Iwan Ghazali (Iwan Reaz)

Aku pencinta impian, menulis bukan menagih kekayaan, sekadar mendamba secebis keredhaan.

Iwan Ghazali (Iwan Reaz)

Aku pencinta impian, menulis bukan menagih kekayaan, sekadar mendamba secebis keredhaan.

Brr... Sejuknya Salji!

Novel Terkini
[ Pandangan Pembaca Novel ]

Iwan Reaz - Sedingin Salju

Iwan Reaz - Itulah Impianku

Followers

Tuesday, April 16, 2013

HEBATNYA MEMBERI SALAM!

Assalamualaikum wbt.

Gambar Hiasan

Letih badan tidak terperi. Sepatutnya program yang berlangsung pada malam ini tamat pada jam 11.00 malam. Namun jarum jam aku sekarang sudah menunjukkan waktu hampir menjengah pukul 12.00 tengah malam .

Kelopak mata semakin kuyu bak digantung pemberat. Mengantuk! Ah, indahnya jika dapat meletakkan kepala ini di atas bantal. Pasti sesaat dua sahaja aku akan terus terlelap. Peribahasa bagai orang mengantuk disorongkan bantal sudah tidak relevan dengan situasiku sekarang. Aku lebih suka dengan peribahasa rekaanku ini - "sorongkan kepadaku bantal, nescaya aku akan terus terlena."

Hakikatnya, aku perlu bersabar sehingga tamatnya program ini sekitar jam 1.00 pagi. Mujur bukan aku yang memandu kereta. Aku menyedari temanku yang memandu itu kelihatan penat sepertiku juga. Katanya, kaki dia bagaikan mahu tercabut. Letih, lenguh, penat, semuanya beradun. Mujur destinasi yang ingin dituju tidak begitu jauh.

Temanku memandu ke sebuah banglo yang dikhaskan oleh pihak penganjur bagi penempatan kami semalaman. Dari jauh, kamu dapat melihat ada beberapa orang pelajar yang tidak keruan di hadapan banglo. 

"Kenapa ini?" sapa rakanku kepada salah seorang daripada mereka.

"Kami pindahkan barang sebentar tadi ke dalam banglo ini. Tapi ada masalah pula," jelas pelajar berkenaan.

"Masalah? Masalah apa?"

"Semasa berulang-alik dari banglo ke dewan tadi, ada rakan kami yang meninggalkan kunci pintu di atas meja di ruang tamu. Tapi sekarang kami semua terkunci dari luar. Mustahil!"

"Kenapa?" soal saya.

"Pintu hanya boleh dikunci dari luar. Kalau kunci masih di dalam rumah, hanya orang yang berada di dalam sahaja yang boleh menguncinya. Yang peliknya tiada siapa pun di dalam."

"Kamu pasti kunci itu sekarang di atas meja di ruang tamu? Tiada siapa yang bawa keluar?" tanya rakan saya sambil meninjau-ninjau dari tingkap. 

"Pasti!!! Memang kunci itu diletakkan di atas meja."

Beberapa orang pelajar yang lain cuba untuk membuka pintu, tetapi ternyata pintu itu berkunci. Akhirnya ada seorang pelajar yang menawarkan diri untuk masuk ke dalam melalui tingkap tandas.

Kami beramai-ramai cuba untuk membantu pelajar berkenaan 'memecah masuk' melalui tingkap tandas yang agak tinggi. Pada mulanya dia agak yakin dengan tindakannya itu. Namun apabila berada paras ketinggian yang menggayatkan, dia mulai resah. Lebih-lebih lagi dia tidak pasti bagaimana mahu mendarat dengan selamat.

"Alamak, kaki aku kejang!"

Kami segera menurunkan pelajar itu sebelum keadaan menjadi lebih parah. Dia tercungap-cungap kepenatan setelah selamat diturunkan. Kami menjadi semakin buntu. Pelbagai cara telah kami fikirkan dan usaha, namun segalanya hampa. Masing-masing keletihan dan mengantuk di kala jam sudah menunjukkan pukul 2.15 pagi.

"Kita minta tolong pada jiran berdekatan," cadang seorang pelajar.

Aku tersepit antara perasaan kasihan pada jiran tersebut, kasihan pada pelajar-pelajar ini dan tentunya kasihan pada diri aku sendiri. Tetapi mungkin jiran itu boleh beri buah fikiran terbaik memandangkan dia sudah lama tinggal di kawasan ini. 

Setelah dipanggil beberapa kali, seorang wanita keluar dan mendengar masalah yang kami hadapi. Kemudian dia datang menghampiri banglo yang terkunci itu.

"Kamu sudah beri salam?" 

Ringkas sahaja soalan beliau, tetapi membuatkan kami terpinga-pinga. Para pelajar menggeleng.

Kemudian, seorang pelajar cuba untuk membuka pintu rumah banglo berkenaan. Ajaib! Pintu terbuka! Dan ternyata memang kunci masih berada di atas meja di ruang tamu.

"Berilah salam, sekalipun tiada orang di dalam rumah kerana tentu ada penghuni lain yang kita tidak nampak. Mereka juga makhluk Allah. Ada antara mereka yang beragama Islam. Jadi, hormatilah mereka." Wanita itu memberi peringatan.

(ini adalah kisah benar. Dialog dan plot diringkaskan kerana kejadian sebenar jauh lebih panjang dan kompleks)

Besar sebenarnya hikmah memberi salam. Dalam al-Quran, Allah telah berfirman:

”... Maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah, hendaklah kamu memberi salam kepada (sesiapa yang seperti) kamu dengan memohon kepada Allah cara hidup yang berkat lagi baik. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat (yang menjelaskan hukum-hukum-Nya) supaya kamu memahaminya." 
[Surah an-Nur, 61]

Sekiranya rumah yang tiada berpenghuni pun kita dituntut untuk memberi salam, inikan pula rumah yang ada orang tinggal di dalamnya. Adakalanya saya pelik, mengapa ada yang balik ke rumah atau datang melawat rumah rakan-rakannya, berasa janggal untuk memberi salam? Sebaliknya, ucapan hello, hai, hei, ringan saja dilafazkan.

Memberi salam saat memasuki rumah, mengundang berkat ke atas seisi rumah serta menghindar gangguan syaitan. Alangkah bahagia dan tenteramnya penghuni rumah itu lantaran salam yang selalu diucapkan saat memasuki rumah.

Terima kasih penutup kalam,
Moga kita bersua semula,
Jangan segan memberi salam,
Salam itu banyak hikmahnya.

Assalamualaikum =)

~semoga kita ikhlas

Sunday, April 14, 2013

Promosi Goodbye New York

Assalamualaikum.

Ini adalah video promosi novel Goodbye New York.

Silakan share dengan rakan-rakan anda ya!


Terima kasih kerana menonton :)

~semoga kita ikhlas

Saturday, April 6, 2013

Promosi Di IKIM.fm

Assalamualaikum wbt.

Syukur ke hadrat Ilahi, saya diberasa kesempatan untuk menatap buku ke-4 dan dan ke-5. Kedua-duanya sampai ke tangan saya pada hari yang sama, iaitu pada hari Khamis, 4 April 2013.

Diari Untuk Ibu, terbitan Buku Prima.
Goodbye New York, terbitan Galeri Ilmu.

Pada hari yang sama juga, saya dijadualkan untuk 'on air' di IKIM.fm untuk mempromosikan karya saya yang terbaru bersama Galeri Ilmu iaitu Goodbye New York. Selain saya, penulis yang turut dijemput adalah saudara Khairy Tajudin yang merupakan penulis novel Tariq United, Budak Komik, Budak U, Back to Campus dan beberapa buah buku himpunan kisah.

Saya ke sana bersama dengan Ustaz Shahrul, penulis Khairy Tajudin dan juga Cik Khalida. Siaran bermula pada pukul 6.15 petang.

