Iwan Ghazali (Iwan Reaz)

Aku pencinta impian, menulis bukan menagih kekayaan, sekadar mendamba secebis keredhaan.

Iwan Ghazali (Iwan Reaz)

Aku pencinta impian, menulis bukan menagih kekayaan, sekadar mendamba secebis keredhaan.

Brr... Sejuknya Salji!

Novel Terkini
[ Pandangan Pembaca Novel ]

Iwan Reaz - Sedingin Salju

Iwan Reaz - Itulah Impianku

Followers

Tuesday, March 27, 2012

Mua'z Bin Jabal

Assalamualaikum wbt.


Komik di atas sekadar muqaddimah, betapa orang sekarang hanya memandang haram dan halal pada material atau sesuatu yang berbentuk fizikal sahaja. Manakala perbuatan seperti pergaulan bebas, berpegangan tangan dan berpakaian tidak menutup aurat dipandang remeh saja. Walhal hukumnya haram.

Bercerita mengenai halal dan haram, saya dengan rendah hati ingin berkongsi kisah mengenai seorang sahabat Rasulullah yang diriwayatkan sebagai sahabat yang paling alim dan mengerti antara yang halal dan yang haram.

Anda boleh teka siapakah beliau yang dimaksudkan? (Tentu ramai yang boleh jawab kerana jawapannya sama dengan tajuk post kali ini. :D )

Rasulullah SAW bersabda: " Umatku yang paling alim tentang halal dan haram ialah Mua'z bin Jabal."
(Hadis riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)

Siapa Mua'z Bin Jabal?

*Beliau dilahirkan di Madinah dan merupakan salah seorang sahabat Nabi yang awal memasuki Islam (sebelum peristiwa Hijrah) melalui Mus'ab bin Umair.

*Mempunyai kepintaran dan kebijaksanaan yang tinggi, rupa paras yang kacak (mata hitam dan berambut kerinting), berhemah tinggi, tutur kata yang indah.

*Dapat memahami Al-Quran dan syariat-syariat Islam dengan baik sehingga beliau dikenali sebagi seorang yang paling alim dalam kalangan sahabat mengenai Al-Quran. Juga memiliki pengetahuan yang mendalam dalam ilmu fiqh. Atas kebijaksanaannya, Rasulullah meminta Mua'z untuk tinggal di Mekah dan mengajarkan ilmu Al-Quran dan memberi kefaham mengenai agama Allah kepada penduduk Mekah.

*Saat raja-raja Yaman datang bertemu baginda Rasulullah SAW, mengisytiharkan keislaman mereka dan meminta supaya dihantarkan tenaga pengajar, Rasulullah telah menyerahkan tugas duta besar Islam kepada Mua'z bin Jabal sebagai ketua rombongan bersama beberapa orang sahabat yang lain.

*Mua'z r.a tidak sempat untuk bertemu dengan Baginda sebelum kewafatan Baginda. Sekembalinya Mua'z ke Madinah, Rasulullah SAW sudah pun wafat. Beliau tidak dapat menahan kesedihan dan sering kali pengsan mengenangkan pemergian Baginda.

*Mua'z r.a berada di Palestin pada penghujung hayatnya. Ketika itu, wabak taun sedang merebak dan jangkitan tersebut turut mengenai Mua'z. Di saat hampir dicabut nyawanya, Mua'z r.a berkata:

"Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau mengetahui bahawa aku tidak menyukai dunia apatah lagi untuk berada kekal di dalamnya selama-lamanya menanam pokok dan mengairi sungai, tetapi segala-galanya itu hanyalah sekadar untuk menghilangkan kehausan di kawasan-kawasan yang kekeringan serta mengharungi saat-saat kesusahan dan mendekati ulama-ulama dengan menunggang ke majlis-majlis zikir. Oleh yang demikian terimalah diriku ini wahai Tuhanku dengan kebaikan sebagaimana Engkau menerima diri seseorang yang beriman."



