Iwan Ghazali (Iwan Reaz)

Aku pencinta impian, menulis bukan menagih kekayaan, sekadar mendamba secebis keredhaan.

Iwan Ghazali (Iwan Reaz)

Aku pencinta impian, menulis bukan menagih kekayaan, sekadar mendamba secebis keredhaan.

Brr... Sejuknya Salji!

Novel Terkini
[ Pandangan Pembaca Novel ]

Iwan Reaz - Sedingin Salju

Iwan Reaz - Itulah Impianku

Followers

Saturday, October 1, 2011

Preview Bisikan Pengharapan



BISIKAN PENGHARAPAN

Lagu: Iwan Reaz
Lirik: Annur Mohammad

Ku bisikkan kalimah memujiNya
Setiap masa
Setiap saat
Agar ku tidak lupa
Akan kekuasanNya
Juga akan kebesaranNya

Sucikan wajah mu di dinihari
Bisikan pengharapan pada Ilahi
Jika sudah suratan takdir hakiki
Terima saja dengan rela hati

CHORUS :
Indahnya hidup di dunia ini
Pabila dikelilingi insan yang disayangi
Juga mendambakan redha ilahi
Agar hidup sentiasa diberkati

Dilema manusia akhir zaman
Saban waktu kematian memisahkan
Lantas ku bisikkan doa pengharapan
Agar dikurniakan keredhaan

Thursday, September 22, 2011

4 Kisah Renungan Bersama

Assalamualaikum wbt

Mari kita hayati cerita-cerita ini. 4 situasi yang berbeza. 2 daripadanya seakan sama, tetapi tidak serupa.

Situasi 1:

Iskandar, seorang hartawan. Dia mempunyai harta yang banyak. Namun, setiap kali waktu makan, dia hanya memilih nasi kosong, telur dan sayur. Minumannya hanyalah segelas air masak. Walaupun dia mampu untuk menikmati makanan yang mewah dengan kadar yang tidak membazir, tetapi dia tetap memilih menu yang ringkas itu. Katanya, “Asalkan aku dapat makan. Cukuplah.

Situasi 2:

Ridzuan (cewah), seorang hartawan juga. Dia mempunyai harta yang banyak. Setiap kali waktu makan, dia akan memilih pelbagai menu daripada serata dunia. Selalunya menu barat, menu timur tengah dan tidak lupa juga masakan tradisional Melayu. Dia menikmati makanan yang lazat-lazat dan masih dalam pembelanjaan yang tidak boros. Menurutnya, “Aku mampu untuk menikmati semua ini. Asalkan aku tidak membazir, apalah salahnya sekiranya aku mahu makan yang sedap-sedap.

Kisah A :

Iskandar, seorang yang pemuda yang sihat tubuh badannya. Dia mempunyai kerjaya yang cukup baik. Namun, setiap kali waktu solat fardu tiba, dia sering melengahkannya. Bacaannya cukup sekadar yang wajib. Walaupun dia masih berupaya untuk melaksanakan segala amalan dan ibadah sunat yang lain, tetapi dia tetap hanya melakukan yang wajib sahaja. Katanya, “Asalkan aku sudah menunaikan tanggungjawabku yang wajib. Cukuplah.

Kisah B:

Ridzuan, seorang pemuda yang sihat tubuh badannya. Dia mempunyai kerjaya yang cukup baik. Setiap kali waktu solat fardu tiba, dia akan melaksanakan di awal waktu. Selalunya, dia akan turut membaca Al-Quran, berzikir, menunaikan solat sunat, berpuasa sunat dan juga ibadah-ibadah sunat yang lain. Dia menunaikan semua itu dalam kadar yang besederhana, yakni dia juga turut mementingkan kepentingan duniawi yang lain. Menurutnya, “Aku masih sihat untuk melaksanakan semua ibadah ini sebelum tibanya masa sakitku. Asalkan aku tidak riak dan sombong dengan amalanku, apalah salahnya sekiranya aku mahu terus meningkatkan ketaqwaanku setinggi yang mungkin.



Tinta penulis: Kita pula bagaimana? Apakah kita prihatin dengan ibadah wajib? Sekiranya yang wajib pun kita leka, apa pula dengan nasib ibadah sunat? Walhal apabila berdepan dengan urusan dunia, kita bukan sekadar mahu yang “cukup-cukup makan” atau “ala kadar”, tetapi kita mahu yang “elite-elite” atau yang “mewah-mewah”. Renung-renungkan bersama wahai teman. Kita mengaku cintakan akhirat, namun kita masih menjadi hamba dunia.

p/s- Doakan Ridzuan dalam cerita di atas itu adalah saya. (^^,)

~semoga niat kita ikhlas.

Thursday, September 8, 2011

Aku Si Comot

Assalamualaikum wbt.

Rasa macam nak cari teman. Teman ini bukan memahami aku melalui kata-kata, tetapi melalui hati dan perasaan.” –Status Iwan di FB pada hari Isnin, 12:34 tengah hari waktu US.

Teman yang dimaksudkan adalah haiwan peliharaan. Lebih tepat lagi, kucing. Miaow…



Iwan dari dulu suka kucing. Tapi kat rumah di Malaysia tak boleh bela sebab ada ramai budak kecil dan baby. Tapi kat belakang rumah, banyak saja kucing terbiar mahupun terbela yang suka datang. Banyak kali juga kucing-kucing tu beranak di belakang rumah, tapi tak banyak yang panjang umur sebab mak dia tak reti jaga. Susu pun tak bagi.

Semenjak dua menjak ni, Iwan asyik teringatkan kucing. 3 hari lepas Iwan ke Pet shop, tapi kedai tutup pula sebab hari pekerja. Semalam pergi lagi, alhamdulillah buka pun kedai. Bila dah usap-usap bulu kucing yang ada di kedai tu, semakin kuat perasaan nak bela kucing.

Pemilik kedai tu serahkan sehelai borang untuk permohonan membela kucing. Biasalah, ada prosedurkan. Malam tadi Iwan buka pula laman web Petfinder. Lagi membuak-buak rasa mahu membela kucing.

Ada yang mengatakan kucing ini adalah binatang kesayangan Rasullullah SAW. Namun, Iwan kurang pasti pula sekiranya ada nas-nas berkaitan hal ini. Cuma Rasulullah SAW pernah memberi amaran supaya manusia tidak berlaku kejam terhadap binatang.

Dalam riwayat Al-Bukhari, "Seorang wanita di seksa kerana seekor kucing yang dia kurung sampai mati. Dia masuk Neraka kerananya. Dia tidak memberinya makan dan minum sewaktu mengurungnya. Dia tidak pula membiarkannya makan serangga bumi."

Namun bukanlah bermaksud kita perlu mengasihi kucing sahaja. Semua makhluk Allah kita perlu kasihi dan sayangi mereka.

Setahun yang lalu, Iwan ada tulis cerpen yang bertajuk- “Aku Si Comot,” di blog ini tetapi Iwan keluarkan kerana sebab tertentu. Kali ini Iwan ingin post semula cerpen berkenaan (yang dah baca, bacalah lagi ya). Semoga kita dapat menghayati mesej yang ingin disampaikan.

Tajuk: Aku Si Comot
Penulis: Iwan Reaz / Iwan Ghazali


Aku tidak mengenali siapa ibuku, apatah lagi bapaku. Kisah sewaktu kecilku mungkin sama seperti yang lain, cuma aku tidak mampu untuk mengingatinya. Apa yang aku tahu, aku terpisah daripada ibuku dan aku dibiarkan di tepi jalan tanpa pembelaan. Saban hari aku mengemis meminta simpati manusia, agar hulurkan bantuan, atau setidak-tidaknya secebis makanan untuk diisi ke dalam perutku yang sentiasa merintih kelaparan.

