Iwan Ghazali (Iwan Reaz)

Aku pencinta impian, menulis bukan menagih kekayaan, sekadar mendamba secebis keredhaan.

Iwan Ghazali (Iwan Reaz)

Aku pencinta impian, menulis bukan menagih kekayaan, sekadar mendamba secebis keredhaan.

Brr... Sejuknya Salji!

Novel Terkini
[ Pandangan Pembaca Novel ]

Iwan Reaz - Sedingin Salju

Iwan Reaz - Itulah Impianku

Followers

Friday, December 10, 2010

Satu Perjalanan

Salam.



9 Disember XXXX

Segalanya bermula pada hari ini…

Di saat pelajar universiti sudah mula mengurung diri, membuat latih tubi, membuat ulangkaji, juga bersiap sedia untuk menghadapi peperiksaan akhir semesta yang bakal menjelma tidak lama lagi.

Aku juga tidak terkecuali. Pukul 2 petang nanti, aku sudah pun membuat temu janji dengan pensyarah ku. Banyak perkara yang mahu aku tanyakan pada beliau.

Hampir pukul 1.45 petang, aku melangkahkan kaki keluar rumah. Aku memilih jalan pintas agar dapat sampai ke sana dengan kadar yang lebih segera. Namun, aku terleka. Aku tidak perasan ada seekor anjing muncul di belakangku. Aku terkejut. Tanpa ku duga, anjing itu mengejarku. Dengan pantas aku membuka langkah seribu. Aku berlari semahu-mahunya. Acap kali ku menoleh ke belakang. Akibatnya…

Aku terlanggar sebatang tiang eletrik. Tubuhku rebah menyembah bumi. Darah pekat mengalir di dahiku. Sakit dan pening bercampur-baur. Perasaan cemas masih belum hilang lantaran anjing itu tadi masih terus meluru ke arahku.

Satu gigitan hinggap di pahaku. Aku menjerit kesakitan. Satu penumbuk padu ku tujukan pada mukanya. Dalam kekalutan itu, aku terdengar suara seorang wanita melaung dari jauh.

Max!

Anjing itu segera meninggalkan ku. Aku membuat andaian bahawa anjing itu adalah haiwan peliharaan wanita berkenaan. Perasaan marah dan geram membara dalam sanubariku. Sudahlah terlanggar tiang eletrik, digigit anjing pula. Aku tidak kira. Aku mahu menyaman wanita itu.

Berkali-kali wanita warganegara Amerika berkulit putih itu meminta maaf dariku. Aku sebolehnya tidak mahu memandangnya kerana terlalu marah. Dia cuba membantu untuk memapahku, tetapi aku mengelak. Aku perasan dia seperti hendak menangis melihat kecederaan yang aku alami. Aku mengesat darah yang hangat mengalir di dahiku. Perit!

Tidak semena-mena, dia berpaling ke arah anjing itu lalu hendak memukulnya. Aku terkejut.

Stop it!

Aku menghalang wanita itu dari menyakiti haiwan berkenaan.

Di saat itu, kami berdua terdiam. Anjing itu juga tertunduk seakan-akan mengerti akan kesalahannya. Beberapa ketika berlalu, wanita itu berpaling ke arahku. Entah kali ke berapa agaknya dia terus meminta maaf daripadaku. Perasaan simpati mula menyelubungi diriku. Aku tahu, wanita itu benar-benar rasa bersalah.

Dia meminta izin untuk membawaku ke hospital bagi mendapatkan rawatan. Aku teragak-agak. Dengan keadaan ku yang cedera seperti ini, nampaknya aku terpaksa membatalkan temu janji bersama pensyarah ku. Seumur hidup aku, inilah kali pertama aku digigit anjing. Entah apakah implikasinya. Aku kurang pasti. Jadi, aku bersetuju dengan tawaran wanita itu.

Dia mengajakku untuk ke rumahnya sebentar. Tidak jauh lokasinya dengan kejadian malang yang berlaku padaku sebentar tadi. Aku dipersilakan duduk di ruang tamu. Dia naik ke atas sebentar untuk bersiap-siap. Aku memandang persekitaran di dalam rumahnya. Kemas. Tetapi aku tidak masuk ke dalam. Bukan apa, bimbang jika tiada orang lain di dalam rumah itu, bahaya fitnah boleh datang tanpa diundang.

Setelah beberapa minit, dia turun semula. Aku membuka bicara, bertanya soalan kepada dia, menandakan aku bukan seorang yang sombong atau berat mulut. Aku bertanya apakah pekerjaannya dan suaminya. Dia tersenyum, menurutnya, dia masih belum berkahwin. Dari iras wajahnya, aku rasa dia berusia dalam lingkungan 30-an. Namun, masih belum mendirikan rumah tangga? Sibuk dengan kerjaya barangkali.

