Iwan Reaz - Sedingin Salju

Iwan Reaz - Itulah Impianku

Followers

Tuesday, April 16, 2013

HEBATNYA MEMBERI SALAM!

Assalamualaikum wbt.

Gambar Hiasan

Letih badan tidak terperi. Sepatutnya program yang berlangsung pada malam ini tamat pada jam 11.00 malam. Namun jarum jam aku sekarang sudah menunjukkan waktu hampir menjengah pukul 12.00 tengah malam .

Kelopak mata semakin kuyu bak digantung pemberat. Mengantuk! Ah, indahnya jika dapat meletakkan kepala ini di atas bantal. Pasti sesaat dua sahaja aku akan terus terlelap. Peribahasa bagai orang mengantuk disorongkan bantal sudah tidak relevan dengan situasiku sekarang. Aku lebih suka dengan peribahasa rekaanku ini - "sorongkan kepadaku bantal, nescaya aku akan terus terlena."

Hakikatnya, aku perlu bersabar sehingga tamatnya program ini sekitar jam 1.00 pagi. Mujur bukan aku yang memandu kereta. Aku menyedari temanku yang memandu itu kelihatan penat sepertiku juga. Katanya, kaki dia bagaikan mahu tercabut. Letih, lenguh, penat, semuanya beradun. Mujur destinasi yang ingin dituju tidak begitu jauh.

Temanku memandu ke sebuah banglo yang dikhaskan oleh pihak penganjur bagi penempatan kami semalaman. Dari jauh, kamu dapat melihat ada beberapa orang pelajar yang tidak keruan di hadapan banglo. 

"Kenapa ini?" sapa rakanku kepada salah seorang daripada mereka.

"Kami pindahkan barang sebentar tadi ke dalam banglo ini. Tapi ada masalah pula," jelas pelajar berkenaan.

"Masalah? Masalah apa?"

"Semasa berulang-alik dari banglo ke dewan tadi, ada rakan kami yang meninggalkan kunci pintu di atas meja di ruang tamu. Tapi sekarang kami semua terkunci dari luar. Mustahil!"

"Kenapa?" soal saya.

"Pintu hanya boleh dikunci dari luar. Kalau kunci masih di dalam rumah, hanya orang yang berada di dalam sahaja yang boleh menguncinya. Yang peliknya tiada siapa pun di dalam."

"Kamu pasti kunci itu sekarang di atas meja di ruang tamu? Tiada siapa yang bawa keluar?" tanya rakan saya sambil meninjau-ninjau dari tingkap. 

"Pasti!!! Memang kunci itu diletakkan di atas meja."

Beberapa orang pelajar yang lain cuba untuk membuka pintu, tetapi ternyata pintu itu berkunci. Akhirnya ada seorang pelajar yang menawarkan diri untuk masuk ke dalam melalui tingkap tandas.

Kami beramai-ramai cuba untuk membantu pelajar berkenaan 'memecah masuk' melalui tingkap tandas yang agak tinggi. Pada mulanya dia agak yakin dengan tindakannya itu. Namun apabila berada paras ketinggian yang menggayatkan, dia mulai resah. Lebih-lebih lagi dia tidak pasti bagaimana mahu mendarat dengan selamat.

"Alamak, kaki aku kejang!"

Kami segera menurunkan pelajar itu sebelum keadaan menjadi lebih parah. Dia tercungap-cungap kepenatan setelah selamat diturunkan. Kami menjadi semakin buntu. Pelbagai cara telah kami fikirkan dan usaha, namun segalanya hampa. Masing-masing keletihan dan mengantuk di kala jam sudah menunjukkan pukul 2.15 pagi.

"Kita minta tolong pada jiran berdekatan," cadang seorang pelajar.

Aku tersepit antara perasaan kasihan pada jiran tersebut, kasihan pada pelajar-pelajar ini dan tentunya kasihan pada diri aku sendiri. Tetapi mungkin jiran itu boleh beri buah fikiran terbaik memandangkan dia sudah lama tinggal di kawasan ini. 

Setelah dipanggil beberapa kali, seorang wanita keluar dan mendengar masalah yang kami hadapi. Kemudian dia datang menghampiri banglo yang terkunci itu.

"Kamu sudah beri salam?" 

Ringkas sahaja soalan beliau, tetapi membuatkan kami terpinga-pinga. Para pelajar menggeleng.

Kemudian, seorang pelajar cuba untuk membuka pintu rumah banglo berkenaan. Ajaib! Pintu terbuka! Dan ternyata memang kunci masih berada di atas meja di ruang tamu.

"Berilah salam, sekalipun tiada orang di dalam rumah kerana tentu ada penghuni lain yang kita tidak nampak. Mereka juga makhluk Allah. Ada antara mereka yang beragama Islam. Jadi, hormatilah mereka." Wanita itu memberi peringatan.

(ini adalah kisah benar. Dialog dan plot diringkaskan kerana kejadian sebenar jauh lebih panjang dan kompleks)

Besar sebenarnya hikmah memberi salam. Dalam al-Quran, Allah telah berfirman:

”... Maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah, hendaklah kamu memberi salam kepada (sesiapa yang seperti) kamu dengan memohon kepada Allah cara hidup yang berkat lagi baik. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat (yang menjelaskan hukum-hukum-Nya) supaya kamu memahaminya." 
[Surah an-Nur, 61]

Sekiranya rumah yang tiada berpenghuni pun kita dituntut untuk memberi salam, inikan pula rumah yang ada orang tinggal di dalamnya. Adakalanya saya pelik, mengapa ada yang balik ke rumah atau datang melawat rumah rakan-rakannya, berasa janggal untuk memberi salam? Sebaliknya, ucapan hello, hai, hei, ringan saja dilafazkan.

Memberi salam saat memasuki rumah, mengundang berkat ke atas seisi rumah serta menghindar gangguan syaitan. Alangkah bahagia dan tenteramnya penghuni rumah itu lantaran salam yang selalu diucapkan saat memasuki rumah.

Terima kasih penutup kalam,
Moga kita bersua semula,
Jangan segan memberi salam,
Salam itu banyak hikmahnya.

Assalamualaikum =)

~semoga kita ikhlas

2 Pandangan: