Assalamualaikum wbt.
Alhamdulillah, Allah izin untuk dua buah karya saya terbit menjelang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013 (PBAKL).
Teruja. Saya cukup teruja kerana pada tahun ini, saya juga berpeluang untuk turun sama ke pesta buku paling besar di Malaysia ini kerana sejak menjadi penulis pada tahun 2009, saya tidak berpeluang untuk hadir sama memandangkan saya berada di Amerika Syarikat sehinggalah Julai tahun 2012.
Jadi, saya dengan rendah dirinya ingin berkongsi dengan pembaca semua novel-novel saya yang terbaharu.
1) GOODBYE NEW YORK
Penerbit: Galeri Ilmu
Harga: RM11
Sinopsis:
Raqiyah atau lebih dikenali sebagai Raqy, merupakan seorang
anak Malaysia yang telah dibesarkan di New York selama hampir 12 tahun. Namun,
dia terpaksa akur akan keputusan bapanya untuk kembali ke tanah air.
Terdapat pelbagai cabaran yang perlu dihadapi oleh Raqy
sepanjang berada di Kampung Sungai Sentosa seperti:
- - Cuaca yang sangat panas serta ketiadaan penghawa
dingin.
- - Ketiadaan kemudahan internet.
- -Alatan teknologi dan gadget yang ketinggalan.
- -Selera orang kampung yang gemar masakan pedas.
- -Kumpulan Trio Queen!
Kedudukan Kumpulan Trio Queen sebagai kumpulan elit di
sekolah tercabar dengan kehadiran beliau. Pelbagai cara telah dirancangkan oleh
mereka untuk menjatuhkan Raqy. Akan tetapi, gadis kelahiran New York ini bukan
mudah untuk menyerah kalah!
_________________________________________________________
2) DIARI UNTUK IBU
Penerbit: Diari Untuk Ibu
Harga: RM15
Sinopsis:
Tragedi 9 Disember yang dialami oleh Izz Akmal sekeluarga telah merampas kebahagiaan mereka. Ibunya, Puan Syamira, telah hilang dan dianggap sudah meninggal dunia.
Izz Akmal mencatat segala peristiwa yang berlaku dalam hidupnya di dalam sebuah diari. Dia berharap dapat menghadiahkan diari itu kepada ibunya kelak. Dia yakin ibunya akan pulang!
Izz Akmal semakin sedih apabila pernah melihat kelibat seorang wanita bersama ayahnya, Encik Syamsul, di bandar. Kemelut emosi Izz Akmal semakin memuncak apabila Encik Syamsul mengajak mereka sekeluarga bertemu dengan seorang wanita yang dipanggil sebagai Auntie Hana.
Siapakah Auntie Hana sebenarnya? Adakah dia bakal menggantikan tempat ibu Izz Akmal?
_______________________________________________________________
Sebagai bonus, saya juga ada terlibat dalam terbitan buku antologi cerpen dan puisi.
3) AKU KALIS PELURU
Terbitan: Grup Karyawan Luar Negara & Aqsa Syarif
Harga: RM20
Karya Saya: Cerpen - Di Hadapan Mata, Puisi - Naskhah Mimpi
Sinopsis:
Menghimpunkan karya-karya nukilan penulis muda yang berkelana di negara dari benua Eropah, Asia-Australasia, Afrika, Amerika dan Timur Tengah. Bertemakan perjuangan membebaskan Al-Aqsa, pelbagai persoalan dan nilai yang diangkat dalam antologi ini pastinya menjanjikan kesan mendalam buat para pembaca.
____________________________________________________________
Tanpa doa kalian, saya bukan saya yang hari ini.
Tanpa usaha saya, saya bukan saya yang hari ini.
Tanpa izin-Nya, saya bukan saya yang hari ini.
Alhamdulillah, terima kasih semua. Doakan buku-buku ini bermanfaat buat segenap masyarakat.
Dapatkan di pasaran atau di pesta buku nanti!
~semoga niat kita ikhlas
Tahniah! Kagumnya saya.
ReplyDeleteTerima kasih Tetamu Istimewa atas sokongan :)
ReplyDelete