Dia bertanya padaku pula, mengapa tidak mahu masuk ke dalam rumahnya? Tidak sudikah? Aku tersenyum. Lalu aku menyatakan pada beliau, bahawa aku adalah seorang Muslim. Aku terangkan padanya bahawa tidak manis untuk aku berada di dalam rumah seorang wanita tanpa ada orang lain bersama. Jangkaan aku bahawa beliau tinggal seorang diri di dalam rumah ini adalah tepat sekali.

Sebelum kami beredar untuk ke hospital, aku sekali lagi bertanya sesuatu pada wanita itu. Di mana aku boleh mendapatkan tanah? Aku juga meminta izin untuk meminta sedikit daripadanya. Dia seakan pelik dengan soalanku. Di belakang rumahnya memang ada tanah. Tetapi apa tujuannya? Sekali lagi aku menerangkan, bahawa aku perlukan tanah untuk menyucikan diriku. Air liur anjing peliharaannya itu tadi telah mengotori pakaian ku. Itu adalah tuntutan dalam agamaku. Wanita itu mengangguk tanda faham.

Setibanya di hospital, kami terpaksa menunggu agak lama kerana ramai pesakit yang datang. Wanita itu menghilangkan diri sebentar dan kemudiannya muncul dengan plastik makanan di tangannya. Dia menghulurkan salah satu plastik berkenaan kepadaku. Hatiku berasa kurang senang apabila menyedari wanita itu membelikan burger ayam untuk ku. Kasihan dia. Penat dia berjalan keluar dan membeli makanan ini.

Riak wajahku yang serba salah itu disedari olehnya. Aku akhirnya terpaksa menceritakan perihal sebenarnya. Makanan yang dituntut dalam Islam, mestilah halal. Aku tidak boleh makan sebarang makanan sewenang-wenangnya. Aku meminta maaf padanya. Tetapi aku masih boleh makan kentang goreng yang dibelikan bersama. Wanita itu tersenyum.

Saya belajar banyak perkara tentang agama Islam hari ini. Sebelum ini saya agak paranoid dengan orang Muslim. Tetapi sejak saya berjumpa dengan kamu, pendirian saya berubah. Sifat kamu yang pemaaf, penyabar, ramah mesra, menjaga kesucian dan maruah diri, semuanya mengagumkan saya. Saya semakin tertarik untuk belajar tentang Islam. Sudikah kamu mengajar saya?

Tentu sekali boleh. Tetapi saya akan datang bersama rakan saya yang lain…” belum sempat aku menghabiskan kata-kata ku, dia mencelah.

Sudah tentu. Bukankah tadi kamu ada menyatakan, lelaki dan wanita yang bukan ahli keluarganya tidak boleh berdua-duaan? Nanti boleh mengundang bahaya”, ujarnya.

Aku tersenyum. Walaupun banyak lagi yang masih belum aku jelaskan tentang perkara itu, tetapi aku sudah dapat melihat akan sinarnya. Wanita ini semakin memahami tentang agama Islam.

Dan kini, wanita itu sudah pun menjadi isteriku. Tidak ku sangka, kejadian 5 tahun dahulu memberi makna yang cukup besar dalam hidupku. Sesungguhnya, Allah itu Maha Berkuasa lagi Maha Bijaksana dalam merancang perjalanan hambanya. Aku tersenyum melihat isteriku yang sentiasa setia berada di sisiku. Namanya kini adalah, Nur Katherine Al-Hidayah. Cantik dan manis persis seperti wajahnya.

Tajuk: Satu Perjalanan
Karya: Iwan Reaz

Wallahualam...

~semoga niat kita ikhlas

Friday, December 3, 2010

Saya Sibuk...

Salam.

Jom kita pergi Blok A

Ada apa?

Pukul 3 nanti ada ceramah agama berkisar tentang hala tuju remaja Islam masa kini

Tak apalah. Aku sibuklah

-APA DEFINISI SIBUK?-



Alasan yang sering kita dengar tatkala ada seruan kearah kebaikan seperti majlis ilmu, mahupun ke masjid. Sibuk katanya.

Bagi para pelajar, kesibukan memang sesuatu yang tidak lagi dapat dinafikan kerana mereka sering sahaja diberi pelbagai tugasan oleh pensyarah dan perlu mengendalikan banyak program sampingan. Malah, jadual mingguan sering sahaja diisi dengan kuiz, test, exam dan macam-macam lagi. Kemuncaknya, sewaktu peperiksaan akhir semesta hampir tiba. Sibuk, sibuk, sibuk!

