Iwan Ghazali (Iwan Reaz)

Aku pencinta impian, menulis bukan menagih kekayaan, sekadar mendamba secebis keredhaan.

Iwan Ghazali (Iwan Reaz)

Aku pencinta impian, menulis bukan menagih kekayaan, sekadar mendamba secebis keredhaan.

Brr... Sejuknya Salji!

Novel Terkini
[ Pandangan Pembaca Novel ]

Iwan Reaz - Sedingin Salju

Iwan Reaz - Itulah Impianku

Followers

Tuesday, August 14, 2012

RIbut Irene Menjelang Aidilfitri


Assalamualaikum wbt.
(Sambungan daripada post sebelum ini)
Kesan Ribut Irene di negeri jiran, New Jersey

Kenangan mahu menyambut ketibaan Aidilfitri yang paling berbeza adalah pada tahun 2011. Beberapa hari sebelum datangnya bulan Syawal, kami yang berada di timur Amerika  dikhabarkan dengan Ribut Irene yang bakal melanda. Tidak pernah berdepan dengan bencana alam sebelum ini, saya dan rakan-rakan cuba untuk membuat persiapan sebaik mungkin.
Selang beberapa jam sebelum ribut Irene dijangka tiba, saya keluar ke pasaraya berdekatan untuk membeli lilin kerana bimbang ribut nanti akan mengakibatkan bekalan eletrik terputus. Setibanya di pasaraya, saya dapati keadaan di situ penuh sesak. Masing-masing membeli bekalan makanan untuk disimpan kerana pihak keselamatan mengarahkan semua penduduk supaya tidak keluar dari rumah semasa ribut melanda.
Barisan untuk membayar agak panjang dan memakan masa yang lama. Selesai sahaja membuat pembayaran, saya dapati hujan sudah mulai turun dengan lebat. Kemudian, saya terdengar pula seorang budak berkata – “Irene is coming!” Alangkah berdebarnya saya. Dengan sepenuh tenaga, saya berbasikal di dalam hujan pulang ke rumah secepat mungkin.
Bunyi angin begitu kuat pada malam berkenaan. Sekali-sekala, bekalan eletrik terputus. Kami berdoa setiap masa agar semuanya selamat.
Syukur alhamdulillah, setelah ribut Irene berlalu pergi, saya dan rakan-rakan semuanya berada dalam keadaan yang baik biarpun ada beberapa kerosakan di rumah kami seperti siling bocor. Di sesetengah kawasan, berlaku banjir dan kerosakan harta benda yang agak besar. Sistem pengangkutan awam pula terpaksa dihentikan buat sementara waktu. Terdapat juga angka kematian akibat ribut ini, cuma jumlahnya kecil sahaja.
Kerosakan kecil di dalam bilik. Namun setiap kali hujan, kebocoran air akan berlaku. 

Sedang orang lain bergembira membuat persiapan menyambut ketibaan hari raya Aidilfitri, ahli keluarga saya pula diselubungi perasaan gundah-gelana kerana bimbangkan keselamatan saya dan rakan-rakan di Philly. Setiap masa mereka cuba mendapatkan berita terkini daripada televisyen ataupun internet berhubung bencana ribut Irene. Saya sendiri tidak sangka, bencana alam ini turut mendapat liputan media di tanah air.
Syukur, berkat doa semua, kami warganegara Malaysia di Amerika Syarikat, selamat semuanya. Inilah pengalaman menjelang hari raya Aidilfitri yang tidak dapat saya lupakan sampai bila-bila.

~semoga niat kita ikhlas

Saturday, August 11, 2012

Memoir Puasa Amerika

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah, di fasa terakhir bulan Ramadhan ini, wajah blog ini bertukar baharu. Lebih ceria dan simple. Menguatkan semangat untuk terus berkarya di sini.

Jadi untuk post kali ini, sukacita untuk saya berkongsi sedikit memoir puasa semasa berada di Amerika Syarikat.
Suasana berbuka puasa bersama rakan-rakan di awal ketibaan.

1. Bersahur di lapangan terbang.
Al-kisahnya saya dan 3 orang rakan yang lain tertinggal flight semasa pertama kali menjejakkan kaki di bumi Amerika. Maka jadual penerbangan menjadi kucar kacir dan akhirnya kami terkandas di lapangan terbang Dallas. Kami bermalam di sana. Untuk bersahur, tiada lagi kedai yang dibuka. Jadi saya mencari-cari makanan yang 'terbawa'. Ada setengah bar coklat Crunchie dan beberapa balang kuih raya. Saya tidak berselera untuk makan kuih raya di pagi hari. Jadi sahur saya pada waktu itu hanyalah coklat Crunchie dan air sejuk dari water cooler! (oh perut rasa lain macam)

2. Nasi lembik
Ini kisah pada hari pertama di rumah sewa. Kelengkapan dapur masih belum dibeli. Mujur ada kawan bawa periuk nasi dari Malaysia. Tetapi sayangnya, nasi yang ditanak sejak malam tidak masak-masak hingga ke pagi. Nasi menjadi hangit di bahagian bawah dan di atasnya pula lembik. Saya fikir ini mungkin kerana perbezaan arus eletrik di sini. Jadi dengan berlaukkan sambal kacang segera dan kicap, kami telan saja nasi lembik itu.

