Iwan Ghazali (Iwan Reaz)

Aku pencinta impian, menulis bukan menagih kekayaan, sekadar mendamba secebis keredhaan.

Iwan Ghazali (Iwan Reaz)

Aku pencinta impian, menulis bukan menagih kekayaan, sekadar mendamba secebis keredhaan.

Brr... Sejuknya Salji!

Novel Terkini
[ Pandangan Pembaca Novel ]

Iwan Reaz - Sedingin Salju

Iwan Reaz - Itulah Impianku

Followers

Saturday, May 11, 2013

Sekilas di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013

Assalamualaikum wbt.

Seminggu sudah berlalunya pesta buku terbesar di Malaysia - PBAKL 2013. Alhamdulillah, setelah sekian lama, inilah baru pertama kali saya dapat menjejakkan kaki ke pesta buku tersebut sebagai seorang penulis.

Pengalaman yang mengujakan.

Saya hadir ke pesta buku dan kebanyakan masa diluangkan di gerai Galeri Ilmu. Gembira dapat bertemu pihak penerbit yang berusaha bersungguh-sungguh untuk menerbitkan bacaan yang bermanfaat, ceria dapat bertemu dengan rakan penulis yang hebat-hebat belaka, dan seronok dapat meluangkan masa bersama para pembaca yang datang daripada pelbagai peringkat umur.

Jualan novel-novel saya amat memberangsangkan. Lebih seronok apabila melihat dengan mata sendiri karya-karya saya menjadi pilihan para pembaca.




























Gambar-gambar ini juga saya sudah muat naik di laman Facebook.

Terima kasih semua! Jumpa lagi di pesta buku yang akan datang.

~semoga niat kita ikhlas

Tuesday, April 16, 2013

HEBATNYA MEMBERI SALAM!

Assalamualaikum wbt.

Gambar Hiasan

Letih badan tidak terperi. Sepatutnya program yang berlangsung pada malam ini tamat pada jam 11.00 malam. Namun jarum jam aku sekarang sudah menunjukkan waktu hampir menjengah pukul 12.00 tengah malam .

Kelopak mata semakin kuyu bak digantung pemberat. Mengantuk! Ah, indahnya jika dapat meletakkan kepala ini di atas bantal. Pasti sesaat dua sahaja aku akan terus terlelap. Peribahasa bagai orang mengantuk disorongkan bantal sudah tidak relevan dengan situasiku sekarang. Aku lebih suka dengan peribahasa rekaanku ini - "sorongkan kepadaku bantal, nescaya aku akan terus terlena."

Hakikatnya, aku perlu bersabar sehingga tamatnya program ini sekitar jam 1.00 pagi. Mujur bukan aku yang memandu kereta. Aku menyedari temanku yang memandu itu kelihatan penat sepertiku juga. Katanya, kaki dia bagaikan mahu tercabut. Letih, lenguh, penat, semuanya beradun. Mujur destinasi yang ingin dituju tidak begitu jauh.

Temanku memandu ke sebuah banglo yang dikhaskan oleh pihak penganjur bagi penempatan kami semalaman. Dari jauh, kamu dapat melihat ada beberapa orang pelajar yang tidak keruan di hadapan banglo. 

"Kenapa ini?" sapa rakanku kepada salah seorang daripada mereka.

"Kami pindahkan barang sebentar tadi ke dalam banglo ini. Tapi ada masalah pula," jelas pelajar berkenaan.

"Masalah? Masalah apa?"

"Semasa berulang-alik dari banglo ke dewan tadi, ada rakan kami yang meninggalkan kunci pintu di atas meja di ruang tamu. Tapi sekarang kami semua terkunci dari luar. Mustahil!"

"Kenapa?" soal saya.

"Pintu hanya boleh dikunci dari luar. Kalau kunci masih di dalam rumah, hanya orang yang berada di dalam sahaja yang boleh menguncinya. Yang peliknya tiada siapa pun di dalam."

"Kamu pasti kunci itu sekarang di atas meja di ruang tamu? Tiada siapa yang bawa keluar?" tanya rakan saya sambil meninjau-ninjau dari tingkap. 

"Pasti!!! Memang kunci itu diletakkan di atas meja."

Beberapa orang pelajar yang lain cuba untuk membuka pintu, tetapi ternyata pintu itu berkunci. Akhirnya ada seorang pelajar yang menawarkan diri untuk masuk ke dalam melalui tingkap tandas.

Kami beramai-ramai cuba untuk membantu pelajar berkenaan 'memecah masuk' melalui tingkap tandas yang agak tinggi. Pada mulanya dia agak yakin dengan tindakannya itu. Namun apabila berada paras ketinggian yang menggayatkan, dia mulai resah. Lebih-lebih lagi dia tidak pasti bagaimana mahu mendarat dengan selamat.

"Alamak, kaki aku kejang!"