p/s- Mungkin selepas ini saya akan cuba perbanyakkan perkongsian mengenai kisah Sahabat Nabi. Tidaklah kerana saya pakar, tetapi kerana kekurangan saya dalam mendalami sejarahlah yang membawa saya ke arah ini. Bukan setakat sejarah Nabi, sejarah Malaysia pun saya rasakan goyah. Dulu masa zaman sekolah, sangat struggle untuk subjek berkenaan. Apatah lagi sejarah Amerika. (Dapat gred agak rendah masa zaman kolej. =_=)

Mungkin dengan pendekatan sebegini, saya dapat menyampaikan ilmu dan pada masa yang sama, saya sendiri akan lebih mendalami ilmu, insya-Allah.

~semoga niat kita ikhlas.




Saturday, March 17, 2012

Menangguk Ilmu dan Pengalaman

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah, pada hari Ahad yang lalu, manuskrip novel Replika Cinta sudah siap sepenuhnya. Sekarang, proposalnya sedang disemak oleh syarikat GISB Sdn. Bhd.

Saat siap sahaja penulisan novel berkenaan, dada saya terasa begitu lapang dan gembira. Perasaannya sangat berbeza dengan novel-novel sebelumnya. Saya dapat merasakan kami begitu rapat. Respons daripada orang ramai yang turut gembira kerana manuskrip ini siap, amat mengharukan saya. Selayaknya pujian itu disandarkan pada Yang Maha Esa atas izin-Nya.

Dalam minggu ini juga, saya dapat khabar ada artikel saya dimuatkan dalam Majalah Gen-Q (Generasi Quran), edisi March. Ceritanya mengenai kehidupan saya di Philadephia. Boleh dapatkan majalah ini untuk mengetahui kisah selanjutnya dan beberapa lagi perkongsian ilmu yang menarik.


Berkenaan novel Brr... Sejuknya Salji yang masih hangat di pasaran, nampaknya novel ini mendapat sambutan yang sungguh memberangsangkan. Ramai yang sudah membuat tempahan, ramai yang sudah membeli dan membacanya. Sedikit gambar untuk dikongsi bersama. (terima kasih kepada orang di Malaysia yang mengirim gambar-gambar ini):

Di dalam kedai buku MPH.



Gambar yang terakhir itu adalah di Philadelphia. Novel dikirimkan oleh ahli keluarga. Terima kasih!

Fakta: Novel Brr Sejuknya Salji banyak menggunakan nama rakan-rakan. Ada Adam, Fatimah, Nazrul, Abyan, Naveen, dan tidak lupa watak utamanya, Syazwan.

Anda sudah dapatkannya?

~semoga niat kita ikhlas.

Saturday, March 10, 2012

SPRING BREAK 2012

Assalamualaikum wbt.

Cuti sempena Spring Break sudah hampir tamat. Nampaknya cuti saya kali ini  penuhi dengan aktiviti luar dan dalam rumah.

Aktiviti dalam rumah, menyiapkan manuskrip novel Replika Cinta. Setakat ini tinggal 2 bab terakhir sahaja untuk diselesaikan. Saya juga sudah jatuh cinta dengan novel Replika Cinta ini =)

Selain itu, turut membaca dan menyemak manuskrip novel yang ditulis oleh seorang kawan yang bekerja di GISB. Tajuk karyanya, Tragedi Musafir, sebuah novel bergenre thriller. Semoga karyanya akan berjaya diterbitkan suatu hari nanti.

Aktiviti di luar rumah, berjalan ke tempat orang. Untuk meringkaskan cerita, tengoklah gambar-gambar ini. Untuk album gambar penuh, boleh tengok di Facebook.











Ada insan yang hairan, "aik, bercuti lagi?" Bila saya fikir-fikirkan semula, ya, tahun akhir saya di sini memang banyak berjalan juga. Tetapi tidaklah begitu jauh melainkan ke Las Vegas 2 bulan yang sudah. Dalam hati, saya bersyukur kerana diberi peluang yang sebegini. Dapat mentadabbur alam, menimba ilmu, mengenal masyarakat. Semoga semuanya mendekatkan diri ini kepada Allah SWT.