Hujan adalah bumbungku, terik mentari adalah lampuku,kesejukan adalah selimutku, kegelapan adalah hidupku. Hari-hari aku merantau tanpa tahu arah tuju. Itulah nasib anak kucing yang comot lagi kotor seperti aku. Tapi usah memandang hina aku kerana aku juga adalah makhluk ciptaan Allah. Setiap hari aku berdoa dan berzikir kepada-Nya. Langsung tidak putus memuji kebesaran Yang Maha Esa. Tidak pernah ku berputus asa mengharap rahmat daripada-Nya.

Aku pasrah dengan suratan takdir. Setiap jelingan mata manusia yang hinggap kepadaku, dilemparkan dengan penuh kebencian. Jijik! Aku anak kucing yang kotor! Berpenyakit. Namun apalah dayaku yang lemah ini untuk menghadapi semua itu. Mengapa manusia tidak pernah menyayangiku? Sudahlah kasih sayang ibu bapaku lenyap dari dunia ini, kini, kasih sayang manusia juga tidak pernah membelaiku. Aku kontang dengan kasih sayang.

Semalam, aku meminta simpati pada seseorang yang sedang makan di sebuah gerai. Dia adalah seorang dewasa, bertali leher dan berkemeja kemas. Pasti dia seorang yang bekerjaya dan berpendidikan tinggi. Nah! Mungkin dia akan melimpahkan kasih sayangnya terhadap diriku. Bukankah dia berpelajaran? Seketul daging dilemparkan kepadaku. Ini isyarat baik yang pertama. Aku tahu dia akan menyayangiku. Aku makan daging itu selahapnya. Masih lapar. Aku meminta lagi kali kedua.

Pedih, cukup pedih. Bukan setakat sepakan yang aku terima, malah hamburan kata-kata kesat yang dilontarkan kepada aku.

Kucing kotor! Dah bagi sekali tak cukup-cukup! Buat aku hilang selera makan saja! Pergilah kau! Apa pandang-pandang?

Itukah ucapan manusia berpendidikan? Manusia, aku lapar! Jika kau tak mahu memberikan aku makanan, tidak mengapa. Aku akan terus berusaha mencari. Tetapi usah menyakiti aku! Usah menghancurkan hatiku dengan kata-katamu. Aku juga punyai perasaan. Ya Allah, padamu aku sandarkan kesedihanku.

Hari ini aku kelaparan lagi seperti kebiasaannya. Aku bertemu pula dengan remaja muda yang melepak di tepi jalan. Aku tidak meletakkan harapan yang tinggi terhadap mereka. Pakaian, percakapan dan pergaulan mereka pun sudah menunjukkan betapa rendahnya moral mereka. Aku sekadar berjalan melintasi mereka, ingin mencari sisa-sisa makanan di seberang sana.

Aku langsung tidak menggangu mereka, tetapi mereka mengepung aku? Aku takut. Mereka seperti mahu mencederakan aku. Kata-kata kotor bagaikan hujan yang turun dari bibir mereka yang kehitaman. Aku menerima dengan pasrah segala kejian mereka, tapi janganlah sakiti aku. Aku jauh lebih kecil daripada tubuh badan kamu semua. Malah, aku tidak pernah mengganggu kamu. Tolonglah!

Satu persatu kekencangan sepakan mereka menerjah ke setiap anggota badanku. Puas aku merayu pinta dilepaskan, namun mereka bagaikan puas dapat menyakitiku. Air mata yang mengalir tidak mampu menghentikan mereka. Aku hanya mampu bertahan, mana tahu esok masih ada hari untuk aku terus bernafas. Namun, andai ini hari yang terakhir buat aku, aku redha Ya Allah.

Mataku dibuka perlahan-lahan. Syukur, aku masih hidup. Remaja-remaja tadi sudah hilang dari pandangan. Inikah perangai mereka yang sudah dievolusikan daripada corak kehidupan yang mereka banggakan ketika ini? Hedonisme? Oh manusia, benarkah kau adalah makhluk yang hebat? Apakah amanah kau sebagai khalifah di dunia ini kau sudah lupus dari genggaman mu?

