Iwan Ghazali (Iwan Reaz)

Aku pencinta impian, menulis bukan menagih kekayaan, sekadar mendamba secebis keredhaan.

Iwan Ghazali (Iwan Reaz)

Aku pencinta impian, menulis bukan menagih kekayaan, sekadar mendamba secebis keredhaan.

Brr... Sejuknya Salji!

Novel Terkini
[ Pandangan Pembaca Novel ]

Iwan Reaz - Sedingin Salju

Iwan Reaz - Itulah Impianku

Followers

Saturday, December 31, 2011

Selangkah Di Tahun Baharu


Assalamualaikum WBT.


"Di permulaan kita mungkin bersemangat. Di tengahnya pula kita mungkin terjatuh. Tetapi berusahalah untuk bangkit menuju ke puncak."

Di Malaysia, baru sahaja memasuki tahun baru 2012.

Di Amerika pula, masih berbaki 12 jam lagi.

Saya di mana? Di tengah-tengah? Ikut waktu Malaysia? Atau waktu Amerika?

Saya tidak kisah pun. Berbondong-bondong ucapan Happy New Year yang memasuki ruang inbox atau sembang, saya sekadar membalas dengan balasan Selamat Bercuti. Saya kurang menghayati sambutan Tahun Baharu Masihi. Cuma saya berharap, kalian menyambutnya dengan program-program Islami.

Azam baharu? Azam baharu dan tahun baharu ibarat tidak dapat dipisahkan. Tentu ada sahaja yang mengaitkan. Saya sejak kecil lagi, tidak pernah memasang azam baharu. (Siapa nak serang kenyataan saya ini, seranglah. Masing-masing tentu punyai pendapat sendiri, bukan? Bagi saya, azam baharu boleh dipasang pada bila-bila masa sahaja yang kita rasa perlu. Tidak semestinya menjelang tahun baharu sahaja.

Azam dan perancangan tahunan ada bezanya kah? Entah. Saya kurang pasti dengan galian cari makna di sini. Sekarang saya sedang bercuti. Tafsiran dibuat secara ringkas. Fizikal lebih penat berjalan sambil mentadabbur alam. Mental perlukan terapi untuk menghadapi hari-hari mendatang.

Bagi perancangan tahun 2012 ini, saya menjangkakan satu atau dua buah lagu baru dan juga lebih daripada 2 buah buku untuk diterbitkan. Sama ada penulisnya adalah saya seorang, ataupun satu kumpulan penulis yang bergabung menghasilkan antalogi cerpen mahupun puisi, mahupun gabungan dua penulis dalam menghasilkan novelet (novel pendek), semua itu ada dalam perancangan tahun 2012 saya. Buku yang pertama akan diterbitkan pada awal tahun ini adalah, novel awal remaja terbitan Galeri Ilmu, yang tajuk asalnya adalah Syazwan dan Salji. Tajuknya mungkin berubah. Nantikan novel ini ya.

Dalam tahun ini juga, saya bakal menamatkan pengajian di Amerika Syarikat. Kemudian kembali ke tanah air. Menjadi lebih komited dalam bidang penulisan. Juga mendalami kerjaya baharu yang saya masih rahsiakan. Berdebar juga hati ini. Ada sesetangah yang mungkin sudah mengetahui hala tuju saya. Saya bimbang juga akan persepsi. Namun ini adalah realiti. Saya perlu yakin dengan diri saya dan sentiasa mengharap redha Yang Maha Esa.

Mungkin ada yang berpandangan serong dengan pilihan saya. Sedangkan penglibatan saya dalam aktiviti seni sebelum ini pun, sudah ada yang menggelarkan saya ‘gila nak famous’, ‘poyo’ dan pelbagai lagi lagi lontaran kata yang saya kurang senang, namun saya sambut sahaja kata-kata itu, lalu saya buangkan ke dalam tong sampah. Buat apa saya mahu simpan di peti hati? Mereka fikir saya ‘bajet bagus’. Tetapi setinggi mana pun pencapaian saya, saya tetap merasakan diri ini di bawah. Tiada sebab saya mahu berfikir sedemikian rupa. Bakat ini milik Allah. Bila-bila masa sahaja boleh ditarik-Nya.

Kalian mahu kata saya tipu, katakanlah. Saya mahu membuat kenyataan, “cabang kerjaya mana pun yang saya pilih, saya melaksanakannya lillahi Taa’la. Mahu mentarbiyah umat, bangsa dan diri sendiri. Jalan dakwah yang saya pilih, saya tidak sama sekali terfikir untuk meninggi diri, mahupun merasakan jalan ini adalah lebih baik daripada yang lain.”