Untuk mereka yang sudah bekerjaya dan berumah tangga, keluar rumah awal pagi, baliknya waktu lewat petang. Mana masa mahu melayan anak-anak lagi. Mana masa mahu berehat lagi.

Memandangkan saya juga masih lagi seorang pelajar sepenuh masa, jadi ingin saya kupaskan sedikit situasi yang saya anggap, pelik tetapi benar. Dari pemerhatian saya, ramai pelajar yang memberikan alasan sibuk untuk mengelak dari menyertai pelbagai majlis kerohanian mahupun istiqamah dalam amalan.

Apakah sibuk bagi mereka sebenarnya? Kerana dalam sibuk mereka, saya lihat mereka masih…

*Melayari laman sosial seperti facebook dan twitter.
*Bermain games.
*Menonton filem, video di youtube dan drama di kaca televisyen.
*Melaksanakan aktiviti-aktiviti berkaitan hobi dan minat masing-masing.
*Dan bagi mereka yang sudah memiliki kekasih (kononnya), masa bersama untuk berchatting, berborak dalam telefon, menikmati makan malam ‘romantik’, tetap akan diluangkan tak kira betapa ‘sibuk’ pun mereka itu.

Tetapi…

*Masa untuk membaca Al-Quran, tiada masa…
*Masa untuk solat sunat, tiada masa…
*Masa untuk berusrah, tiada masa….
*Masa untuk mengkuti majlis ilmu, lagi la tiada...

Mereka ini mengakui cintakan Allah dan Rasul-Nya. Tetapi kelihatannya seperti mereka lebih cintakan ‘kekasih hati’ mereka itu lebih dari segala-galanya. Cintakan dunia lebih dari segala-galanya.

Kalau benar anda sibuk, mengapa saya lihat anda masih online dan aktif berfacebook dan bertwitter? Mengapa saya lihat anda masih bermain games? Masih leka di hadapan televisyen? Mengapa ? Inikah yang dikatakan sibuk?

Berilah alasan sibuk berjuta kali pun. Saya tidak menilainya. bahkan saya tidak mengatakan saya lebih baik daripada kamu. Tetapi nanti, apabila kamu bertemu dengan Tuhanmu, maka jawablah,

saya sibuk…


Wallahualam

~semoga niat kita ikhlas.

Sunday, November 28, 2010

Surat Untuk Kita

Salam...

Ini ada surat untuk tatapan kita semua. Mari baca dan hayati.



Aku bertanya pada diriku...

Mengapa bila exam hampir tiba...
Aku rasa sibuk sangat. Setiap masa harus aku gunakan sebaik mungkin untuk membuat latih tubi, membaca dan menghafal nota, menyalin formula-formula penting.

Dan...
Jika ada program islami yang dianjurkan, penglibatanku seakan-akan membuang masa. Setiap minit yang berlalu begitu berharga buatku. Hatiku resah di setiap waktu.

Tetapi?
Aku tak pula rasa buang masa bila aku gunakan setengah jam atau satu jam untuk bermain game, atau menonton televisyen, atau melayari internet. Alasannya? Mahu release tension...

Sedangkan...
Waktu inilah sepatutnya aku berada semakin hampir dengan Allah. Kejayaan ku, semuanya adalah ketentuan Allah. Walau segigih mana aku berusaha tetapi andai aku tidak mengharap redha Ilahi, bagaimana kejayaan mahu berdamping dengan ku?

Mengapa bila membeli-belah...
Aku akan cari barang-barang yang mampu memberi kepuasan dan kebanggaan. PS3, tv LCD, DSLR, HD camcorder, ipad, iphone 4, semuanya aku idamkan. Tak kisah walau harganya mahal, dan adakalanya terpaksa ikat perut demi itu semua...

Dan...
Jika aku mahu membeli buku-buku agama, application i-pray, i-quran di itunes, aku merasakan harganya sangat mahal, lantas membuatkan aku berfikir berkali-kali sama ada perlukah aku membelinya?

Tetapi?
Bila aku beli barang-barang keduniaan seperti PS3, HD camcorder, Ipad, TV LCD, aku tak pula rasa kedekut untuk membayarnya. Lebih-lebih lagi ketika harganya jatuh beberapa peratus. Walhal, masih mahal dan berganda2 dari keperluan sebenarnya.

