Assalamualaikum wbt.
Jumaat lalu, saya dihadapkan dengan beberapa ujian kecil dan agak kelakar.
Pada hari berkenaan, saya tidak ke ofis kerana ada temuduga dengan Maybank di sebelah petangnya. Waktu yang dijanjikan adalah pukul 3.30 petang di Menara Maybank. Saya kena pergi lebih awal kerana perlu menunaikan solat Jumaat. Jadi, pada pukul 11.30 pagi saya sudah keluar rumah.
Biasanya jika saya hendak pergi ke Kuala Lumpur, saya lebih gemar menggunakan kenderaan awam (public transport) berbanding memandu kereta. Selain dapat mengelakkan kesesakan lalu lintas, duit minyak dan tol dapat dijimatkan.
Saya menaiki KTM dari Kajang menuju ke Bandar Tasik Selatan. Entah sudah berapa tahun agaknya saya tidak pernah menaiki LRT. Papan tanda tidak diletakkan dengan jelas dan ramai pengguna yang keliru untuk menunggu di platform yang mana satu, termasuklah saya. Tetapi entah mengapa saya begitu yakin untuk menunggu di platform di sebelah kanan, yang menuju ke Sri Petaling (Geografi failed)
LRT yang menuju ke Sentul Timur sudah tiba di platform yang satu lagi. Saya memandang sahaja dari jauh. Dalam hati, "kenapa aku rasa macam sebelum ni aku tunggu di platform tu ya?" Kemudian, setelah LRT berkenaan berlalu pergi, saya terdengar seorang wanita bertanya pada seorang pakcik.
"Pakcik, tren ke Plaza Rakyat akan berhenti di platform mana?"
"Platform yang sana," jawab pakcik berkenaan.
Tahulah saya bahawa saya baru sahaja terlepas tren. Saya pun berjalan ke platform berkenaan. Terasa menyesal kerana tidak bertanya awal-awal.
Beberapa minit kemudian, tren LRT pun tiba. Oleh kerana saya mahu solat Jumaat terlebih dahulu, maka saya membuat keputusan untuk berhenti di stesen Masjid Jamek. Namun apabila saya tiba sana, saya lihat ramai orang berkumpul di luar masjid. Apakah sudah terjadi?
Sehelai kain rentang bertulis - "Masjid ditutup kerana proses penambaikbaikan sedang dijalankan"
Aiseh, nak solat kat mana ni? Saya bukannya mahir sangat dengan selok-belok di KL. Jadi saya mengambil keputusan untuk mengikut sahaja orang yang beredar dari situ. Mungkin mereka menuju ke masjid yang lain.
Rupa-rupanya Masjid Jalan India terletak berdekatan sahaja. Tetapi bayangkanlah, jemaah di masjid berkenaan sudah terlalu ramai, terpaksa menampung jumlah jemaah yang datang dari Masjid Jamek pula. Namun syukur, saya masih mendapat tempat, biarpun di luar masjid. Akan tetapi...
Hujan rintik-rintik dah mula turun. Kebanyakan jemaah mulai resah, tetapi kami cuba bertahan. Namun apabila hujan semakin lebat, kami terpaksa beredar ke tempat teduh. Mujur saya bertindak pantas. Sempat saya menyelit di celahan jemaah.
Selesai solat Jumaat, saya dapati kasut dan selipar berselerakan. Mungkin ianya terjadi setelah orang ramai bersesak-sesak mahu mencari tempat teduh sebentar tadi. Saya bertawakkal sahaja. Perlahan-lahan saya cari kasut kulit hitam yang saya perlu pakai untuk temuduga sebentar lagi.
Alhamdulillah ada. Cuma, air sudah bertakung dalam kasut itu. Mahu tidak mahu, saya kena pakai juga. Brr sejuknya... Oh ya, hujan masih turun. Kata orang, sediakan payung sebelum hujan.
Dan saya terlupa bawa payung.
Berjalanlah saya ke Menara Maybank dengan kasut yang basah dan hujan yang masih turun.
Setiba di Menara Maybank, saya naik lif ke tingkat 44. Seorang wanita yang mengenali saya mempelawa saya ke meja pendaftaran. Saya pun berjalan dan berjalan dan .... ops!
Saya terpijak kolam yang direka untuk perayaan Deepavali. Alamak, ada beberapa lilin yang penyek dipijak saya. Beras-beras berwarna juga sedikit bersepah. Saya meminta maaf dan cuba untuk mengemaskan apa yang perlu.
Syukur sesi temuduga berjalan dengan lancar.
Apabila dikenang semula, agak kelakar juga rasanya.
___________________________________________
Mungkin anda juga pernah mengalami beberapa perkara yang boleh dianggap malang dalam satu hari. Tetapi sebagai seorang Muslim, kita tidak boleh menyimpulkan konklusi bahawa hari tersebut merupakan "hari malang" atau "hari nasib tak baik" atau "my worst day ever!" Kerana setiap yang berlaku itu sudah tentu ada hikmahnya. Kita perlu beriman dengan qada' dan qadar yang telah ditentukan Allah SWT.
"Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku) tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepada-Nya aku berserah diri dan Dia lah yang mempunyai Arasy yang besar" [at-Taubah, 9:129]
~semoga niat kita ikhlas
Lawak.. lawak.. sabar sahajalah.. :) good luck for the job!
ReplyDeletedugan... dugaan... sabar jelah... (=.=)
ReplyDeleteHafizi dan Adham: Ya, bersabar adalah jalan terbaik untuk mengawal emosi :)
ReplyDelete