Iwan Ghazali (Iwan Reaz)

Aku pencinta impian, menulis bukan menagih kekayaan, sekadar mendamba secebis keredhaan.

Iwan Ghazali (Iwan Reaz)

Aku pencinta impian, menulis bukan menagih kekayaan, sekadar mendamba secebis keredhaan.

Brr... Sejuknya Salji!

Novel Terkini
[ Pandangan Pembaca Novel ]

Iwan Reaz - Sedingin Salju

Iwan Reaz - Itulah Impianku

Followers

Saturday, March 5, 2011

Spring Break 2011

Assalamualaikum w.b.t

Iwan kini sedang bercuti selama seminggu sempena Spring Break. Alhamdulillah, permulaan cuti malam tadi telah diisi dengan perkara bermanfaat insyaAllah. Selepas usrah, Iwan dan kawan-kawan bermain bola di kala sejuk masih mencengkam sehingga ke tulang. Balik daripada bermain bola, Iwan menyambung karya penulisan sehingga pukul 3 pagi.

Sekadar mahu berkongsi, cuti kali ini Iwan agak sibuk dengan aktiviti berikut:

1) Menyiapkan assignment kelas Probability

2) Membuat assignment kelas Mosaic berkaitan buku Freud

3) Membuat latihan Act Sci Modelling 2.

4) Membuat latihan chapter Markov Chain untuk kelas Probabilities Theories. (MATH033)

5) Menyemak salinan pruf novel Hazim, Aizat & Muzik (dateline 7 Mac)

6) Mengemaskini perkembangan buku Siri Fabel Kanggaru.

7) Menyiapkan karya Diari Untuk Ibu beserta proposalnya.

8) Shooting short movie Temple University.

9) Edit movie tersebut.

10) Berehat secukupnya untuk menghadapi sessi ke-2 semester Spring 2011 ini.

Moga-moga Allah permudahkan segala urusan yang mahu dilaksanakan ini agar semuanya dapat ditempuhi dengan sempurna dan penuh lancar.

Allahumma yassir wa la tuassir



terkenang memori spring break tahun lalu. Iwan meluangkan waktu cuti bersama Ahmad.

~semoga niat kita ikhlas

Thursday, February 24, 2011

Novel Pertama - Beruk

Assalamualaikum wbt.

Bak kata sasterawan negara, A. Samad Said, seorang penulis haruslah melakukan 5 perkara ini: Yang pertama- membaca. Yang kedua-membaca. Yang ketiga-membaca. Yang keempat-membaca. Yang kelima, barulah menulis.

Jadi, untuk post kali ini, Iwan mahu berkongsi dengan pembaca sekalian tentang novel pertama yang Iwan miliki. Ketika itu Iwan berada dalam darjah 1 atau 2, (kurang pasti).



Tajuk novel tersebut adalah Beruk. Penulisnya, Azizi Abdullah. Menceritakan tentang kehidupan seorang murid sekolah rendah yang bernama Alias. Dirinya dibelenggu kemiskinan, tetapi tetap cekal dan tabah untuk menimba ilmu. Dia mempunyai teman rapat yang bernama Pon, seekor beruk peliharaan. Pon membantu Alias memetik buah kelapa di kampung untuk mendapatkan wang.

Ada seorang guru di sekolah Alias yang garang dan sering bertindak kejam terhadap Alias. Nama cikgu itu adalah Cikgu Sunan. (Iwan bengang dengan cikgu seorang ni. Tak patut betul dia pilih kasih dengan anak-anak murid dia). Tetapi Alias tidak menyimpan dendam walaupun pernah ditampar oleh Cikgu Sunan sehingga telinganya menanah (bahasa dalam novel itu).

Entah apa agaknya yang membuatkan Iwan tertarik untuk meminta ibu Iwan membelikan novel itu. Rasanya, disebabkan ketika Iwan membelek-belek kandungan buku itu, ada satu bahagian yang cukup syahdu untuk ditatap. Gambar Alias memeluk ibunya sambil menangis, di satu sudut kelihatan tangan Cikgu Sunan berdarah, dan di atas tanah tubuh Pon terbujur kaku dengan sebilah lembing tercacak di dadanya.

Perasaan dan jiwa Iwan bagaikan disentap-sentap untuk mengetahui perihal yang sebenar. Jadi, jika anda juga mahu tahu apakah yang telah berlaku, (apakah Cikgu Sunan memang jahat orangnya) atau … ? Kalian bolehlah dapatkan novel ini di pasaran. (cover novel yang sekarang ini tak sama dengan yang Iwan miliki sewaktu kecil. Gambar ketika itu adalah gambar Alias dengan Pon di bahunya).

p/s- Rumusan cerita ini langsung tidak dirujuk semula. Iwan masih ingat serba sedikit dan sekiranya ada kesilapan, harap maaf.

~semoga niat kita ikhlas

Monday, February 14, 2011

Salam Maulidur Rasul

Salam.

Esok hari Selasa. Kalau ikut kalendar Masihi, 15 Februari. Kalau ikut kalendar Hijrah, 12 Rabiulawal. Dalam banyak-banyak sambutan ulang tahun, sambutan untuk esok hari adalah yang paling agung, yakni, Maulidur Rasul. Itu kata saya. Iyakah? Kata-kata yang ikhlas lahir daripada hati atau sebab nak ikut orang lain?

Nenong...! Nenong...! Nenong...! (bunyi siren ambulans).

Saya terlantar sakit. Kamu sedang nazak. Kita sama-sama sedang berdepan dengan sakaratul maut. Aduh, peritnya, seksanya. Apakah yang bermain dalam fikiran kita waktu ini?

"Ibu! Maafkan saya ibu! Ayah! Ampuni salah silap saya ayah!
Isteriku, jaga anak kita baik-baik! Besarkan mereka dengan penuh kasih sayang.
Keluargaku, jaga hartaku. Pelihara namaku.
"

"Nanti ada cek royalti, siapa yang nak tanda tangan?"

Aduh! Banyaknya perkara mahu ku fikirkan sebelum tibanya ajalku.

Itu kita. Kan?

Di saat hujung nyawa, Rasulullah pula teringatkan ummatnya. Apa yang baginda sebut? Ummati, ummati, ummati (umat ku, umat ku, umat ku).

Begitulah cintanya baginda Rasulullah terhadap umatnya, sehingga di akhir hayatnya, baginda masih menyebut-nyebut umatnya. Begitulah rindunya Rasulullah. Tetapi, kita kah umatnya yang dirindui dan dicintai itu?

Kita tak pernah pun bertemu Rasulullah, Kita tak pernah pun bercakap dengan baginda. Betulkah kita cinta baginda? Atau mulut sahaja yang manis berbicara?

Rasulullah tinggalkan kita 2 perkara. Kitab suci Al-Quran dan sunnahnya. Persoalan pertama, apakah setiap hari kita membaca Al-Quran? Apakah kita menyemak pula tafsirannya? Lalu apakah kita mengamalkan isi-isi di dalamnya?

Persoalan kedua, apakah kita mengamalkan sunnah baginda? Apakah hanya kahwin 4 sahaja yang dipandang di mata lelaki? "Oh, kahwin 4 kan sunnah nabi". Tapi bila bab solat berjemaah di masjid, tangan di bahu mata ke atas? (ini peribahasa baru). Sunnah-sunnah yang lain bagaimana?

Apa benar kita cinta Rasulullah? Setiap hari berapa kali kita berselawat ke atas baginda?

Terlalu banyak persoalan yang hendak dirungkai. Apakah kita tergolong dalam golongan umat yang dirindui atau dikasihi Rasulullah itu? Atau kita hanya terperasan dan syok sendiri sahaja selama ini?

Wahai pembaca yang budiman, sempena hari Maulidur Rasul yang mulia ini, saya mengajak kita semua bermuhasabah diri. Andai selama ini kita terleka, marilah kita kembali mengenal kekasih sebenar kita ini. Sama-sama kita berselawat, bukah sekadar di hari Maulidur Rasul, tetapi teruslah membasahkan bibir anda dengan selawat setiap hari, yang fadhilatnya jauh lebih baik daripada kita menyanyi-menyanyi lagu yang tidak berfaedah.



~semoga niat kita ikhlas.

Sunday, February 6, 2011

Diari Untuk Ibu

Salam.

Semoga rakan-rakan, pengunjung blog ini, semuanya sihat-sihat belaka.

Alhamdulillah, jadual waktu penulisan Iwan semakin tersusun dan ilham bagaikan laut yang sedang pasang. Kini, Iwan sedang menulis sebuah novel baru yang bertajuk - Diari Untuk Ibu. Sebuah novel yang sarat dengan emosi, tragis dan meruntun jiwa. Sudah lebih separuh novel ini disiapkan dan insya-Allah, Iwan sasarkan novel ini menjadi buku yang ke-4, dan akan diterbitkan dalam tahun 2011 juga. Semoga Allah permudahkan rancangan ini.

Jadi, dengan rasa rendah diri, Iwan mahu berkongsi permulaan Diari Untuk Ibu di post kali ini.

Assalamualaikum.

Apa khabar ibu? Izz doakan ibu sihat sejahtera, tersenyum sentiasa. Entah bila agaknya ibu membuka dan membaca diari ini ya?

Ibu, sudah hampir sebulan peristiwa 9 Disember berlalu. Namun, kenangan pahit itu tidak mungkin akan terpadam dari ingatan Izz. Mana mungkin Izz dapat lupakan saat-saat cemas dan penuh mendebarkan itu.

Selepas kejadian 9 Disember, ibu menghilang. Ramai yang mencari ibu, namun hampa. Izz juga mahu turut serta, namun pasukan polis dan keselamatan menghalang niat murni Izz ini. Izz sangat sedih apabila nama ibu diumumkan sebagai salah seorang mangsa yang terkorban dalam tragedi berkenaan. Saban hari Izz menangis terkenangkan ibu.

Walaubagaimanapun, Izz berasa sangat yakin bahawa ibu masih hidup. Hati ini masih mengatakan ibu masih bernyawa, masih lagi gagah berdiri di suatu tempat, di satu kawasan yang tersembunyi. Sebab itulah orang ramai tidak menemui ibu. Izz juga pasti, suatu hari nanti pasti ibu akan muncul semula di hadapan pintu rumah kita ini. Jika tidak pun, Izz sendiri yang akan pergi mencari ibu sehingga kita bertemu.

Jadi, sepanjang ketiadaan ibu di sisi Izz, akan Izz catitkan segala peristiwa yang berlaku dalam tempoh penuh menyakitkan ini. Tujuannya, agar sekembalinya ibu nanti, ibu akan mengerti betapa kerinduan Izz dan adik-beradik yang lain, tidak pernah berbelah bahagi. Juga, akan Izz jadikan diari ini untuk Izz luahkan segala perasaan dan emosi yang melanda diri Izz.
Ibu, maafkan Izz sekiranya ada bahasa yang terkasar sepanjang Izz menulis diari ini. Harap ibu akan memaafkan Izz. Semoga Izz juga sentiasa dalam ingatan ibu.

Salam sayang jua rindu,
daripada anakmu …
Izz Akmal



______
~semoga niat kita ikhlas

Tuesday, January 25, 2011

Check-In

Salam.

Andai diatur nadanya dengan tinggi, bunyinya seakan check-mate. Kebanggan tatkala berjaya menumpaskan pihak lawan dalam permainan catur. Tetapi bukan catur yang mahu dibicarakan dalam ruangan kali ini. Sebaliknya, kita kembali semula dengan tajuk yang terpampang di atas, yakni Check-In.



Di ruangan sosial popular, facebook, elemen check-in telah ditambah oleh pihak facebook bagi memberi peluang kepada penggunanya untuk menyatakan di mana kedudukan pengguna pada masa-masa tertentu.

Pada awalnya, saya tidak pasti apakah manfaatnya elemen check-in ini untuk digunakan? Saya pun berfikir, dan memerhati…

Mengambil jangka masa tertentu bagi menyimpul konklusi, saya terpanggil untuk mengajak semua rakan-rakan agar tidak menyalahgunakan elemen check-in ini. Mengapa?

Saya dapati, manusia mudah untuk menjadi riak dan takbur apabila mereka check-in di suatu tempat yang menarik untuk dikunjungi. Sebagai contoh, seseorang yang sedang melawat Eiffel Tower di Paris, lalu terus check-in namanya di lokasi berkenaan. Dia mahu rakan-rakan mengetahui bahawa dia pernah sampai di situ, kemudian membuat yang lainnya berasa iri hari atas pencapaiannya itu.

Mahu menafikannya? Tetapi mengapa di saat masih sepuluh batu dari destinasi hati sudah berkobar-kobar mahu check-in?

Saya pun merasakan hal yang sedemikian setiap kali check-in di tempat-tempat menarik. Rasa bangga dan ujub itu hadir, walaupun sekecil-kecil debu. Saya tiup jauh-jauh. Saya cuma mahu keluarga saya senang hati melihat saya selamat sampai di destinasi. Itu sahaja. Tetapi rasa bangga itu tetap ada di setiap kali saya check-in. Saya benci perasaan sebegitu.

Saya tidak mahu membuat tuduhan melulu. Jadi, pernah saya temubual beberapa orang. Mengapa kamu check-in?

Nak beritahu oranglah, kita dah pernah sampai situ.

Buat orang jealous. Hahaha!

Nampaknya deria saya membuat tekaan yang tepat. Ramai yang check-in untuk menunjuk-nunjuk.

Jadi, andai kamu juga check-in atas niat yang sama, maka, tinggalkanlah perbuatan itu sejauh mungkin. Namun, jika kamu ada sebab yang ikhlas, mahu menyatakan pada keluarga bahawa kamu selamat tiba, tidak mengapa. Cuma, bersihkan tindakan kamu daripada sifat riak dan takbur.

Imam al-Ghazali dalam kitab 'Ihya Ulumuddin' berkata, takbur akan menjadi batas pemisah antara seseorang dengan kemuliaan akhlak. Orang takbur akan selalu mendustakan kebenaran, menganggap rendah orang lain dan meninggikan dirinya. Sedikit saja di hati ada sikap takbur, maka syurga akan menjauh, amalan tidak mempunyai erti.

Nota: Penjenayah mengambil kesempatan dengan mengetahui seseorang tiada di rumah setelah check-in di sesuatu tempat. Jangan jadikan diri anda sebahagian daripada statistik mangsa jenayah ini.

~semoga niat kita ikhlas.

Monday, January 17, 2011

SKETSA 2

Salam.

Mempersembahkan sketsa seterusnya.

Lokasi: Atas kapal cruise.



Iwan dan rakan-rakan baru sahaja selesai menikmati makan tengah hari secara buffet di Garden Cafe. Untuk pulang ke bilik, ada banyak laluan. Laluan terdekat pada masa itu, kena melalui pusat judi (Casino).

Kami memilih untuk melalui Casino berkenaan. Di dalamnya, kelihatanlah manusia yang umpama robot di hadapan mesin-mesin judi. Tret. Tret. Tret. Mereka menanti paparan skrin itu mengeluarkan satu barisan gambar yang sama. Gagal. Diulangi lagi. Gagal. Mengharap nasib semata-mata. Itukah kehidupan?

Selepas melepasi Casino (Iwan sebenarnya lupa kejadian ini berlaku sebelum atau selepas Casino, tapi tak mengapalah), ada seseorang menegur kami.

"Assalamualaikum! Saya Abdul M" (Namanya dirahsiakan)

"Waalaikumussalam", jawab kami sambil ternganga.

Lelaki yang memberi salam itu sedang menggoncang arak. Dia berdiri di dalam bar arak. Setelah berkenalan, rupa-rupanya dia bekerja sebagai pelayan di situ.

"Aku cari rezeki di sini."

Pengajaran:

Nak cari rezeki, pastikan kerja kita itu halal. Ramai yang tak kisah dari mana datangnya duit itu. Malah, masih ada yang jahil tentang sumber rezeki ini. Ada yang mengatakan, tak mengapa kerja di bahagian arak, asal jangan minum sudah. Tanggapan itu umpama tafsiran yang dibuat logik akal semata tanpa mempedulikan hukum agama.

Halal bukan sekadar dalam mencari sumber pendapatan, tetapi semua perkara di dalam kehidupan seharian kita juga mestilah bebas daripada perkara-perkara yang haram. Belia kini seakan sudah tidak kenal halal haramnya. (Berpelukan dengan bukan muhrim, berpegangan tangan, mengambil harta orang lain, dan macam-macam lagi).

Semoga Allah memberikan taufiq dan hidayah pada kita semua, dan juga pekerja di bar itu.

~semoga niat kita ikhlas