Sekiranya kalian masih mahu meletakkan tanggapan negatif, itu terpulang pada kalian. Saya bersama Allah.

Wah, panjang juga entry saya kali ini. Sedangkan saya menulis dalam suasana keletihan. Perjalanan bercuti masih panjang berbaki. Insya-Allah 9hb Jan nanti baru pulang ke Philly. Sekadar berhenti rehat di hotel, membersihkan diri, mendapatkan internet tanpa wayar, menulis blog, dan kembali meneruskan perjalanan.

Doa yang terbaik untuk kalian.
Doa yang terbaik untuk saya.
Doa yang terbaik untuk semua.

Wallahualam.

“Ya Allah, tidak ada kemudahan kecuali sesuatu yang Engkau permudahkan. Engkau menjadikan kedukaan itu mudah sekiranya Engkau kehendaki.”
Amin.

p/s- Perasan tak saya gunakan kata ganti diri saya menggantikan "Iwan" dalam entry kali ini. Setelah bertahun bereksperimentasi, saya mendapati pembaca saya lebih ramai daripada golongan yang muda-muda. Jadi saya berpendapat penggunaan saya lebih bertepatan. (Abang Iwan? Err... panjang sangat)

~semoga niat kita ikhlas.

Tuesday, December 20, 2011

Bercuti

Assalamualaikum.

Insya-Allah, sekarang Iwan dalam perjalanan ke Las Vegas, untuk menghadiri satu program tahunan yang dikenali sebagai Muktamar.

Alang-alang sudah berjalan jauh tu, kami melancong sekali ke kawasan berhampiran. Kata orang, sambil menyelam minum air. Percutian kami kali ini mengambil masa 3 minggu.

Dalam pada itu, ada beberapa karya sedang dalam proses yang bakal menjengah pasaran pada tahun hadapan. Insya-Allah, dalam kesibukan bercuti ini, akan curi-curi masa untuk mengemaskini hal berkenaan.

Sekian saja.

~semoga niat kita ikhlas.

Saturday, December 10, 2011

Faham-fahamkan.

Assalamualaikum wbt.

Pada pandangan saya, manusia yang mampu untuk meneruskan kehidupannya dengan baik (survive) di atas dunia ini, adalah mereka yang faham.

Dia faham, mengapa masih wujud jahiliyah dalam diri orang yang ada tarbiyah.

Dia faham, mengapa perlunya tarbiyah, mengapa perlunya kifayah.

Dia faham, mengapa ada orang yang cepat marah, mengapa ada orang yang cukup penyabar.

Dia faham, mengapa manusia diciptakan dengan kelebihan, mengapa pula ada kekurangan.

Dia faham, semua orang mempunyai minat dan citarasa yang tersendiri.

Dia faham, mengapa dia dihadapkan dengan ujian, walaupun dia langsung tidak memintanya.

Dia faham, mengapa apa yang dia mahukan, tidak semuanya akan tercapai.

Paling penting, dia faham tujuannya dihidupkan di atas muka bumi ini.

Anda faham?

Hmm... .... .... .... ....


"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu." [az-Zariyat : 56]

~semoga niat kita ikhlas.

Thursday, December 1, 2011

Pandangan Pembaca Novel Hazim, Aizat & Muzik

Assalamualaikum wbt.

Syukur alhamdulillah, kita masih diberi peluang untuk meneruskan kehidupan, mengejar impian dan cita-cita, dan menunaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Allah SWT.

Hari ini di U.S, secara rasminya sudah masuk musim sejuk. Musim sejuk kali ini amat bermakna bagi Iwan kerana akan menyusul sebuah novel baru yang turut mempunyai kaitan dengan musim sejuk. Novel apakah? Nantikan... (tapi rasanya ramai dah tahu kan...)

Okey, mengulas mengenai Novel Hazim, Aizat & Muzik yang sudah berada di pasaran sejak bulan Julai lalu, alhamdulillah novel ini turut mendapat sambutan yang baik. Jadi untuk ruangan kali ini, sukacita untuk Iwan kongsikan pendapat, komen, kritikan dan segala pandangan yang dilontarkan oleh para pembaca novel ini.


Keriangan seorang pembaca. (^^,)

Wan Nor Asidah (Penulis GISB): Sebuah cerita yang menarik...sebuah pengalaman baru yang mengujakan. Tahniah dan selamat maju jaya untuk karya-karya yang akan datang.

