Iwan Ghazali (Iwan Reaz)

Aku pencinta impian, menulis bukan menagih kekayaan, sekadar mendamba secebis keredhaan.

Iwan Ghazali (Iwan Reaz)

Aku pencinta impian, menulis bukan menagih kekayaan, sekadar mendamba secebis keredhaan.

Brr... Sejuknya Salji!

Novel Terkini
[ Pandangan Pembaca Novel ]

Iwan Reaz - Sedingin Salju

Iwan Reaz - Itulah Impianku

Followers

Monday, February 11, 2013

Pengalaman XYZ Memandu

Assalamualaikum wbt.

Anda tentunya mempunyai pengalaman memandu, bukan? Walaupun anda masih pelajar sekolah, saya yakin anda tentunya pernah cuba-cuba mahu memandu kenderaan ahli keluarga anda. Mengaku sajalah ... .

Untuk entri kali ini, saya mahu berkongsi pengalaman-pengalaman saya sebagai seorang pemandu. Yang baik dijadikan teladan. Yang buruk dijadikan sempadan. Okey!

1) Pertama Kali Bawa Di Lorong Sebelah Kanan

Selalunya bawa kereta di lorong sebelah kiri. Jadi, bila kena memandu di lorong yang lain, terasa sedikit janggal. Tetapi tidaklah sukar sebenarnya. Cuma apabila kena memandu di lorong kiri semula, haa barulah terasa 'semacam'.

Pertama kali saya bawa kereta di lorong sebelah kanan adalah di New Jersey, selepas menyaksikan konsert Maher Zain. Ketika itu saya dipelawa oleh rakan saya untuk membawa kereta Honda Civic, di kawasan tanaman jagung. Kemudian, saya diminta bawa sehingga ke rumah. Saya pun bawalah dengan penuh berhati-hati, sehingga lambat sampai jadinya. Belum biasa lagi ... .

2) Pemanduan Paling Jauh

Saya memandu hampir 3,600 batu, bersamaan dengan 5,760 kilometer, semasa percutian ke selatan Amerika Syarikat (seperti Miami, Florida, New Orleans dan lain-lain) pada bulan Disember 2010. Anggaran jumlah sebenar perjalanan adalah 4,003 batu. Jarak selebihnya itu dipandu oleh rakan saya.

Hari pertama percutian ini, saya sakit belakang. Sakit yang amat dek pemanduan yang memakan masa secara purata 8-10 jam sehari.


3) Pemanduan Paling Mengantuk

Masih dalam percutian yang sama, pada hari yang ketiga. Semasa itu kami dalam perjalanan menuju ke hotel setelah singgah makan malam di restoran Pizza Hut. Jam sudah menunjukkan pukul 1 pagi. Penumpang-penumpang dalam kereta saya semuanya sudah tertidur. Mengantuknya mata, hanya Allah Yang Tahu.

Saya sudah tidak larat. Tetapi GPS menunjukkan jarak untuk ke hotel masih berbaki 50 batu lagi. Aduhai. Pada waktu itu, tiada siapa yang dapat menggantikan. Jadi, mahu tidak mahu, saya terpaksa menjegilkan mata untuk meneruskan pemanduan.


4) Pemanduan Paling Bahaya

Yang ini pula saya alami selepas saya menghadiri satu majlis makan malam bersama Datin Seri Rosmah Mansur di New York. Tamat acara tersebut, saya dan rakan-rakan menuju ke Cabin untuk bercuti sempena Spring Break.

Saya memandu di belakang kereta lain yang dipandu oleh rakan saya. Beliau memandu agak laju. (hehehe... ) Pada waktu itu, hujan turun dengan lebatnya. Tetapi entah mengapa, saya begitu berani untuk memandu dengan kelajuan 60-70 batu sejam (96-112 km/j). Agak laju di kala hujan yang turun begitu lebat. Ditambah pula dengan waktu malam, pandangan saya terbatas. (gelap + cahaya lampu + hujan = tak nampak) Serius, saya tidak nampak lorong jalan. Saya hanya membuntuti kereta di hadapan.

Apabila difikir-fikir semula, saya kesal dengan diri sendiri. Mengapa saya membahayakan nyawa sendiri dan penumpang lain? Bukankah lebih baik jika saya memandu dengan perlahan sahaja dalam situasi seperti itu?