Kami segera menurunkan pelajar itu sebelum keadaan menjadi lebih parah. Dia tercungap-cungap kepenatan setelah selamat diturunkan. Kami menjadi semakin buntu. Pelbagai cara telah kami fikirkan dan usaha, namun segalanya hampa. Masing-masing keletihan dan mengantuk di kala jam sudah menunjukkan pukul 2.15 pagi.

"Kita minta tolong pada jiran berdekatan," cadang seorang pelajar.

Aku tersepit antara perasaan kasihan pada jiran tersebut, kasihan pada pelajar-pelajar ini dan tentunya kasihan pada diri aku sendiri. Tetapi mungkin jiran itu boleh beri buah fikiran terbaik memandangkan dia sudah lama tinggal di kawasan ini. 

Setelah dipanggil beberapa kali, seorang wanita keluar dan mendengar masalah yang kami hadapi. Kemudian dia datang menghampiri banglo yang terkunci itu.

"Kamu sudah beri salam?" 

Ringkas sahaja soalan beliau, tetapi membuatkan kami terpinga-pinga. Para pelajar menggeleng.

Kemudian, seorang pelajar cuba untuk membuka pintu rumah banglo berkenaan. Ajaib! Pintu terbuka! Dan ternyata memang kunci masih berada di atas meja di ruang tamu.

"Berilah salam, sekalipun tiada orang di dalam rumah kerana tentu ada penghuni lain yang kita tidak nampak. Mereka juga makhluk Allah. Ada antara mereka yang beragama Islam. Jadi, hormatilah mereka." Wanita itu memberi peringatan.

(ini adalah kisah benar. Dialog dan plot diringkaskan kerana kejadian sebenar jauh lebih panjang dan kompleks)

Besar sebenarnya hikmah memberi salam. Dalam al-Quran, Allah telah berfirman:

”... Maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah, hendaklah kamu memberi salam kepada (sesiapa yang seperti) kamu dengan memohon kepada Allah cara hidup yang berkat lagi baik. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat (yang menjelaskan hukum-hukum-Nya) supaya kamu memahaminya." 
[Surah an-Nur, 61]

Sekiranya rumah yang tiada berpenghuni pun kita dituntut untuk memberi salam, inikan pula rumah yang ada orang tinggal di dalamnya. Adakalanya saya pelik, mengapa ada yang balik ke rumah atau datang melawat rumah rakan-rakannya, berasa janggal untuk memberi salam? Sebaliknya, ucapan hello, hai, hei, ringan saja dilafazkan.

Memberi salam saat memasuki rumah, mengundang berkat ke atas seisi rumah serta menghindar gangguan syaitan. Alangkah bahagia dan tenteramnya penghuni rumah itu lantaran salam yang selalu diucapkan saat memasuki rumah.

Terima kasih penutup kalam,
Moga kita bersua semula,
Jangan segan memberi salam,
Salam itu banyak hikmahnya.

Assalamualaikum =)

~semoga kita ikhlas

Sunday, April 14, 2013

Promosi Goodbye New York

Assalamualaikum.

Ini adalah video promosi novel Goodbye New York.

Silakan share dengan rakan-rakan anda ya!


Terima kasih kerana menonton :)

~semoga kita ikhlas

Saturday, April 6, 2013

Promosi Di IKIM.fm

Assalamualaikum wbt.

Syukur ke hadrat Ilahi, saya diberasa kesempatan untuk menatap buku ke-4 dan dan ke-5. Kedua-duanya sampai ke tangan saya pada hari yang sama, iaitu pada hari Khamis, 4 April 2013.

Diari Untuk Ibu, terbitan Buku Prima.
Goodbye New York, terbitan Galeri Ilmu.

Pada hari yang sama juga, saya dijadualkan untuk 'on air' di IKIM.fm untuk mempromosikan karya saya yang terbaru bersama Galeri Ilmu iaitu Goodbye New York. Selain saya, penulis yang turut dijemput adalah saudara Khairy Tajudin yang merupakan penulis novel Tariq United, Budak Komik, Budak U, Back to Campus dan beberapa buah buku himpunan kisah.

Saya ke sana bersama dengan Ustaz Shahrul, penulis Khairy Tajudin dan juga Cik Khalida. Siaran bermula pada pukul 6.15 petang.

Ini adalah beberapa gambar yang sempat dirakamkan semasa program dijalankan:










Setelah tiba di rumah pada malam itu, saya membuka laman sosial Facebook dan mendapati ada sebahagian daripada siaran tersebut dirakam oleh bapa saudara saya yang tinggal di Miri. Rakaman tersebut boleh didengar di youtube:


Alhamdulillah segalanya berjalan dengan lancar.

-Kepada sesiapa yang ingin menjadi pembaca terawal novel Goodbye New York dan Diari Untuk Ibu, boleh hubungi saya untuk membuat pesanan.


~semoga niat kita ikhlas

Monday, March 25, 2013

BUKU BAHARU 2013

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah, Allah izin untuk dua buah karya saya terbit menjelang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013 (PBAKL).

