Iwan Reaz - Sedingin Salju

Iwan Reaz - Itulah Impianku

Followers

Tuesday, January 22, 2013

Saya Sedang Menulis

Assalamualaikum wbt.

Tanpa disedari, masa pantas berlalu. Tidak lama lagi bulan Februari akan menjengah. Saya masih belum melunaskan janji saya untuk berkongsi tips penulisan yang seterusnya iaitu - "Saya Sedang Menulis"

1.Tulis Di Mana-Mana

Bagi yang baru mula menulis untuk manuskrip yang baharu, semangatnya mungkin marak menyala. Sanggup duduk di hadapan laptop selama berjam-jam bagi menghasilkan beberapa bab terawal. Tetapi berapa lama kita sanggup berada dalam posisi berkenaan?

Jadi tips saya yang pertama, jangan had kan penulisan anda di dalam laptop/ komputer sahaja. Anda sebenarnya boleh jadi kreatif dengan menulis di tempat lain. Malah, tidak keterlaluan jika saya katakan, idea akan lebih mudah apabila anda tidak menulis di hadapan laptop.

Sebagai contoh, memandangkan pada masa kini sudah ramai yang memiliki telefon pintar, gunakan gadjet berkenaan sebagai tempat untuk anda menulis. Untuk manuskrip novel Brr Sejuknya Salji, saya jatuh demam pada minggu ke-2 saya menulis. Semasa menunggu giliran yang lama di klinik, saya tidak bazirkan masa dengan hanya menunggu, Saya karang penulisan saya di dalam telefon. Setelah balik ke rumah, saya e-melkan penulisan saya itu kepada diri saya sendiri lalu kemudiannya saya copy-paste ke dalam fail manuskrip saya di dalam laptop. Mudah saja, bukan?

Contoh lain, semasa hendak menunggu kelas bermula, saya menulis menggunakan phone. Semasa dalam kereta (saya adalah penumpang, bukan pemandu ketika itu), saya menulis. Dan banyak lagilah. Perlu kita ingat bahawa ilham yang hadir itu akan muncul pada bila-bila masa. Tidak semua masa mudah bagi kita untuk mencapai laptop/komputer. Jadi, karang ilham anda itu dalam telefon/ nota kecil/ tisu atau apa-apa sahaja, asalkan mudah untuk anda merujuk kembali.

-Sekiranya anda mahu pengalaman baharu, anda bawa laptop anda ke lokasi percutian. Tentu ianya pengalaman yang menarik!




2. Tingkatkan Imaginasi

Untuk menjadi seorang penulis yang hebat, imaginasinya juga perlu hebat. Tetapi bagaimana caranya untuk meningkatkan imaginasi? Saya kongsikan cara-cara saya melakukannya.

Antaranya, sebelum tidur, kita buat mimpi kita sendiri. Boleh kata seperti beranganlah juga. Tetapi berangan mengenai jalan cerita yang kita mahu karang. Teruskan berimaginasi sehingga anda tertidur. Sekiranya anda tidak suka dengan jalan cerita A, maka twist kepada jalan cerita B. Anda bebas untuk memilih kerana anda adalah pemilik cerita itu!

Selain itu, gunakan pengalaman yang pernah anda lalui. Saya pernah tersalah turun stesen kereta api dan menyebabkan saya terlewat sampai ke destinasi. Daripada pengalaman itu, cuba anda twist jalan cerita tersebut.
-kejadian tersebut berlaku pada waktu malam.
-X tersalah turun stesen. X terpaksa tunggu kereta api seterusnya sendirian.
-X terasa diperhatikan. Rupanya ada penjenayah.
-X berlari dari situ dan cuba untuk mendapatkan pertolongan.
-bermulalah babak mendebarkan.

Anda tidak melalui pengalaman yang sedemikian. Tetapi anda boleh olah semula pengalaman itu menjadi satu cerita yang dramatik, unik dan menarik.

Anda juga boleh menggunakan pemerhatian anda terhadap orang sekeliling. Atau pun, anda tentunya pernah menonton filem, tetapi tidak puas hati dengan jalan cerita filem tersebut. Bukankah lebih baik begini dan begitu? Jadi, serap idea anda itu ke dalam penulisan anda!