5) Pertama Kali Bawa SUV

Saya tidak gemar bawa kereta besar sebenarnya. Apatah lagi SUV / MPV / Van. Jadi semasa percutian ke West Coast ( Los Angelas, Las Vegas, San Diego dan lain-lain), saya banyak memberi alasan supaya tidak disuruh memandu. Namun sejauh mana pun saya mengelak, adakalanya saya tetap tidak boleh lari.

Semasa kami dalam perjalanan dari Las Vegas ke Los Angelas, pemandu sudah mula mengantuk. Dia meminta saya menggantikannya. Saya lihat penumpang yang lain. Semua sudah tidur. (bersambung ... )



6) Pertama Kali Bawa Kenderaan Tanpa Lesen

(Sambungan ... ) Sebenarnya, alasan saya yang paling kukuh tidak mahu terlibat sama dalam pemanduan dalam percutian di atas ialah, saya punya lesen sudah mati. Jadi, apabila si pemandu meminta saya untuk menggantikannya, saya rasa berat hati/

Tetapi apabila difikir-fikirkan semula, disaman itu adalah lebih baik daripada membiarkan pemandu yang mengantuk meneruskan pemanduan. Oleh itu, saya bersedia untuk menggantikannya. Duit boleh dicari, nyawa tiada ganti. Syukur, perjalanan lancar dan selamat tanpa disaman.

Saya menjadi lebih berani untuk memandu semasa ketiadaan lesen. Semasa di San Diego, saya merelakan diri untuk memandu lagi. Entah bagaimana, ada pula pemeriksaan di jalan raya. Saya menjadi kelam kabut sehingga ...

"Are you US citizen?" tanya pegawai berkenaan.

"Aaa ... aaa ... yes!" aku menggelabah.

Semua penumpang dalam SUV ketawa besar dan memperbetulkan semula keadaan. Berpeluh saya dibuatnya. Mujurlah pegawai-pegawai itu hanya minta untuk melihat passport kami, bukannya lesen memandu.

_____________________________________________

Sekian sahaja perkongsian pengalaman saya. Nasihat saya kepada yang para pemandu, berhati-hati semasa memandu. Jangan berkelakuan kurang sopan seperti

- memotong barisan,
- melanggar lampu merah,
- menggunakan lorong kecemasan ketika jalan jem mahupun tidak jem,
- menukar lorong sesedap epal sehingga menyusahkan pemandu lain.

Ingatlah orang tersayang. Anda mampu mengubahnya :)


Jika mahu makan sambil memandu, pastikan anda berhati-hati dengan persekitaran anda. 

Sekian...

~semoga niat kita ikhlas







Tuesday, January 22, 2013

Saya Sedang Menulis

Assalamualaikum wbt.

Tanpa disedari, masa pantas berlalu. Tidak lama lagi bulan Februari akan menjengah. Saya masih belum melunaskan janji saya untuk berkongsi tips penulisan yang seterusnya iaitu - "Saya Sedang Menulis"

1.Tulis Di Mana-Mana

Bagi yang baru mula menulis untuk manuskrip yang baharu, semangatnya mungkin marak menyala. Sanggup duduk di hadapan laptop selama berjam-jam bagi menghasilkan beberapa bab terawal. Tetapi berapa lama kita sanggup berada dalam posisi berkenaan?

Jadi tips saya yang pertama, jangan had kan penulisan anda di dalam laptop/ komputer sahaja. Anda sebenarnya boleh jadi kreatif dengan menulis di tempat lain. Malah, tidak keterlaluan jika saya katakan, idea akan lebih mudah apabila anda tidak menulis di hadapan laptop.

Sebagai contoh, memandangkan pada masa kini sudah ramai yang memiliki telefon pintar, gunakan gadjet berkenaan sebagai tempat untuk anda menulis. Untuk manuskrip novel Brr Sejuknya Salji, saya jatuh demam pada minggu ke-2 saya menulis. Semasa menunggu giliran yang lama di klinik, saya tidak bazirkan masa dengan hanya menunggu, Saya karang penulisan saya di dalam telefon. Setelah balik ke rumah, saya e-melkan penulisan saya itu kepada diri saya sendiri lalu kemudiannya saya copy-paste ke dalam fail manuskrip saya di dalam laptop. Mudah saja, bukan?

Contoh lain, semasa hendak menunggu kelas bermula, saya menulis menggunakan phone. Semasa dalam kereta (saya adalah penumpang, bukan pemandu ketika itu), saya menulis. Dan banyak lagilah. Perlu kita ingat bahawa ilham yang hadir itu akan muncul pada bila-bila masa. Tidak semua masa mudah bagi kita untuk mencapai laptop/komputer. Jadi, karang ilham anda itu dalam telefon/ nota kecil/ tisu atau apa-apa sahaja, asalkan mudah untuk anda merujuk kembali.

-Sekiranya anda mahu pengalaman baharu, anda bawa laptop anda ke lokasi percutian. Tentu ianya pengalaman yang menarik!




2. Tingkatkan Imaginasi

Untuk menjadi seorang penulis yang hebat, imaginasinya juga perlu hebat. Tetapi bagaimana caranya untuk meningkatkan imaginasi? Saya kongsikan cara-cara saya melakukannya.

Antaranya, sebelum tidur, kita buat mimpi kita sendiri. Boleh kata seperti beranganlah juga. Tetapi berangan mengenai jalan cerita yang kita mahu karang. Teruskan berimaginasi sehingga anda tertidur. Sekiranya anda tidak suka dengan jalan cerita A, maka twist kepada jalan cerita B. Anda bebas untuk memilih kerana anda adalah pemilik cerita itu!

Selain itu, gunakan pengalaman yang pernah anda lalui. Saya pernah tersalah turun stesen kereta api dan menyebabkan saya terlewat sampai ke destinasi. Daripada pengalaman itu, cuba anda twist jalan cerita tersebut.
-kejadian tersebut berlaku pada waktu malam.
-X tersalah turun stesen. X terpaksa tunggu kereta api seterusnya sendirian.
-X terasa diperhatikan. Rupanya ada penjenayah.
-X berlari dari situ dan cuba untuk mendapatkan pertolongan.
-bermulalah babak mendebarkan.

Anda tidak melalui pengalaman yang sedemikian. Tetapi anda boleh olah semula pengalaman itu menjadi satu cerita yang dramatik, unik dan menarik.

Anda juga boleh menggunakan pemerhatian anda terhadap orang sekeliling. Atau pun, anda tentunya pernah menonton filem, tetapi tidak puas hati dengan jalan cerita filem tersebut. Bukankah lebih baik begini dan begitu? Jadi, serap idea anda itu ke dalam penulisan anda!



3. Tinggalkan Bahagian Yang Sukar

Saya berani jamin, ada masanya atau ketika manuskrip anda di pertengahan jalan, anda tentunya akan stuck, blank, sudah tiada idea, tidak tahu mahu menulis apa lagi pada bahagian tersebut. Tetapi anda tahu apa yang mahu ditulis pada bab berikutnya.

Jadi nasihat saya, tinggalkan bahagian yang sukar itu dan sambung bahagian seterusnya yang anda rasakan lebih mudah untuk ditulis. Mengapa? Jangan bazirkan masa. Anda masih boleh kembali ke bahagian yang susah itu. Sekiranya anda mengerah idea terlalu lama untuk bahagian tertentu, idea untuk menulis bahagian yang lain berkemungkinan untuk hilang.

Jadi, anda rugi banyak benda sekiranya perkara sedemikan terjadi.

Ianya seperti anda menjawab peperiksaan. Bukankah cikgu di sekolah pernah berpesan, jawab soalan yang mudah terlebih dahulu? Kemudian, barulah jawab soalan yang sukar. Selain dapat menguruskan masa dengan baik, adakalanya idea anda akan bercambah semasa anda sedang menulis di bahagian yang lain.

Maka, jangan menulis A, B, C, D, E, F ..... X, Y Z.

Sebaliknya, menulislah A, D, B, C, E, G, X, .... K, L, Z. (bergantung pada bab mana yang sukar)

Berdasarkan pengalaman saya, saya sering bermula dengan bahagian konflik terlebih dahulu. Contohnya seperti novel Melodi Hati dan Diari Untuk Ibu. Jadi sebenarnya saya bermula dengan huruf X atau Y, bukannya A. Kadangkala, huruf A atau bab pertama adalah yang paling sukar untuk dihasilkan. (pada pandangan saya).



4. Kekalkan Momentum

Momentum ataupun semangat untuk menulis sangat penting. Sekiranya anda kehilangan momentum, adalah agak sukar untuk anda mendapatkannya atau membinanya semula.

