Iwan Ghazali (Iwan Reaz)

Aku pencinta impian, menulis bukan menagih kekayaan, sekadar mendamba secebis keredhaan.

Iwan Ghazali (Iwan Reaz)

Aku pencinta impian, menulis bukan menagih kekayaan, sekadar mendamba secebis keredhaan.

Brr... Sejuknya Salji!

Novel Terkini
[ Pandangan Pembaca Novel ]

Iwan Reaz - Sedingin Salju

Iwan Reaz - Itulah Impianku

Followers

Saturday, June 30, 2012

Pesta Buku Selangor 2012

Assalamualaikum wbt.

Insya-Allah, bermula 29 Jun sehingga 9 Julai, akan berlangsung Pesta Buku Selangor bertempat di Shah Alam Convention Center (SACC).

Kepada semua pembaca, khususnya pembaca karya-karya saya, insya-Allah saya akan berada di Pesta Buku berkenaan pada 8 dan 9 Julai. Masa masih belum ditentukan, tetapi saya bercadang untuk berada di sana dari tengah hari sehingga lewat petang.

Sekiranya anda masih belum mengumpulkan koleksi buku-buku saya, inilah peluang untuk anda melengkapkannya.

Kita jumpa di sana insya-Allah.

p/s: Doakan perjalan saya dan rakan-rakan pulang ke Malaysia (6-8 Julai) akan selamat semuanya.

~semoga niat kita ikhlas.

Monday, June 18, 2012

Tidak mengapa, tetapi janganlah...

Assalamualaikum wbt.

Tidak mengapa untuk menganggap diriku seorang yang baik,
Tetapi janganlah menyangka aku umpama malaikat yang tidak pernah membuat dosa.

Tidak mengapa untuk menganggap diriku seorang yang jahat,
Tetapi janganlah merasakan seolah-olah pintu taubat langsung tidak terbuka untukku.

Tidak mengapa untuk menganggap diriku seorang yang cerdik,
Tetapi janganlah menyangka diriku tidak pernah mengharungi kesukaran dan kegagalan.

Tidak mengapa untuk menganggap diriku seorang yang lembap,
Tetapi janganlah mersakan mustahil untukku mencapai sesuatu yang luar biasa hebatnya.

Diriku adalah diriku.
Dirimu adalah dirimu.
Allah tahu yang terbaik untuk kita semua.

~semoga  niat kita ikhlas.

Sunday, June 3, 2012

Jasa Yang Tidak Dilupakan

Assalamualaikum wbt.

Hmmm ...
Terkadang perasaan kasihan itu menyelimuti diri,
Kasihan mengenangkan keadaan di blog ini,
Selalu sahaja diabaikan,
Selalu sahaja dibiarkan.

Jika ada nasihat-nasihat ringkas,
Saya lebih gemar kongsikan di Facebook.
Jika ada perihal peribadi yang mahu dikongsi,
Saya akan berkongsi di Twitter.
Jika ada perihal kerjaya, buku atau pengalaman,
Saya turut berkongsi kisahnya di Facebook.
Penulisan yang panjang dan berjela,
Saya fokuskan dalam penulisan buku dan novel terbaharu.

Jadi, di mana fungsinya blog ini lagi?

Kekangan masa mengejar kecemerlangan akademik,
Saya jadikan alasan.
Tetapi setelah berkerja tetap nanti,
Apakah kesibukan berkerja pula yang akan dijadikan alasan?

Sekali lagi, di mana fungsinya blog ini?

Saya tidak mahu menutup blog ini,
Jasa dan sumbangannya sangat besar impaknya dalam dunia seni saya,
Luahan hati dan kekesalan ini saya cuba jadikan renungan,
Agar fungsi blog ini tidak dipinggirkan.

10 Mei 2012, saya bergelar graduan dari Temple University, Philadelphia.

Akhir kata,
~Semoga niat kita ikhlas.

Monday, May 21, 2012

DI TENGAHNYA DURI

Assalamualaikum wbt.

2 minggu lebih tiada post terbaharu. Saya sibuk. Pada mulanya, sibuk dengan peperiksaan akhir semester. Kemudian majlis graduasi (Alhamdulillah, dah grad), dan kemudiannya bawa ayah saya yang datang berjalan-jalan di US.

Rasanya ramai yang sudah maklum dengan majlis graduasi saya. Tetapi nanti saya upload juga gambar-gambarnya di blog ini.

