Iwan Ghazali (Iwan Reaz)

Aku pencinta impian, menulis bukan menagih kekayaan, sekadar mendamba secebis keredhaan.

Iwan Ghazali (Iwan Reaz)

Aku pencinta impian, menulis bukan menagih kekayaan, sekadar mendamba secebis keredhaan.

Brr... Sejuknya Salji!

Novel Terkini
[ Pandangan Pembaca Novel ]

Iwan Reaz - Sedingin Salju

Iwan Reaz - Itulah Impianku

Followers

Thursday, September 22, 2011

4 Kisah Renungan Bersama

Assalamualaikum wbt

Mari kita hayati cerita-cerita ini. 4 situasi yang berbeza. 2 daripadanya seakan sama, tetapi tidak serupa.

Situasi 1:

Iskandar, seorang hartawan. Dia mempunyai harta yang banyak. Namun, setiap kali waktu makan, dia hanya memilih nasi kosong, telur dan sayur. Minumannya hanyalah segelas air masak. Walaupun dia mampu untuk menikmati makanan yang mewah dengan kadar yang tidak membazir, tetapi dia tetap memilih menu yang ringkas itu. Katanya, “Asalkan aku dapat makan. Cukuplah.

Situasi 2:

Ridzuan (cewah), seorang hartawan juga. Dia mempunyai harta yang banyak. Setiap kali waktu makan, dia akan memilih pelbagai menu daripada serata dunia. Selalunya menu barat, menu timur tengah dan tidak lupa juga masakan tradisional Melayu. Dia menikmati makanan yang lazat-lazat dan masih dalam pembelanjaan yang tidak boros. Menurutnya, “Aku mampu untuk menikmati semua ini. Asalkan aku tidak membazir, apalah salahnya sekiranya aku mahu makan yang sedap-sedap.

Kisah A :

Iskandar, seorang yang pemuda yang sihat tubuh badannya. Dia mempunyai kerjaya yang cukup baik. Namun, setiap kali waktu solat fardu tiba, dia sering melengahkannya. Bacaannya cukup sekadar yang wajib. Walaupun dia masih berupaya untuk melaksanakan segala amalan dan ibadah sunat yang lain, tetapi dia tetap hanya melakukan yang wajib sahaja. Katanya, “Asalkan aku sudah menunaikan tanggungjawabku yang wajib. Cukuplah.

Kisah B:

Ridzuan, seorang pemuda yang sihat tubuh badannya. Dia mempunyai kerjaya yang cukup baik. Setiap kali waktu solat fardu tiba, dia akan melaksanakan di awal waktu. Selalunya, dia akan turut membaca Al-Quran, berzikir, menunaikan solat sunat, berpuasa sunat dan juga ibadah-ibadah sunat yang lain. Dia menunaikan semua itu dalam kadar yang besederhana, yakni dia juga turut mementingkan kepentingan duniawi yang lain. Menurutnya, “Aku masih sihat untuk melaksanakan semua ibadah ini sebelum tibanya masa sakitku. Asalkan aku tidak riak dan sombong dengan amalanku, apalah salahnya sekiranya aku mahu terus meningkatkan ketaqwaanku setinggi yang mungkin.



Tinta penulis: Kita pula bagaimana? Apakah kita prihatin dengan ibadah wajib? Sekiranya yang wajib pun kita leka, apa pula dengan nasib ibadah sunat? Walhal apabila berdepan dengan urusan dunia, kita bukan sekadar mahu yang “cukup-cukup makan” atau “ala kadar”, tetapi kita mahu yang “elite-elite” atau yang “mewah-mewah”. Renung-renungkan bersama wahai teman. Kita mengaku cintakan akhirat, namun kita masih menjadi hamba dunia.

p/s- Doakan Ridzuan dalam cerita di atas itu adalah saya. (^^,)

~semoga niat kita ikhlas.

Thursday, September 8, 2011

Aku Si Comot

Assalamualaikum wbt.

Rasa macam nak cari teman. Teman ini bukan memahami aku melalui kata-kata, tetapi melalui hati dan perasaan.” –Status Iwan di FB pada hari Isnin, 12:34 tengah hari waktu US.

