Iwan Reaz - Sedingin Salju

Iwan Reaz - Itulah Impianku

Followers

Sunday, November 4, 2012

SEBELUM SAYA MENULIS


Assalamualaikum wbt.

Ramai yang mahu menulis, tetapi  tiada strategi. Malah, ramai yang mempunyai idea yang sering bercambah di kepala, namun tidak tahu bagaimana mahu menzahirkan ke dalam bentuk penulisan. Jadi, untuk post kali ini dan post-post yang akan datang, sukacita untuk saya berkongsi beberapa tips penulisan.

Perkongsian ini tidak menunjukkan saya sebagai seorang penulis yang mahir, namun saya sekadar mahu berkongsi pandangan dan tips untuk semua.

1. Apa Niat Saya Mahu Menulis?

Dalam segala urusan, niat adalah penting. Tanpa niat yang betul, perkara yang baik pun boleh terpesong. Sama juga sekiranya kita mahu menulis. Apakah tujuan kita mahu menulis?

Adakah kita mahu menempa nama dan menjadi popular? Adakah kita mahu memperolehi sumber pendapatan yang lumayan secara berterusan?

Sekiranya kita menulis kerana sebab-sebab di atas, maka tidak hairanlah jika kita sanggup melakukan apa sahaja, asalkan karya kita laris dipasaran!

Perlu diingatkan, sekiranya pembaca terpengaruh dengan hasil karya kita, maka kita juga akan menerima sahamnya. Sebagai contoh, sekiranya kita menyelitkan mesej-mesej berguna di dalam penulisan seperti amalam-amalan sunat yang boleh dilakukan pada hari Jumaat, maka apabila pembaca yang mengamalkannya, kelak nanti ganjarannya pahala akan turut diberikan kepada kita, walaupun setelah kita tiada lagi di dunia.

Kerana itu, ada penulis yang mengharapkan, agar penulisannya mampu menjadi tiket untuk membantunya di kubur kelak. Ini kerana ilmu yang bermanfaat yang disampaikan melalui penulisan, akan terus membantunya sekiranya ada individu yang mengamalkannya.

Sebaliknya, perkara yang sama juga akan berlaku apabila anda menyelitkan unsur-unsur tidak baik di dalam penulisan. Apabila ada pembaca yang terpengaruh dengan perkara tidak baik itu, maka dosa akan turut terpalit pada penulis. Bayangkan sekiranya 10,000 pembaca terpengaruh dengan karya anda, betapa banyak dosa yang perlu anda kongsi bersama mereka.

Saya pernah diminta oleh seseorang untuk menulis karya yang bertemakan cinta yang penuh kontroversi, penuh konflik, disusuli adegan ghairah, supaya dapat menarik minat lebih ramai pembaca. Menurutnya lagi, jalan cerita sebegini memang mendapat sambutan hangat. Karya pasti akan menjadi laku keras di pasaran dan pulangannya sudah tentunya berlipat kali ganda.

Jika dilihat pada mata kasar, tawaran ini sangat menarik. Tetapi apakah saya sanggup melabur dosa demi kesenangan hidup di dunia semata? Buat masa ini, saya tidak sanggup sama sekali. Doakan hati saya tidak mudah cair dengan janji-janji duniawi itu. Saya mahu terus meletakkan unsur tarbiah di dalam karya saya. Sama ada karya saya popular atau tidak, itu saya tidak ambil pusing. Yang penting, para pembaca mendapat manfaat. Popular dan royalti yang banyak itu hanya bonus.

Saya tidak nafikan, royalti hasil penulisan itu juga merupakan salah satu matlamat mengapa ramai penulis memilih untuk berkarya. Akan tetapi, faktor tersebut haruslah diletakkan di bawah sekali. Rezeki ditentukan Allah, bukan penerbit. Jadi, mengapa perlu risau? Kita hanya perlu terus berusaha dan menghasilkan karya yang terbaik!

Jadi, apakah niat anda mahu menulis?

2. Kenali Jenis Penulisan Yang Mahu Ditulis



Novel? Cerpen? Puisi?
Seram? Cinta? Komedi? Aksi?

Anda tentunya pernah dengar, “you are what you read” (anda adalah apa yang anda baca). Jadi, sebelum anda memulakan penulisan, rancang dahulu genre dan bentuk penulisan yang anda mahu tulis berdasarkan minat anda sendiri apabila membaca karya penulis lain.

Seperti saya sendiri, rakan saya begitu gemar membaca puisi-puisi yang saya karang.Namun saya akui saya memang tidak meminati penulisan puisi. Malah, saya kurang berminat untuk menghadiri majlis mendeklamasikan sajak.  Jadi, saya lebih fokus pada bidang yang saya minati, iaitu penulisan novel. Memberi tumpuan yang lebih kepada perkara yang kita minat, membolehkan kita berkarya dengan sepenuh hati, ikhlas dan yang penting, kita seronok melakukannya.

