Iwan Ghazali (Iwan Reaz)

Aku pencinta impian, menulis bukan menagih kekayaan, sekadar mendamba secebis keredhaan.

Iwan Ghazali (Iwan Reaz)

Aku pencinta impian, menulis bukan menagih kekayaan, sekadar mendamba secebis keredhaan.

Brr... Sejuknya Salji!

Novel Terkini
[ Pandangan Pembaca Novel ]

Iwan Reaz - Sedingin Salju

Iwan Reaz - Itulah Impianku

Followers

Saturday, August 11, 2012

Memoir Puasa Amerika

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah, di fasa terakhir bulan Ramadhan ini, wajah blog ini bertukar baharu. Lebih ceria dan simple. Menguatkan semangat untuk terus berkarya di sini.

Jadi untuk post kali ini, sukacita untuk saya berkongsi sedikit memoir puasa semasa berada di Amerika Syarikat.
Suasana berbuka puasa bersama rakan-rakan di awal ketibaan.

1. Bersahur di lapangan terbang.
Al-kisahnya saya dan 3 orang rakan yang lain tertinggal flight semasa pertama kali menjejakkan kaki di bumi Amerika. Maka jadual penerbangan menjadi kucar kacir dan akhirnya kami terkandas di lapangan terbang Dallas. Kami bermalam di sana. Untuk bersahur, tiada lagi kedai yang dibuka. Jadi saya mencari-cari makanan yang 'terbawa'. Ada setengah bar coklat Crunchie dan beberapa balang kuih raya. Saya tidak berselera untuk makan kuih raya di pagi hari. Jadi sahur saya pada waktu itu hanyalah coklat Crunchie dan air sejuk dari water cooler! (oh perut rasa lain macam)

2. Nasi lembik
Ini kisah pada hari pertama di rumah sewa. Kelengkapan dapur masih belum dibeli. Mujur ada kawan bawa periuk nasi dari Malaysia. Tetapi sayangnya, nasi yang ditanak sejak malam tidak masak-masak hingga ke pagi. Nasi menjadi hangit di bahagian bawah dan di atasnya pula lembik. Saya fikir ini mungkin kerana perbezaan arus eletrik di sini. Jadi dengan berlaukkan sambal kacang segera dan kicap, kami telan saja nasi lembik itu.

3. Sahur masak sendiri
Biasanya pelajar di Malaysia yang tinggal di rumah sewa atau kolej, akan memilih untuk bersahur di restoran atau kedai mamak. (kalau malas nak keluar makan roti atau mee segera saja). Tapi di Amerika, manalah nak jumpa kedai mamak. Jadi kena masak sendiri. Kalau masa tinggal dengan keluarga dulu, bangun pagi makanan dah tersedia. Tetapi bila kena bangun awal pagi, kena masak sendiri, kena sediakan dari A sampai Z, barulah terasa betapa sukarnya menjadi seorang ibu/isteri.

4. Ketiadaan bazar Ramadhan
Huh? Sudah semestinya lah tak ada... Lepas tu ahli keluarga, kawan-kawan, semua nak menunjuk-nunjuk makanan yang dibeli kat bazar Ramadhan.

5. Cuaca yang berbeza
Berpuasa semasa musim panas. Siangnya lebih panjang dan suhunya lebih panas. Subuh lebih awal daripada Malaysia, tetapi berbuka sekitar pukul 8 malam. Bayangkan, disebabkan perbezaan suasana, pukul 10 pagi dah terasa lapar yang amat sangat. Tapi lama-lama, dah terbiasa.

6. Berbuka dalam kelas
Biasalah kalau ada kelas sampai malam. Jangankan waktu berbuka, kami sedang berpuasa pun pelajar tempatan dan pensyarah tak tahu. Jadi, selalunya kami bawa buah kurma dan bekalan air untuk berbuka semasa kelas sedang dijalankan.

