Iwan Ghazali (Iwan Reaz)

Aku pencinta impian, menulis bukan menagih kekayaan, sekadar mendamba secebis keredhaan.

Iwan Ghazali (Iwan Reaz)

Aku pencinta impian, menulis bukan menagih kekayaan, sekadar mendamba secebis keredhaan.

Brr... Sejuknya Salji!

Novel Terkini
[ Pandangan Pembaca Novel ]

Iwan Reaz - Sedingin Salju

Iwan Reaz - Itulah Impianku

Followers

Monday, April 4, 2011

TAUBAT SEORANG PENCURI



Di sebuah Kota Zettriona, tinggal seorang lelaki yang berusia lingkungan 25 tahun. Kerjanya saban hari adalah mencuri harta-harta orang kaya. Biarpun dia adalah seorang penjenayah, namun dia tidak pernah mencederakan atau menyakiti sesiapa. Suatu hari, dia telah berjaya memecah masuk sebuah rumah banglo. Berbekalkan pengalamannya, dia telah berjaya menemui banyak barang kemas dan sejumlah wang yang cukup besar nilainya. Maka, gembiralah hati si lelaki ini sewaktu hendak meninggalkan banglo tersebut.

Akan tetapi, langkahnya terhenti apabila dia ternampak seorang gadis yang sedang nyenyak tidur. Entah mengapa kali ini nafsunya begitu membuak-buak untuk merosakkan gadis itu. Dek kerana tidak mampu melawan bisikan nafsu dan syaitan di sekelilingnya, maka si lelaki ini pun menodai gadis tersebut. Si pencuri itu berasa hairan, mengapa gadis itu seakan-akan tidak melawan walaupun telah terjaga daripada tidurnya?

Setelah rakus mengerjakan gadis itu, lelaki si pencuri itu terduduk di satu sudut. Ditenungnya keadaan gadis itu dari jauh. Pada saat itulah baru dia menyedari bahawa gadis yang dinodainya itu adalah seorang gadis yang kurang upaya, cacat fizikalnya. Hatinya tidak semena-mena dicengkam rasa bersalah yang amat sangat. Dia tidak jadi mengambil harta benda yang telah ditemuinya sebentar tadi.

Sepanjang malam itu, si pencuri asyik terbayangkan gadis berkenaan. Dia benar-benar tersentuh dan perasaan menyesal semakin menebal di sanubarinya. Lantas, dia menghamparkan tikar sejadah lalu bersujudlah dia memohon taubat dan petunjuk daripada Yang Maha Esa. Air matanya deras mengalir mengenangkan dosa-dosa yang telah dilakukannya selama ini.

Keesokan harinya, dia menyertai jemaah Subuh di sebuah masjid. Tamam solat, si pencuri ini datang berjumpa dengan Pak Imam. Wajah Pak Imam yang bersih dan berseri-seri sangat menenangkan hati sesiapa yang memandangnya. Maka, diceritakanlah oleh si lelaki berkenaan tentang kejadian pada malam tadi dan juga penyesalannya atas segala jenayah yang telah dilakukan sepanjang hayatnya.

Kamu benar-benar bertaubat?” soal Pak Imam.

Benar. Sesungguhnya, saya sangat menyesali keterlanjuran saya malam tadi. Demi menebus kesalahan saya, saya ingin mengahwini gadis cacat berkenaan. Saya mahu menjaganya dengan penuh kasih sayang dan saya akan berhenti menjadi seorang pencuri. Saya akan mencari rezeki yang halal buatnya.

Kalau begitu niat kamu, saya akan tolong kamu untuk sampaikan hajat kamu ini pada ibu bapanya. Kamu juga haruslah berani mengaku kesilapan dan keterlanjuran kamu di hadapan mereka. Insya-Allah, semoga mereka dapat memaafkan kesalahan kamu,” ujar Pak Imam.

