Iwan Ghazali (Iwan Reaz)

Aku pencinta impian, menulis bukan menagih kekayaan, sekadar mendamba secebis keredhaan.

Iwan Ghazali (Iwan Reaz)

Aku pencinta impian, menulis bukan menagih kekayaan, sekadar mendamba secebis keredhaan.

Brr... Sejuknya Salji!

Novel Terkini
[ Pandangan Pembaca Novel ]

Iwan Reaz - Sedingin Salju

Iwan Reaz - Itulah Impianku

Followers

Tuesday, April 10, 2012

JAMBATAN KASIH


JAMBATAN KASIH
IWAN GHAZALI


Tubuhku berasa amat penat. Semalam sudah seharian aku membawa rakan-rakanku bersiar-siar di pantai yang terletak di Ocean City. Pagi ini pula, aku terus keluar dari rumah sebaik sahaja selesai bersarapan. Kereta yang disewa untuk digunakan dalam percutian semalam, perlu dipulangkan segera sebelum pukul 8 pagi nanti.

Syukur, segala urusan pemulangan kereta berjalan dengan lancar. Aku tidak membuang masa. Kaki terus diatur menuju ke stesen kereta api subway untuk pulang ke rumah. Oleh kerana semalam aku menghabiskan masa dengan bergembira, hari ini aku perlu peruntukkan masa yang lebih untuk mengulangkaji pelajaran. Aku sedar, aku tidaklah sepintar rakan-rakanku yang lain. Maka, waktu belajarku perlulah lebih banyak supaya aku dapat berdiri sama tinggi dengan mereka.

Suasana di stesen subway agak sibuk. Namun kami tidak perlu berebut-rebut sewaktu tren subway tiba kerana orang-orang di sini cukup berdisiplin. Aku tidak larat untuk berdiri sepanjang perjalanan nanti. Mataku melingas mencari tempat duduk yang kosong. Ada!

Aku melabuhkan punggung di sebelah seorang kanak-kanak berbangsa Arab barangkali. Usianya pula mungkin 9 atau 10 tahun. Dia membalas senyuman yang aku hulurkan. Namun tiada dialog antara kami berdua sehinggalah tren subway berhenti di stesen City Hall. Tren yang tadinya dipenuhi dengan ramai orang, bertukar sepi. Nampaknya ramai penumpang turun di stesen ini.

Sebaik sahaja tren subway mula bergerak, aku terasa bahuku dicuit seseorang. Aku menoleh ke kanan. Kanak-kanak tadi sedang memandang tepat ke arahku.

 “How are you my brother?

Brother?” Biasanya masyarakat di sini tidak memanggil orang lain dengan gelaran seperti itu. Tidak kiralah yang muda mahupun yang tua. Berbeza denga negara Malaysia, yang muda akan memanggil individu yang lebih tua dengan gelaran abang, saudara ataupun encik. Jika insan yang disapa itu perempuan pula, gelaran kakak, saudari ataupun cik akan digunakan.

I know, you’re Muslim right?” ujar kanak-kanak itu.
Yes, I am Muslim. How do you know?” tanyaku.
I can tell,” selorohnya sambil tersenyum.
Aku tergelak kecil sebelum menjawab pertanyaannya yang masih belum dijawab tadi. “I am fine. How are you doing?” soalku pula.
Alhamdulillah, pretty good,” balasnya.

“Adik menaiki kereta api ini bersendirian saja?” soalku. Pada mulanya aku sangkakan dia bersama dengan ahli keluarga yang lain. Tetapi melihatkan suasana dalam tren yang semakin kurang dengan bilangan orang, menimbulkan tanda tanya di benakku.

“Ya, mengapa?” ujar Yusuf.
“Kamu masih kecil, tetapi sudah pandai berdikari dan berani untuk berjalan seorang diri. Mak dan ayah adik tak kisah kah?” Naluri prihatin seolah merebak ke seluruh urat nadiku. Jika dia ini adalah adik kandungku, tentu aku tidak akan membenarkan dia keluar seorang diri sebegitu.
“Tidak. Malah, merekalah yang menyuruh saya keluar seorang diri,” akui kanak-kanak itu.
Aku hairan.