Hafizie Husairi, Ipoh: pd pengamatan sy novel hazim ni satu novel yang boleh dikatakan satu pendekatan yang mampu menarik minat remaja masa sekarang.. contohnya saya sendiri sbg remaja kan.. dari segi penceritaan bagus.. kisah tanggungjwb abg terhadap adik dan timbul konflik apabila abgnya nak capai impian smbung belajar.. dalam penceritaan ni jugak kita tngok ade diterapkan dengan watak hazim yg seorg penggiat seni menampilkan muzik yg berunsur2 islam... dan watak2 dlm novel ni pon jelas perwatakan yang ingin ditonjolkan.. dan satu lagi kelebihan novel ni ade lagu tema tersendiri... mesej2 yang disampaikan pon rasa2 sedikit sebanyak mampu mendidik jiwa remaja....

Zainab Ahmad, Kajang : Ceritanya menarik, rugi kalau tak baca . Mudah faham. Unsur2 keagamaan tu banyak diterapkan walaupun secara tak langsung. Suka dengan watak Hazim yang pandai memainkan peranan sebagai seorang muslim, tahu mengimbangi baik buruk sesuatu keadaan. Cuma saya rasa tajuknya saja yang kurang menepati cerita.

Muhammad Zaim, Pontian: zaim rasa novel tu menarik. isinya pun menarik, dari segi tatabahasanya baik. agak lucu. but ada bab yang kurang, tapi still menarik (dari tadi asyik menarik je). karekternya pun x kurang lucunya cuma x hensem, hehe jahatnya. harap abg dapat tulis novel yang lebih menonjol, menarik dan betul tatabahasanya. so, zaim bagi rating 9.5 /10

Halimaton Saadiah : nice story, rasa macam berada dalam situasi macam tu je

Hafizi Azmi, Tangjung Malim (diambil daripada tulisan di blognya) : Lepas baca beberapa page depan dia, dah nampak la tulisan kali ni lebih berkualiti daripada novel Melodi Hati yg lepas. Lebih matang..Walaupun cover page dia nampak sgt tak matang (hehe..), tapi buku ni mmg sesuai dibaca utk golongan remaja yang berumur baya-baya saya ni..

Annur Mohammad, Nilai : keseluruhannya ok.ada mesej tarbiyyah yang diselitkan, mesej yang disampaikan kami faham,tetapi lebih menarik jika sesuatu peristiwa berlaku itu lain/berbeza dari apa yang kami expect akan berlaku.keseluruhannya,kesinambungan novel tu dari novel melodi hati.keep it up!good job ridzuan:) kesinambungan novel ni sudah meningkat mutu penulisannya berbanding novel terdahulu.novel dulu pun best juga.harap iwan positif terima.bukan insan yang selayaknya untuk komen karya novelis berbakat spt anda.
p/s : sy bagi 7/10 bintang tuk novel ni.

Ijat (Menggelar dirinya anonymous. Tidak diketahui nama sebenarnya) & Izzah, Ipoh - Novel yang menarik.Sesuai untuk semua golongan. Iwan Ghazali ada identiti sendiri dalam mengetengahkan cerita tentang adik beradik. Tulisan perbualan perlu lebih santai. jangan terlalu baku. sebab kurang feel bila perbualan di'baku'kan. Walaupun tak ada cerita cinta pasangan kekasih ia tetap mantap! Nice story Nice work! keep it up :)

Anis Nadiah Hassan, Seremban: cerita dan watak dalam cerita tu, sama macam saya. Macam mana saya kena tinggal dengan kakak saya, macam mana saya survive tanpa dia. saya sangat tereffect dgn ketiadaan kakak saya di sisi. Jadi saya boleh kata novel itu macam cerita keadaan saya juga. Cuma komen saya, harap cover buat yg lebih menarik. Apapun, cerita itu memang rapat dengan saya.

Aznieta Ateinza, Melaka: novel ni wa ske. Wa bagi rating 9/10. best sbb ia mengisahkn ttg adik beradik yg begitu rapat dan sukar utk dipisahkn. tgk la cmne adik die mberontak bile abg die nk blah g us, sesuai tuk bacaan remaja masakini, xde la byk ksh2 jiwengs2 cintan cintun cm kebykan novel yg ade dpasaran.

________________________

Respons daripada Iwan: Penggunaan bahasa baku adalah kerana saya dan pihak penerbit ingin mendidik pembaca menerusi BMT (Bahasa Melayu Tinggi), bukan merosakkan bahasa.

Terima Kasih kepada semua yang telah membaca dan memiliki novel ini. Insya-Allah, segala komen dan pandangan anda akan dijadikan rujukan untuk panduan masa hadapan. semoga karya ini menghiburkan anda dan apa yang paling penting, mendapat manfaat daripada mesej yang cuba untuk disampaikan.

Jika anda belum mendapatkan novel ini lagi, dapatkannya segera di pasaran!

~semoga niat kita ikhlas.