Ini adalah beberapa gambar yang sempat dirakamkan semasa program dijalankan:










Setelah tiba di rumah pada malam itu, saya membuka laman sosial Facebook dan mendapati ada sebahagian daripada siaran tersebut dirakam oleh bapa saudara saya yang tinggal di Miri. Rakaman tersebut boleh didengar di youtube:


Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar.

-Kepada sesiapa yang ingin menjadi pembaca terawal novel Goodbye New York dan Diari Untuk Ibu, boleh hubungi saya untuk membuat pesanan.


~semoga niat kita ikhlas

Monday, March 25, 2013

BUKU BAHARU 2013

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah, Allah izin untuk dua buah karya saya terbit menjelang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013 (PBAKL).

Teruja. Saya cukup teruja kerana pada tahun ini, saya juga berpeluang untuk turun sama ke pesta buku paling besar di Malaysia ini kerana sejak menjadi penulis pada tahun 2009, saya tidak berpeluang untuk hadir sama memandangkan saya berada di Amerika Syarikat sehinggalah Julai tahun 2012.

Jadi, saya dengan rendah dirinya ingin berkongsi dengan pembaca semua novel-novel saya yang terbaharu.

1) GOODBYE NEW YORK
Penerbit: Galeri Ilmu
Harga: RM11




Sinopsis:

Raqiyah atau lebih dikenali sebagai Raqy, merupakan seorang anak Malaysia yang telah dibesarkan di New York selama hampir 12 tahun. Namun, dia terpaksa akur akan keputusan bapanya untuk kembali ke tanah air.

Terdapat pelbagai cabaran yang perlu dihadapi oleh Raqy sepanjang berada di Kampung Sungai Sentosa seperti:

-        -  Cuaca yang sangat panas serta ketiadaan penghawa dingin.
-         - Ketiadaan kemudahan internet.
-          -Alatan teknologi dan gadget yang ketinggalan.
-          -Selera orang kampung yang gemar masakan pedas.
-          -Kumpulan Trio Queen!

Kedudukan Kumpulan Trio Queen sebagai kumpulan elit di sekolah tercabar dengan kehadiran beliau. Pelbagai cara telah dirancangkan oleh mereka untuk menjatuhkan Raqy. Akan tetapi, gadis kelahiran New York ini bukan mudah untuk menyerah kalah!


_________________________________________________________


2) DIARI UNTUK IBU
Penerbit: Diari Untuk Ibu
Harga: RM15


Sinopsis:
Tragedi 9 Disember yang dialami oleh Izz Akmal sekeluarga telah merampas kebahagiaan mereka. Ibunya, Puan Syamira, telah hilang dan dianggap sudah meninggal dunia.

Izz Akmal mencatat segala peristiwa yang berlaku dalam hidupnya di dalam sebuah diari. Dia berharap dapat menghadiahkan diari itu kepada ibunya kelak. Dia yakin ibunya akan pulang!

Izz Akmal semakin sedih apabila pernah melihat kelibat seorang wanita bersama ayahnya, Encik Syamsul, di bandar. Kemelut emosi Izz Akmal semakin memuncak apabila Encik Syamsul mengajak mereka sekeluarga bertemu dengan seorang wanita yang dipanggil sebagai Auntie Hana.

Siapakah Auntie Hana sebenarnya? Adakah dia bakal menggantikan tempat ibu Izz Akmal?

_______________________________________________________________

Sebagai bonus, saya juga ada terlibat dalam terbitan buku antologi cerpen dan puisi.

3) AKU KALIS PELURU
Terbitan: Grup Karyawan Luar Negara & Aqsa Syarif
Harga: RM20
Karya Saya: Cerpen - Di Hadapan Mata, Puisi - Naskhah Mimpi


Sinopsis: 

Menghimpunkan karya-karya nukilan penulis muda yang berkelana di negara dari benua Eropah, Asia-Australasia, Afrika, Amerika dan Timur Tengah. Bertemakan perjuangan membebaskan Al-Aqsa, pelbagai persoalan dan nilai yang diangkat dalam antologi ini pastinya menjanjikan kesan mendalam buat para pembaca.