Okey, tak mahu muqaddimah panjang lebar, terimalah cerpen terbaharu daripada saya. Semoga bermanfaat.

TAJUK: DI TENGAHNYA DURI


“Ahhh.”
Aku menghempas tubuh di atas tilamku yang empuk. Nyaman sekali. Tubuhku seperti berada di awangan. Badan yang lesu seperti dijana kembali tenaganya. Mata yang kuyu akhirnya dapat menikmati keindahan fantasi di alam mimpi. Indah. Cukup indah.
Sebenarnya aku baru sahaja selesai menjawab kertas peperiksaanku yang terakhir untuk semester ini. Walaupun minggu peperiksaan baru bermula, aku sudah pun selesai kesemuanya kerana jadual peperiksaanku jatuh pada hari-hari awal minggu peperiksaan. Mungkin ada yang mengatakan aku sungguh beruntung, namun mereka tidak tahu betapa peritnya aku hendak membuat persediaan yang rapi untuk semua subjek sekali gus.
Waktu tidurku terpaksa dikorbankan demi mengejar kecemerlangan. Permainan video disimpan di dalam almari supaya tumpuanku tidak lari. Pun begitu, tanggungjawabku sebagai hamba Allah tidak seharusnya dipinggirkan. Amal ibadah tetap perlu dipelihara. Malah, pada waktu seperti inilah aku seharusnya lebih hampir dengan-Nya supaya doa-doaku akan dimakbulkan. Aku hairan sekali melihat segelintir pelajar yang melewat-lewatkan solat fardu dek kesibukan membuat ulangkaji pelajaran. Tidakkah redha Allah itu lebih penting dalam usaha mencapai apa yang kita inginkan?
Kepalaku yang terasa berat sejak kelmarin kini semakin ringan di atas bantal. Perlahan-lahan aku merangkak ke alam mimpi. Semua perkara yang bermain di mindaku, bercampur-aduk menjadi satu jalan cerita yang aku sendiri tidak faham hujung pangkalnya. Sekejap melangkah ke sana, sekejap berlari ke sini. Aku semakin khayal melayan rasa mengantukku.
“Bommm!”
Aku terkejut lalu terjaga daripada separuh lenaku. Dahiku berkerut saat terdengar bunyi yang sama berulang-ulang kali. Kuat sungguh bunyi letupan yang keluar dari pembesar suara yang terletak di dalam bilik rakanku itu. Saban hari aku akan mendengar bunyi berkenaan. Rakanku memang gemar bermain permainan video sambil memasang bunyi yang kuat.
“Buka bunyi kuat-kuat, barulah real,” jelas Fadzli, rakan serumah yang biliknya terletak bersebelahan sahaja dengan biliku.
Mataku kembali dipejamkan. Sejujurnya, aku tidak kisah dengan perangainya itu. Biasalah, kawan-kawan. Kadangkala aku juga begitu. Akhirnya, aku pun terlena sehingga waktu solat fardu Asar hampir tiba.
Aku duduk di birai katil sambil menggeliat. Kini, aku bertenaga semula. Langkah diatur ke bilik air untuk mengambil wuduk. Namun belum pun sempat aku keluar dari bilik, aku terdengar bunyi letupan dari permainan video rakanku bergegar lagi.
“Wah, lama betul Fadzli ini main game,” bisik hatiku.
Sebenarnya aku sudah masak dengan perangai Fadzli. Rakanku yang seorang ini memang ketagih bermain permainan video. Ya, memang hampir semua lelaki gemarkannya. Sama juga dengan diriku. Jika sehari tidak dapat menyentuh games, akan terasa bosan sekali.
Cuma Fadzli ini aku lihat terlebih ketagih dalam hal ini. Dia seringkali meluangkan masanya dengan bermain games sahaja. Sebelum ini, kerap kali dia nyaris terlewat menghantar tugasan yang diberi oleh pensyarah kerana leka dengan permainannya. Aku sendiri faham, games dapat mengurangkan tekanan setelah sibuk belajar dan membuat ulangkaji. Tetapi, jika asyik bermain games, bila pula masa belajarnya?