Sedangkan...
aku patut rasa kedekut untuk menurut hawa nafsu aku dan berlapang dada apabila mahu membelanjakan duit untuk membeli barangan agama, atau sesuatu yang dapat mendekatkan aku dengan Sang Pencipta. Tetapi yang sebaliknya pula aku rasai...

Mengapa bila menghadiri program...

Konsert yang mahal pun sanggup ku bayar, sanggup ku sewa kereta, rela ku berhimpit-himpit.

Tetapi...

Kuliah agama yang percuma dan dekat itu, kurasakan bagai tiada masa dan tenaga untuk dilaburkan.

Kawan-kawan ku semua...
Jangan jadi seperti aku. Aku merasakan sakaratul maut semakin menghampiri ku. Aku terbayang kealpaan aku dahulu. Tetapi tubuhku ini tidak mampu untuk melakukan apa-apa. Ku kirimkan surat ini agar kau tidak menjadi seperti aku. Bila nasi sudah menjadi bubur, baru aku hendak menyesal. Jangan! Jangan!

Wassalam


Apakah bila kita sudah hampir dicabut nyawa baru hendak menyesal? Tepuk dada, tanyalah iman.

~semoga niat kita ikhlas

Thursday, November 18, 2010

NOTA UNTUK SYAHMI

Salam.

Pertamanya, Iwan ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua.

Keduanya, Iwan ingin merakamkan jutaan terima kasih untuk respons yang positif dari semua pembaca karya Iwan.

Yang menariknya, ada pembaca yang menggunakan novel Melodi Hati untuk presentation dalam kelasnya, ada pembaca yang menzahirkan baris “sekaya seindah setinggi” ke dalam pementasan drama, ada sekolah yang menjadikan novel ini untuk koleksi istimewa di perpustakaan sekolah, ada pembaca yang tak pernah baca novel, tetapi mula terpikat untuk membaca novel setelah membaca novel ini, dan tak kurang ada juga pembaca yang ingin menjadi penulis. Rasanya ada dalam 5 orang macam tu. Insya-Allah, semoga niat kita ikhlas dalam memperjuangkan seni yang kita minat.

Baru-baru ini, ada seorang pembaca yang baru membeli novel Melodi Hati. Menurutnya, sudah lebih 4 kali dia mengulanginya. (wau…) Hasil bacaannya itu, beliau membuat satu nota khas untuk Syahmi (Mie).

andai dapat ku tafsirkan melodi itu,
pasti kita dapat bersama menghayatinya,
andai dapat ku ertikan getaran itu,
pasti kita dapat memahaminya,
andai dapat ku maknakan jelingan itu,
pasti kita takkan melalui detik perpisahan kelmarin,
andai kita dapat bersama menghayati melodi itu,
pasti kita akan bahagia tanpa rintangan yang melanda,
andai kita dapat memahami getaran itu,
pasti aku tidak melukaimu,
tapi siapa kita untuk menentukannya?
Sudah takdir dari-Nya,
Setiap pertemuan pasti ada perpisahan,
Namun...ku harap...sengketa kita bukanlah noktah kepada perhubungan ini,
dan ku harap...jika ada perpisahan antara kita,
bukanlah perpisahan untuk selamanya,
kerana...
selagi jantung ku masih berdetak,
selagi hatiku melagukan melodi kasihku kepadamu,
selagi itulah akan ku pertahan kan hubungan ini,
kerana kau...
Adikku..................

(Nurul Izzah, 15 tahun, Ipoh Perak)

Terima kasih.



~semoga niat ikhlas

Friday, November 12, 2010

Aktiviti Sekitar New Jersey

Salam.

Agak lama juga tak kemaskini blog selepas entri yang bertajuk wanita. Respons yang diterima cukup baik dan ramai yang berkongsi entri tersebut di facebook. Semoga usaha kita ini diberkati insya-Allah.

Novel Air Mata 2 Benua sedang memasuki fasa-fasa terakhir insya-Allah, cuma ada beberapa perkara lagi yang perlu diambil perhatian. Epilog misalnya, penerbit minta untuk menambah bab berkenaan. Manakala buku himpunan cerpen Haiwan Oh Haiwan, masih memerlukan beberapa lagi cerpen tambahan untuk diisi. Semoga segalanya dipermudahkan insya-Allah.

Untuk entri kali ini, Iwan sekadar mahu berkongsi pengalaman. Baru-baru ini, penyanyi nasyid antarabangsa, Maher Zain, datang ke New Jersey.


Gaya selamba Maher Zain yang menyarungkan jaket New Jersey.

Keesokannya, Iwan berjalan-jalan di sekitar Universiti Rutgers bersama rakan-rakan.