____________________________________________________________


Tanpa doa kalian, saya bukan saya yang hari ini.
Tanpa usaha saya, saya bukan saya yang hari ini.
Tanpa izin-Nya, saya bukan saya yang hari ini.

Alhamdulillah, terima kasih semua. Doakan buku-buku ini bermanfaat buat segenap masyarakat.

Dapatkan di pasaran atau di pesta buku nanti!

~semoga niat kita ikhlas

Sunday, March 3, 2013

Rekod Pengalaman Di Bumi Asing

Assalamualaikum wbt.

Kata orang, sibuknya waktu belajar, tidaklah sesibuk semasa di alam pekerjaan.

Saya pada mulanya tidak berapa setuju. Tetapi sekarang, nampaknya saya terpaksa bersetuju. Tanggungjawab saya semakin berat. Namun, saya gembira dengan tugasan yang dipikul. Itu yang penting.

Kerana itu, saya jarang mengemas kini blog ini. Tetapi saya berharap sangat, saya mampu untuk berkongsi sesuatu dengan para pembaca sekerap mungkin.

Untuk kali ini, saya kongsikan artikel berkaitan saya dalam bidang penulisan yang tersiar dalam akhbar Kosmo pada bulan yang lalu.


Untuk membaca secara online, anda boleh klik di link ini:

KLIK DI SINI

Sekian sahaja. Nantikan dua buah novel terbaharu saya tidak lama sahaja lagi.
Wassalam.

~semoga niat kita ikhlas

Monday, February 11, 2013

Pengalaman XYZ Memandu

Assalamualaikum wbt.

Anda tentunya mempunyai pengalaman memandu, bukan? Walaupun anda masih pelajar sekolah, saya yakin anda tentunya pernah cuba-cuba mahu memandu kenderaan ahli keluarga anda. Mengaku sajalah ... .

Untuk entri kali ini, saya mahu berkongsi pengalaman-pengalaman saya sebagai seorang pemandu. Yang baik dijadikan teladan. Yang buruk dijadikan sempadan. Okey!

1) Pertama Kali Bawa Di Lorong Sebelah Kanan

Selalunya bawa kereta di lorong sebelah kiri. Jadi, bila kena memandu di lorong yang lain, terasa sedikit janggal. Tetapi tidaklah sukar sebenarnya. Cuma apabila kena memandu di lorong kiri semula, haa barulah terasa 'semacam'.

Pertama kali saya bawa kereta di lorong sebelah kanan adalah di New Jersey, selepas menyaksikan konsert Maher Zain. Ketika itu saya dipelawa oleh rakan saya untuk membawa kereta Honda Civic, di kawasan tanaman jagung. Kemudian, saya diminta bawa sehingga ke rumah. Saya pun bawalah dengan penuh berhati-hati, sehingga lambat sampai jadinya. Belum biasa lagi ... .

2) Pemanduan Paling Jauh

Saya memandu hampir 3,600 batu, bersamaan dengan 5,760 kilometer, semasa percutian ke selatan Amerika Syarikat (seperti Miami, Florida, New Orleans dan lain-lain) pada bulan Disember 2010. Anggaran jumlah sebenar perjalanan adalah 4,003 batu. Jarak selebihnya itu dipandu oleh rakan saya.

Hari pertama percutian ini, saya sakit belakang. Sakit yang amat dek pemanduan yang memakan masa secara purata 8-10 jam sehari.


3) Pemanduan Paling Mengantuk

Masih dalam percutian yang sama, pada hari yang ketiga. Semasa itu kami dalam perjalanan menuju ke hotel setelah singgah makan malam di restoran Pizza Hut. Jam sudah menunjukkan pukul 1 pagi. Penumpang-penumpang dalam kereta saya semuanya sudah tertidur. Mengantuknya mata, hanya Allah Yang Tahu.