Semasa anda mula menulis, anda berkobar-kobar. Masuk bab ke-3, semangat anda menurun sedikit. Masuk bab ke-5, anda mula rasa jemu. Bab ke-6, anda rasa susah hendak teruskan. Jadi, anda bagi "alasan" mahu berehat daripada menulis sebentar.

"Ah, tidak mahu menulis untuk tiga hari mulai esok!"

Selepas tiga hari, "err... tambah satu hari lagilah."

Akhirnya, manuskrip anda ditangguhkan terus!

Nampak tak? Semangat anda mulai luntur dan sukar untuk menyambung semula manuskrip anda itu. Sebab itulah, saya sarankan tips ke-3 tadi supaya anda dapat mengekalkan momentum anda untuk terus menulis. Mungkin ada sesetengah penulis yang begitu bersemangat untuk menulis sehingga ke noktah terakhir. Tetapi tentu adakalanya, kita berasa seperti malas, tidak ada mood dan sebagainya.

Usah berputus asa. Ingat kembali apakah tujuan anda mahu menulis? Moga-moga niat tersebut dapat membakar semula semangat anda untuk terus berkarya seterusnya menghasilkan momentum yang cukup kuat untuk anda menulis, menulis dan menulis!




Saya bercadang untuk menambah satu lagi ruangan tips penulisan. Nantikan, tips seterusnya, "Setelah Aku Menulis"

Wassalam.

~semoga niat kita ikhlas

Wednesday, January 9, 2013

Bengkel Penulisan Kreatif KMS

Assalamualaikum wbt.

Ada pembaca blog yang sudah meminta sambungan tips penulisan yang seterusnya, iaitu "Saya Sedang Menulis." Walaubagaimanapun, saya meminta maaf kerana tidak berkongsi untuk post kali ini. Saya bercadang untuk tulis di post yang akan datang.

Pun begitu, sebenarnya saya sudah pun berkongsi tips berkenaan dalam Bengkel Penulisan Kreatif yang dianjurkan oleh Grup Karyawan Luar Negara (GKLN).  Bengkel ini telah diadakan di Kolej Mara Seremban (KMS) pada 4 hingga 6 Januari yang lalu.

Saya yang merupakan ahli GKLN, bertanggungjawab untuk menjadi salah seorang fasilitator. Selain itu, saya juga diberi kepercayaan untuk menjadi panel kepada sebuah forum yang bertajuk, Bicara Karya. Melalui forum tersebut, saya telah berkongsi pengalaman saya sebagai seorang penulis dan juga tips-tips seperti mana yang saya kongsikan dalam blog sebelum ini - "Sebelum Saya Menulis", "Saya Mahu Menulis" dan yang terbaharu, "Saya Sedang Menulis." Tetapi saya merasakan perlunya satu lagi tajuk iaitu "Sesudah Saya Menulis".

Forum Bicara Karya ini turut dianggotai oleh seorang penulis novel dan cerpen iaitu Thoyba Mursyida dan moderatornya adalah DJ Syafiq Zulakifli, seorang DJ di IKIM.fm.

Bengkel selama tiga hari dan dua malam ini merupakan satu pengalaman yang cukup berharga buat saya. Saya dapat bertemu dengan ahli GKLN yang datang dari pelbagai latar belakang yang berbeza. Ada editor majalah, ada doktor mata, doktor bius, jurutera di Petronas, usahawan, dj radio dan macam-macam lagi. Ini menunjukkan bahawa, semua orang berhak dan berbakat untuk menulis, bukan hanya mereka yang belajar dalam jurusan sastera sahaja.

Di sini, saya kongsikan gambar-gambar di sepanjang bengkel berlangsung. (Kredit gambar ini turut diberikan kepada saudara Fadh Razy, yang merupakan tulang belakang GKLN.)


Bengkel Penulisan Kreatif


Antara fasilitator yang berdedikasi.


Peserta asyik mendengar perkongsian.


Sesi Latihan Dalam Kumpulan (LDK)


Forum Bicara Karya oleh Iwan Ghazali dan Thoyba Mursyidah. Moderator, DJ Syafiq Zulakifli


Sesi autograph


Persembahan oleh para peserta


Banglo yang menjadi tempat penginapan fasilitator


Kuliah Maghrib oleh ahli GKLN, Ustaz Afif yang menerangkan kepentingan sastera dalam berdakwah


Saya bersama rakan fasilitator di akhir bengkel.

