain dapat belajar dengan aman tanpa ada sebarang gangguan. Pensyarahku pula membiarkan sahaja Richard lena dalam mimpinya.

Sedang aku asyik menyalin nota-nota yang diberikan oleh pensyarahku, aku terdengar suara Richard mencelah. Aku segera mengalihkan pandangan kepada pelajar yang suka duduk di bahagian paling hadapan itu. Tanpa diduga, Richard memberikan pandangannya terhadap isu yang dibentangkan oleh pensyarah. Aku dan Zaim seakan terlopong.

Kau pun nampak tadi, bukan? Aku yakin, dia hanya berpura-pura tidur. Kemudian, dia cuba untuk memberikan respons, kononnya dia itu pandai. Berlagak! Dia fikir kita kagum pada dia? Huh!” marah Zaim sebaik sahaja kelas berkenaan tamat.

Aku tidak fahamlah dengan perangainya itu. Tetapi aku perasan ada sesuatu yang pelik pada dirinya,” balasku.

Apa yang pelik? Dia itu hanya mahu berlagak pada kita semua. Dia ingin buat kita semua iri hati dengan kelebihan yang ada pada dia,” sambung Zaim lagi. Marahnya semakin meluap-luap.

Sabarlah Zaim. Tidak baik jika kita terus menuduh yang bukan-bukan pada dia.” Aku cuba untuk menenangkan Zaim.

Bersabar? Huh! Bukan kita berdua sahaja yang makan hati dengan perangai Richard itu, kawan-kawan sekelas kita yang lain pun bengang juga. Baru sebentar tadi aku bertemu dengan Viktor semasa aku ke tandas. Menurutnya hampir satu kelas menyampah dengan perangai Richard yang berlagak itu,” jelas Zaim.

Aku membisu. Sebenarnya aku juga sedar bahawa teman sekalasku yang lain ada berbicara akan sikap Richard yang membuatkan kami semua berasa kurang selesa semasa sessi pembelajaran sedang berlangsung. Namun aku tidak mahu menceritakannya pada Zaim. Bimbang sekiranya nafsu amarah Zaim semakin memuncak.

Aku ada idea bagaimana mahu menutup mulut Richard itu,” kata Zaim.

Aku terkejut. Zaim begitu bersungguh-sungguh nampaknya. “Kau ada jalan penyelesaian? Apakah dia?” soalku.

Begini. Minggu hadapan, aku akan datang lebih awal ke kelas berbanding kebiasaannya. Kemudian, aku akan meletakkan satu surat layang di atas meja Richard,” ujar Zaim.

Tentu isi surat itu adalah berkaitan rasa tidak puas hati kita semua terhadap dia, bukan?” kataku dengan nada mendatar.

Oh, sudah semestinya! Kau pun bersetuju nampaknya?” Zaim menduga.

Aku menggeleng lemah. Biarpun aku mengharapkan seseorang tampil bagi mencari solusi, tetapi aku tidak bersetuju dengan penyelesaian yang dicadangkan oleh Zaim itu. Tindakan berkenaan mungkin akan memberi kesan terhadap emosi Richard. Soal hati dan perasaan perlu ditekankan kerana dia juga adalah pelajar seperti aku. Menurut pandanganku, hal ini perlu diselesaikan dengan baik, bukan dengan memberi surat layang yang tidak diketahui siapa pengirimnya.

Zaim mencuit bahuku semasa kami berdua menunggu ketibaan kereta api. Kemudian, barulah aku tahu mengapa Zaim memberi isyarat berkenaan. Rupa-rupanya dia melihat kelibat Richard yang berada tidak jauh dari kami. Aku membiarkan sahaja.

Lima minit kemudian, kereta api pun tiba. Aku melihat Richard turut menaiki gerabak yang sama dengan kami berdua. Aku kurang pasti apakah dia perasan akan kehadiran kami di situ? Kereta api terus meluncur laju dalam kegelapan malam yang semakin sunyi.

Aku dan Zaim turun dari kereta api di stesen Cecil B. Moore. Kami berdua terperanjat sebaik menyedari Richard juga turut berhenti di stesen yang sama. Apakah dia tinggal berhampiran dengan rumah sewa kami?

Aku mahu mengekori dia,” Zaim bersuara. Dia kelihatan bersemangat untuk mengetahui di manakah tempat tinggal Richard.

Tanpa banyak bicara, aku bersetuju untuk mengikuti Zaim menjejaki Richard. Aku berharap Richard tidak menyedari kehadiran kami yang mengikutinya dari belakang. Perlahan-lahan aku dan Zaim melangkah di kaki lima jalan yang diterangi dengan lampu-lampu jalanan. Perlakuan kami berdua tidak ubah seperti penyiasat persendirian.

Setelah beberapa minit berjalan, aku melihat Richard memasuki pekarangan sebuah rumah yang sederhana besarnya. Mungkin itulah kediaman Richard. Setelah loceng rumah ditekan olehnya, seorang wanita berusia lewat 40-an muncul di muka pintu. Wajah wanita itu kelihatan berseri sebaik melihat Richard pulang. Mereka berdua berpelukan, Aku dan Zaim mengambil keputusan untuk beredar setelah mengetahui kediaman Richard yang rupanya tidak begitu jauh dari rumah sewa kami.