“Sebelum abang tanya lebih lanjut, boleh abang tahu siapa nama adik?” Aku mula teringat akan salah satu perkara daripada 10 perkara yang boleh menjadikan seseorang Muslim itu menjadi zalim, yakni apabila tidak melaksanakan hak sebagai seorang Muslim. Perkara yang aku maksudkan adalah apabila dua orang bertemu di perjalanan tetapi masing-masing tidak bertanyakan nama saudaranya itu.
“Nama saya Yusuf,” jawab Yusuf dengan mesra. “Abang pula?” Pantas dia menyoal namaku.
“Panggil saja saya Iwan,” ujarku.
Yusuf mengangguk.

Tren sudah berhenti di beberapa buah stesen. Namun perjalanan Yusuf nampaknya seperti masih panjang. Aku lantas bertanya. “Kamu hendak pergi ke mana ni Yusuf?”
“Saya hendak pergi ke rumah atuk dan nenek saya. Mereka tinggal di Wyoming. Hampir setiap hari Ahad saya akan pergi ke sana untuk melawat mereka. Lebih-lebih lagi nenek saya sekarang sedang sakit,” jelas Yusuf.
“Wyoming? Jauhnya. Rajin betul kamu pergi ke sana pada setiap hujung minggu. Seorang diri pula tu,” pujiku.
“Itu adalah tanggungjawab saya. Lagipun, mak dan ayah saya yang menyuruh saya untuk ke sana. Sebagai seorang anak, saya mestilah patuh dengan arahan mereka,” tegas Yusuf.

Aku berasa serba salah hendak bertanya. Tapi aku cuba untuk bertanya dengan sopan dan sebaik mungkin.
“Maaf jika abang hendak bertanya. Mengapa mak dan ayah Yusuf membuat permintaan yang sedemikian? Kenapa tidak kamu sekeluarga yang pergi melawat mereka? Atau jika tidak pun, bawalah mereka tinggal bersama,” cadangku.

Aku berasa sangat risau sekiranya soalan aku ini bersifat peribadi. Aku tidak mahu emosi Yusuf terganggu. Namun sebaliknya, Yusuf menguntumkan senyuman.

“Mereka sangat menyayangi atuk dan nenek saya. Cuma, mak dan ayah tidak diterima oleh keluarga. Sebab itu mereka terpaksa tinggal jauh dan tidak dapat membawa atuk dan nenek tinggal bersama,” jawab Yusuf dengan tabah.

Aku sudah nampak konflik yang berlaku. Cuma ianya tidak begitu jelas. Hendak bertanya lebih lanjut, bimbang dikatakan penyibuk pula.

“Abang hendak tahu mengapa atuk dan nenek tidak menerima mak dan ayah saya?” Tidak semena-mena Yusuf bertanya soalan tersebut, seolah-olah memberi ruang untuk meleraikan tanda tanya di fikiranku.
Aku mengangguk. “Jika kamu tidak kisah, ceritakanlah.”

Yusuf membisu seketika apabila ada beberapa orang penumpang yang berjalan menghampiri tempat duduk kami. Setelah penumpang berkenaan mengambil tempat yang agak jauh, barulah dia bersuara semula.

“Sebelum berkahwin, mak dan ayah saya belajar di universiti yang sama, Drexel University. Mereka mengambil jurusan World Religion. Semasa tempoh pengajian, mereka begitu tertarik dengan syariat dan undang-undang Islam sehingga mereka mengambil keputusan untuk memeluk agama Islam. Namun, keputusan tersebut ditentang sekeras-kerasnya oleh keluarga mereka.”

Sekali-sekala aku mengangguk mendengar kisah hidup ibu bapa Yusuf itu. Selalunya aku lihat kisah sebegitu dalam drama atau membacanya dalam artikel sahaja. Akan tetapi kali ini ianya diceritakan secara lisan oleh seseorang yang pernah mengalaminya.

“Pun begitu, mereka tetap teguh dengan pendirian yang telah diambil. Akibatnya, mereka telah dibuang keluarga. Alhamdulillah, Allah itu Maha Penyayang. Walaupun hidup mereka terbuang, mereka telah jatuh cinta antara satu sama lain lalu mengambil keputusan untuk berkahwin. Tidaklah mereka kesunyian lagi,” cerita Yusuf.