Kesimpulannya, pengalaman ini boleh dikatakan sebagai pembuka tirai kepada tahun baharu 2013 untuk saya lebih aktif dalam dunia penulisan. Terlalu banyak permata berharga yang saya telah perolehi daripada bengkel ini. Dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh rakan-rakan GKLN dan juga para peserta bengkel.

Sekian, wassalam.


Sempat menyanyikan lagu single terbaharu saya - Sedingin Salju, untuk mempromosikan novel Brr Sejuknya Salji!

~semoga niat kita ikhlas

Sunday, December 16, 2012

ILUSI PHILLY

Assalamualaikum wbt.

Saya mendapat banyak pertanyaan berkenaan buku Ilusi Philly. Di mana boleh dapatkannya? Siapa penerbitnya? Berapa harganya? Dan macam-macam lagi...


Sukacita untuk saya maklumkan di sini, bahawa buku ini adalah cetakan untuk koleksi peribadi dan juga sebagai proposal untuk penerbit. (Proposal dalam bentuk buku, bagi saya ianya faktor psikologi yang positif).

Pihak editor syarikat Galeri Ilmu sudah membaca buku ini pada bulan Ramadhan yang lalu dan kemudiannya meminta saya untuk membuat proposal lengkap (sinopsis, bab awal dan sebagainya). Memandangkan komitmen saya ketika itu adalah untuk menyiapkan novel Goodbye New York dan Diari Untuk Ibu, maka saya 'perap' sebentar proposal Ilusi Philly.

Penantian yang tidak sabar-sabar lagi oleh para pembaca sebaik melihat gambar buku ini di Facebook, menguatkan saya untuk terus menyiapkan proposal Ilusi Philly sebaik sahaja saya tamat menulis dua buah novel yang saya sebutkan di atas. Sekarang, proposalnya sedang dinilai oleh pihak penerbit. Doakan segalanya berjalan dengan lancar.

Untuk pengetahuan semua, tajuk Ilusi Philly adalah merujuk kepada tajuk sebuah puisi yang saya karang untuk dimuatkan dalam buku Menyirat Cinta Haqiqi.



Inilah puisinya untuk tatapan para pembaca:

ILUSI PHILLY
Iwan Ghazali

Siang tegar diskriminasi malam,
Walau kuasa di jari aswad,
Membangun tinggi kota metropolitan,
Hakikat jalanan penuh ilusi,
Wang,
Makanan,
Fantasi,
Dipisah sang garisan lutsinar.

Biar sejarah dipukul dusta,
Gegaran merdeka kuat bergema,
Ukiran pahlawan dan pencakar langit,
Mentari hilang neon kan bersinar,
Pelancong menari di depan lensa.

Aku menyarung helaian putih,
Untukku hampar magis aurora,
Duhai Philly menanti bahagia,
Siang dan malam berpadu cinta.
_______________________________________

Saya dedikasikan puisi ini untuk bandar Philadelphia, sebuah bandar yang pernah saya diami sejak tahun 2009 sehinggalah bulan Julai baru ini. Bandar yang mengusik kenangan. Bandar yang penuh cabaran. 

Kepada yang mahu merasai suasana di bandar Philly, bolehlah melihat video ini. 

~semoga niat kita ikhlas


Sunday, November 25, 2012

SAYA MAHU MENULIS!

Assalamualaikum wbt.

Baiklah, kali ini saya mahu menyambung perkongsian saya sebelum ini mengenai tips penulisan. Jika sebelum ini anda membaca post mengenai "Sebelum Saya Menulis", perkongsian ini pula bertajuk,

"Saya Mahu Menulis!"

Jadi, sekiranya anda sudah faham mengapa anda mahu menulis, kini tiba masanya untuk anda mula menulis. Berikut adalah antara perkara-perkara yang perlu anda tahu:

1) Fahami Perkara dan Format Asas Penulisan

-Apakah beza "dari" dan "daripada"?
-Bilakah mahu menggunakan nombor (contoh: 12), dan perkataan (contoh: dua belas)?
-Yang mana satu tanda dialog yang betul?
     "Saya suka main bola." kata Hafizi.
     "Saya suka main bola," kata Hafizi.
     "Saya suka main bola." Kata Hafizi.