Saya sudah tidak larat. Tetapi GPS menunjukkan jarak untuk ke hotel masih berbaki 50 batu lagi. Aduhai. Pada waktu itu, tiada siapa yang dapat menggantikan. Jadi, mahu tidak mahu, saya terpaksa menjegilkan mata untuk meneruskan pemanduan.


4) Pemanduan Paling Bahaya

Yang ini pula saya alami selepas saya menghadiri satu majlis makan malam bersama Datin Seri Rosmah Mansur di New York. Tamat acara tersebut, saya dan rakan-rakan menuju ke Cabin untuk bercuti sempena Spring Break.

Saya memandu di belakang kereta lain yang dipandu oleh rakan saya. Beliau memandu agak laju. (hehehe... ) Pada waktu itu, hujan turun dengan lebatnya. Tetapi entah mengapa, saya begitu berani untuk memandu dengan kelajuan 60-70 batu sejam (96-112 km/j). Agak laju di kala hujan yang turun begitu lebat. Ditambah pula dengan waktu malam, pandangan saya terbatas. (gelap + cahaya lampu + hujan = tak nampak) Serius, saya tidak nampak lorong jalan. Saya hanya membuntuti kereta di hadapan.

Apabila difikir-fikir semula, saya kesal dengan diri sendiri. Mengapa saya membahayakan nyawa sendiri dan penumpang lain? Bukankah lebih baik jika saya memandu dengan perlahan sahaja dalam situasi seperti itu?

5) Pertama Kali Bawa SUV

Saya tidak gemar bawa kereta besar sebenarnya. Apatah lagi SUV / MPV / Van. Jadi semasa percutian ke West Coast ( Los Angelas, Las Vegas, San Diego dan lain-lain), saya banyak memberi alasan supaya tidak disuruh memandu. Namun sejauh mana pun saya mengelak, adakalanya saya tetap tidak boleh lari.

Semasa kami dalam perjalanan dari Las Vegas ke Los Angelas, pemandu sudah mula mengantuk. Dia meminta saya menggantikannya. Saya lihat penumpang yang lain. Semua sudah tidur. (bersambung ... )



6) Pertama Kali Bawa Kenderaan Tanpa Lesen

(Sambungan ... ) Sebenarnya, alasan saya yang paling kukuh tidak mahu terlibat sama dalam pemanduan dalam percutian di atas ialah, saya punya lesen sudah mati. Jadi, apabila si pemandu meminta saya untuk menggantikannya, saya rasa berat hati/

Tetapi apabila difikir-fikirkan semula, disaman itu adalah lebih baik daripada membiarkan pemandu yang mengantuk meneruskan pemanduan. Oleh itu, saya bersedia untuk menggantikannya. Duit boleh dicari, nyawa tiada ganti. Syukur, perjalanan lancar dan selamat tanpa disaman.

Saya menjadi lebih berani untuk memandu semasa ketiadaan lesen. Semasa di San Diego, saya merelakan diri untuk memandu lagi. Entah bagaimana, ada pula pemeriksaan di jalan raya. Saya menjadi kelam kabut sehingga ...

"Are you US citizen?" tanya pegawai berkenaan.

"Aaa ... aaa ... yes!" aku menggelabah.

Semua penumpang dalam SUV ketawa besar dan memperbetulkan semula keadaan. Berpeluh saya dibuatnya. Mujurlah pegawai-pegawai itu hanya minta untuk melihat passport kami, bukannya lesen memandu.

_____________________________________________

Sekian sahaja perkongsian pengalaman saya. Nasihat saya kepada yang para pemandu, berhati-hati semasa memandu. Jangan berkelakuan kurang sopan seperti

- memotong barisan,
- melanggar lampu merah,
- menggunakan lorong kecemasan ketika jalan jem mahupun tidak jem,
- menukar lorong sesedap epal sehingga menyusahkan pemandu lain.

Ingatlah orang tersayang. Anda mampu mengubahnya :)


Jika mahu makan sambil memandu, pastikan anda berhati-hati dengan persekitaran anda. 

Sekian...

~semoga niat kita ikhlas