Langkahku tetap diteruskan walau terasa begitu lemah, selemah nadiku yang berdenyut.Dan kini seorang kanak-kanak berdiri segak dihadapanku. Apakah nasibku pula sekarang ini? Orang dewasa sudah aku jumpa, remaja juga sudah aku temui. Makin muda umurnya, semakin galak perangainya. Mungkinkah aku akan dibunuh pula dengan anak kecil ini? Aku dapat melihat, tangannya diangkat tinggi-tinggi, dan semakin hampir ke tubuh ku. Ya Allah, sesungguhnya kau bersama aku. Lindungilah aku yang lemah ini Ya Allah.

Hai Si Comot, awak kelihatan cedera. Mari saya tolong awak.

Aku terkejut dengan kata-kata itu.

Mak, kucing ni sakit. Kita kena bawa dia jumpa doktor segera!

Betul tu. Cepat, kita bawa ke klinik!

Dia tidak kisah mendakap aku setiap detik ketika aku dibawa ke klinik. Dia tidak kisah darahku tumpah ke bajunya yang cantik itu. Dia tidak kisah debu-debu dan tanah kotor ini hinggap ke tubuhnya yang bersih. Dan dia adalah seorang anak kecil! Rupa-rupanya dia lebih berakal daripada orang dewasa. Dia lebih mempunyai kasih-sayang terhadap mahkluk lemah seperti aku. Semoga sifat dan keperibadiaannya akan terus kekal seiring penambahan umurnya. Aku tidak sanggup melihat dia membesar menjadi orang yang berpendidikan tetapi tandus rasa cinta dan kasih sayang. Aku juga tidak sanggup melihat dia membesar, menjadi orang tidak berilmu, tidak berperikemanusiaan dan rosak akhlak dan akidahnya.

Masya-Allah, uniknya makhluk ciptaan Allah ini.

*Sewaktu tempoh kesuburan, seekor kucing betina boleh melahirkan lebih daripada 100 ekor anak kucing.

*Kucing yang berumur 3 tahun adalah bersamaan dengan manusia yang berusia 21 tahun. Jika umur seekor kucing itu adalah 8 tahun, ianya adalah bersamaan dengan manusia yang berumur 40 tahun. Manakala kucing yang berumur 14 tahun, adalah bersamaan manusia yang berusia 70 tahun

*Kucing hanya memerlukan 1/6 daripada cahaya yang diperlukan oleh manusia untuk melihat. Penglihatan kucing di kala waktu malam adalah sangat baik.

Sekian, wassalam.

~semoga niat kita ikhlas.

Wednesday, August 31, 2011

Raya ... Raya ... Raya ...!

Assalamualaikum WBT.



Pertama-tamanya mari kita semua mengucapkan lafaz "Alhamdulillah" kerana telah melalui bulan Ramadhan pada tahun ini dan kemenangannya disambut dengan tibanya bulan Syawal. Sama-sama kita berdoa agar kita dapat bertemu dengan bulan Ramadhan lagi pada tahun hadapan, insya-Allah.

Pada tahun ini, sekali lagi Iwan merayakan sambutan Aidilfitri di bumi Amerika. Beberapa hari sebelum tamatnya Ramadhan, Iwan telah berlepas ke Amerika dengan pelbagai emosi yang melanda. Sedih juga hendak melepaskan dakapan ibu yang sayu melihat anaknya mahu terbang merentasi benua, namun Iwan telah berkata pada ibu bahawa Iwan telah tunaikan janji Iwan pada tahun ini. Cuti yang berlalu hampir 2 bulan itu telah diisi dengan banyak meluangkan masa bersama keluarga. Fokus pada kerjaya seni, biarlah setelah tamat pengajian nanti.

Begitu banyak ujian yang dilalui semasa penerbangan ke Amerika. Bayangkan, semasa hendak check-in di KLIA, nama Iwan tak ada dalam sistem. Penerbangan yang sepatutnya ke Istanbul bersama kawan-kawan, diganti dengan perjalanan ke Amsterdam tanpa teman. Dugaan.