-dan banyak lagi perkara dan format asas berkaitan penulisan yang perlu diketahui, difahami, dipelajari lalu diamalkan. Bagaimana untuk anda belajar dan memahami semua ini? Ada dua cara:

Yang pertama, sekiranya anda ada membaca post saya sebelum ini, saya menitikberatkan kepada anda semua supaya memperbanyakkan bacaan. Dengan cara ini, anda boleh mengenalpasti format-format penulisan terkini  yang diguna pakai oleh para penulis mengikut standard yang digariskan oleh pihak penerbit.

Cara kedua, anda boleh belajar format asas penulisan melalui bengkel penulisan. Tidak kiralah sama ada yang dianjurkan oleh pihak sekolah, pihak universiti, badan kerajaan, syarikat penerbitan atau apa sahaja organisasi.

Mengapa perkara ini penting? Bukankah nanti ada editor (penyunting) yang akan memperbetulkan kesalahan penulis?

Ya, memang akan ada editor. Tetapi kerja editor adalah memperbetulkan kesalahan yang tidak disengajakan. Bayangkan, penulisan yang berpuluh-puluh ribu itu, tentunya akan ada beberapa kesalahan kecil yang tidak disengajakan oleh penulis. Maka, editorlah yang bertanggungjawab untuk membetulkan kesalahan-kesalahan tersebut.

Akan tetapi, sekiranya manuskrip yang diterima itu sarat dengan kesalahan-kesalahan tatabahasa, tanda baca, malah ejaan pun tidak betul, ianya akan membebankan editor. Mereka ada banyak lagi manuskrip untuk disunting.

Kebarangkalian untuk mereka menerima manuskrip yang mempunyai banyak kesalahan adalah sangat tipis. Oleh itu, sila sunting terlebih dahulu manuskrip anda sebelum dihantar kepada para penerbit.

-Nota penting: Pembaca akan hilang keseronokan membaca bila banyak kesalahan bahasa, tanda baca dan sebagainya.

2) Buat Rangka Cerita (Draft)



Anda sudah ada idea dan konsep jalan cerita. Tetapi seperti yang saya tekankan sebelum ini, jangan mengambil risiko dengan menulis jalan cerita dari awal sehingga akhir tanpa ada sebarang rangka (draft). Contoh:

Idea awal: Kisah mengenai Amin yang mahu pergi temuduga kerja. Banyak perkara lucu yang berlaku sepanjang perjalanannya. Tapi walaupun begitu, dia tetap mendapat kerja.

Jadi, anda pun mula menulis. Mula dengan bab 1, kemudian masuk bab 2, dan seterusnya. Anda langsung tidak merancang di manakah seharusnya konflik mula berlaku. Anda hanya terus menulis dan menulis. Namun, akhirnya anda terhenti kerana merasakan fikiran anda celaru dan kelam-kabut.

Jadi, nasihat saya adalah anda buat rangka terlebih dahulu. Contoh ringkas:

Permulaan: Amin mahu pergi temuduga. Masalah Amin adalah, dia tidak ada kenderaan.

Perkembangan: Ada kawan dia lalu depan rumah. Amin minta tumpang ke stesen kereta api.

Konflik 1: Kawan Amin itu beri tumpang. Tetapi dia itu kedekut. Mahu ikut atau tidak?

Konflik 2: Stesen kereta api penuh orang. Amin mahu bersesak-sesak atau tunggu kereta api seterusnya? Bimbang terlewat pula nanti.

Konflik 3: Semasa dalam perjalanan, dia teringat bahawa ada dokumen yang dia tertinggal di rumah. Adakah dia perlu pulang ke rumah atau teruskan perjalan?

Konflik 4: Setibanya di tempat temuduga, perutnya berasa lapar yang teramat. Adakah dia perlu makan terlebih dahulu?

Peleraian: Amin ditemuduga dan berjaya mendapat kerja.

Apabila kita sudah bina rangka, tugasan menulis menjadi lebih mudah kerana ada rujukan. Tidaklah kita terkapai-kapai mahu memikirkan apakah yang sudah berlaku, apakah yang akan berlaku?

3) Buat Proposal



Sekiranya anda serius dalam penulisan dan mahu karya anda itu diterbitkan di pasaran, maka saya sarankan untuk anda membuat proposal terlebih dahulu dan minta kelulusan untuk diterbitkan. Sebenarnya, ada banyak cara karya boleh diterbitkan. Tetapi secara amnya, ada dua cara yang biasa digunapakai.

i- Tulis manuskrip dari awal sehingga akhir. Setelah selesai, hantar kepada penerbit,

ii- Buat proposal. Hantar kepada penerbit. Apabila diluluskan, barulah manuskrip itu disiapkan sepenuhnya.