“Subhanallah. Indahnya perjalanan hidup mereka. Walaupun diuji dengan cabaran yang sangat besar, mereka tetap tabah menghadapi. Bukan sahaja mereka dikurniakan cinta sesama manusia, yang paling penting adalah hidayah dan cinta kepada Allah Yang Maha Esa,” aku memberi respons positif.

Senyuman Yusuf semakin melebar, tetapi kemudiannya menumpul kembali. “Perbezaan agama tidak menghalang mak dan ayah untuk menyayangi keluarga mereka. Namun setiap kali mereka cuba untuk kembali ke pangkuan keluarga, mereka akan dicerca dan diusir keluar. Mujur lahirnya saya di dunia ini dapat diterima oleh keluarga mereka. Atuk dan nenek sangat sayangkan saya,” ujar Yusuf.

“Jadi, sebab itulah hanya kamu seorang saja yang menziarahi atuk dan nenek?” Aku menduga.
“Ya, saya jadi wakil untuk mak dan ayah. Saya bawakan bersama makanan yang dimasak oleh mereka untuk atuk dan nenek,” kata Yusuf sambil mengangkat bungkusan plastik yang berisi bekalan makanan. “Saya juga membawa dakwah untuk mereka kerana kami semua sangat sayangkan mereka,” tambah Yusuf lagi.

Aku terharu. Hatiku menjadi sebak. Cekalnya hati Yusuf dan ibu bapanya.
“Yusuf, kamu sayang ibu bapa kamu?” Tidak semena-mena soalan berkenaan terpacul dari mulutku.
“Sudah tentu, abang.” Pantas sekali Yusuf menjawab pertanyaanku.
“Bagaimana pula dengan nenek dan atuk kamu serta saudara mara yang lain juga?”
“Mereka pun saya sayang.”
“Jika kamu sayangkan mereka, jangan pernah berasa penat atau putus asa. Kamu adalah jambatan kepada hubungan mereka. Jambatan kepada dua keluarga yang terpisah dengan jarak, tetapi masih rapat dalam kasih sayang. Abang doakan yang terbaik untuk kamu semua,” kataku dengan nada yang menahan sebak. Aku mahu sekali keluarga mereka bersatu kembali. Indahnya jika persatuan itu disinari dengan kemuliaan Islam.
“Insya-Allah abang. Saya akan berusaha! Terima kasih saya ucapkan!” Yusuf optimis.

Aku terfikir sejenak akan kesungguhan ibu bapa Yusuf untuk mencari cinta Allah. Dengan adanya cinta itu, mereka tetap berasa bahagia walaupun diusir ibu bapa, keluarga dan kawan-kawan. Benarlah, cinta manusia hanya sementara. Akan tetapi cinta pada Yang Maha Esa, kekal selama-lamanya.

Sebentar lagi tren subway akan berhenti di stesen yang aku mahu tuju. Aku memandang Yusuf. Anak kecil ini adalah seorang anak yang cekal dan amanah dalam menunaikan suruhan orang tuanya. Dalam usia yang masih mentah itu, dia tidak bersungut untuk menaiki kenderaan awam seorang diri menuju ke rumah atuk dan neneknya yang berada jauh.

Aku berfikir pula dengan permasalahan umat di dalam masyarakatku sendiri. Islam, adakalanya hanya mengisi ruang di kad pengenalan, bukan dalam kehidupan. Biarpun dibesarkan dalam keluarga yang sama pegangan agamanya, mereka tetap mudah berpecah-belah. Anak-anak yang melawan ibu-bapa, malah ada yang derhaka, umpama barah yang semakin kronik. Faktornya? Mereka tidak mendalami syariat Islam yang sebenar. Ilmu agama hanya dicurahkan kepada mereka, tanpa mereka sedar akan keperluan untuk menghayati dan memahaminya.

Akhirnya tren subway berhenti di stesen Girard. Aku bersalaman dengan Yusuf. Sudah sampai masanya untuk aku melangkah pergi. Dia menghulurkan senyuman yang cukup manis. Aku membalas sambil mengusap kepalanya. Sempat aku berkata.