Syukur, Iwan tiba juga di Philly dengan selamat (satu beg lambat sampai, masih di Amsterdam). Menurut kawan-kawan, dua hari sebelum itu ada gempa bumi dengan 5.3 skala Richter. Beberapa hari selepas itu pula, ribut Irene pula melanda bahagian timur Amerika, termasuk Philly. Khabarnya, 21 orang terkorban dalam ribut tersebut di 8 buah negeri.

Syukur, walaupun banyak dugaan melanda, Aidilfitri tetap dirayakan dengan meriahnya. Hari ini sudah hari ke-2 syawal. Malam raya, pelajar Malaysia di Temple berkumpul di rumah Iwan. Kami menikmati juadah raya (Iwan masak rendang ayam), bertakbir dan saling bermaafan. Semalam pula, Iwan beraya di Washington DC dan ada menyertai tele-conference bersama PM kita, Datuk Seri Najib.

Dikesempatan ini, Iwan ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua ahli keluarga, kawan-kawan, para pembaca dan yang mengenali diri ini. Jutaan kemaafan Iwan hulurkan atas semua salah dan silap selama ini.

Kepada rakan-rakan yang berada di perantauan, mungkin kita terlepas menyaksikan iklan-iklan raya di TV. Jadi, Iwan senaraikan semua iklan-iklan yang ada (termasuk yang online), untuk kita sama-sama 'feel' raya kali ini. Sekian.

IKLAN RAYA PETRONAS

IKLAN RAYA TM

IKLAN RAYA CST PRODUCTION

IKLAN RAYA PNB

IKLAN RAYA PROTON

IKLAN RAYA KFC


-aksi di dapur. credit to Syazwan Miswan

~semoga niat kita ikhlas.

Wednesday, August 17, 2011

Ciri-Ciri Akhlak Terpuji

Assalamualaikum wbt.



Selamat menunaikan ibadah puasa. Tidak lama lagi insya-Allah, jika dipanjangkan usia, jika masih dikurniakan nikmat nyawa daripada-Nya, jika masih dihadiahkan nikmat iman dan Islam daripada Yang Maha Esa, kita akan memasuki fasa terakhir bulan Ramadhan, iaitu Itqu Minannar (Pembebasan daripada api neraka).

Lebih dua minggu kita berada dalam bulan puasa ini, kita ibarat memasuki kursus pemulihan diri, pembersihan diri dan juga penyediaan diri untuk menghadapi 11 bulan yang akan datang sebelum tibanya Ramadhan kembali. Maka, kita renung-renunglah kembali, bersama muhasabah diri, apakah kursus yang kita lalui ini, berjaya dilaksanakan dengan cemerlang? Atau ia hanyalah kursus yang memenatkan? Kerana Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya:

"Ada antara umatku yang berpuasa, tetapi tidak mendapat apa-apa, melainkan lapar dan dahaga."

Kita dapat lihat, di siang hari, umat manusia bersungguh-sungguh berpuasa dan menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkannya. Di waktu malam pula mereka berpusu-pusu menunaikan ibadah dengan bertadarus, bertarawikh, bertahajud dan sebagainya. Tetapi, ingin Iwan kupas sesuatu untuk tinta kali ini. Apakah keimanan itu dinilai dengan ibadah semata-mata?

Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya:

Bukanlah iman itu hanya dengan cita – cita tetapi iman itu ialah keyakinan yang tertanam didalam hati dan dibuktikan dengan amalan.

Selain berterusan melaksanakan ibadaha kepada-Nya, adalah wajib bagi kita agar memperbaiki akhlak dan tingkah-laku kita.

"Ketahuilah! Bahawa di dalam badan ada seketul daging, apabila ia baik, baiklah badan seluruhnya dan apabila ia rosak, rosakkalah sekeliannya. Ketahuilah! Itulah yang dikatakan hati."
(Diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)

Hati yang bersih melahirkan insan yang berperibadi dan berakhlak mulia. Lantas, segala tingkah lakunya amat disenangi oleh segenap masyarakat. Ia ibarat anak benih. Benih yang baik akan menghasilkan pokok yang cantik. Tetapi sebaliknya, benih yang rosak akan menghasilkan pokok yang buruk.