Apa yang lebih aku risaukan, Fadzli masih mempunyai beberapa peperiksaan lagi untuk diduduki. Pada waktu-waktu seperti ini, dia sepatutnya lebih banyak meluangkan masanya untuk membuat latih tubi dan persiapan yang lain.
“Fadzli, jom solat Asar,” ajakku setelah membuka pintu bilik Fadzli.
“Okey. Bagi aku lima minit. Kau bersiaplah dahulu,” balas Fadzli.
Seperti yang dijanjikan, dia turun ke ruang basement rumah. Basement ini memang kami jadikan sebagai tempat untuk mendirikan solat secara berjemaah kerana ruangnya yang luas. Cuma pada petang ini, hanya aku dan Fadzli sahaja yang ada di rumah kerana rakan-rakan yang lain sedang berjuang di dewan peperiksaan.
Usai solat, aku berbual-bual sebentar dengan Fadzli.
“Kau ada berapa paper lagi?” tanyaku.
“Ada dua lagi. Esok exam Statistics dan minggu hadapan pula Finance,” jawab Fadzli. “Kau sudah habis kan?”
“Alhamdulillah. Lega betul rasanya.”
“Okeylah, aku mahu ke bilik, nak sambung main game,” ujar Fadzli sambil berdiri.
“Eh, kata ada exam lagi. Kau sudah habis buat ulangkajikah?” soalku penuh kehairanan.
“Alaaa … biasalah aku. Pagi sebelum periksa hendak bermula, baru aku boleh belajar. Jika aku belajar awal-awal, nanti akan lupa pula. Buat rugi masa saja. Baik aku main games.” Fadzli memberi alasan.
Aku menggeleng saat Fadzli berlalu pergi. Alasan yang diberikan oleh Fadzli itu mungkin akan memakan dirinya kelak. Bukannya dia tidak boleh belajar, tetapi alasan yang sedemikian hanya dijadikan sebagai mind-set semata-mata. Bagaimana mungkin dia dapat membuat persediaan dalam tempoh kurang dari 24 jam sebelum peperiksaan bermula sedangkan pelajar lain harus membuat ulangkaji seminggu lebih awal?
Segumpal keluhan dilepaskan. Aku merenung diriku dalam-dalam. Mungkin dalam hal ini, aku juga bersalah kerana tidak menjalankan kewajipanku sebagai seorang sahabat. Mengapa aku tidak tegas dalam memberi peringatan kepada beliau? Aku sedar siapalah aku hendak mengawal kehidupan peribadinya, akan tetapi dia berhak untuk mendapat teguran dan bimbingan. Mungkin dia terlupa, maka akulah yang sepatutnya menyedarkannya.
“Tok! Tok!”
Aku mengetuk pintu bilik Fadzli.
“Masuk! Masuk!”
Aku pun melangkah masuk dan duduk di atas katilnya.
“Ada apa?” soal Fadzli setelah memberhentikan permainannya.
“Aku … aku ada perkara hendak dikatakan.” Aku agak gugup di permulaannya.
“Haa … cakaplah.”
“Sebenarnya, aku risau tengok kau asyik bermain games saja. Sedangkan sekarang ini adalah minggu peperiksaan. Kau sepatutnya lebih menumpukan perhatian pada pelajaran. Tidak salah untuk bermain games sebentar selepas kau penat study, tapi janganlah sehingga belajar last-minute pula.” Aku cuba memberikan nasihat dalam nada yang cukup lembut.
“Bukankah aku sudah cakap tadi, jika aku belajar awal-awal, nanti aku akan lupa semuanya!” balas Fadzli.
Aku meletakkan tanganku di atas bahu Fadzli.
“Itu hanya perasaan kau sahaja. Fadzli, sekarang proses pembelajaran kita semakin sukar. Maka persiapannya perlu lebih rapi. Ingat, practice makes perfect!”
“Peribahasa tu tak sesuai dengan aku.” Fadzli terus-menerus mengelak.
“Jika kau kerap membuat ulangkaji, kau akan dapat membiasakan diri dengan pelbagai jenis soalan dan sekiranya kau terlupa sekalipun, kau mampu untuk merangka jawapan sendiri berdasarkan kefahaman kau.”
Fadzli mengangguk. Dia seperti mahu bersuara, tetapi aku cepat-cepat menyambung bicaraku.
“Dan apa yang lebih penting, niat kita untuk belajar adalah kerana Allah Taala, bukannya untuk lulus cemerlang sahaja. Jadi, apa yang lebih penting adalah usaha yang kita lakukan ke arah kecemerlangan itu, bukannya keputusan yang bakal kita perolehi. Allah tidak pandang pada gred yang kita akan dapat nanti, sebaliknya Allah mahu lihat hamba-hamba-Nya tekun berusaha dalam jalan yang diredhai-Nya.”
Nasihatku itu menjadi pemangkin semangat buat Fadzli. Pada malam itu, dia tidak lagi bermain permainan video. Aku lihat Fadzli begitu rajin membuat latihan Statistics di dalam biliknya. Keesokan harinya pula, Fadzli keluar rumah lebih awal kerana mahu membuat latih tubi di universiti.
“Di rumah banyak halangan. Games seolah-olah memanggil-manggil aku setiap masa,” luah Fadzli.
Kata-katanya itu membuatkan aku tertawa kecil. Senang hati aku melihat kecekalannya untuk berubah. Rakan-rakan serumahku yang lain pula agak terkejut melihat sikap Fadzli itu.
Sudah ketentuan Ilahi, 2 jam kemudian, aku mendapat satu panggilan daripada seorang juniorku.
“Abang Fadzli kena rompak pagi tadi semasa dia dalam perjalanan ke universiti.”
Aku beristighfar berulang kali. Aku cuba untuk menghubungi Fadzli, namun panggilanku tidak berangkat. Mungkin telefonnya juga sudah diambil oleh perompak berkenaan. Aku dan rakan-rakan serumahku yang lain menanti kepulangan Fadzli dengan sabar dan doa.
Sebaik sahaja Fadzli menolak daun pintu rumah, kami semua segera mendapatkannya. Matanya lebam, bibirnya pecah dan sikunya pula cedera. Menurut Fadzli, dia terpaksa bergelut dengan perompak terbabit dalam usaha untuk mempertahankan dirinya. Namun, dia tewas dan semua wang dan gadgetnya telah dirampas.
Syukur, ada orang awam yang terlihat keadaan Fadzli yang sedang terbaring kesakitan, segera menelefon ambulans. Dia diberikan rawatan dan kemudiannya dibawa ke balai polis untuk membuat laporan. Malah, dia juga masih berpeluang untuk menduduki peperiksaan walaupun dalam keadaan yang cedera.
“Kasihannya kau. Dalam usaha kau hendak pergi berjuang, kau ditimpa pula dengan ujian yang berat sebegini. Aku harap kau tabah dan redha atas segalanya,” ungkapku dengan nada sebak.
Fadzli merenung mataku. Senyuman diukirkan dicelahan bibirnya yang pecah-pecah itu.
“Insya-Allah, aku terima dugaan ini dengan redha. Aku yakin, dalam usaha kita hendak menjadi individu yang lebih baik, adakalanya Allah akan berikan kita ujian. Allah mahu menguji kita, sama ada kita benar-benar ikhlas mahu berubah atau hanya kerana orang di sekeliling kita? Aku nak ucapkan terima kasih pada engkau kerana telah membuka mata aku dan menyedarkan aku.”
Kata-kata Fadzli itu menambah sebak di dadaku. Sejujurnya, aku risau sekiranya kejadian hari ini menjadi tembok penghalang kepada niat murni Fadzli untuk berubah. Namun, syukur segala yang telah berlaku menjadikan sahabatku ini lebih kuat dan teguh untuk menjadikan hari ini lebih baik daripada semalam dan hari esok lebih baik daripada hari ini.
“Sahabat, kesusahan dan kesengsaraan yang kamu alami itu tadi hanya di dunia. Di akhirat sana kesenangan menanti kamu. Sedangkan, di akhiratlah kehidupan yang abadi,” bisik hatiku.
Dalam diri manusia itu ada fitrah, yang sentiasa inginkan kebaikan dan kebahagiaan.