Cuba anda bandingkan kedua-dua cara di atas. Mana satukah yang lebih berisiko? Sudah tentulah yang pertama. Bayangkan betapa penatnya anda menulis manuskrip itu, namun akhirnya ditolak pula... Huu sedihnya...

Mungkin karya anda itu bermutu. Tetapi harus diingatkan, bahawa penerbit juga punyai pasaran tertentu. Jadi, mereka tidak mahu menerbitkan sesuatu karya yang tidak menepati cita rasa pembaca dan kurang memberi keuntungan kepada mereka.

Novel Melodi Hati saya dahulu menggunakan cara pertama, kerana saya pada masa itu memang tiada apa-apa pengetahuan mengenai dunia penerbitan. Mujur manuskrip saya diterima dan membakar semangat saya untuk terus berkarya. Namun, sejak mengetahui betapa berisikonya tindakan saya itu, saya memilih cara yang kedua. Oleh itu, saya sarankan kepada anda untuk membuat proposal dan dapatkan kelulusan terlebih dahulu.

Bagaimana pula caranya untuk membuat proposal? Penerbit yang berbeza mahukan jenis proposal yang berbeza. Tetapi kebanyakannya mahukan:

-sinopsis penuh manuskrip
-dua bab awal

Ada juga penerbit yang mahukan:

-sinopsis setiap bab
-perwatakan watak utama
-bab awal, bab pertengahan dan bab akhir

Untuk mengetahui format proposal penuh yang dikehendaki oleh para penerbit, anda boleh rujuk di laman web penerbit itu sendiri.

Setelah menghantar proposal anda, tunggu sehingga mereka memberi kelulusan. Adakalanya dalam tempoh 2 minggu hingga 2 bulan. Sementara itu, anda boleh meneruskan penulisan atau buat proposal yang lain untuk dinilai. Setelah mendapat kelulusan, barulah manuskrip anda itu boleh disiapkan sehingga ke titik noktah terakhir! Biasanya penerbit akan memberikan anda tarikh akhir serahan manuskrip (deadline).

Nota penting! - Namun harus diingatkan, proposal yang telah diluluskan tidak memberi jaminan seratus-peratus bahawa karya anda itu akan diterbitkan. Anda haruslah bersedia untuk mengubah, mengurangkan atau menambah jalan cerita mengikut kemahuan penerbit.

Sekian sahaja perkongsian saya untuk kali ini. Nantikan post saya yang seterusnya - "Saya Sedang Menulis"


Saya bersama penulis terkenal, Ummu Hani Abu Hasan dan juga Pn Shamsiah dari Galeri Ilmu dan Pn Rusiah dari Perpustakaan Negara. Pada waktu itu, kami sedang menguruskan perjanjian untuk Projek Buku Perpustakaan Desa.

~semoga niat kita ikhlas.



Tuesday, November 13, 2012

HARI YANG ....

Assalamualaikum wbt.

Jumaat lalu, saya dihadapkan dengan beberapa ujian kecil dan agak kelakar.

Pada hari berkenaan, saya tidak ke ofis kerana ada temuduga dengan Maybank di sebelah petangnya. Waktu yang dijanjikan adalah pukul 3.30 petang di Menara Maybank. Saya kena pergi lebih awal kerana perlu menunaikan solat Jumaat. Jadi, pada pukul 11.30 pagi saya sudah keluar rumah.

Biasanya jika saya hendak pergi ke Kuala Lumpur, saya lebih gemar menggunakan kenderaan awam (public transport) berbanding memandu kereta. Selain dapat mengelakkan kesesakan lalu lintas, duit minyak dan tol dapat dijimatkan.

Saya menaiki KTM dari Kajang menuju ke Bandar Tasik Selatan. Entah sudah berapa tahun agaknya saya tidak pernah menaiki LRT. Papan tanda tidak diletakkan dengan jelas dan ramai pengguna yang keliru untuk menunggu di platform yang mana satu, termasuklah saya. Tetapi entah mengapa saya begitu yakin untuk menunggu di platform di sebelah kanan, yang menuju ke Sri Petaling (Geografi failed)

LRT yang menuju ke Sentul Timur sudah tiba di platform yang satu lagi. Saya memandang sahaja dari jauh. Dalam hati, "kenapa aku rasa macam sebelum ni aku tunggu di platform tu ya?" Kemudian, setelah LRT berkenaan berlalu pergi, saya terdengar seorang wanita bertanya pada seorang pakcik.