Setiap orang, ada rezekinya insya-Allah.

p/s- Novel Brrr ... Sejuknya Salji kini sudah berada di pasaran! Dapatkannya segera.

~semoga niat kita ikhlas.

Sunday, February 26, 2012

MENYIRAT CINTA HAQIQI

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah, perkembangan penulisan semakin baik tahun ini. Semoga segalanya dirahmati Allah Taala.

Jumaat yang indah berlalu baru-baru ini, telah terbit sebuah buku yang diselenggarakan oleh Dato Dr Ahmad Khamal Abdullah (Kemala) yang bertajuk Menyirat Cinta Haqiqi. Telah dilancarkan pada hujung minggunya di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak.


Menariknya, buku ini mengumpulkan puisi-puisi yang ditulis oleh Dato Kemala sendiri dan juga 98 penyair Numera. Dimulakan dengan puisi Naratif Yongkamil (46 puisi) oleh Dato Kemala dan diikuti dengan puisi Numera (142 puisi).

Dua daripada puisi berkenaan ditulis oleh saya, Iwan Ghazali - Amarah dan Ilusi Philly.

Puisi Amarah diinspirasikan daripada amarah saya sendiri, yang terpendam dan menggelegak dalam diri, semasa menyertai satu program kelana ke barat Amerika. Sebelum ia meletus, lebih baik saya ekspresikan kemarahan saya itu melalui jalan yang tidak menyakiti orang lain, baik fizikal mahupun hatinya. Jadi, saya salurkan ke dalam bentuk penulisan.

Ilusi Philly pula, saya tulis sebagai tanda penghargaan buat Kota Philly yang saya diami sekarang ini. Tinggal beberapa bulan sahaja lagi sebelum saya meninggalkannya. Banyak suka dan duka yang ditempuh di kota penuh cabaran dan ilusi ini. Hakikat diskriminasi masih tunjang dalam puisi berkenaan.

Buku Menyirat Cinta Haqiqi ini juga bertujuan untuk mengumpulkan dana Numera bagi dihadiahkan kepada pengkarya yang terlantar sakit dan dhaif. Buku yang dijual pada harga RM50 sebuah, (RM40 bagi pelajar), boleh didapati di kedai buku koperasi Dewan Bahasa dan Pustaka, atau daripada Dato Kemala sendiri di alamat:

Rumah- 321, Jalan Sepakat 8, Taman United, 58200 Kuala Lumpur.
Pejabat - Fakulti Bahasa Moden & Komunikasi, UPM, tingkat 2, bilik 226.

Tahniah Dato Kemala dan semua penyair. Semoga usaha ini mendapat sambutan yang baik dan dirahmati Allah Taala, insya-Allah.

~semoga niat kita ikhlas.

Monday, February 20, 2012

MENGAPA SUAMI PERLU EGO?


Assalamualaikum WBT.

Mengapa tajuk ini yang saya ketengahkan pula kali ini ya? Adakah mungkin kerana sekarang saya sedang rancak menulis Novel terbaru yang bertajuk Replika Cinta? Ada kemungkinan.

Menjadi kelaziman dalam masyarakat kita, yang selalu memasak di dapur adalah golongan isteri. Bukan tiada, tetap ada, tetapi jarang dan sukar untuk melihat para suami yang menyediakan makanan untuk keluarga.

"Suami yang kena masak? Itu Queen control namanya!"

Oh, jangan terlalu cepat menuduh sebegitu. Siapa yang memberi label sedemikian rupa? Adakah seorang suami yang mahu menunjukkan kasih sayang terhadap isterinya dianggap takutkan isteri? Adakah salah seorang lelaki mahu meringankan beban seorang wanita yang dinikahinya?

"Memasak? Basuh baju? Kemas rumah? Ah.. itu semua kerja orang perempuan.  Jatuhlah standard lelaki buat kerja rumah."