Teman yang dimaksudkan adalah haiwan peliharaan. Lebih tepat lagi, kucing. Miaow…



Iwan dari dulu suka kucing. Tapi kat rumah di Malaysia tak boleh bela sebab ada ramai budak kecil dan baby. Tapi kat belakang rumah, banyak saja kucing terbiar mahupun terbela yang suka datang. Banyak kali juga kucing-kucing tu beranak di belakang rumah, tapi tak banyak yang panjang umur sebab mak dia tak reti jaga. Susu pun tak bagi.

Semenjak dua menjak ni, Iwan asyik teringatkan kucing. 3 hari lepas Iwan ke Pet shop, tapi kedai tutup pula sebab hari pekerja. Semalam pergi lagi, alhamdulillah buka pun kedai. Bila dah usap-usap bulu kucing yang ada di kedai tu, semakin kuat perasaan nak bela kucing.

Pemilik kedai tu serahkan sehelai borang untuk permohonan membela kucing. Biasalah, ada prosedurkan. Malam tadi Iwan buka pula laman web Petfinder. Lagi membuak-buak rasa mahu membela kucing.

Ada yang mengatakan kucing ini adalah binatang kesayangan Rasullullah SAW. Namun, Iwan kurang pasti pula sekiranya ada nas-nas berkaitan hal ini. Cuma Rasulullah SAW pernah memberi amaran supaya manusia tidak berlaku kejam terhadap binatang.

Dalam riwayat Al-Bukhari, "Seorang wanita di seksa kerana seekor kucing yang dia kurung sampai mati. Dia masuk Neraka kerananya. Dia tidak memberinya makan dan minum sewaktu mengurungnya. Dia tidak pula membiarkannya makan serangga bumi."

Namun bukanlah bermaksud kita perlu mengasihi kucing sahaja. Semua makhluk Allah kita perlu kasihi dan sayangi mereka.

Setahun yang lalu, Iwan ada tulis cerpen yang bertajuk- “Aku Si Comot,” di blog ini tetapi Iwan keluarkan kerana sebab tertentu. Kali ini Iwan ingin post semula cerpen berkenaan (yang dah baca, bacalah lagi ya). Semoga kita dapat menghayati mesej yang ingin disampaikan.

Tajuk: Aku Si Comot
Penulis: Iwan Reaz / Iwan Ghazali


Aku tidak mengenali siapa ibuku, apatah lagi bapaku. Kisah sewaktu kecilku mungkin sama seperti yang lain, cuma aku tidak mampu untuk mengingatinya. Apa yang aku tahu, aku terpisah daripada ibuku dan aku dibiarkan di tepi jalan tanpa pembelaan. Saban hari aku mengemis meminta simpati manusia, agar hulurkan bantuan, atau setidak-tidaknya secebis makanan untuk diisi ke dalam perutku yang sentiasa merintih kelaparan.

Hujan adalah bumbungku, terik mentari adalah lampuku,kesejukan adalah selimutku, kegelapan adalah hidupku. Hari-hari aku merantau tanpa tahu arah tuju. Itulah nasib anak kucing yang comot lagi kotor seperti aku. Tapi usah memandang hina aku kerana aku juga adalah makhluk ciptaan Allah. Setiap hari aku berdoa dan berzikir kepada-Nya. Langsung tidak putus memuji kebesaran Yang Maha Esa. Tidak pernah ku berputus asa mengharap rahmat daripada-Nya.

Aku pasrah dengan suratan takdir. Setiap jelingan mata manusia yang hinggap kepadaku, dilemparkan dengan penuh kebencian. Jijik! Aku anak kucing yang kotor! Berpenyakit. Namun apalah dayaku yang lemah ini untuk menghadapi semua itu. Mengapa manusia tidak pernah menyayangiku? Sudahlah kasih sayang ibu bapaku lenyap dari dunia ini, kini, kasih sayang manusia juga tidak pernah membelaiku. Aku kontang dengan kasih sayang.

Semalam, aku meminta simpati pada seseorang yang sedang makan di sebuah gerai. Dia adalah seorang dewasa, bertali leher dan berkemeja kemas. Pasti dia seorang yang bekerjaya dan berpendidikan tinggi. Nah! Mungkin dia akan melimpahkan kasih sayangnya terhadap diriku. Bukankah dia berpelajaran? Seketul daging dilemparkan kepadaku. Ini isyarat baik yang pertama. Aku tahu dia akan menyayangiku. Aku makan daging itu selahapnya. Masih lapar. Aku meminta lagi kali kedua.

Pedih, cukup pedih. Bukan setakat sepakan yang aku terima, malah hamburan kata-kata kesat yang dilontarkan kepada aku.

