Iwan Ghazali (Iwan Reaz)

Aku pencinta impian, menulis bukan menagih kekayaan, sekadar mendamba secebis keredhaan.

Iwan Ghazali (Iwan Reaz)

Aku pencinta impian, menulis bukan menagih kekayaan, sekadar mendamba secebis keredhaan.

Brr... Sejuknya Salji!

Novel Terkini
[ Pandangan Pembaca Novel ]

Iwan Reaz - Sedingin Salju

Iwan Reaz - Itulah Impianku

Followers

Thursday, October 25, 2012

UCAPAN

Assalamualaikum wbt.

Selamat Hari Raya Aidiladha.

Mengambil ikhtibar daripada khatib yang membacakan khutbah pada pagi tadi di kawasan saya:

"biarlah akal fikiran kita berbeza pendapat, namun hati kita tetap bersatu."

Perbezaan pendapat itu satu rahmat. Korbankan ego dan nafsu kita bagi menghormati pendirian orang lain.

Sekian.

~semoga niat kita ikhlas.

Sunday, October 7, 2012

NOVEL PERTAMA YANG ...

Assalamualaikum wbt.

Novel pertama yang dimiliki
BERUK 
Azizi Haji Abdullah

Dibaca semasa darjah dua atau tiga (tak ingat). Gambar beruk kena tikam di awal novel menjadi tarikan utama untuk membeli dan membaca novel ini. Walaupun bahasa dan latar belakangnya agak lama, ceritanya masih segar dalam ingatan. Kasihannya Alias, gelagat Pon, Cikgu Sunan yang jahat, diabadikan cerita oleh seorang penulis yang sudah kembali ke rahmatullah. Al-Fatihah.


Novel cinta Islami pertama dibaca 

AYAT-AYAT CINTA
Habiburrahman El Shirazy

Dicadangkan oleh seorang kawan semasa di Kolej Inti. Junaidi namanya. Saya ingatkan pada awalnya buku ini adalah buku yang mengandungi ayat-ayat untuk mengorat. Jujur. Rupa-rupanya ianya adalah novel cinta Islami yang sangat bagus untuk dibaca. Selepas membaca novel inilah saya mula mendapat inspirasi untuk menjadi penulis novel.


Novel cinta konvensional pertama dibaca

SEINDAH RAHSIA
Afiqah Farzana

Kenapa saya malas nak baca novel cinta-cinta yang kurang Islamik? Sebab tebalnya novel itu sarat dengan cerita bersms, bertelefon, hantar e-mail, kalau sekarang ni ber-facebook, ber-twitter. Jadi, saya kurang seronok membaca kerana jalan cerita sebegitu. Tetapi novel ini saya baca juga kerana rasa ingin tahu. Juga, semasa saya membaca buku ini, saya ada kelapangan masa yang teramatlah lapang. Ketika itu dua semester terakhir di Temple University. Semester yang saya sangat free. Terjumpa pula lambakan novel di rumah Abg Bob dengan Kak Aifa. Apa lagi, pinjamlah...

Novel Bahasa Inggeris pertama dibaca

THE PHANTOM OF THE OPERA
Gaston Leroux
(Bukan cover seperti ini)

Seperti yang ramai maklum, saya ini bukanlah hebat berbahasa Inggeris. Sebelum mahupun sesudah tinggal di Amerika Syarikat untuk tempoh 3 tahun, saya punya Bahasa Inggeris masih di tahap yang biasa-biasa saja. (Peningkatan itu adalah, tetapi biasa-biasa saja). Jadi, baca novel Bahasa Inggeris pun, semasa hendak masuk tingkatan dua. Novel wajib untuk subjek Bahasa Inggeris di sekolah. (Anyway, sekarang saya sudah banyak beli novel bahasa Inggeris. Huhu...)

Novel Komik pertama dibaca

JIMI DAN RAKSASA MISAI
Fadhli Hamdan

Gabungan novel dan komik. Menarik! Editor Galeri Ilmu, En. Amir, menyarankan saya membaca buku ini. Saya rasa seronok sangat baca buku ini. Saya jadi peminatnya pula! Sekarang, saya dan sepupu saya, dalam proses menyiapkan proposal untuk menghasilkan buku berkonsep seperti ini untuk diterbitkan bersama Galeri Ilmu.

Novel pertama ditulis

(Maaf, tiada cover novel)

Semasa tingkatan dua, sebaik habis peperiksaan akhir tahun. Lumrah, masa tu teknologi belum canggih sangat lagi. Habis exam, main kadlah, main tutup botollah. Saya terfikir, hendak buat sesuatu yang lain daripada yang lain. Jadi, saya memilih untuk menulis novel. Maka, siaplah manuskrip pertama saya yang bertajuk "Kau Sahabat Kau Teman." Kisahnya mengenai dua orang sahabat yang baru tamat sekolah, mencari pengalaman hidup di Kuala Lumpur sementara menanti keputusan SPM. Persoalan cinta tetap tidak boleh lari. Sayangnya, manuskrip ini sudah hilang. Soft-copy pun sudah entah ke mana... Sejak itu, saya sudah malas hendak menulis lagi.


Novel pertama tulisan saya diterbitkan

MELODI HATI
Iwan Reaz (Iwan Ghazali)

Pada awal menulis novel ini, soft-copynya hilang apabila tokeh kedai sesuka meng-format laptop saya. Saya hilang semangat untuk meneruskannya. Selepas hampir setahun, ilham semakin banyak datang. Saya rasa rugi jika dibiarkan hilang begitu sahaja. Jadi sebelum ilham itu hilang, saya tulis di dalam komputer. Saya kumpulkan kesemuanya, dan susun satu persatu jalan ceritanya. Saya menyiapkan manuskrip novel ini secara diam-diam. Ibu bapa langsung tak tahu. Setelah siap, saya hantar ke Telaga Biru. Mereka berminat hendak terbitkan. Alhamdulillah. Sejak itu, saya semakin rancak menulis. Cita-cita yang tidak pernah saya terfikir sebelum ini

Sekian sahaja perkongsian saya kali ini.

~semoga niat kita ikhlas

Saturday, September 29, 2012

BELI BUKU SECARA ONLINE

Assalamualaikum wbt.

Kepada para pembaca yang menghadapi kesukaran untuk mendapatkan buku-buku karya Iwan Ghazali, anda boleh membeli terus daripada saya secara online.

1. Melodi Hati terbitan Telaga Biru (RM20 termasuk bayaran pos)

2. Hazim, Aizat & Muzik terbitan Galeri Ilmu (RM15 termasuk bayaran pos)

3. Brr Sejuknya Salji terbitan Galeri Ilmu (RM15 termasuk bayaran pos)

4. Trem Ke Pintu Syurga terbitan GKLN (RM20 termasuk bayaran pos)


5. Mata Naga (tulisan ayah saya) terbitan Dewan Bahasa (RM20 termasuk bayaran pos)

Cara-cara pembelian:

1. Bank-in jumlah bayaran mengikut kuantiti yang mahu dibeli ke dalam akaun bank pilihan:
Maybank- 162021405247
CIMB- 08090072989527

2. Setelah bank-in, simpan resit untuk rujukan.

3. E-mel kepada saya (iwanreaz@yahoo.com) butiran pembelian yang telah dibuat, buku-buku yang ingin dibeli serta berikan alamat kediamana anda.

4. Nantikan buku-buku tersebut sampai ke rumah anda!

Nota - Pos yang digunakan adalah pos biasa. Sekiranya anda inginkan pos laju, bayaran tambahan sebanyak RM5 akan dikenakan.

-Buku-buku saya juga boleh didapati di Kedai Buku MPH, Popular Book Store dan banyak lagi.

Terima kasih!

~semoga niat kita ikhlas

Friday, September 21, 2012

NEW YORK GIRL

Assalamualaikum wbt.

Ini karya yang terbaharu.

Sebelum ini judulnya "Aku Budak New York." Penerbit kata ianya seperti identiti penulis Ain Maisarah. Jadi saya mencari judul baru - "New York Girl." (NYG) Itupun masih belum final. Tajuknya mungkin ditukar lagi. Mungkin ya, mungkin tidak.

Saya boleh katakan antara semua karya-karya saya, novel ini adalah karya yang paling memerlukan saya untuk memerah otak sehingga hampir kering rasanya. Jika hendak dibandingkan dengan novel Brr Sejuknya Salji, idea mencurah-curah bagaikan hujan lebat. Tetapi untuk NYG, penulisan saya agak tersekat-sekat.

Dateline pertama - 31 Ogos 2012, saya gagal menyiapkannya. 

Kemudian saya diberi dateline baru - 21 September 2012. Saya fikir ianya mencukupi. Rupa-rupanya ... .

Masih sukar! Namun saya tidak sama sekali mengalah. Iphone menjadi teman setia. Ketika saya berbaring hendak tidur/ duduk menunggu diri ditemuduga / menunggu makanan yang dipesan sampai, saya akan mengarang menggunakan iphone. Kemudian apabila berada di hadapan laptop, saya akan copy paste semula semua yang sudah dikarang.

Itulah teknik saya! Jika saya serius di hadapan laptop untuk menulis, sehari satu bab pun sukar untuk dicapai.

Saya berjaya menyiapkannya pada petang 20 September, kemudian menyuntingnya semalaman (tidur hanya 4 jam), selepas solat Subuh saya sambung menyunting lagi. Alhamdulillah, pada pukul 9 pagi 21 September, saya berjaya menyiapkan manuskrip penuh novel ini. Ianya kemudian terus dihantar kepada penerbit.

New York Girl mengisahkan tentang apa?

Jika Brr Sejuknya Salji adalah kisah Syazwan, seorang anak Malaysia yang berpindah ke Amerika, situasi dalam NYG pula terbalik. Raqiyah, juga seorang anak Malaysia, tetapi dilahirkan dan dibesarkan di bandar New York. Kemudian bapanya membuat keputusan untuk kembali ke Malaysia. Bagaimana penerimaan Raqiyah? Ianya adalah satu cabaran yang besar!

Idea untuk menghasilkan karya ini datang semasa saya berada di Amerika. Saya lihat ramai anak-anak Malaysia yang dibesarkan di sana. Mereka faham Bahasa Melayu, tetapi sukar untuk bercakap dalam Bahasa Melayu. Mereka juga lebih gemar makanan barat berbanding masakan melayu.

Saya terfikir, jika mereka ini dibawa pindah ke Malaysia, bagaimanakah mereka mampu menghadapinya?

New York, sentiasa sibuk ...

Semoga Novel NYG ini akan menjadi kenyataan. Insya-Allah. Doa!

~semoga niat kita ikhlas

Friday, September 14, 2012

HATI YANG KAU LUKAI

Assalamualaikum wbt.

Tajuk sudah umpama lirik lagu.
Tajuk sudah emosional.
Emosionalkah post kali ini?

Harapnya tidak. Post kali ini bukan mengenai luahan hati dan perasaan, sepertimana yang kita banyak lihat di facebook/twitter/blog dan sebagainya.

Kali ini saya ingin berbicara mengenai hati. Bukanlah hati yang tersurat (organ dalaman), akan tetapi hati yang ingin diperkatakan adalah perasaan.

Apakah anda seorang yang sensitif? Perlukah anda berjiwa sensitif?

Pada saya, sifat sensitif ini perlu. Sebagai contoh, kita nampak seorang budak terjatuh. Kalau kita sensitif, kita akan menolongnya. Kalau kita tidak sensitif, kita beranggapan, alah, tahulah dia bangun sendiri.

Selain itu, sifat sensitif juga perlu dalam kita berkomunikasi dengan orang lain. Kalau kita main sedap cakap saja tanpa sedar kata-kata kita itu mengguris perasaan orang lain, ianya boleh menimbulkan permusuhan.

Sensitif pada persekitaran, bermaksud sensitif juga pada isu semasa yang berlaku. Jangan kita jadi katak bawah tempurung.

Ada orang kata saya ini terlalu sensitif. Mungkin benar. Apabila saya menonton drama, apabila adegan sedih, mesti tangkap sayu punya. Lagi-lagi kalau ada scene budak-budak menangis, kena dera ke... Lagi satu, apabila saya perasan ada perubahan pada riak wajah orang sekeliling saya setelah saya berkata sesuatu, saya menjadi bimbang. Bimbang andainya saya telah menyakiti hatinya. Secara tidak langsung, mood saya terganggu.

Mungkin saya agak sensitif, dan ini menjadi kelemahan buat diri saya. Tetapi dengan sifat inilah, yang telah mendorong saya untuk menulis. Apabila saya marah, saya zahirkan dalam penulisan. Apabila saya sedih, saa kongsi bersama dalam penulisan. Apabila saya gembira, saya beritahu orang secara terus dan juga tulisan (biasaya dalam fb).

Apa-apa pun, bersederhanalah. Saya pun mahu kurangkan sedikit perasaan sensitif ini. Adakalanya memang perlu untuk "tidak peduli" pun mengenai perasaan orang lain. Terlalu mengambil berat boleh memakan diri.

Sekian,
Wassalam.

~semoga niat kita ikhlas.


Tuesday, August 14, 2012

RIbut Irene Menjelang Aidilfitri


Assalamualaikum wbt.
(Sambungan daripada post sebelum ini)
Kesan Ribut Irene di negeri jiran, New Jersey

Kenangan mahu menyambut ketibaan Aidilfitri yang paling berbeza adalah pada tahun 2011. Beberapa hari sebelum datangnya bulan Syawal, kami yang berada di timur Amerika  dikhabarkan dengan Ribut Irene yang bakal melanda. Tidak pernah berdepan dengan bencana alam sebelum ini, saya dan rakan-rakan cuba untuk membuat persiapan sebaik mungkin.
Selang beberapa jam sebelum ribut Irene dijangka tiba, saya keluar ke pasaraya berdekatan untuk membeli lilin kerana bimbang ribut nanti akan mengakibatkan bekalan eletrik terputus. Setibanya di pasaraya, saya dapati keadaan di situ penuh sesak. Masing-masing membeli bekalan makanan untuk disimpan kerana pihak keselamatan mengarahkan semua penduduk supaya tidak keluar dari rumah semasa ribut melanda.
Barisan untuk membayar agak panjang dan memakan masa yang lama. Selesai sahaja membuat pembayaran, saya dapati hujan sudah mulai turun dengan lebat. Kemudian, saya terdengar pula seorang budak berkata – “Irene is coming!” Alangkah berdebarnya saya. Dengan sepenuh tenaga, saya berbasikal di dalam hujan pulang ke rumah secepat mungkin.
Bunyi angin begitu kuat pada malam berkenaan. Sekali-sekala, bekalan eletrik terputus. Kami berdoa setiap masa agar semuanya selamat.
Syukur alhamdulillah, setelah ribut Irene berlalu pergi, saya dan rakan-rakan semuanya berada dalam keadaan yang baik biarpun ada beberapa kerosakan di rumah kami seperti siling bocor. Di sesetengah kawasan, berlaku banjir dan kerosakan harta benda yang agak besar. Sistem pengangkutan awam pula terpaksa dihentikan buat sementara waktu. Terdapat juga angka kematian akibat ribut ini, cuma jumlahnya kecil sahaja.
Kerosakan kecil di dalam bilik. Namun setiap kali hujan, kebocoran air akan berlaku. 

Sedang orang lain bergembira membuat persiapan menyambut ketibaan hari raya Aidilfitri, ahli keluarga saya pula diselubungi perasaan gundah-gelana kerana bimbangkan keselamatan saya dan rakan-rakan di Philly. Setiap masa mereka cuba mendapatkan berita terkini daripada televisyen ataupun internet berhubung bencana ribut Irene. Saya sendiri tidak sangka, bencana alam ini turut mendapat liputan media di tanah air.
Syukur, berkat doa semua, kami warganegara Malaysia di Amerika Syarikat, selamat semuanya. Inilah pengalaman menjelang hari raya Aidilfitri yang tidak dapat saya lupakan sampai bila-bila.

~semoga niat kita ikhlas