Maka, Pak Imam dan lelaki itu datanglah bertemu dengan ibu-bapa gadis berkenaan. Namun mereka sudah sedikit terlewat. Orang tua gadis berkenaan telah membuat laporan pada pihak berkuasa. Malah, sebuah pita rakaman CCTV telah diserahkan sebagai bahan bukti. Rupa-rupanya, di dalam bilik gadis itu, telah dipasangkan sebuah kamera CCTV supaya keselamatan anak gadis mereka dapat dipantau.

Namun, keikhlasan dan penyesalan yang terpancar di wajah lelaki berkenaan telah menundukkan amarah kedua-dua orang tua gadis itu. Pengakuannya juga membuktikan bahawa dia benar-benar telah bertaubat. Lantas, Pak Imam memberitahu bahawa lelaki berkenaan mahu menebus kembali kesilapannya dengan mengahwini gadis kurang upaya itu. Kesanggupannya begitu mengharukan orang tua gadis berkenaan.

Saya mahu menjaga beliau dengan penuh kasih sayang, sehingga akhir hayat saya,” ujarnya.

Kedua-dua orang tua itu bertanya pula pada anak gadis mereka.

Sa… saya… menghormati… keputusannya. Ji... jika benar… dia mencintai saya… kerana Allah… maka… saya juga… mencintainya… sepenuh hatinya saya,” tutur gadis itu dengan penuh kesukaran, kerana kecacatan yang dialaminya.

Menangislah si lelaki ini mendengar pengakuan gadis berkeaan.

Maka, kedua-dua orang tua gadis tersebut telah bersepakat dan bersetuju. Untuk itu, mereka juga telah kembali berjumpa dengan pihak berkuasa untuk menarik kembali laporan yang telah dibuat. Mereka mahu menyelesaikan perkara ini dengan baik. Mereka sedar, bahawa semua orang melakukan kesilapan. Kerana itu, orang yang berani mengakui kesilapan dan bersedia untuk berhijrah kepada kebaikan haruslah dibantu serta diberi dorongan.

Malangnya, ada seorang pegawai polis telah menyalahgunakan rakaman video CCTV yang diperolehi. Dia telah memuat turun video berkenaan di internet. Penyebaran video itu begitu cepat di seluruh Kota Zettriona. Malah, ada juga individu yang tidak bertanggungjawab yang telah memalsukan banyak video seumpama itu untuk menghangatkan lagi keadaan.

Namun perihal itu tidak disedari oleh lelaki berkenaan mahupun di pihak keluarga gadis yang bakal dikahwininya. Pada suatu hari, ketika lelaki ini sedang dalam perjalanan ke bandar untuk membeli barang-barang persiapan hari perkahwinan, sekumpulan warga kota yang telah menyaksikan video rakaman CCTV berkenaan, telah mengepungnya.

Kamu tak patut hidup atas muka bumi ini!
Kamu penzina, perogol, penjenayah!
Kamu sampah masyarakat!

Lelaki berkenaan terkedu mendengar pelbagai dakwaan yang dilontarkan ke atasnya. Tanpa mampu untuk dia menjelaskan perkara sebenarnya, dia telah dipukul bertubi-tubi oleh orang-orang di situ. Akhirnya, dia menemui ajal setelah parah dibelasah.

Berita menyayat hati itu diterima dengan penuh kesedihan oleh gadis yang bakal dikahwininya, keluarganya, juga Pak Imam. Mereka berasa sangat sedih atas kepincangan yang telah berlaku dalam masyarakat sekitarnya. Taubat lelaki berkenaan tidak diketahui oleh masyarakat, sebaliknya hanya kejahilannya suatu ketika dahulu sahaja yang jelas di mata mereka. Maka, hukuman dijatuhkan sesuka hati tanpa sebarang usul periksa. Aib orang lain disebar merata. Fitnah dan tohmah jadi santapan bicara.

-Tamat-

Tinta penulis: Karya ini terhasil setelah pemerhatian Iwan dengan keadaan masyarakat masa kini. Harap para pembaca faham isi tersirat juga pengajaran yang ingin Iwan sampaikan.

"Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang FASIK membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu." (Al-Hujraat,49:6)

~semoga niat kita ikhlas.

Friday, March 25, 2011

SYUKUR

Assalamualaikum wbt.

Petang tadi, Iwan ke bank, nak withdraw duit. Waktu sedang berbaris tu, ada seorang pak cik ni panggil Iwan. Dia minta tolong sesuatu. Sebenarnya dah lama Iwan perasana pak cik tu macam dalam kesulitan. Mata dia dengan paparan skrin cukup rapat. Dan dia juga mengambil masa yang sangat lama untuk berurusan.

"Yes sir. Anything that I can help you?" tanyaku.

"I already deposited ten bucks for my son and I'm not sure what to do next", kata Pak Cik itu.

"Sepuluh dolar saja?" bisik hati Iwan. Setelah melihat pada paparan skrin tersebut, ternyata memang benar. (ingatkan salah dengar tadi). Iwan pun mencadangkan apa yang perlu dilakukan seterusnya...

Dia tak biasa guna mesin ATM. Dia masukkan cuma 10 dolar untuk anaknya. Pakaiannya pula jelas menunjukkan dia orang susah.

Sewaktu Iwan dalam perjalanan pulang, terkenang pula pada satu moment di sebuah restoran pizza suatu ketika dahulu. Ada satu family, empat orang semuanya, hanya order satu set individu- satu pizza kecil, satu mangkuk sup, 4 roti dan segelas soft drink. Semuanya dikongsi empat orang! Walhal set seperti itu biasanya seorang pun tak cukup makan.

Contoh-contoh yang Iwan sebutkan di atas, adalah dalam kategori susah, masih mampu serba sedikit, tetapi masih perit untuk merasai kesenangan seperti orang lain. Realitinya, masih ramai yang kebuluran, makanan tak cukup langsung, apatah lagi hendak menikmati makanan yang lazat-lazat.

Kita yang hidup serba sederhana ni, sentiasa merintih tak cukup itu ini. Walhal, keperluan semua sudah dilengkapi. Cuma kadangkala... tak dapat beli phone canggih lah, laptop terbaru lah, ipad2, kamera dslr, iphone5, PS3, baju, kasut, handbeg dan macam-macam lagi lah.

"Hatta, manusia kalau diberi segunung emas sekalipun, mereka akan tetap merasa tidak puas. Mereka mahukan dua gunung emas. Setelah dapat dua gunung emas, mereka mahukan tiga pula. dan begitulah seterusnya... "

Tak salah mencari harta kekayaan, asalkan tujuan utama hidup di dunia ini tidak diabaikan. Dan apabila kita dikurniakan rezeki yang melimpah ruah, jangan lupa untuk tunaikan zakat, bersedekah pada fakir miskin, belanja kawan-kawan.



Mari kita sama-sama menginsafi kedaifan ramai saudara mara kita di serata dunia. Hulurkan bantuan , ringankan beban. Moga-moga kita menjadi manusia yang bersyukur serta terhindar daripada menjadi sebahagian manusia yang kedekut dan bakhil.

Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya : “Sesiapa yang diberi suatu kebaikan hendaklah ia mengingatinya, sesiapa yang mengingatinya ia dianggap bersyukur. Sesiapa yang tidak mengenangkan budi yang diberi ia dianggap sebagai kufur nikmat”. (Riwayat At-Tabrani)

~semoga niat kita ikhlas.

Monday, March 14, 2011

AUTA FACE

Assalamualaikum wbt.

Apa khabar semua? Iwan baru sahaja selesai bercuti selama seminggu sempena Spring Break. Walaubagaimanapun, cuti kali ni sangat sibuk dan Iwan terpaksa meninggalkan dunia penulisan dalam tempoh seminggu itu. (Tinggal satu bab terakhir sahaja lagi untuk novel Diari Untuk Ibu).

Apa aktiviti yang Iwan buat? Seperti yang pernah Iwan beritahu sebelum ini, Iwan terikat dengan komitmen penggambaran untuk sebuah video yang melibatkan semua rakan-rakan Iwan di Temple University.

Syukur, segalanya berjalan dengan lancar. Semalam adalah tayangan perdana filem pendek yang bertajuk Auta Face itu dan pada hari ini, semua boleh menontonnya di Youtube. Selamat menonton!