3. Tinggalkan Bahagian Yang Sukar

Saya berani jamin, ada masanya atau ketika manuskrip anda di pertengahan jalan, anda tentunya akan stuck, blank, sudah tiada idea, tidak tahu mahu menulis apa lagi pada bahagian tersebut. Tetapi anda tahu apa yang mahu ditulis pada bab berikutnya.

Jadi nasihat saya, tinggalkan bahagian yang sukar itu dan sambung bahagian seterusnya yang anda rasakan lebih mudah untuk ditulis. Mengapa? Jangan bazirkan masa. Anda masih boleh kembali ke bahagian yang susah itu. Sekiranya anda mengerah idea terlalu lama untuk bahagian tertentu, idea untuk menulis bahagian yang lain berkemungkinan untuk hilang.

Jadi, anda rugi banyak benda sekiranya perkara sedemikan terjadi.

Ianya seperti anda menjawab peperiksaan. Bukankah cikgu di sekolah pernah berpesan, jawab soalan yang mudah terlebih dahulu? Kemudian, barulah jawab soalan yang sukar. Selain dapat menguruskan masa dengan baik, adakalanya idea anda akan bercambah semasa anda sedang menulis di bahagian yang lain.

Maka, jangan menulis A, B, C, D, E, F ..... X, Y Z.

Sebaliknya, menulislah A, D, B, C, E, G, X, .... K, L, Z. (bergantung pada bab mana yang sukar)

Berdasarkan pengalaman saya, saya sering bermula dengan bahagian konflik terlebih dahulu. Contohnya seperti novel Melodi Hati dan Diari Untuk Ibu. Jadi sebenarnya saya bermula dengan huruf X atau Y, bukannya A. Kadangkala, huruf A atau bab pertama adalah yang paling sukar untuk dihasilkan. (pada pandangan saya).



4. Kekalkan Momentum

Momentum ataupun semangat untuk menulis sangat penting. Sekiranya anda kehilangan momentum, adalah agak sukar untuk anda mendapatkannya atau membinanya semula.

Semasa anda mula menulis, anda berkobar-kobar. Masuk bab ke-3, semangat anda menurun sedikit. Masuk bab ke-5, anda mula rasa jemu. Bab ke-6, anda rasa susah hendak teruskan. Jadi, anda bagi "alasan" mahu berehat daripada menulis sebentar.

"Ah, tidak mahu menulis untuk tiga hari mulai esok!"

Selepas tiga hari, "err... tambah satu hari lagilah."

Akhirnya, manuskrip anda ditangguhkan terus!

Nampak tak? Semangat anda mulai luntur dan sukar untuk menyambung semula manuskrip anda itu. Sebab itulah, saya sarankan tips ke-3 tadi supaya anda dapat mengekalkan momentum anda untuk terus menulis. Mungkin ada sesetengah penulis yang begitu bersemangat untuk menulis sehingga ke noktah terakhir. Tetapi tentu adakalanya, kita berasa seperti malas, tidak ada mood dan sebagainya.

Usah berputus asa. Ingat kembali apakah tujuan anda mahu menulis? Moga-moga niat tersebut dapat membakar semula semangat anda untuk terus berkarya seterusnya menghasilkan momentum yang cukup kuat untuk anda menulis, menulis dan menulis!




Saya bercadang untuk menambah satu lagi ruangan tips penulisan. Nantikan, tips seterusnya, "Setelah Aku Menulis"

Wassalam.

~semoga niat kita ikhlas

4 Pandangan:

  1. Mahu mengekalkan momentum itu yang perlu usaha lebih. Jika dapat Iwan berkongsi rahsia Iwan mengekalkan istiqamah dalam menulis, baik juga.

    Terima kasih atas perkongsian yang baik ini.Terus berkongsi, dan tahniah atas penghasilan manuskrip terbaharu 'replika cinta'

    ReplyDelete
  2. Sama-sama. semoga post ini bermanfaat. Insya-Allah, nanti saya akan kongsikan tips saya bagaimana untuk mengekalkan momentum itu.

    ReplyDelete
  3. awak saya kagum dengan karya awak. awak memang minat menulis ek?

    ReplyDelete
  4. terima kasih. bagi saya, menulis bukan sekadar minat. saya harap ianya boleh menjadi asbab untuk saya ke syurga-Nya :)

    ReplyDelete