Teruja. Saya cukup teruja kerana pada tahun ini, saya juga berpeluang untuk turun sama ke pesta buku paling besar di Malaysia ini kerana sejak menjadi penulis pada tahun 2009, saya tidak berpeluang untuk hadir sama memandangkan saya berada di Amerika Syarikat sehinggalah Julai tahun 2012.

Jadi, saya dengan rendah dirinya ingin berkongsi dengan pembaca semua novel-novel saya yang terbaharu.

1) GOODBYE NEW YORK
Penerbit: Galeri Ilmu
Harga: RM11




Sinopsis:

Raqiyah atau lebih dikenali sebagai Raqy, merupakan seorang anak Malaysia yang telah dibesarkan di New York selama hampir 12 tahun. Namun, dia terpaksa akur akan keputusan bapanya untuk kembali ke tanah air.

Terdapat pelbagai cabaran yang perlu dihadapi oleh Raqy sepanjang berada di Kampung Sungai Sentosa seperti:

-        -  Cuaca yang sangat panas serta ketiadaan penghawa dingin.
-         - Ketiadaan kemudahan internet.
-          -Alatan teknologi dan gadget yang ketinggalan.
-          -Selera orang kampung yang gemar masakan pedas.
-          -Kumpulan Trio Queen!

Kedudukan Kumpulan Trio Queen sebagai kumpulan elit di sekolah tercabar dengan kehadiran beliau. Pelbagai cara telah dirancangkan oleh mereka untuk menjatuhkan Raqy. Akan tetapi, gadis kelahiran New York ini bukan mudah untuk menyerah kalah!


_________________________________________________________


2) DIARI UNTUK IBU
Penerbit: Diari Untuk Ibu
Harga: RM15


Sinopsis:
Tragedi 9 Disember yang dialami oleh Izz Akmal sekeluarga telah merampas kebahagiaan mereka. Ibunya, Puan Syamira, telah hilang dan dianggap sudah meninggal dunia.

Izz Akmal mencatat segala peristiwa yang berlaku dalam hidupnya di dalam sebuah diari. Dia berharap dapat menghadiahkan diari itu kepada ibunya kelak. Dia yakin ibunya akan pulang!

Izz Akmal semakin sedih apabila pernah melihat kelibat seorang wanita bersama ayahnya, Encik Syamsul, di bandar. Kemelut emosi Izz Akmal semakin memuncak apabila Encik Syamsul mengajak mereka sekeluarga bertemu dengan seorang wanita yang dipanggil sebagai Auntie Hana.

Siapakah Auntie Hana sebenarnya? Adakah dia bakal menggantikan tempat ibu Izz Akmal?

_______________________________________________________________

Sebagai bonus, saya juga ada terlibat dalam terbitan buku antologi cerpen dan puisi.

3) AKU KALIS PELURU
Terbitan: Grup Karyawan Luar Negara & Aqsa Syarif
Harga: RM20
Karya Saya: Cerpen - Di Hadapan Mata, Puisi - Naskhah Mimpi


Sinopsis: 

Menghimpunkan karya-karya nukilan penulis muda yang berkelana di negara dari benua Eropah, Asia-Australasia, Afrika, Amerika dan Timur Tengah. Bertemakan perjuangan membebaskan Al-Aqsa, pelbagai persoalan dan nilai yang diangkat dalam antologi ini pastinya menjanjikan kesan mendalam buat para pembaca.



____________________________________________________________


Tanpa doa kalian, saya bukan saya yang hari ini.
Tanpa usaha saya, saya bukan saya yang hari ini.
Tanpa izin-Nya, saya bukan saya yang hari ini.

Alhamdulillah, terima kasih semua. Doakan buku-buku ini bermanfaat buat segenap masyarakat.

Dapatkan di pasaran atau di pesta buku nanti!

~semoga niat kita ikhlas

Sunday, March 3, 2013

Rekod Pengalaman Di Bumi Asing

Assalamualaikum wbt.

Kata orang, sibuknya waktu belajar, tidaklah sesibuk semasa di alam pekerjaan.

Saya pada mulanya tidak berapa setuju. Tetapi sekarang, nampaknya saya terpaksa bersetuju. Tanggungjawab saya semakin berat. Namun, saya gembira dengan tugasan yang dipikul. Itu yang penting.

Kerana itu, saya jarang mengemas kini blog ini. Tetapi saya berharap sangat, saya mampu untuk berkongsi sesuatu dengan para pembaca sekerap mungkin.

Untuk kali ini, saya kongsikan artikel berkaitan saya dalam bidang penulisan yang tersiar dalam akhbar Kosmo pada bulan yang lalu.


Untuk membaca secara online, anda boleh klik di link ini:

KLIK DI SINI

Sekian sahaja. Nantikan dua buah novel terbaharu saya tidak lama sahaja lagi.
Wassalam.

~semoga niat kita ikhlas