Pada malam itu, aku tidak dapat masuk tidur. Entah mengapa, fikiranku melayang pada Richard. Ada sesuatu pada diri Richard yang aku tidak tahu. Hati kecilku pula melonjak-lonjak mahu mencari satu kepastian. Untuk itu, aku bercadang untuk ke rumah Richard pada petang keesokannya bagi mendapatkan jawapan. Aku turut mengajak Zaim untuk menyertaiku. Dia berasa malas pada mulanya, tetapi akur juga setelah berkali-kali aku mendesak.

Ketika kaki kami berdua berpijak di halaman rumah Richard, kelihatan wanita yang aku nampak semalam berada di hadapan rumah. Aku memberi ucapan selamat dan menghadiahkan senyuman kepadanya. Kehadiran kami berdua di situ disambut olehnya dengan begitu mesra sekali.

Kamu berdua ini kawan Richardkah?” tanya Ms. Jane.

Zaim menjeling pada aku. Aku pula tidak berkata ya mahupun tidak. Aku sekadar menjelaskan bahawa kami ini adalah teman sekelasnya yang datang untuk mengunjunginya.

Tetapi wanita itu seakan tidak dapat menangkap jawapanku sebentar tadi. Dia menyangka kami ini adalah sahabat Richard. “Terima kasih kerana sudi menjadi kawan anak saya. Saya benar-benar terharu dengan kunjungan kamu berdua,” ujar Ms. Jane dengan begitu gembira. “Richard tidak pernah mempunyai kawan selama ini,” sambung wanita itu lagi dengan nada menahan sebak.

Aku dan Zaim saling berpandangan. Zaim mengangkat bahunya.

Maafkan saya jika mahu bertanya. Mengapa sebelum ini Richard tidak mempunyai kawan?” tanyaku dengan jujur.

Ms. Jane mengangkat mukanya lalu merenung mataku. “Richard sebenarnya mengidap penyakit autisme. Sejak dia kecil, Richard sukar untuk memberikan tumpuan dalam tindakannya dan hidup dia seolah-olah hanya dalam dunianya sendiri,” bicara Ms. Jane. Air mata wanita berkenaan seakan mahu gugur. Aku dan Zaim cuba untuk menenangkannya.

Sebab itulah Richard tidak mempunyai kawan. Ramai yang mengatakan bahawa dia adalah seorang yang sering menyusahkan orang lain, menjengkelkan dan pelbagai lagi tuduhan yang mampu merobek perasaan dan hatinya. Hakikatnya, dia tidak bermaksud untuk bersikap sedemikian. Namun, dia menelan sahaja semua tuduhan yang dilemparkan itu dengan hati yang pasrah,” sambung Ms. Jane lagi. Air matanya gugur juga akhirnya.

Penerangan daripada Ms. Jane itu membuahkan kebenaran dengan apa yang aku rasakan pada Richard sebelum ini. Aku sudah menyedarinya sejak kelas pertama lagi, bahawa kelakuan Richard itu agak ganjil jika hendak dibandingkan dengan pelajar-pelajar yang lain. Dia memang sukar untuk memberikan tumpuan dan adakalanya bersikap aneh.

Walaupun dia menghidap penyakit, tetapi dia tetap rajin belajar. Saya dapati dia rajin membaca buku dan seorang yang ringan tulang.” Kata-kata Ms. Jane terhenti sebaik sahaja Richard muncul di muka pintu. Dia terkejut sebaik sahaja melihat kehadiran kami di situ.

Aku sebenarnya lebih terperanjat melihat Zaim yang pantas menghulurkan tangan untuk berjabat dengan Richard. Aku tersenyum lebar. Aku yakin, Zaim sudah menyesal akan kesilapannya terhadap Richard selama ini. Richard menyambut salam itu dengan mesra.
Itulah permulaan buat ikatan persahabatan mereka. Kemudiannya, aku juga turut berjabat dengan Richard. Hatiku berdoa, agar lebih ramai lagi yang akan menyedari hakikat sebenar kehidupan Richard yang penuh dengan dugaan dan ujian itu. Ketabahan dan kecekalan Richard menghadapi segala cabaran hidup benar-benar menyentuh perasaan aku dan Zaim.

Sinar jingga sang mentari yang tenggelam pada petang yang sungguh indah itu, turut melenyapkan segala prasangka buruk kami terhadap Richard sebelum ini.

Duka Yang Terlindung, Iwan Ghazali, 2011.

p/s- cerita ini adalah rekaan semata-mata.

~semoga niat kita ikhlas.

5 Pandangan:

sigh sambil angkat kening double jerk.

nice story.. tpi confuse, mcm citer btul, tpi bwh tu ad ckp citer rekaan. ooo rekaan rpenye... tpi mcm btul...haha

nk tnya, knape x buat hmpunan cerpen je?

cerita rekaan? Ya Tuhan, saya membaca dengan penuh perasaan.. Sampaikan saya menilik diri sendiri, betapa selama ini saya selalu memandang serong pada mereka yang bersikap tidak selari dengan hati saya.. Nice story!

ijat (anonnymous lah sangat): tahniah kerana berjaya kali ni... >.<

zainal: memang ada plan nak buat buku himpunan cerpen. Insya-Allah, doakan semoga ianya menjadi kenyataan.

haanyaaku: oh kisah rekaan semata2. betul.... :)

ernie: ya cerita rekaan. mungkin genre saya sebegitu. saya suka menulis kisah yang seolah2 adalah kisah benar. mungkin juga saya terlalu 'feeling' semasa menulis, dan 'feeling' itu sampai kepada para pembaca. alhamdulillah :)

Agamaku Adalah Cintaku

smilies

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites