Iwan Ghazali (Iwan Reaz)

Aku pencinta impian, menulis bukan menagih kekayaan, sekadar mendamba secebis keredhaan.

Iwan Ghazali (Iwan Reaz)

Aku pencinta impian, menulis bukan menagih kekayaan, sekadar mendamba secebis keredhaan.

Brr... Sejuknya Salji!

Novel Terkini
[ Pandangan Pembaca Novel ]

Iwan Reaz - Sedingin Salju

Iwan Reaz - Itulah Impianku

Followers

Tuesday, January 25, 2011

Check-In

Salam.

Andai diatur nadanya dengan tinggi, bunyinya seakan check-mate. Kebanggan tatkala berjaya menumpaskan pihak lawan dalam permainan catur. Tetapi bukan catur yang mahu dibicarakan dalam ruangan kali ini. Sebaliknya, kita kembali semula dengan tajuk yang terpampang di atas, yakni Check-In.



Di ruangan sosial popular, facebook, elemen check-in telah ditambah oleh pihak facebook bagi memberi peluang kepada penggunanya untuk menyatakan di mana kedudukan pengguna pada masa-masa tertentu.

Pada awalnya, saya tidak pasti apakah manfaatnya elemen check-in ini untuk digunakan? Saya pun berfikir, dan memerhati…

Mengambil jangka masa tertentu bagi menyimpul konklusi, saya terpanggil untuk mengajak semua rakan-rakan agar tidak menyalahgunakan elemen check-in ini. Mengapa?

Saya dapati, manusia mudah untuk menjadi riak dan takbur apabila mereka check-in di suatu tempat yang menarik untuk dikunjungi. Sebagai contoh, seseorang yang sedang melawat Eiffel Tower di Paris, lalu terus check-in namanya di lokasi berkenaan. Dia mahu rakan-rakan mengetahui bahawa dia pernah sampai di situ, kemudian membuat yang lainnya berasa iri hari atas pencapaiannya itu.

Mahu menafikannya? Tetapi mengapa di saat masih sepuluh batu dari destinasi hati sudah berkobar-kobar mahu check-in?

Saya pun merasakan hal yang sedemikian setiap kali check-in di tempat-tempat menarik. Rasa bangga dan ujub itu hadir, walaupun sekecil-kecil debu. Saya tiup jauh-jauh. Saya cuma mahu keluarga saya senang hati melihat saya selamat sampai di destinasi. Itu sahaja. Tetapi rasa bangga itu tetap ada di setiap kali saya check-in. Saya benci perasaan sebegitu.

Saya tidak mahu membuat tuduhan melulu. Jadi, pernah saya temubual beberapa orang. Mengapa kamu check-in?

Nak beritahu oranglah, kita dah pernah sampai situ.

Buat orang jealous. Hahaha!

Nampaknya deria saya membuat tekaan yang tepat. Ramai yang check-in untuk menunjuk-nunjuk.

Jadi, andai kamu juga check-in atas niat yang sama, maka, tinggalkanlah perbuatan itu sejauh mungkin. Namun, jika kamu ada sebab yang ikhlas, mahu menyatakan pada keluarga bahawa kamu selamat tiba, tidak mengapa. Cuma, bersihkan tindakan kamu daripada sifat riak dan takbur.

Imam al-Ghazali dalam kitab 'Ihya Ulumuddin' berkata, takbur akan menjadi batas pemisah antara seseorang dengan kemuliaan akhlak. Orang takbur akan selalu mendustakan kebenaran, menganggap rendah orang lain dan meninggikan dirinya. Sedikit saja di hati ada sikap takbur, maka syurga akan menjauh, amalan tidak mempunyai erti.

Nota: Penjenayah mengambil kesempatan dengan mengetahui seseorang tiada di rumah setelah check-in di sesuatu tempat. Jangan jadikan diri anda sebahagian daripada statistik mangsa jenayah ini.

~semoga niat kita ikhlas.

Monday, January 17, 2011

SKETSA 2

Salam.

Mempersembahkan sketsa seterusnya.

Lokasi: Atas kapal cruise.



Iwan dan rakan-rakan baru sahaja selesai menikmati makan tengah hari secara buffet di Garden Cafe. Untuk pulang ke bilik, ada banyak laluan. Laluan terdekat pada masa itu, kena melalui pusat judi (Casino).

Kami memilih untuk melalui Casino berkenaan. Di dalamnya, kelihatanlah manusia yang umpama robot di hadapan mesin-mesin judi. Tret. Tret. Tret. Mereka menanti paparan skrin itu mengeluarkan satu barisan gambar yang sama. Gagal. Diulangi lagi. Gagal. Mengharap nasib semata-mata. Itukah kehidupan?

Selepas melepasi Casino (Iwan sebenarnya lupa kejadian ini berlaku sebelum atau selepas Casino, tapi tak mengapalah), ada seseorang menegur kami.

"Assalamualaikum! Saya Abdul M" (Namanya dirahsiakan)

"Waalaikumussalam", jawab kami sambil ternganga.

Lelaki yang memberi salam itu sedang menggoncang arak. Dia berdiri di dalam bar arak. Setelah berkenalan, rupa-rupanya dia bekerja sebagai pelayan di situ.

"Aku cari rezeki di sini."

Pengajaran:

Nak cari rezeki, pastikan kerja kita itu halal. Ramai yang tak kisah dari mana datangnya duit itu. Malah, masih ada yang jahil tentang sumber rezeki ini. Ada yang mengatakan, tak mengapa kerja di bahagian arak, asal jangan minum sudah. Tanggapan itu umpama tafsiran yang dibuat logik akal semata tanpa mempedulikan hukum agama.

Halal bukan sekadar dalam mencari sumber pendapatan, tetapi semua perkara di dalam kehidupan seharian kita juga mestilah bebas daripada perkara-perkara yang haram. Belia kini seakan sudah tidak kenal halal haramnya. (Berpelukan dengan bukan muhrim, berpegangan tangan, mengambil harta orang lain, dan macam-macam lagi).

Semoga Allah memberikan taufiq dan hidayah pada kita semua, dan juga pekerja di bar itu.

~semoga niat kita ikhlas

Friday, January 14, 2011

SKETSA 1

Salam.

Berakhir sudah percutian Iwan baru-baru ini (Dengan jumlah pemanduan 4003 batu dan Iwan memandu hampir 3600 batu @ 5760 kilometer). Masih lagi dalam mood letih dan penat, namun harus bersemangat juga kerana sekolah akan dibuka semula tidak lama lagi.

Dalam mengembara dan bermusafir mentadabbur alam, banyak pengajaran yang Iwan sudah perolehi. Untuk masa terdekat ini, sukacita Iwan mahu berkongsi beberapa sketsa menarik dan lucu, tetapi mempunyai iktibar untuk kita renungi bersama.

SKETSA 1

Beberapa orang Melayu yang bekerja di Washington DC, berasak-asak memasuki lif. Seketika kemudian, muncul seorang lelaki warga Amerika berkulit putih, turut memasuki lif berkenaan. Keadaan menjadi agak sesak dan melemaskan.

"Ish, dia ni. Besar macam lembu, tapi nak masuk berhimpit juga", ujar seorang lelaki Melayu sambil berbahasa Melayu.

"Haah, dasar lembu betul", sokong kawannya pula.

Lif kemudiannya berhenti di tingkat 7.

"Tepi-tepi, lembu mahu lalu", kata orang putih itu.

Alangkah terkejutnya sekumpulan orang Melayu di dalam lif itu. Rupa-rupanya lelaki warga Amerika itu faham dan fasih berbahasa. Masing-masing terdiam kerana malu yang amat sangat.



Nota:

Cerita ini Iwan dapat daripada pakcik Said yang Iwan dan kawan-kawan kunjungi di Washington.

Pengajaran:

Tidak kiralah orang lain tahu / faham atau tidak apa yang kita tuturkan, apa yang mustahak, tidak sesekali kita boleh mengata atau mengutuk seseorang, apatah lagi memfitnahnya. Sesungguhnya kata-kata keji itu sangat dibenci Allah dan Rasul-Nya.

Bercakap tentang keburukan seseorang walaupun benar, itu mengata / mengumpat namanya.

Bercakap tentang keburukan seseorang sedangkan ianya palsu, itu fitnah namanya.

Apakah sempurna dirimu untuk mengata kekurangan makhluk ciptaan Allah? Sedangkan dirimu jua penuh dengan kekurangan.

Itulah manusia.

Wallahualam...

~semoga niat kita ikhlas

Thursday, January 6, 2011

Sedang Bercuti

Salam.

Maaf kerana lama tidak mengemaskini blog ini. Sebenarnya sekarang Iwan sedang dalam percutian musim sejuk (winter trip) sejak 30 Disember 2010 sehinggalah 12 Januari nanti.

Antara tempat yang sudah dilawati adalah:

Pittsburgh
Joe Crab
French Quarter
Cafe Du Monde
Universal Studio, Orlando
dan banyak lagi...

Insya-Allah, esok Iwan akan menaiki kapal cruise pula ke Pulau Bahamas. Iwan akan berada di atas kapal lebih kurang 4 hari dan 3 malam. Salah satu perancangan Iwan di atas kapal nanti, sudah tentunya mahu mencari idea sambil menikmati angin laut di atas kapal.

Semoga perjalanan ini dilindungi dan diredhai Allah. Semoga banyak juga idea baru akan mencurah tiba.

~semoga niat kita ikhlas

Tuesday, December 28, 2010

Solat Si Kecil

Salam.

Jam sudah menunjukkan pukul 7.48 malam. Seorang lelaki baru sahaja tiba di perkarangan rumahnya dengan menaiki sebuah kereta mewah. Setelah mengunci keretanya, dia berjalan lemah menuju ke pintu.

"Assalamualaikum", lelaki berkenaan memberi salam.

Seorang budak berumur 7 tahun membuka pintu. Wajahnya kelihatan girang.

"Waalaikumussalam. Yay! Ayah dah balik!" ujarnya gembira.

Si ayah merebahkan diri di atas sofa seketika. Dia kepenatan. Sesekali dia melihat jam di tangan.

"Izz dah solat Maghrib?" tanya Si Ayah.

"Mestilah sudah ayah. Kan Maghrib dah masuk 15 minit yang lalu", jawab si anak.

Si ayah tersenyum.

***

Ini kisah benar yang diubah nama sebenarnya. Andai si kecil itu yang baru berusia 7 tahun, sudah mengerti akan kewajipan solat dan menunaikannya pula di awal waktu, mengapa kita yang sudah berpuluh-puluh tahun hidup di atas dunia ini selalu melengah-lengahkan solat? (atau ada yang meninggalkannya dengan sengaja) Apa, kita pasti umur kita panjang lagi?

Antara kita dan budak berumur 7 tahun itu, siapa yang lebih bijak?



Memo: Solat adalah perkara pertama yang akan disoal di akhirat nanti.

~semoga niat kita ikhlas.

Saturday, December 25, 2010

Berbicara Tentang Manusia

Salam.

***


"Dia dah besar, tahu lah mana yang baik, mana yang buruk".

"Dulu dia sekolah agama, takkan dia tak tahu soal hukum-hakam ni".

"Ayah dia ustaz, mak dia ustazah, mesti la anak dia pun alim juga".

Dan macam-macam lagi dialog yang selalu kita dengar, yang selalu menjadi alasan buat diri kita daripada terus amar maaruf nahi mungkar (mengajak kebenaran dan mencegah kemungkaran).

Tapi, apakah kita terlupa, bahawa makhluk yang sedang kita hadapi itu, adalah manusia juga?

Ya, manusia. Bukan malaikat. Bermakna, selagi mana makhluk itu bernama manusia, dia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Tidak kiralah dia pelajar sekolah agama ke, dia anak ustaz ustazah ke, dia pendakwah bebas ke, artis nasyid ke, selagi mana dia adalah manusia, dia tetap tidak lari daripada membuat kesalahan. Ingat tak lagu ni?

Iman tak dapat diwarisi,
Dari seorang ayah yang bertawa,
Ia tak dapat dijual beli,
Ia tiada di tepian pantai.


(Iman Adalah Mutiara, Raihan)

Dari istilah biologi, manusia itu adalah Homo sapiens, spesis dari kumpulan mamalia yang mempunyai keupayaan berfikir yang tinggi. (Jika dibandingkan dengan spesis lain dalam golongan mamalia)

Dari pandangan Islam, manusia asalnya dari perkataan insan, yakni makhluk yang tidak sempurna, pelupa.

Jadi, apabila kita mengenali sifat sebenar manusia yang sering pelupa, mudah termakan pujuk rayu syaitan, mendengar kata nafsu, jahil serba serbi, apakah kita masih membiarkan manusia-manusia di sekeliling kita melakukan kesalahan? Mungkin dia terlupa. Ya, terlupa. kerana dia manusia. Jadi, kita yang masih ingat ini, berikanlah peringatan. Apakah kamu mahu biarkan sahaja lalu menjadi manusia yang rugi?

Demi masa (1) Sesungguhnya manusia itu adalah di dalam kerugian (2) Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh dan berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran (3)

(Surah Al-Asr, 1-3)

Adakah kamu masih mahu memberi alasan seperti dialog-dialog di awal post ini?

Akhir kata, ingin saya mengingatkan diri saya dan kamu semua, bahawa apabila kita memberi teguran, ingatlah bahawa kita menilai tindak tanduk seseorang itu, bukan hati budinya. Memberi teguran bukan bermakna kita lebih baik daripada dia.

Jika kita ingat akan pesanan ini, insya-Allah, kita akan jauh dari sifat ujub, riya' dan bangga diri. Mohon petunjuk dan hidayah daripada Allah, agar kita menjadi manusia yang lebih baik hari ini berbanding semalam, dan esok lebih baik daripada hari ini. Insya-Allah.

~semoga niat kita ikhlas.