Benar, adalah satu tanggungjawab buat para isteri untuk melakukan tugasan rumah. Tetapi tiada salahnya untuk para suami membantu isteri mereka. Mengapa perlu ada ego yang membataskan hubungan cinta ini? Ego yang meretakkan jalinan kasih sayang.

Bagaimana pula dengan akhlak Rasulullah? Sebagai seorang ketua rumah tangga, Baginda menunjukkan contoh yang terbaik dalam mempamerkan sikap kasih sayang dan menghormati isteri-isteri Baginda. Setelah pulang dari pelbagai urusan, Baginda akan membantu isterinya memasak dan membuat kerja-kerja rumah. Kepulangan Baginda ke rumah bukan sekadar untuk bermesra atau berehat semata-mata , tetapi Baginda turut membantu isteri menguruskan rumah tangga.

Aisyah r.ha pernah memberitahu seorang lelaki yang bernama Aswad dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari: “Rasulullah SAW sentiasa membantu ahli keluarganya melakukan kerja rumah. Dan apabila tiba masuk waktu solat, Baginda keluar untuk solat.”

Dengan meringankan beban isteri, sebenarnya ia akan meningkatkan lagi perasaan sayang seorang isteri terhadap suaminya. Pada masa yang sama juga, para suami akan lebih menghormati pasangannya. Jadi, persefahaman akan subur dalam setiap hari yang ditempuh dalam alam berumah tangga.

Jadi, kita mahu mencontohi sikap Rasulullah, atau tunduk pada label masyarakat yang pessimis?

Tetapi tidak dinafikan, situasi lelaki enggan ke dapur berlaku kerana lelaki biasanya tidak tahu memasak! Jadi kepada semua pria di dunia ini, tidak kiralah bakal mendirikan rumah tangga, sudah berumah tangga, atau masih belum berniat mahu berkahwin sekalipun, sama-samalah kita belajar memasak.

Jangan amalkan sikap – “rumah bujang, biasalah bersepah.” Ini adalah ideologi sampah. Ideologi ini menyebabkan seorang lelaki bujang terbiasa dengan sikap pemalas dan pengotor. Seorang ustazah yang menguruskan bahagian perceraian di makhamah syariah pernah berkongsi cerita berkenaan satu pasangan yang mana si isteri meminta agar diceraikan. Puncanya? Suaminya suka benar menanggalkan kain pelikatnya lalu membiarkan sahaja kain itu bergulung seperti sarang ular!

Lucu, tapi benar.

Maka, jadikanlah Rasulullah sebagai ikutan.

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula banyak menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (Al-Ahzab 33:21)

p/s 1- Doakan penulisan Novel Replika Cinta berjalan lancar. Sekarang sudah Bab 23. Ada lagi 10 Bab untuk ditamatkan. Sasar mahu siapkan by the end of the Spring Break (Minggu pertama bulan March) Insya-Allah.

p/s 2- Saya pandai memasak! :p

~semoga niat kita ikhlas

Tuesday, February 7, 2012

Keberkatan Berpagi-Pagi

Assalamualaikum wbt.

Pagi ini saya termenung sebentar di birai katil seusai menyempurnakan tanggungjawab sebagai seorang Muslim dan juga amalan yang lain. Saya terkenangkan kehidupan di asrama dahulu. Sejak tingkatan 1 lagi saya sudah tinggal di asrama. Sejujurnya, saya tidak gemar menjalani kehidupan yang mempunyai peraturan yang ketat. Jadual sudah diatur dan tiada jalan keluar melainkan patuh semata-mata.

Sekarang, saya boleh berdiri atas disiplin sendiri. Tiada peraturan pun yang menetapkan saya perlu itu di sekian masa dan saya perlu ini di sekian masa. Saya boleh patuh dengan pengurusan masa sendiri. Saya juga fleksibel. Jika ada hari-hari yang saya tidak mengikut rutin, saya boleh bertoleransi. Tidak sama dengan di asrama yang mana sesiapa yang melanggar peraturan bakal dihukum atau didenda.