3. Sahur masak sendiri
Biasanya pelajar di Malaysia yang tinggal di rumah sewa atau kolej, akan memilih untuk bersahur di restoran atau kedai mamak. (kalau malas nak keluar makan roti atau mee segera saja). Tapi di Amerika, manalah nak jumpa kedai mamak. Jadi kena masak sendiri. Kalau masa tinggal dengan keluarga dulu, bangun pagi makanan dah tersedia. Tetapi bila kena bangun awal pagi, kena masak sendiri, kena sediakan dari A sampai Z, barulah terasa betapa sukarnya menjadi seorang ibu/isteri.

4. Ketiadaan bazar Ramadhan
Huh? Sudah semestinya lah tak ada... Lepas tu ahli keluarga, kawan-kawan, semua nak menunjuk-nunjuk makanan yang dibeli kat bazar Ramadhan.

5. Cuaca yang berbeza
Berpuasa semasa musim panas. Siangnya lebih panjang dan suhunya lebih panas. Subuh lebih awal daripada Malaysia, tetapi berbuka sekitar pukul 8 malam. Bayangkan, disebabkan perbezaan suasana, pukul 10 pagi dah terasa lapar yang amat sangat. Tapi lama-lama, dah terbiasa.

6. Berbuka dalam kelas
Biasalah kalau ada kelas sampai malam. Jangankan waktu berbuka, kami sedang berpuasa pun pelajar tempatan dan pensyarah tak tahu. Jadi, selalunya kami bawa buah kurma dan bekalan air untuk berbuka semasa kelas sedang dijalankan.

7. Bencana Alam
Pada bulan Ramadhan tahun lalu, sewaktu Aidilfitri semakin tiba, dikhabarkan ada ribut Irene akan melanda timur Amerika. Apakah yang terjadi seterusnya? Insya-Allah saya akan ceritakan dalam post yang akan datang.

TO BE CONTINUED...

~semoga niat kita ikhlas.

Wednesday, August 1, 2012

Buku-Buku Akan Datang

Assalamualaikum wbt.

Selamat berpuasa diucapkan. Insya-Allah, berikut adalah projek buku baharu yang sedang diusahakan untuk terbitan akan datang.

1. Diari Untuk Ibu. (Terbitan Buku Prima)

Kisah seorang remaja, Izz Akmal, yang terpaksa melalui kehidupan penuh tanda tanya setelah ibunya dilaporkan terkorban dalam Tragedi 9 Disember. Namun, Izz yakin ibunya masih hidup dan akan kembali suatu hari nanti. Dia mulai  berprasangka terhadap ayah sendiri apabila pernah ternampak Encik Syamsul keluar bersama seorang wanita muda. Hayati kisah suka dan duka Izz dan adik-beradiknya melalui diari yang ditulisnya setiap hari.

2. Aku Budak New York ( Terbitan Galeri Ilmu)

Raqy (Raqiyah) seorang anak Malaysia yang telah dibesarkan di New York. Namun, ayahnya telah membuat keputusan untuk mereka sekeluarga kembali ke tanah air setelah Raqy seakan-akan hilang identiti diri. Namun, sikap sombong dan berlagak Raqy menyebabkan dia tidak mempunyai ramai kawan. Adakah dia mampu berubah seperti apa yang diharapkan oleh ayahnya?

3. Ilusi Philly (masih dalam penilaian penerbit)


Travelog saya sebagai seorang pelajar yang perlu menyesuaikan diri dengan atmosfera di Amerika Syarikat. Adakah Islam sukar untuk dilaksanakan di sana? Apakah cabaran yang terpaksa dilalui untuk mendirikan solat, puasa, berpakaian menutup aurat serta tuntutan yang lain? Dapatkan kupasan lanjut di dalam buku ini.

4. Replika Cinta (masih dalam penilaian penerbit)

Afiffudin memerlukan cinta. Sejak kehilangan isteri, kehidupannya semakin sunyi. Kehadiran Nasrul Haq membantunya untuk bertemu dengan insan istimewa yang lain. Nasrul turut berusaha untuk membina cintanya sendiri dengan menjadikan Afiffudin sebagai contoh yang baik. Tetapi Nasrul juga adalah manusia biasa. Dia telah melakukan kesilapan yang dirasakan sukar untuk dimaafkan oleh Afiffudin.

5. Komik Fatin (masih dalam peringkat proposal)

Projek terbaharu Iwan bersama seorang pelukis berbakat.

6. Buku-buku dengan kerjasama GKLN

(Akan dipromosi dalam masa terdekat)
_________________________________________________________________________________

Doakan semuanya berjalan lancar.

p/s- Anda sudah memiliki novel Melodi Hati? Hazim, Aizat & Muzik? Brr Sejuknya Salji? Jika belum dan susah untuk mendapatkannya di kedai, anda boleh order terus dari saya!

~semoga niat kita ikhlas.