7. Bencana Alam
Pada bulan Ramadhan tahun lalu, sewaktu Aidilfitri semakin tiba, dikhabarkan ada ribut Irene akan melanda timur Amerika. Apakah yang terjadi seterusnya? Insya-Allah saya akan ceritakan dalam post yang akan datang.

TO BE CONTINUED...

~semoga niat kita ikhlas.

Wednesday, August 1, 2012

Buku-Buku Akan Datang

Assalamualaikum wbt.

Selamat berpuasa diucapkan. Insya-Allah, berikut adalah projek buku baharu yang sedang diusahakan untuk terbitan akan datang.

1. Diari Untuk Ibu. (Terbitan Buku Prima)

Kisah seorang remaja, Izz Akmal, yang terpaksa melalui kehidupan penuh tanda tanya setelah ibunya dilaporkan terkorban dalam Tragedi 9 Disember. Namun, Izz yakin ibunya masih hidup dan akan kembali suatu hari nanti. Dia mulai  berprasangka terhadap ayah sendiri apabila pernah ternampak Encik Syamsul keluar bersama seorang wanita muda. Hayati kisah suka dan duka Izz dan adik-beradiknya melalui diari yang ditulisnya setiap hari.

2. Aku Budak New York ( Terbitan Galeri Ilmu)

Raqy (Raqiyah) seorang anak Malaysia yang telah dibesarkan di New York. Namun, ayahnya telah membuat keputusan untuk mereka sekeluarga kembali ke tanah air setelah Raqy seakan-akan hilang identiti diri. Namun, sikap sombong dan berlagak Raqy menyebabkan dia tidak mempunyai ramai kawan. Adakah dia mampu berubah seperti apa yang diharapkan oleh ayahnya?

3. Ilusi Philly (masih dalam penilaian penerbit)


Travelog saya sebagai seorang pelajar yang perlu menyesuaikan diri dengan atmosfera di Amerika Syarikat. Adakah Islam sukar untuk dilaksanakan di sana? Apakah cabaran yang terpaksa dilalui untuk mendirikan solat, puasa, berpakaian menutup aurat serta tuntutan yang lain? Dapatkan kupasan lanjut di dalam buku ini.

4. Replika Cinta (masih dalam penilaian penerbit)

Afiffudin memerlukan cinta. Sejak kehilangan isteri, kehidupannya semakin sunyi. Kehadiran Nasrul Haq membantunya untuk bertemu dengan insan istimewa yang lain. Nasrul turut berusaha untuk membina cintanya sendiri dengan menjadikan Afiffudin sebagai contoh yang baik. Tetapi Nasrul juga adalah manusia biasa. Dia telah melakukan kesilapan yang dirasakan sukar untuk dimaafkan oleh Afiffudin.

5. Komik Fatin (masih dalam peringkat proposal)

Projek terbaharu Iwan bersama seorang pelukis berbakat.

6. Buku-buku dengan kerjasama GKLN

(Akan dipromosi dalam masa terdekat)
_________________________________________________________________________________

Doakan semuanya berjalan lancar.

p/s- Anda sudah memiliki novel Melodi Hati? Hazim, Aizat & Muzik? Brr Sejuknya Salji? Jika belum dan susah untuk mendapatkannya di kedai, anda boleh order terus dari saya!

~semoga niat kita ikhlas.


Wednesday, July 18, 2012

AKU PULANG


AKU PULANG

Mengembang sayap di langit biru,
Merentasi benua berbeza,
Menyemai bakti harapan buat negara,
Wahai tanah tumpah darah,
Aku pulang.

Bumi Amerika bersimpul menjadi memori,
Rumah yang dulu ku jadikan tempat berteduh,
Tidak dapat lagi ku tatap melainkan di dalam gambar,
Rakan-rakan yang dulu ku kongsikan suka-duka,
Hanya dapat ku temu di alam maya.

Tiada ringan hatiku bercerai,
Walau bebas ukirannya berbeza,
Walau alis rindu bermimpi keluarga,
Walau kesukaran terhidang sentiasa.

