Iwan Reaz - Sedingin Salju

Iwan Reaz - Itulah Impianku

Followers

Sunday, November 25, 2012

SAYA MAHU MENULIS!

Assalamualaikum wbt.

Baiklah, kali ini saya mahu menyambung perkongsian saya sebelum ini mengenai tips penulisan. Jika sebelum ini anda membaca post mengenai "Sebelum Saya Menulis", perkongsian ini pula bertajuk,

"Saya Mahu Menulis!"

Jadi, sekiranya anda sudah faham mengapa anda mahu menulis, kini tiba masanya untuk anda mula menulis. Berikut adalah antara perkara-perkara yang perlu anda tahu:

1) Fahami Perkara dan Format Asas Penulisan

-Apakah beza "dari" dan "daripada"?
-Bilakah mahu menggunakan nombor (contoh: 12), dan perkataan (contoh: dua belas)?
-Yang mana satu tanda dialog yang betul?
     "Saya suka main bola." kata Hafizi.
     "Saya suka main bola," kata Hafizi.
     "Saya suka main bola." Kata Hafizi.

-dan banyak lagi perkara dan format asas berkaitan penulisan yang perlu diketahui, difahami, dipelajari lalu diamalkan. Bagaimana untuk anda belajar dan memahami semua ini? Ada dua cara:

Yang pertama, sekiranya anda ada membaca post saya sebelum ini, saya menitikberatkan kepada anda semua supaya memperbanyakkan bacaan. Dengan cara ini, anda boleh mengenalpasti format-format penulisan terkini  yang diguna pakai oleh para penulis mengikut standard yang digariskan oleh pihak penerbit.

Cara kedua, anda boleh belajar format asas penulisan melalui bengkel penulisan. Tidak kiralah sama ada yang dianjurkan oleh pihak sekolah, pihak universiti, badan kerajaan, syarikat penerbitan atau apa sahaja organisasi.

Mengapa perkara ini penting? Bukankah nanti ada editor (penyunting) yang akan memperbetulkan kesalahan penulis?

Ya, memang akan ada editor. Tetapi kerja editor adalah memperbetulkan kesalahan yang tidak disengajakan. Bayangkan, penulisan yang berpuluh-puluh ribu itu, tentunya akan ada beberapa kesalahan kecil yang tidak disengajakan oleh penulis. Maka, editorlah yang bertanggungjawab untuk membetulkan kesalahan-kesalahan tersebut.

Akan tetapi, sekiranya manuskrip yang diterima itu sarat dengan kesalahan-kesalahan tatabahasa, tanda baca, malah ejaan pun tidak betul, ianya akan membebankan editor. Mereka ada banyak lagi manuskrip untuk disunting.

Kebarangkalian untuk mereka menerima manuskrip yang mempunyai banyak kesalahan adalah sangat tipis. Oleh itu, sila sunting terlebih dahulu manuskrip anda sebelum dihantar kepada para penerbit.

-Nota penting: Pembaca akan hilang keseronokan membaca bila banyak kesalahan bahasa, tanda baca dan sebagainya.

2) Buat Rangka Cerita (Draft)



Anda sudah ada idea dan konsep jalan cerita. Tetapi seperti yang saya tekankan sebelum ini, jangan mengambil risiko dengan menulis jalan cerita dari awal sehingga akhir tanpa ada sebarang rangka (draft). Contoh:

Idea awal: Kisah mengenai Amin yang mahu pergi temuduga kerja. Banyak perkara lucu yang berlaku sepanjang perjalanannya. Tapi walaupun begitu, dia tetap mendapat kerja.

Jadi, anda pun mula menulis. Mula dengan bab 1, kemudian masuk bab 2, dan seterusnya. Anda langsung tidak merancang di manakah seharusnya konflik mula berlaku. Anda hanya terus menulis dan menulis. Namun, akhirnya anda terhenti kerana merasakan fikiran anda celaru dan kelam-kabut.

Jadi, nasihat saya adalah anda buat rangka terlebih dahulu. Contoh ringkas:

Permulaan: Amin mahu pergi temuduga. Masalah Amin adalah, dia tidak ada kenderaan.

Perkembangan: Ada kawan dia lalu depan rumah. Amin minta tumpang ke stesen kereta api.

Konflik 1: Kawan Amin itu beri tumpang. Tetapi dia itu kedekut. Mahu ikut atau tidak?