Menikmati keceriaan musim luruh di tepi tasik nan indah.

Petang itu kami ke ladang labu.



Sempat juga memasuki Corn Maze.


Sekian, perkongsian daripada Iwan.

~semoga niat kita ikhlas

~semoga niat kita ikhlas

Tuesday, November 2, 2010

Wanita

Salam.

Beberapa hari yang lalu, Iwan menulis status di facebook:

“Bukan terlalu memilih, tetapi tak salah rasanya andai aku meletakkan kriteria wanita bertudung labuh sebagai bakal isteriku. Jika ramai orang suka baju mahal, laptop mahal, kereta mahal, aku pula mahukan wanita yang mahal dan tahu memelihara maruah diri dan keluarga”

Syukur, semua komen status itu adalah positif belaka. Ramai juga yang tidak mahu komen di status itu, tetapi mengirimkan pelbagai reaksi melalui private message di facebook. Air muka Iwan kadang berubah-ubah membaca macam-macam pandangan orang ramai. Salah satunya berbunyi:

“Oh, jadi kau nak kata kami yang tak bertudung atau bertudung singkat ni wanita murah lah?” -A

-izinkan penggunaan aku untuk penerangan seterusnya-

Aku tidak meletakkan harganya, kerana harga yang sebenar dinilai pada hati. Apalah dayaku untuk menilai hati seseorang? Jika hati pun sukar diselami, apakah yang dapat membantu aku menilai seseorang? Maka, pastinya aku akan melihat pada luarannya terlebih dahulu. Setelah itu, barulah aku akan mengenalinya dengan lebih lanjut.

“Bila?”

Bukankah kita ada satu ikatan yang dinamakan ikatan pertunangan? Itulah saatnya untuk aku mengenali kamu. Bukannya waktu kita keluar menonton wayang berdua. Bukannya semasa kita bergelak ketawa bermain bowling bersama. Bukannya waktu kita keluar di waktu malam melihat bulan bercahaya. Bukannya semasa romantic dinner. Bukan, bukan, bukan.

Aku pernah baca di satu blog orang arab ni, yang mana dia mengatakan wanita ini umpama makanan. Sekiranya makanan itu tidak bertutup, atau ditutup tetapi masih ada lagi yang terbuka sana-sini. maka mudahlah lalat untuk mengotori kamu. Tetapi andai makanan itu dijaga baik dan rapi, insya-Allah, makanan itu bersih dan suci.

“Kau jangan nak generalize kami la, kami walaupun tak pakai tudung, tapi kami solat juga!” -C

Solat itu wajib, kau turuti, bagus!. Menutup aurat itu juga wajib, kau tak turuti, tak bagus…

Okey, saya nak tanya kamu kembali, apakah persamaan kenyataan kamu itu dengan ayat ini:

“saya bagi kucing saya makan, tapi hari-hari saya sepak terajang dia”

Apakah kebaikan kamu itu dapat menutupi kejahatan kamu terhadapnya? Fikir-fikirkan…

“Harap pakai je tudung labuh, baiknya belum tentu lagi” -G

Jadi, kamu ni dah tentunya baik lah ye? Wah.

“Kau kata nak yang pakai tudung labuh. Kalau orang tu pakai tudung labuh tapi pakai skirt, kau nak juga?” -D

Kamu ini tentunya bergurau. Kan di akhir status saya itu tertulis, saya mahu wanita yang tahu menjaga maruah diri dan keluarga. Apakah wanita bertudung labuh dan pakai skirt itu tahu malu? Tapi rasanya, saya tak pernah pula nampak ada wanita bertuduh labuh berskirt. Kamu ini tentunya bergurau.

“Iwan, tapi andainya jodoh kamu bukan dengan wanita bertudung labuh, macam mana?” -F

Jodoh saya sudah tertulis di atas sana. Saya kena terima dengan redha. Cuma sekarang, saya tak tahu siapa. Jadi, saya kena berusaha. Dan usaha saya berlandaskan kriteria yang menepati syariat Islam. Yang bertudung biasa tetapi mengikut apa yang Islam suruh, pun saya terima. Cuma buat masa ini, saya lebih tertarik dengan kesungguhan wanita yang bertudung labuh. Mereka ini umpama srikandi. Untuk mendapatkan mereka, saya perlu jaga diri saya. Istiqamah dalam amal soleh. Barulah mendapat isteri yang solehah, insya-Allah.



“Perempuan-perempuan yang keji untuk laki-laki yang keji dan laki-laki yang keji untuk perempuan-perempuan yang keji. Sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. [Surah al-Nur, ayat 26]

~semoga niat kita ikhlas