KLIK DI SINI UNTUK MENONTON BAHAGIAN 1

KLIK DI SINI UNTUK MENONTON BAHAGIAN 2

KLIK DI SINI UNTUK MENONTON DI SEBALIK TABIR AUTA FACE

~semoga niat kita ikhlas

Saturday, March 5, 2011

Spring Break 2011

Assalamualaikum w.b.t

Iwan kini sedang bercuti selama seminggu sempena Spring Break. Alhamdulillah, permulaan cuti malam tadi telah diisi dengan perkara bermanfaat insyaAllah. Selepas usrah, Iwan dan kawan-kawan bermain bola di kala sejuk masih mencengkam sehingga ke tulang. Balik daripada bermain bola, Iwan menyambung karya penulisan sehingga pukul 3 pagi.

Sekadar mahu berkongsi, cuti kali ini Iwan agak sibuk dengan aktiviti berikut:

1) Menyiapkan assignment kelas Probability

2) Membuat assignment kelas Mosaic berkaitan buku Freud

3) Membuat latihan Act Sci Modelling 2.

4) Membuat latihan chapter Markov Chain untuk kelas Probabilities Theories. (MATH033)

5) Menyemak salinan pruf novel Hazim, Aizat & Muzik (dateline 7 Mac)

6) Mengemaskini perkembangan buku Siri Fabel Kanggaru.

7) Menyiapkan karya Diari Untuk Ibu beserta proposalnya.

8) Shooting short movie Temple University.

9) Edit movie tersebut.

10) Berehat secukupnya untuk menghadapi sessi ke-2 semester Spring 2011 ini.

Moga-moga Allah permudahkan segala urusan yang mahu dilaksanakan ini agar semuanya dapat ditempuhi dengan sempurna dan penuh lancar.

Allahumma yassir wa la tuassir



terkenang memori spring break tahun lalu. Iwan meluangkan waktu cuti bersama Ahmad.

~semoga niat kita ikhlas

Thursday, February 24, 2011

Novel Pertama - Beruk

Assalamualaikum wbt.

Bak kata sasterawan negara, A. Samad Said, seorang penulis haruslah melakukan 5 perkara ini: Yang pertama- membaca. Yang kedua-membaca. Yang ketiga-membaca. Yang keempat-membaca. Yang kelima, barulah menulis.

Jadi, untuk post kali ini, Iwan mahu berkongsi dengan pembaca sekalian tentang novel pertama yang Iwan miliki. Ketika itu Iwan berada dalam darjah 1 atau 2, (kurang pasti).



Tajuk novel tersebut adalah Beruk. Penulisnya, Azizi Abdullah. Menceritakan tentang kehidupan seorang murid sekolah rendah yang bernama Alias. Dirinya dibelenggu kemiskinan, tetapi tetap cekal dan tabah untuk menimba ilmu. Dia mempunyai teman rapat yang bernama Pon, seekor beruk peliharaan. Pon membantu Alias memetik buah kelapa di kampung untuk mendapatkan wang.

Ada seorang guru di sekolah Alias yang garang dan sering bertindak kejam terhadap Alias. Nama cikgu itu adalah Cikgu Sunan. (Iwan bengang dengan cikgu seorang ni. Tak patut betul dia pilih kasih dengan anak-anak murid dia). Tetapi Alias tidak menyimpan dendam walaupun pernah ditampar oleh Cikgu Sunan sehingga telinganya menanah (bahasa dalam novel itu).

Entah apa agaknya yang membuatkan Iwan tertarik untuk meminta ibu Iwan membelikan novel itu. Rasanya, disebabkan ketika Iwan membelek-belek kandungan buku itu, ada satu bahagian yang cukup syahdu untuk ditatap. Gambar Alias memeluk ibunya sambil menangis, di satu sudut kelihatan tangan Cikgu Sunan berdarah, dan di atas tanah tubuh Pon terbujur kaku dengan sebilah lembing tercacak di dadanya.

