Iwan Reaz - Sedingin Salju

Iwan Reaz - Itulah Impianku

Followers

Monday, May 27, 2013

SELEPAS SAYA MENULIS (Bahagian 1)

Assalamualaikum wbt.

Ini mungkin fasa terakhir dalam perkongsian saya berkaitan penulisan kreatif. Sebelum ini saya sudah kongsikan tips-tips “Sebelum Saya Menulis”, “Saya Mahu Menulis” dan “Saya Sedang Menulis.” Kini tiba untuk tajuk yang seterusnya iaitu “Selepas Saya Menulis.”

Ramai orang yang saya temui meluahkan rasa keliru mereka setelah menyiapkan sesebuah karya. 
Saya sudah menulis beberapa karya, tetapi tidak tahu apa langkah seterusnya. Jadi, saya simpan sajalah.
Pada awal pembabitan saya dalam bidang penulisan, saya juga melalui pengalaman yang sama. Tetapi istilah ‘tidak tahu’ boleh bertukar menjadi ‘tahu’ seandainya kita berusaha untuk mencari jawapannya. Lebih-lebih lagi kita berada di era berteknologi tinggi, jawapan mungkin berada di hujung jari kita.

Untuk itu, dengan rasa rendah diri, saya ingin berkongsi beberapa tips setelah kita menyiapkan sesebuah karya.

1. SUNTING

Yeay, sudah siap!”

Benarkah sudah siap? Tunggu! Setelah berjaya menyiapkan karya anda itu, anda seharusnya (atau dalam erti kata lain, sewajibnya) menyunting terlebih dahulu karya anda itu.

Eh, bukankah nanti ada penyunting yang akan menyunting karya saya?

Benar. Tetapi ada beberapa faktor mengapa kita perlu menyunting karya kita :
a)      Memudahkan bacaan pihak editor
b)      Menunjukkan karya anda berkualiti
c)       Meningkatkan peluang untuk karya anda diterbitkan

Apatah lagi jika anda masih muda dalam arena penulisan kreatif. Usah biarkan kesalahan-kesalahan bahasa menyekat kemaraan anda untuk terus bersinar. Buktikan bahawa karya anda itu berkualiti. Jadi, jangan sesekali meninggalkan proses penyuntingan kerana proses ini adalah amat penting.

Nota: Kesalahan bahasa yang banyak akan mengganggu mood editor untuk meneruskan bacaan, sekalipun jalan ceritanya bagus.



2. YAKINI BAKAT ANDA

Karya sudah disiapkan, tetapi hanya diperam dalam simpanan. Setahun. Dua tahun. Akhirnya dilupakan. Jangan dipersiakan bakat yang ada. Terokai dunia penerbitan dengan menghantar karya anda itu kepada pihak penerbit.

Rasa malu menyelubungi diri?

Ya, saya juga merasakan perkara yang sama. Setelah saya berjaya menyiapkan novel pertama saya, saya membaca semula manuskrip berkenaan. Sehelai demi sehelai. Tidak semena-mena timbul satu persoalan. “Layakkah karya sebegini menembusi pasaran?

Ish, saya berasa kurang yakin. Malunya sekiranya pihak editor membaca manuskrip saya yang saya rasakan seperti tidak menepati standard dan piawaian. Saya tidak yakin dengan bakat saya. Saya bukannya pelajar sastera. Malah saya tidak pernah mengikuti kelas penulisan kreatif. Tentu peluang saya tipis.

Tetapi, saya imbas semula detik-detik saya bersungguh-sungguh mengarang manuskrip siang dan malam. Adakah saya mahu mensia-siakan usaha saya selama ini? Saya bulatkan tekad. Saya tetap mahu menghantar manuskrip saya itu kepada pihak penerbit. Manuskrip saya mungkin diterima, mungkin juga ditolak setelah dinilai nanti. Tetapi jika saya tidak menghantar langsung, sudah tentu  manuskrip saya tidak akan diterbitkan.

Jadi, tidak salah jika kita mencuba. Usah takut pada kegagalan kerana kegagalan itu bukan beerti penghujung kepada usaha anda. Sebaliknya, kegagalan itu adalah peluang kepada anda untuk memperbaiki kelemahan diri.

Ya, mungkin manuskrip pertama saya dipermudahkan kerana setelah dinilai pihak penerbit, mereka bersetuju untuk menerbitkannya. Tetapi ketahuilah bahawa untuk manuskrip-manuskrip yang seterusnya, saya berdepan dengan banyak jawapan sebegini - “maaf, kami terpaksa menolak manuskrip anda.”


Hazim, Aizat & Muzik, adalah antara manuskrip saya yang ditolak beberapa kali sebelum berjaya diterbitkan.

Senyum, dan terus mara! =)

3. CARI MAKLUMAT PENERBIT

Anda sudah yakin, tetapi tidak tahu bagaimana caranya untuk menghantar karya anda? Seperti yang saya katakan sebentar tadi, maklumat mungkin berada di hujung jari. Anda boleh mencari maklumat berkaitan penerbit di internet.

Bagi yang mahu menghantar karya berbentuk novel dan buku, sekarang ini terdapat banyak penerbit seperti Galeri Ilmu, Buku Prima, Telaga Biru, Mustread, Jemari Seni, PTS, Karya Seni dan macam-macam lagi. Anda boleh membuka laman sesawang mereka untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai:
-e-mel editor perolehan untuk anda berurusan
-ciri-ciri proposal yang mereka mahukan
-format manuskrip yang digariskan mengikut kelompok pembaca
-cara-cara penghantaran manuskrip

Selain laman sesawang penerbit, anda juga boleh mendapatkan maklumat-maklumat ini pada buku yang anda miliki. Ataupun, pergi ke kedai-kedai buku, selak helaian hadapan buku untuk mencari maklumat di atas.

Sekiranya anda penulis cerpen ataupun puisi, anda boleh menghantar karya anda kepada majalah atau surat khabar. Sekarang ini banyak majalah dan surat khabar yang membuka ruang kepada semua penulis di seluruh Malaysia untuk mengembangkan bakat. Untuk mendapatkan e-mel editor, anda boleh melakukan perkara yang sama seperti di atas.


Satu lagi cara, usah segan-segan untuk bertanya pada para penulis sedia ada. Kebanyakan penulis sedia untuk menjawab pertanyaan anda. Sekalipun mereka lambat memberi jawapan, itu tidak bermakna mereka sombong. Sibuk barangkali =)



____________________________________________
Insya-Allah, bahagian ke-2 untuk "Selepas Saya Menulis" bakal saya kongsikan tidak lama sahaja lagi. Nantikan.

~semoga niat kita ikhlas

0 Pandangan:

Post a Comment