Namun realiti tetap hakiki,
Setinggi mana sayang untuk mu Philly,
Hakikat kasih ku tumpah buat Malaysia,
Pertemuan diakhiri perpisahan,
Biarpun bait-bait bahagia terpatri,
Kesedihan fitrah untuk dihadapi.

Aku sayangkan Philly,
Aku kasihkan Malaysia,
Aku cintakan akhirat,
Manifestasi hati yang ikhlas berbicara,
Madah renungan jua peringatan,
Agar tidak hanyut dengan pesona dunia.

Karya: Iwan Ghazali


~semoga niat kita ikhlas

Saturday, June 30, 2012

Pesta Buku Selangor 2012

Assalamualaikum wbt.

Insya-Allah, bermula 29 Jun sehingga 9 Julai, akan berlangsung Pesta Buku Selangor bertempat di Shah Alam Convention Center (SACC).

Kepada semua pembaca, khususnya pembaca karya-karya saya, insya-Allah saya akan berada di Pesta Buku berkenaan pada 8 dan 9 Julai. Masa masih belum ditentukan, tetapi saya bercadang untuk berada di sana dari tengah hari sehingga lewat petang.

Sekiranya anda masih belum mengumpulkan koleksi buku-buku saya, inilah peluang untuk anda melengkapkannya.

Kita jumpa di sana insya-Allah.

p/s: Doakan perjalan saya dan rakan-rakan pulang ke Malaysia (6-8 Julai) akan selamat semuanya.

~semoga niat kita ikhlas.

Monday, June 18, 2012

Tidak mengapa, tetapi janganlah...

Assalamualaikum wbt.

Tidak mengapa untuk menganggap diriku seorang yang baik,
Tetapi janganlah menyangka aku umpama malaikat yang tidak pernah membuat dosa.

Tidak mengapa untuk menganggap diriku seorang yang jahat,
Tetapi janganlah merasakan seolah-olah pintu taubat langsung tidak terbuka untukku.

Tidak mengapa untuk menganggap diriku seorang yang cerdik,
Tetapi janganlah menyangka diriku tidak pernah mengharungi kesukaran dan kegagalan.

Tidak mengapa untuk menganggap diriku seorang yang lembap,
Tetapi janganlah mersakan mustahil untukku mencapai sesuatu yang luar biasa hebatnya.

Diriku adalah diriku.
Dirimu adalah dirimu.
Allah tahu yang terbaik untuk kita semua.

~semoga  niat kita ikhlas.

Sunday, June 3, 2012

Jasa Yang Tidak Dilupakan

Assalamualaikum wbt.

Hmmm ...
Terkadang perasaan kasihan itu menyelimuti diri,
Kasihan mengenangkan keadaan di blog ini,
Selalu sahaja diabaikan,
Selalu sahaja dibiarkan.

Jika ada nasihat-nasihat ringkas,
Saya lebih gemar kongsikan di Facebook.
Jika ada perihal peribadi yang mahu dikongsi,
Saya akan berkongsi di Twitter.
Jika ada perihal kerjaya, buku atau pengalaman,
Saya turut berkongsi kisahnya di Facebook.
Penulisan yang panjang dan berjela,
Saya fokuskan dalam penulisan buku dan novel terbaharu.

Jadi, di mana fungsinya blog ini lagi?

Kekangan masa mengejar kecemerlangan akademik,
Saya jadikan alasan.
Tetapi setelah berkerja tetap nanti,
Apakah kesibukan berkerja pula yang akan dijadikan alasan?

Sekali lagi, di mana fungsinya blog ini?

Saya tidak mahu menutup blog ini,
Jasa dan sumbangannya sangat besar impaknya dalam dunia seni saya,
Luahan hati dan kekesalan ini saya cuba jadikan renungan,
Agar fungsi blog ini tidak dipinggirkan.

10 Mei 2012, saya bergelar graduan dari Temple University, Philadelphia.

Akhir kata,
~Semoga niat kita ikhlas.