-TAMAT-

p/s- Aku dalam diri ini bukan saya. Cerita ini hanya rekaan semata-mata.

~semoga niat kita ikhlas.



Sunday, April 29, 2012

PROMOSI PBAKL 2012


~semoga niat kita ikhlas.

Monday, April 23, 2012

PANDANGAN PEMBACA NOVEL BRR ... SEJUKNYA SALJI

Assalamualaikum wbt.

Pada 27 April sehingga 6 Mei 2012, akan berlangsung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di PWTC. Seperti tahun-tahun sebelumnya, saya tidak dapat untuk sertainya sedangkan majlis pelancaran untuk novel terbaru, iaitu Novel Brr .. Sejuknya Salji, akan diadakan.

Namun syukur, sudah hampir 2 bulan Novel Brr ... Sejuknya Salji terbitan Galeri Ilmu Sdn Bhd ini berada di pasaran, sambutannya amatlah menggalakkan. Jadi kepada mereka yang masih belum mendapatkannya lagi, anda bolehlah dapatkannya di pesta buku nanti atau pun di kedai-kedai buku berhampiran anda.

Apa kata para pembaca yang sudah membaca novel ini?



MINIT LAS (EDITOR GISB)
Antara Novel GISB yang sangat ceria! Insya-Allah.

SHAHMI TAUFIQ, Miri
Novel ni menceritakan kisah sebuah keluarga terpaksa berpindah ke luar negara. Kakak Syazwan iaitu Ida Farzana, suka menyakat adiknya tapi mereka berdua saling menyayangi. Novel ni sangat menarik dah best. Banyak peribahasa digunakan dalam novel tu dan tak ketinggalan juga, banyak pengajaran dalam novel tu. Nanti kalau ada novel baharu jangan lupa beritahu kat saya.

FATIN NORSHAM, Nilai
Novel ni best gila la. Nampak lain daripada yang lain kerana siap ada pepatah lagi dan maklumat yang diberikan, senang nak ingat. Ada glosari lagi. 

FARAH ELLINA
Akhirnnya jumpa juga siapa penulis novel ini. THE BEST NOVEL yang pernah saya baca selain Ombak Rindu.

HANISAH ROSLI, UIA
Novel Brr Sejuknya Salji memang best sebab ada info mengenai perbandingan Amerika Syarikat dan Malaysia. Banyak info dapat dekat situ. Ilustrasi pun menarik. Memang best la baca novel abang tu. Rasa macam nak jejak kaki juga dekat sana. Nak main salji juga!

AMANINA ALI, Bayan Lepas
Agak menarik juga. Saya suka part masa dia main salji tu. Feel dia terbawa-bawa macam saya yang tengah main salji. Ketakutan Syazwan nak berbahasa Inggeris tu pun menarik dan boleh dijadikan iktibar. Adik-adik yang baca ni secara tak langsung boleh baiki hubungan dengan adik beradik yang lain. 

ANNUR MUHAMMAD, Kuala Terengganu
Mostly, puas hati sebab banyak tahu pasal life kat sana. Novel ini lagi ringan dan mesej senang faham untuk semua golongan yang membaca. Memang best lah. Terbaik :)

ZAINAB AHMAD, Kajang
Keseluruhannya menarik. Bila baca rasa macam berada di tempat tu, di situasi yang sebenar. Nampaklah keharmonian keluarga dalam cerita tu. Bermanfaat, terutamanya untuk para pelajar sekolah kerana banyak maklumat yang berguna.

ADIRA NAZNEEN, Miri
Jalan cerita novel tu seronok sangat. Kalau ada novel baru tolong beritahu ya.

SYAZ ZEE, Bangi
First tahniah sebab dah berjaya terbitkan novel yang ketiga. Kasih sayang yang terbina dalam satu keluarga buat Syaz rindu pada family. Macam mana sukar pun Syazwan untuk berbahasa Inggeris, dia tetap mencuba walau pun pada mulanya Syazwan cuba untuk mengelak bergaul dengan rakan-rakan di tempat baru. Brr Sejuknya Salji adalah sebuah cerita yang menarik, dan memang sangat sesuai untuk golongan remaja. Ada peribahasa dan maksudnnya. Ada info menarik. Dan lagi 1, lukisan dalam novel tu cantik dan comel. ^^

AZNIETA, Melaka
So far soooo good. Sesuai untuk bacaan remaja. Yang menarik, bila Syazwan tak nak kawan dengan sesiapa semata-mata kerana tak tahu cakap bahasa Inggeris. Saya suka dengan cover dia yang sangat cute. Kalau boleh saya nak bagi rating 9.99/10.


DIARI UNGU, Georgetown
Seronok mengulit kisah Syazwan dan Ida Farzana. Ceritanya benar-benar hidup. Ia akan menjadi karya yang hebat, insya-Allah. Tahniah. Meski novel awal remaja, ia begitu memikat dan banyak perkara baru yang telah saya perolehi.

____________

Terima kasih kepada semua yang memberikan komen. Maaf tak sempat hendak letak semua pandangan di sini kerana kesuntukan masa (sebentar lagi ada kelas). Apa pun, saya hargai setiap satunya. Insya-Allah, saya akan sentiasa perbaiki mutu penulisan, memberikan anda karya yang menarik dan bermanfaat. 

Teori evolusi Window Snowman saya sepanjang berada di Amerika Syarikat :)

~semoga niat kita ikhlas.