“Abang doakan Yusuf akan menjadi seorang anak yang soleh.”

Lafaz salam menjadi pemanis ukhwah antara kami. Aku berjalan keluar dari tren subway sambil melambaikan tangan kepada Yusuf. Walaupun pertemuan kami berakhir di sini, doaku kepada Yusuf dan keluarganya tidak akan putus. Itulah azamku.

-TAMAT-

~semoga niat kita ikhlas.

Sunday, April 1, 2012

UTUSAN BUDAYA

Assalamualaikum WBT.



UTUSAN BUDAYA

Buana diserikan petala budaya,
Tiada adat yang menjulang ke bawah
Tiada resam yang menjunam ke atas,
Setiap punya nilaian istimewa,

Busana kami indah santunnya,
Tarian kami gemelai lenggoknya,
Bahasa kami cantik tuturnya,
Kesyumulan Islam paksi kebanggaan,
Disadur permata kesusilaan timur.

Inilah budaya kami,
Gembira hati dapat persembah,
Di mata dunia takjub melihat,
Segak berdiri di pentas antarabangsa,
Walaupun tewas pertandingan cuma,
Tiada sekelumit perasaan hampa.

Kamilah utusan penyebar budaya,
Menjunjung khabar seindah rupa,
Harumnya nama bumi Malaysia,
Tanggungjawab ini gandaran bersama.

Iwan Ghazali (2012)


Tamat persembahan kami.


Persembahan dari Poland


Persembahan dari China


Persembahan dari Africa


Persembahan dari India, yang menjadi juara pada petang berkenaan.



Persembahan fashion dari Palestin.


Kami warga Temple dari Malaysia :)

Banyak lagi persembahan yang ada pada petang itu yang tidak sempat untuk dikongsikan bersama dalam ruangan kali ini.

-kredit kepada jurukamera-saudara Syahmi dan juruvideo-Farhana (kamera milik Amiratul)

~semoga niat kita ikhlas


 Iwan Ghazali / Iwan Reaz
Power Rangers Melayu

Tuesday, March 27, 2012

Mua'z Bin Jabal

Assalamualaikum wbt.


Komik di atas sekadar muqaddimah, betapa orang sekarang hanya memandang haram dan halal pada material atau sesuatu yang berbentuk fizikal sahaja. Manakala perbuatan seperti pergaulan bebas, berpegangan tangan dan berpakaian tidak menutup aurat dipandang remeh saja. Walhal hukumnya haram.

Bercerita mengenai halal dan haram, saya dengan rendah hati ingin berkongsi kisah mengenai seorang sahabat Rasulullah yang diriwayatkan sebagai sahabat yang paling alim dan mengerti antara yang halal dan yang haram.

Anda boleh teka siapakah beliau yang dimaksudkan? (Tentu ramai yang boleh jawab kerana jawapannya sama dengan tajuk post kali ini. :D )

Rasulullah SAW bersabda: " Umatku yang paling alim tentang halal dan haram ialah Mua'z bin Jabal."
(Hadis riwayat Tirmizi dan Ibnu Majah)

Siapa Mua'z Bin Jabal?

*Beliau dilahirkan di Madinah dan merupakan salah seorang sahabat Nabi yang awal memasuki Islam (sebelum peristiwa Hijrah) melalui Mus'ab bin Umair.

*Mempunyai kepintaran dan kebijaksanaan yang tinggi, rupa paras yang kacak (mata hitam dan berambut kerinting), berhemah tinggi, tutur kata yang indah.

*Dapat memahami Al-Quran dan syariat-syariat Islam dengan baik sehingga beliau dikenali sebagi seorang yang paling alim dalam kalangan sahabat mengenai Al-Quran. Juga memiliki pengetahuan yang mendalam dalam ilmu fiqh. Atas kebijaksanaannya, Rasulullah meminta Mua'z untuk tinggal di Mekah dan mengajarkan ilmu Al-Quran dan memberi kefaham mengenai agama Allah kepada penduduk Mekah.