Perasaan dan jiwa Iwan bagaikan disentap-sentap untuk mengetahui perihal yang sebenar. Jadi, jika anda juga mahu tahu apakah yang telah berlaku, (apakah Cikgu Sunan memang jahat orangnya) atau … ? Kalian bolehlah dapatkan novel ini di pasaran. (cover novel yang sekarang ini tak sama dengan yang Iwan miliki sewaktu kecil. Gambar ketika itu adalah gambar Alias dengan Pon di bahunya).

p/s- Rumusan cerita ini langsung tidak dirujuk semula. Iwan masih ingat serba sedikit dan sekiranya ada kesilapan, harap maaf.

~semoga niat kita ikhlas

Monday, February 14, 2011

Salam Maulidur Rasul

Salam.

Esok hari Selasa. Kalau ikut kalendar Masihi, 15 Februari. Kalau ikut kalendar Hijrah, 12 Rabiulawal. Dalam banyak-banyak sambutan ulang tahun, sambutan untuk esok hari adalah yang paling agung, yakni, Maulidur Rasul. Itu kata saya. Iyakah? Kata-kata yang ikhlas lahir daripada hati atau sebab nak ikut orang lain?

Nenong...! Nenong...! Nenong...! (bunyi siren ambulans).

Saya terlantar sakit. Kamu sedang nazak. Kita sama-sama sedang berdepan dengan sakaratul maut. Aduh, peritnya, seksanya. Apakah yang bermain dalam fikiran kita waktu ini?

"Ibu! Maafkan saya ibu! Ayah! Ampuni salah silap saya ayah!
Isteriku, jaga anak kita baik-baik! Besarkan mereka dengan penuh kasih sayang.
Keluargaku, jaga hartaku. Pelihara namaku.
"

"Nanti ada cek royalti, siapa yang nak tanda tangan?"

Aduh! Banyaknya perkara mahu ku fikirkan sebelum tibanya ajalku.

Itu kita. Kan?

Di saat hujung nyawa, Rasulullah pula teringatkan ummatnya. Apa yang baginda sebut? Ummati, ummati, ummati (umat ku, umat ku, umat ku).

Begitulah cintanya baginda Rasulullah terhadap umatnya, sehingga di akhir hayatnya, baginda masih menyebut-nyebut umatnya. Begitulah rindunya Rasulullah. Tetapi, kita kah umatnya yang dirindui dan dicintai itu?

Kita tak pernah pun bertemu Rasulullah, Kita tak pernah pun bercakap dengan baginda. Betulkah kita cinta baginda? Atau mulut sahaja yang manis berbicara?

Rasulullah tinggalkan kita 2 perkara. Kitab suci Al-Quran dan sunnahnya. Persoalan pertama, apakah setiap hari kita membaca Al-Quran? Apakah kita menyemak pula tafsirannya? Lalu apakah kita mengamalkan isi-isi di dalamnya?

Persoalan kedua, apakah kita mengamalkan sunnah baginda? Apakah hanya kahwin 4 sahaja yang dipandang di mata lelaki? "Oh, kahwin 4 kan sunnah nabi". Tapi bila bab solat berjemaah di masjid, tangan di bahu mata ke atas? (ini peribahasa baru). Sunnah-sunnah yang lain bagaimana?

Apa benar kita cinta Rasulullah? Setiap hari berapa kali kita berselawat ke atas baginda?

Terlalu banyak persoalan yang hendak dirungkai. Apakah kita tergolong dalam golongan umat yang dirindui atau dikasihi Rasulullah itu? Atau kita hanya terperasan dan syok sendiri sahaja selama ini?

Wahai pembaca yang budiman, sempena hari Maulidur Rasul yang mulia ini, saya mengajak kita semua bermuhasabah diri. Andai selama ini kita terleka, marilah kita kembali mengenal kekasih sebenar kita ini. Sama-sama kita berselawat, bukah sekadar di hari Maulidur Rasul, tetapi teruslah membasahkan bibir anda dengan selawat setiap hari, yang fadhilatnya jauh lebih baik daripada kita menyanyi-menyanyi lagu yang tidak berfaedah.



~semoga niat kita ikhlas.