"Pakcik, tren ke Plaza Rakyat akan berhenti di platform mana?"

"Platform yang sana," jawab pakcik berkenaan.

Tahulah saya bahawa saya baru sahaja terlepas tren. Saya pun berjalan ke platform berkenaan. Terasa menyesal kerana tidak bertanya awal-awal.

Beberapa minit kemudian, tren LRT pun tiba. Oleh kerana saya mahu solat Jumaat terlebih dahulu, maka saya membuat keputusan untuk berhenti di stesen Masjid Jamek. Namun apabila saya tiba sana, saya lihat ramai orang berkumpul di luar masjid. Apakah sudah terjadi?

Sehelai kain rentang bertulis - "Masjid ditutup kerana proses penambaikbaikan sedang dijalankan"

Aiseh, nak solat kat mana ni? Saya bukannya mahir sangat dengan selok-belok di KL. Jadi saya mengambil keputusan untuk mengikut sahaja orang yang beredar dari situ. Mungkin mereka menuju ke masjid yang lain.

Rupa-rupanya Masjid Jalan India terletak berdekatan sahaja. Tetapi bayangkanlah, jemaah di masjid berkenaan sudah terlalu ramai, terpaksa menampung jumlah jemaah yang datang dari Masjid Jamek pula. Namun syukur, saya masih  mendapat tempat, biarpun di luar masjid. Akan tetapi...

Hujan rintik-rintik dah mula turun. Kebanyakan jemaah mulai resah, tetapi kami cuba bertahan. Namun apabila hujan semakin lebat, kami terpaksa beredar ke tempat teduh. Mujur saya bertindak pantas. Sempat saya menyelit di celahan jemaah.

Selesai solat Jumaat, saya dapati kasut dan selipar berselerakan. Mungkin ianya terjadi setelah orang ramai bersesak-sesak mahu mencari tempat teduh sebentar tadi. Saya bertawakkal sahaja. Perlahan-lahan saya cari kasut kulit hitam yang saya perlu pakai untuk temuduga sebentar lagi.

Alhamdulillah ada. Cuma, air sudah bertakung dalam kasut itu. Mahu tidak mahu, saya kena pakai juga. Brr sejuknya... Oh ya, hujan masih turun. Kata orang, sediakan payung sebelum hujan.

Dan saya terlupa bawa payung.

Berjalanlah saya ke Menara Maybank dengan kasut yang basah dan hujan yang masih turun.

Setiba di Menara Maybank, saya naik lif ke tingkat 44. Seorang wanita yang mengenali saya mempelawa saya ke meja pendaftaran. Saya pun berjalan dan berjalan dan .... ops!

Saya terpijak kolam yang direka untuk perayaan Deepavali. Alamak, ada beberapa lilin yang penyek dipijak saya. Beras-beras berwarna juga sedikit bersepah. Saya meminta maaf dan cuba untuk mengemaskan apa yang perlu.

Syukur sesi temuduga berjalan dengan lancar.

Apabila dikenang semula, agak kelakar juga rasanya.

___________________________________________

Mungkin anda juga pernah mengalami beberapa perkara yang boleh dianggap malang dalam satu hari. Tetapi sebagai seorang Muslim, kita tidak boleh menyimpulkan konklusi bahawa hari tersebut merupakan "hari malang" atau "hari nasib tak baik" atau "my worst day ever!" Kerana setiap yang berlaku itu sudah tentu ada hikmahnya. Kita perlu beriman dengan qada' dan qadar yang telah ditentukan Allah SWT.

Belajar dengan kesukaran yang menimpa, bersyukur dengan kesenangan yang diterima. Untuk menjadi seorang yang bertaqwa, kuncinya adalah sabar, redha dan tawakkal. Insya-Allah, diri kita tidak akan mudah berputus asa.

"Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku) tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepada-Nya aku berserah diri dan Dia lah yang mempunyai Arasy yang besar" [at-Taubah, 9:129]

~semoga niat kita ikhlas