*Saat raja-raja Yaman datang bertemu baginda Rasulullah SAW, mengisytiharkan keislaman mereka dan meminta supaya dihantarkan tenaga pengajar, Rasulullah telah menyerahkan tugas duta besar Islam kepada Mua'z bin Jabal sebagai ketua rombongan bersama beberapa orang sahabat yang lain.

*Mua'z r.a tidak sempat untuk bertemu dengan Baginda sebelum kewafatan Baginda. Sekembalinya Mua'z ke Madinah, Rasulullah SAW sudah pun wafat. Beliau tidak dapat menahan kesedihan dan sering kali pengsan mengenangkan pemergian Baginda.

*Mua'z r.a berada di Palestin pada penghujung hayatnya. Ketika itu, wabak taun sedang merebak dan jangkitan tersebut turut mengenai Mua'z. Di saat hampir dicabut nyawanya, Mua'z r.a berkata:

"Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau mengetahui bahawa aku tidak menyukai dunia apatah lagi untuk berada kekal di dalamnya selama-lamanya menanam pokok dan mengairi sungai, tetapi segala-galanya itu hanyalah sekadar untuk menghilangkan kehausan di kawasan-kawasan yang kekeringan serta mengharungi saat-saat kesusahan dan mendekati ulama-ulama dengan menunggang ke majlis-majlis zikir. Oleh yang demikian terimalah diriku ini wahai Tuhanku dengan kebaikan sebagaimana Engkau menerima diri seseorang yang beriman."



p/s- Mungkin selepas ini saya akan cuba perbanyakkan perkongsian mengenai kisah Sahabat Nabi. Tidaklah kerana saya pakar, tetapi kerana kekurangan saya dalam mendalami sejarahlah yang membawa saya ke arah ini. Bukan setakat sejarah Nabi, sejarah Malaysia pun saya rasakan goyah. Dulu masa zaman sekolah, sangat struggle untuk subjek berkenaan. Apatah lagi sejarah Amerika. (Dapat gred agak rendah masa zaman kolej. =_=)

Mungkin dengan pendekatan sebegini, saya dapat menyampaikan ilmu dan pada masa yang sama, saya sendiri akan lebih mendalami ilmu, insya-Allah.

~semoga niat kita ikhlas.




Saturday, March 17, 2012

Menangguk Ilmu dan Pengalaman

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah, pada hari Ahad yang lalu, manuskrip novel Replika Cinta sudah siap sepenuhnya. Sekarang, proposalnya sedang disemak oleh syarikat GISB Sdn. Bhd.

Saat siap sahaja penulisan novel berkenaan, dada saya terasa begitu lapang dan gembira. Perasaannya sangat berbeza dengan novel-novel sebelumnya. Saya dapat merasakan kami begitu rapat. Respons daripada orang ramai yang turut gembira kerana manuskrip ini siap, amat mengharukan saya. Selayaknya pujian itu disandarkan pada Yang Maha Esa atas izin-Nya.

Dalam minggu ini juga, saya dapat khabar ada artikel saya dimuatkan dalam Majalah Gen-Q (Generasi Quran), edisi March. Ceritanya mengenai kehidupan saya di Philadephia. Boleh dapatkan majalah ini untuk mengetahui kisah selanjutnya dan beberapa lagi perkongsian ilmu yang menarik.


Berkenaan novel Brr... Sejuknya Salji yang masih hangat di pasaran, nampaknya novel ini mendapat sambutan yang sungguh memberangsangkan. Ramai yang sudah membuat tempahan, ramai yang sudah membeli dan membacanya. Sedikit gambar untuk dikongsi bersama. (terima kasih kepada orang di Malaysia yang mengirim gambar-gambar ini):

Di dalam kedai buku MPH.



Gambar yang terakhir itu adalah di Philadelphia. Novel dikirimkan oleh ahli keluarga. Terima kasih!

Fakta: Novel Brr Sejuknya Salji banyak menggunakan nama rakan-rakan. Ada Adam, Fatimah, Nazrul, Abyan, Naveen, dan tidak lupa watak utamanya, Syazwan.

Anda sudah dapatkannya?

~semoga niat kita ikhlas.

Saturday, March 10, 2012

SPRING BREAK 2012

Assalamualaikum wbt.