Tetapi setelah saya fikir-fikirkan semula, peraturan yang ketat semasa di asrama dululah yang 'menghasilkan' saya yang seperti hari ini. Jika tidak kerana itu, mungkin kehidupan saya berserabut. Masa entah ke mana. Baru saya sedar betapa kehidupan di asrama dahulu mengajar saya bagaimana mahu berdikari dan berdisiplin.

Bila dikenang-kenang kembali semasa saya di asrama, saya boleh bangun awal sebelum subuh, mandi seorang diri dalam keadaan yang sunyi, berjalan dalam kegelapan menuju ke surau, hajat di hati mahu menjadi orang pertama yang tiba di surau, yang membuka suis lampu, dan kalau boleh menjadi muazzin.

Dunia ibarat roda, terkadang di atas, terkadang di bawah.

Saya pernah berbual dengan rakan-rakan. Mereka meluahkan kekesalan mereka yang sukar untuk berjaga selepas solat Subuh. Dalam hati saya, saya terfikir, susah sangatkah mahu berpagi-pagi? Ternyata kata-kata itu memakan diri saya sendiri. Selepas SPM, mata saya terlalu berat untuk dibuka setelah menunaikan solat Subuh. Lama juga saya terbiasa dengan rutin tidur kembali selepas subuh.

Sukar untuk kembali dengan kehidupan seperti dahulu. Namun alhamdulillah, dengan kefahaman ilmu dan amalannya, kita mampu untuk berubah. Ya, mungkin zaman remaja adalah satu tempoh yang sangat mencabar. Tetapi apabila sudah memasuki alam dewasa, fikiran kita lebih matang dan tahu dengan kesan setiap tindakan kita.

Jadi di kesempatan ini, ingin saya berkongsi sedikit ilmu. Mungkin sebahagiannya saya sudah nyatakan di laman facebook, jadi saya akan menambah sebahagiannya lagi untuk tatapan semua.


Antara keburukan tidur selepas subuh:

 1- Tidak sesuai dengan petunjuk al-Quran dan as-Sunnah.
 2- Bukan termasuk akhlak para salafush soleh.
 3- Tidak mendapat barakah di dalam waktu dan amalannya.
 4- Menyebabkan malas dan tidak bersemangat pada hari itu.
 5- Menghalang datangnya rezeki.
 6-Menyebabkan berbagai penyakit.

 Rasulullah tidak tidur selepas menunaikan solat Subuh kerana Allah memberkati umat ini yang berpagi-pagi, seperti satu hadith yang berbunyi, “Ya Allah, bekatilah umatku yang berpagi-pagi.”

Baginda berdoa kepada Allah supaya memberkati umatnya yang berpagi-pagi, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ashab as-Sunan yang empat dan Ibn Hibban dalam Sahihnya. Nabi melewati anak Fatimah r.ha yang sedang berbaring pada waktu subuh. Maka Baginda bersabda,

"Wahai anakku, bangunlah dan hadaplah rezeki Tuhanmu, dan janganlah engkau jadi dari kalangan orang yang lalai, sesungguhnya Allah membahagikan rezeki manusia di antara terbit fajar hingga terbit matahari" (Diriwayatkan al-Baihaqi)

Rasulullah telah mendoakan yang baik buat golongan yang berpagi-pagi ini. Jadi, terpulang pada kita apakah kita mahu termasuk dalam golongan yang dimaksudkan Rasulullah itu.

Allah telah jadikan siang untuk bekerja dan malam untuk berehat (melainkan mereka yang perlu bertugas di waktu malam demi menyara keluarga). Jadi, mengapa kita menentang fitrah ini pula? Lebih menyedihkan, waktu malam banyak digunakan untuk menonton filem, bermain games dan macam-macam lagi hiburan. Siangnya pula terlajak tidur sehingga terlepas waktu solat.

Renungkanlah teman-teman semua. Semoga kita tidak mensia-siakan kehidupan yang sementara ini.



~semoga niat kita ikhlas.