Iwan Reaz - Sedingin Salju

Iwan Reaz - Itulah Impianku

Followers

Sunday, October 7, 2012

NOVEL PERTAMA YANG ...

Assalamualaikum wbt.

Novel pertama yang dimiliki

BERUK 
Azizi Haji Abdullah

Dibaca semasa darjah dua atau tiga (tak ingat). Gambar beruk kena tikam di awal novel menjadi tarikan utama untuk membeli dan membaca novel ini. Walaupun bahasa dan latar belakangnya agak lama, ceritanya masih segar dalam ingatan. Kasihannya Alias, gelagat Pon, Cikgu Sunan yang jahat, diabadikan cerita oleh seorang penulis yang sudah kembali ke rahmatullah. Al-Fatihah.


Novel cinta Islami pertama dibaca 

AYAT-AYAT CINTA
Habiburrahman El Shirazy

Dicadangkan oleh seorang kawan semasa di Kolej Inti. Junaidi namanya. Saya ingatkan pada awalnya buku ini adalah buku yang mengandungi ayat-ayat untuk mengorat. Jujur. Rupa-rupanya ianya adalah novel cinta Islami yang sangat bagus untuk dibaca. Selepas membaca novel inilah saya mula mendapat inspirasi untuk menjadi penulis novel.


Novel cinta konvensional pertama dibaca

SEINDAH RAHSIA
Afiqah Farzana

Kenapa saya malas nak baca novel cinta-cinta yang kurang Islamik? Sebab tebalnya novel itu sarat dengan cerita bersms, bertelefon, hantar e-mail, kalau sekarang ni ber-facebook, ber-twitter. Jadi, saya kurang seronok membaca kerana jalan cerita sebegitu. Tetapi novel ini saya baca juga kerana rasa ingin tahu. Juga, semasa saya membaca buku ini, saya ada kelapangan masa yang teramatlah lapang. Ketika itu dua semester terakhir di Temple University. Semester yang saya sangat free. Terjumpa pula lambakan novel di rumah Abg Bob dengan Kak Aifa. Apa lagi, pinjamlah...

Novel Bahasa Inggeris pertama dibaca

THE PHANTOM OF THE OPERA
Gaston Leroux
(Bukan cover seperti ini)

Seperti yang ramai maklum, saya ini bukanlah hebat berbahasa Inggeris. Sebelum mahupun sesudah tinggal di Amerika Syarikat untuk tempoh 3 tahun, saya punya Bahasa Inggeris masih di tahap yang biasa-biasa saja. (Peningkatan itu adalah, tetapi biasa-biasa saja). Jadi, baca novel Bahasa Inggeris pun, semasa hendak masuk tingkatan dua. Novel wajib untuk subjek Bahasa Inggeris di sekolah. (Anyway, sekarang saya sudah banyak beli novel bahasa Inggeris. Huhu...)

Novel Komik pertama dibaca

JIMI DAN RAKSASA MISAI
Fadhli Hamdan

Gabungan novel dan komik. Menarik! Editor Galeri Ilmu, En. Amir, menyarankan saya membaca buku ini. Saya rasa seronok sangat baca buku ini. Saya jadi peminatnya pula! Sekarang, saya dan sepupu saya, dalam proses menyiapkan proposal untuk menghasilkan buku berkonsep seperti ini untuk diterbitkan bersama Galeri Ilmu.

Novel pertama ditulis

(Maaf, tiada cover novel)

Semasa tingkatan dua, sebaik habis peperiksaan akhir tahun. Lumrah, masa tu teknologi belum canggih sangat lagi. Habis exam, main kadlah, main tutup botollah. Saya terfikir, hendak buat sesuatu yang lain daripada yang lain. Jadi, saya memilih untuk menulis novel. Maka, siaplah manuskrip pertama saya yang bertajuk "Kau Sahabat Kau Teman." Kisahnya mengenai dua orang sahabat yang baru tamat sekolah, mencari pengalaman hidup di Kuala Lumpur sementara menanti keputusan SPM. Persoalan cinta tetap tidak boleh lari. Sayangnya, manuskrip ini sudah hilang. Soft-copy pun sudah entah ke mana... Sejak itu, saya sudah malas hendak menulis lagi.


Novel pertama tulisan saya diterbitkan

MELODI HATI
Iwan Reaz (Iwan Ghazali)

Pada awal menulis novel ini, soft-copynya hilang apabila tokeh kedai sesuka meng-format laptop saya. Saya hilang semangat untuk meneruskannya. Selepas hampir setahun, ilham semakin banyak datang. Saya rasa rugi jika dibiarkan hilang begitu sahaja. Jadi sebelum ilham itu hilang, saya tulis di dalam komputer. Saya kumpulkan kesemuanya, dan susun satu persatu jalan ceritanya. Saya menyiapkan manuskrip novel ini secara diam-diam. Ibu bapa langsung tak tahu. Setelah siap, saya hantar ke Telaga Biru. Mereka berminat hendak terbitkan. Alhamdulillah. Sejak itu, saya semakin rancak menulis. Cita-cita yang tidak pernah saya terfikir sebelum ini

Sekian sahaja perkongsian saya kali ini.

~semoga niat kita ikhlas

3 Pandangan:

  1. Saya suka dengan novel Beruk. Sarat dengan emosi dan nilai didaktiknya sangat menebal. Sayangnya allahyarham pergi sebelum ditabalkan Sasterawan Negara. Entah di mana silapnya. Seolah-olah pengorbanannya dipandang hanya sebelah mata.

    ReplyDelete
  2. novel pertama yg sy baca : Melodi Hati.. eh.

    ReplyDelete
  3. Tetamu istimewa: Ya, novel berkenaan memang sarat dengan emosi. Memang tulisan allahyarham datang dari hati yang tulus. Semoga kebaikan yang ditulis akan mendapat ganjaran daripada Yang Maha Esa

    Alfi Ramadhani: Usah temberang. Anda kaki novel

    ReplyDelete