Cuti sempena Spring Break sudah hampir tamat. Nampaknya cuti saya kali ini  penuhi dengan aktiviti luar dan dalam rumah.

Aktiviti dalam rumah, menyiapkan manuskrip novel Replika Cinta. Setakat ini tinggal 2 bab terakhir sahaja untuk diselesaikan. Saya juga sudah jatuh cinta dengan novel Replika Cinta ini =)

Selain itu, turut membaca dan menyemak manuskrip novel yang ditulis oleh seorang kawan yang bekerja di GISB. Tajuk karyanya, Tragedi Musafir, sebuah novel bergenre thriller. Semoga karyanya akan berjaya diterbitkan suatu hari nanti.

Aktiviti di luar rumah, berjalan ke tempat orang. Untuk meringkaskan cerita, tengoklah gambar-gambar ini. Untuk album gambar penuh, boleh tengok di Facebook.











Ada insan yang hairan, "aik, bercuti lagi?" Bila saya fikir-fikirkan semula, ya, tahun akhir saya di sini memang banyak berjalan juga. Tetapi tidaklah begitu jauh melainkan ke Las Vegas 2 bulan yang sudah. Dalam hati, saya bersyukur kerana diberi peluang yang sebegini. Dapat mentadabbur alam, menimba ilmu, mengenal masyarakat. Semoga semuanya mendekatkan diri ini kepada Allah SWT.

Setiap orang, ada rezekinya insya-Allah.

p/s- Novel Brrr ... Sejuknya Salji kini sudah berada di pasaran! Dapatkannya segera.

~semoga niat kita ikhlas.

Sunday, February 26, 2012

MENYIRAT CINTA HAQIQI

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah, perkembangan penulisan semakin baik tahun ini. Semoga segalanya dirahmati Allah Taala.

Jumaat yang indah berlalu baru-baru ini, telah terbit sebuah buku yang diselenggarakan oleh Dato Dr Ahmad Khamal Abdullah (Kemala) yang bertajuk Menyirat Cinta Haqiqi. Telah dilancarkan pada hujung minggunya di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak.


Menariknya, buku ini mengumpulkan puisi-puisi yang ditulis oleh Dato Kemala sendiri dan juga 98 penyair Numera. Dimulakan dengan puisi Naratif Yongkamil (46 puisi) oleh Dato Kemala dan diikuti dengan puisi Numera (142 puisi).

Dua daripada puisi berkenaan ditulis oleh saya, Iwan Ghazali - Amarah dan Ilusi Philly.

Puisi Amarah diinspirasikan daripada amarah saya sendiri, yang terpendam dan menggelegak dalam diri, semasa menyertai satu program kelana ke barat Amerika. Sebelum ia meletus, lebih baik saya ekspresikan kemarahan saya itu melalui jalan yang tidak menyakiti orang lain, baik fizikal mahupun hatinya. Jadi, saya salurkan ke dalam bentuk penulisan.

Ilusi Philly pula, saya tulis sebagai tanda penghargaan buat Kota Philly yang saya diami sekarang ini. Tinggal beberapa bulan sahaja lagi sebelum saya meninggalkannya. Banyak suka dan duka yang ditempuh di kota penuh cabaran dan ilusi ini. Hakikat diskriminasi masih tunjang dalam puisi berkenaan.

Buku Menyirat Cinta Haqiqi ini juga bertujuan untuk mengumpulkan dana Numera bagi dihadiahkan kepada pengkarya yang terlantar sakit dan dhaif. Buku yang dijual pada harga RM50 sebuah, (RM40 bagi pelajar), boleh didapati di kedai buku koperasi Dewan Bahasa dan Pustaka, atau daripada Dato Kemala sendiri di alamat:

Rumah- 321, Jalan Sepakat 8, Taman United, 58200 Kuala Lumpur.
Pejabat - Fakulti Bahasa Moden & Komunikasi, UPM, tingkat 2, bilik 226.

Tahniah Dato Kemala dan semua penyair. Semoga usaha ini mendapat sambutan yang baik dan dirahmati Allah Taala, insya-Allah.

~semoga niat kita ikhlas.