Untuk mencuba sesuatu yang baharu pula, tiada salahnya. Tetapi sebolehnya buatlah kajian terlebih dahulu berkenaan jenis penulisan berkenaan.

Anda mungkin hebat menulis novel, tetapi belum tentu anda boleh menulis cerpen. Jadi, terima kekurangan itu seadanya. Fokus pada yang diminati terlebih dahulu. Setelah itu, barulah anda boleh mula berjinak-jinak dalam bidang yang baharu. Yang penting teruskan berusaha.

Boleh jadi juga anda minat pada genre A, tetapi pakar mengarang genre B. Maka, bereksperimen juga satu langkah yang baik. Dapatkan pandangan daripada rakan-rakan, pembaca blog, ahli keluarga dan lain-lain yang dirasakan mampu mengubah anda jadi lebih baik, bukan menjatuhkan.

3. Adakah Saya Tidak Berbakat Untuk Menulis?

“Ramainya blogger. Ramainya penulis buku dan novel. Bagaimana aku mahu jadi seperti mereka? Adakah aku berbakat seperti mereka? Malunya aku sekiranya mutu penulisan aku tidak setanding mereka…”

Mungkin anda berbakat, namun perkara-perkara seperti di atas sering menjadi penghalang bagi anda untuk terus berkarya. Di sini saya ingin berkongsi pengalaman saya semasa mahu menjejakkan diri ke dalam bidang penulisan.

Saya mula menulis novel semasa di tingkatan dua. Sebaik tamat peperiksaan akhir, kebanyakan aktiviti yang popular ketika itu adalah bermain kad. Saya sudah bosan. Saya mahu sesuatu yang baharu. Akhirnya saya memilih untuk menulis novel. Walhal saya tidak pernah merasakan saya berbakat. Saya mahu mencuba sahaja.

Novel yang bertajuk “Kau Sahabat Kau Teman” berjaya saya siapkan sebelum tamatnya cuti akhir tahun. Saya gigih menaip di komputer setiap hari tanpa sebarang rujukan. Saya tidak merancang pun bagaimana jalan ceritanya. Saya menulis dahulu, dan kemudiannya berfikir apakah yang akan terjadi seterusnya. Langsung tiada strategi yang efisien.

Semasa di tingkatan tiga, saya mula menyertai pertandingan esei yang dianjurkan pihak sekolah. Alhamdulillah, walaupun tidak pernah bergelar juara, nombor dua atau tiga akan berada dalam genggaman saya. Saya mula menyedari subjek Bahasa Melayu bukanlah satu subjek yang sukar bagi saya, apatah lagi untuk membuat karangan panjang. “Tibai” saja, nanti mesti dapat A.

Sejak itu, saya berpendapat, bahawa saya mungkin berbakat dalam bidang penulisan kreatif. Tetapi saya langsung tidak pernah cuba untuk menghasilkan karya baharu setelah tamatnya novel “Kau Sahabat Kau Teman.” Sehinggalah saya disyorkan membaca novel “Ayat-Ayat Cinta” oleh seorang rakan saya, Junaidi, semasa di kolej INTI, saya berasa tertarik untuk menghasilkan novel saya sendiri.

Namun, saya berasa rendah diri. Mungkin di sekolah dahulu saya pandai menulis karangan, tetapi untuk menghasilkan novel, saya berasa malu. Lebih-lebih lagi melihatkan rakan-rakan saya seperti Junaidi, Baihaqi, Farhan, Hafizuddin dan ramai lagi yang rajin menulis blog yang hebat-hebat, sedangkan blog saya…. Alahai…. Tak menarik pun. Saya menjadi lemah. Saya merasakan diri saya tidak berbakat. Apatah lagi jika hendak bersaing dengan penulis-penulis lain yang sudah menempa nama.

Pun begitu, saya cuba juga untuk memulakan penulisan karya saya yang terbaharu. Takdir, setelah beberapa bab disiapkan, laptop saya rosak. Tukang baiki laptop saya pula dengan sesuka hatinya telah “format” laptop saya tanpa meminta izin terlebih dahulu. Habis semua dokumen, kerja, gambar, video, lagu, hilang begitu sahaja, termasuklah karya yang sedang saya tulis itu. Arghhh, mahu menjerit rasanya. Saya berputus asa.

Hari bersilih ganti. Idea mencurah-curah di kepala saya bagaikan air terjun. Di sudut hati saya, saya merasakan rugi sekiranya ilham yang hadir itu akan lenyap begitu sahaja. Maka, saya pun menyimpan idea-idea tersebut di dalam laptop. Semakin lama semakin banyak yang disimpan. Akhirnya saya kumpul kesemua idea itu dan menggabungkannya menjadi sebuah cerita.