Seseorang dai'e itulah perlu berakhlak mulia, agar nasihat yang dihulurkan akan disambut dengan penuh hormat oleh orang yang ditegur. Peribadi yang baik, menjadi tauladan kepada semua.

Apakah ciri-ciri manusia yang berakhlak mulia?

1- Menjaga percakapan dan lidahnya.

Kata itu ibarat lembing, pisau, pedang, dan semua alatan tajam, yang mampu menghancurkan hati orang yang dikeji, dikutuk, dihina, diumpat dan dicaci. Hatta dalam mengajak manusia ke arah kebaikan sekalipun, hati seseorang itu harus dijaga. Memberi nasihat dan menyakiti hatinya, adalah 2 perkara yang sangat berbeza. Akan tetapi 2 perkara ini sering dicampur adukkan menjadi satu sebatian yang tidak lagi enak untuk didengar, apatah lagi dirasa.

Bagi golongan remaja dan belia, kata-kata kesat itu umpama manisan bibir. Borak-borak kosong itu pula umpama rutin seharian. Ingat! Rasululluah ada bersabda yang maksudnya:

Sesiapa yang banyak bercakap, maka banyaklah kesalahannya, sesiapa yang banyak kesalahannya, maka banyaklah dosanya, dan sesiapa yang banyak dosanya, api nerakalah paling layak untuk dirinya.

2- Menjadikan malu sebagai perisai diri.

Iman itu mempunyai tujuh puluh cabang atau enam puluh cabang, maka yang paling utama ialah ucapan Lailaha Illallah (Tidak ada Tuhan yang sebenar melainkan Allah) dan yang paling rendah ialah menyingkirkan duri dari jalan. Dan sifat malu ialah satu cabang dari Iman.

Sifat malu ini mampu untuk menjaga dan membela maruah diri daripada terus dicerobohi. Malu untuk berdua-duaan dengan yang bukan muhrim. Malu untuk meninggi diri. Malu untuk melakukakan kemungkaran. Dan lain-lain lagi...

Tetapi malu itu biarlah bertempat. Kerana jangan biarkan malu itu daripada menghalang kita menyampaikan kebenaran.

3- Mampu menahan sabar.

Jalan dakwah ini bukan satu jalan yang mudah. Hatta Rasulullah SAW sendiri diuji dengan sangat dasyat. Namun, Baginda tetap bersabar dalam menyampaikan kebenaran kepada umatnya. Lantas, kita harus mencontohi sifat mulia Baginda yang penyabar ini.

Tentunya Allah turut mahu menguji kita dengan pelbagai ujian. Maka, bersabarlah, kerana Allah mahu melihat sejauh mana kita akan terus istiqamah dalam melaksanakan perintah-Nya dan setinggi mana keimanan kita. Sesungguhnya, ujian yang diberikan itu tanda kasih sayang daripada Allah. Maka, bersabarlah.

Orang yang tidak mudah panas baran, adalah lebih mudah didekati, lebih mudah untuk dibawa berbincang, lebih mudah untuk dijadikan teman dan sahabat baik.

Dan hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada, apakah kamu tidak ingin Allah mengampunimu?”.
(An-Nur, 24 : 22)

Banyak lagi sifat-sfat orang yang berakhlak terpuji ini. Insya-Allah, jika diberi masa dan izin daripada-Nya, Iwan akan menyambung lagi di masa akan datang.

~semoga niat kita ikhlas.

Monday, August 15, 2011

Jom Undi Carta NC


Assalamualaikum wbt.



Alhamdulillah, lagu Itulah Impianku telah dicalonkan dalam Carta Nasyeed.com (NC) beberapa minggu yang lalu. Ada beberapa kategori yang dipertandingkan seperti Selawat, Perjuangan, Kempen, Cinta dan Munajat. Lagu Itulah Impianku berada di bawah kategori Kempen.

Jadi tunggu apa lagi? Jom undi Carta NC dan jangan lupa untuk mengundi lagu Itulah Impianku setiap minggu.

Klik Di SINI UNTUK MENGUNDI

Terima kasih!

~semoga niat kita ikhlas.