Konflik 2: Stesen kereta api penuh orang. Amin mahu bersesak-sesak atau tunggu kereta api seterusnya? Bimbang terlewat pula nanti.

Konflik 3: Semasa dalam perjalanan, dia teringat bahawa ada dokumen yang dia tertinggal di rumah. Adakah dia perlu pulang ke rumah atau teruskan perjalan?

Konflik 4: Setibanya di tempat temuduga, perutnya berasa lapar yang teramat. Adakah dia perlu makan terlebih dahulu?

Peleraian: Amin ditemuduga dan berjaya mendapat kerja.

Apabila kita sudah bina rangka, tugasan menulis menjadi lebih mudah kerana ada rujukan. Tidaklah kita terkapai-kapai mahu memikirkan apakah yang sudah berlaku, apakah yang akan berlaku?

3) Buat Proposal



Sekiranya anda serius dalam penulisan dan mahu karya anda itu diterbitkan di pasaran, maka saya sarankan untuk anda membuat proposal terlebih dahulu dan minta kelulusan untuk diterbitkan. Sebenarnya, ada banyak cara karya boleh diterbitkan. Tetapi secara amnya, ada dua cara yang biasa digunapakai.

i- Tulis manuskrip dari awal sehingga akhir. Setelah selesai, hantar kepada penerbit,

ii- Buat proposal. Hantar kepada penerbit. Apabila diluluskan, barulah manuskrip itu disiapkan sepenuhnya.

Cuba anda bandingkan kedua-dua cara di atas. Mana satukah yang lebih berisiko? Sudah tentulah yang pertama. Bayangkan betapa penatnya anda menulis manuskrip itu, namun akhirnya ditolak pula... Huu sedihnya...

Mungkin karya anda itu bermutu. Tetapi harus diingatkan, bahawa penerbit juga punyai pasaran tertentu. Jadi, mereka tidak mahu menerbitkan sesuatu karya yang tidak menepati cita rasa pembaca dan kurang memberi keuntungan kepada mereka.

Novel Melodi Hati saya dahulu menggunakan cara pertama, kerana saya pada masa itu memang tiada apa-apa pengetahuan mengenai dunia penerbitan. Mujur manuskrip saya diterima dan membakar semangat saya untuk terus berkarya. Namun, sejak mengetahui betapa berisikonya tindakan saya itu, saya memilih cara yang kedua. Oleh itu, saya sarankan kepada anda untuk membuat proposal dan dapatkan kelulusan terlebih dahulu.

Bagaimana pula caranya untuk membuat proposal? Penerbit yang berbeza mahukan jenis proposal yang berbeza. Tetapi kebanyakannya mahukan:

-sinopsis penuh manuskrip
-dua bab awal

Ada juga penerbit yang mahukan:

-sinopsis setiap bab
-perwatakan watak utama
-bab awal, bab pertengahan dan bab akhir

Untuk mengetahui format proposal penuh yang dikehendaki oleh para penerbit, anda boleh rujuk di laman web penerbit itu sendiri.

Setelah menghantar proposal anda, tunggu sehingga mereka memberi kelulusan. Adakalanya dalam tempoh 2 minggu hingga 2 bulan. Sementara itu, anda boleh meneruskan penulisan atau buat proposal yang lain untuk dinilai. Setelah mendapat kelulusan, barulah manuskrip anda itu boleh disiapkan sehingga ke titik noktah terakhir! Biasanya penerbit akan memberikan anda tarikh akhir serahan manuskrip (deadline).

Nota penting! - Namun harus diingatkan, proposal yang telah diluluskan tidak memberi jaminan seratus-peratus bahawa karya anda itu akan diterbitkan. Anda haruslah bersedia untuk mengubah, mengurangkan atau menambah jalan cerita mengikut kemahuan penerbit.

Sekian sahaja perkongsian saya untuk kali ini. Nantikan post saya yang seterusnya - "Saya Sedang Menulis"


Saya bersama penulis terkenal, Ummu Hani Abu Hasan dan juga Pn Shamsiah dari Galeri Ilmu dan Pn Rusiah dari Perpustakaan Negara. Pada waktu itu, kami sedang menguruskan perjanjian untuk Projek Buku Perpustakaan Desa.

~semoga niat kita ikhlas.



0 Pandangan:

Post a Comment