Dengan izin Allah, terhasillah sebuah novel yang bertajuk “Melodi Hati”. Tanpa sebarang pendedahan formal berkenaan dunia penulisan kreatif, tanpa sebarang dorongan daripada mana-mana pihak (saya rahsiakan perkara ini daripada pengetahuan ibu bapa), siapa sangka kini saya bergelar seorang penulis. Berbekalkan usaha dan yakin dengan bakat yang dianugerahkan-Nya, insya-Allah kita mampu mengorak langkah dalam bidang penulisan.

Sekiranya anda merasakan usia muda satu penghalang, ketahuilah bahawa ada penulis novel yang berjaya menghasilkan novel pertamanya pada usia 13 tahun!

4. Membaca, Membaca, Membaca, Membaca, Menulis.



Ada yang mengatakan, seorang penulis yang baik perlu memperuntukkan masa membacanya sebanyak empat kali ganda daripada masa beliau menulis. Ada juga penulis popular yang saya temui, dia mengatakan dia langsung tidak minat membaca, hanya minat menulis sahaja. Mungkin penulis yang sebegini memang berbakat sejak azali dan ilmu yang diperolehinya datang daripada sumber yang lain.

Pada pandangan saya pula, membaca itu adalah sangat penting bagi seorang penulis. Namun, saya tidak spesifikkan jenis pembacaan kepada para penulis. Tidak kisahlah, majalah, komik, novel, buku motivasi atau apa sahaja, asalkan ianya tidak bercanggah dengan syariat Islam. Namun, saya tidak menggalakkan dan menegah membaca buku atau majalah hiburan berbentuk gosip. Ianya penuh dengan gambar-gambar liar dan fitnah berleluasa yang hanya menambah dosa, tetapi ilmu tidak pula bertambah.

Pun begitu, saya tidak menghalang kanak-kanak untuk membaca komik. Saya sendiri banyak membaca komik dan sehingga kini, saya masih tegar mengumpul dan membaca komik. (Namun waspada dengan kehadiran komik-komik berunsur lucah dewasa ini). Pada pandangan saya, membaca komik dapat membantu meningkatkan dan mengembangkan daya imaginasi kita, yang mana ianya adalah salah satu elemen penting bagi seorang penulis untuk mendapatkan lebih banyak idea.

Melalui pembacaan buku-buku berbentuk islami, motivasi, ilmiah, kita dapat memperolehi banyak ilmu pengetahuan yang bukan sahaja bermanfaat untuk penulisan kita, malah dapat diaplikasikan ke dalam kehidupan seharian. Sekiranya kita mahu menulis buku yang bergenra sebegini, maka adalah penting untuk kita menimba ilmu sebanyak mungkin. Jangan pernah merasakan ilmu di dada sudah cukup banyak. Sesungguhnya ilmu Allah itu sangat luas. Carilah dan timbalah ilmu selagi hayat masih di kandung badan dan sebarkannya kepada orang lain supaya ianya bukan sekadar bermanfaat untuk diri sendiri, malah kepada masyarakat di sekeliling kita.

Buku-buku berbentuk novel pula, adalah berguna untuk kita mempelajari teknik penceritaan yang berkesan. Melalui pembacaan pelbagai jenis novel yang ada di pasaran, kita dapat mengenal pasti teknik yang manakah dapat menarik minat pembaca. Selain itu, kita juga dapat mempelajari format penulisan yang betul. Sebagai contoh, penggunaan dialog, monolog, tanda baca dan macam-macam lagi. Sama seperti komik, novel juga dapat membantu para pembaca untuk mengembangkan daya imaginasi yang kreatif.
___________________________________________

Setakat ini dahulu perkongsian saya. Insya-Allah, nantikan post seterusnya - Saya Mahu Menulis!

Saya bersama Hilal Asyraf dan Ila Husna, semasa Ekspo Buku Islam di KL Sentral baru-baru ini.

~semoga niat kita ikhlas

3 Pandangan:

  1. Sangat berbangga ada penulis sebegini. Semoga teruskan berkarya dan memberikan sumbangan untuk umat. Bittaufiq wannajah.

    ReplyDelete
  2. Sangat berbangga mempunyai sahabat penulis sebigini. Penulisan yang sangat memberikan ilham. Teruskan berkarya. Bittaufiq wannajah.

    ReplyDelete
  3. Sahabat Hafizi yang dirahmati Allah.
    Semoga saudara juga akan terus menulis dan berkarya demi Allah agar bermanfaat untuk umat.
    -semoga niat kita ikhlas :)

    ReplyDelete