Kucing kotor! Dah bagi sekali tak cukup-cukup! Buat aku hilang selera makan saja! Pergilah kau! Apa pandang-pandang?

Itukah ucapan manusia berpendidikan? Manusia, aku lapar! Jika kau tak mahu memberikan aku makanan, tidak mengapa. Aku akan terus berusaha mencari. Tetapi usah menyakiti aku! Usah menghancurkan hatiku dengan kata-katamu. Aku juga punyai perasaan. Ya Allah, padamu aku sandarkan kesedihanku.

Hari ini aku kelaparan lagi seperti kebiasaannya. Aku bertemu pula dengan remaja muda yang melepak di tepi jalan. Aku tidak meletakkan harapan yang tinggi terhadap mereka. Pakaian, percakapan dan pergaulan mereka pun sudah menunjukkan betapa rendahnya moral mereka. Aku sekadar berjalan melintasi mereka, ingin mencari sisa-sisa makanan di seberang sana.

Aku langsung tidak menggangu mereka, tetapi mereka mengepung aku? Aku takut. Mereka seperti mahu mencederakan aku. Kata-kata kotor bagaikan hujan yang turun dari bibir mereka yang kehitaman. Aku menerima dengan pasrah segala kejian mereka, tapi janganlah sakiti aku. Aku jauh lebih kecil daripada tubuh badan kamu semua. Malah, aku tidak pernah mengganggu kamu. Tolonglah!

Satu persatu kekencangan sepakan mereka menerjah ke setiap anggota badanku. Puas aku merayu pinta dilepaskan, namun mereka bagaikan puas dapat menyakitiku. Air mata yang mengalir tidak mampu menghentikan mereka. Aku hanya mampu bertahan, mana tahu esok masih ada hari untuk aku terus bernafas. Namun, andai ini hari yang terakhir buat aku, aku redha Ya Allah.

Mataku dibuka perlahan-lahan. Syukur, aku masih hidup. Remaja-remaja tadi sudah hilang dari pandangan. Inikah perangai mereka yang sudah dievolusikan daripada corak kehidupan yang mereka banggakan ketika ini? Hedonisme? Oh manusia, benarkah kau adalah makhluk yang hebat? Apakah amanah kau sebagai khalifah di dunia ini kau sudah lupus dari genggaman mu?

Langkahku tetap diteruskan walau terasa begitu lemah, selemah nadiku yang berdenyut.Dan kini seorang kanak-kanak berdiri segak dihadapanku. Apakah nasibku pula sekarang ini? Orang dewasa sudah aku jumpa, remaja juga sudah aku temui. Makin muda umurnya, semakin galak perangainya. Mungkinkah aku akan dibunuh pula dengan anak kecil ini? Aku dapat melihat, tangannya diangkat tinggi-tinggi, dan semakin hampir ke tubuh ku. Ya Allah, sesungguhnya kau bersama aku. Lindungilah aku yang lemah ini Ya Allah.

Hai Si Comot, awak kelihatan cedera. Mari saya tolong awak.

Aku terkejut dengan kata-kata itu.

Mak, kucing ni sakit. Kita kena bawa dia jumpa doktor segera!

Betul tu. Cepat, kita bawa ke klinik!

Dia tidak kisah mendakap aku setiap detik ketika aku dibawa ke klinik. Dia tidak kisah darahku tumpah ke bajunya yang cantik itu. Dia tidak kisah debu-debu dan tanah kotor ini hinggap ke tubuhnya yang bersih. Dan dia adalah seorang anak kecil! Rupa-rupanya dia lebih berakal daripada orang dewasa. Dia lebih mempunyai kasih-sayang terhadap mahkluk lemah seperti aku. Semoga sifat dan keperibadiaannya akan terus kekal seiring penambahan umurnya. Aku tidak sanggup melihat dia membesar menjadi orang yang berpendidikan tetapi tandus rasa cinta dan kasih sayang. Aku juga tidak sanggup melihat dia membesar, menjadi orang tidak berilmu, tidak berperikemanusiaan dan rosak akhlak dan akidahnya.

Masya-Allah, uniknya makhluk ciptaan Allah ini.

*Sewaktu tempoh kesuburan, seekor kucing betina boleh melahirkan lebih daripada 100 ekor anak kucing.

*Kucing yang berumur 3 tahun adalah bersamaan dengan manusia yang berusia 21 tahun. Jika umur seekor kucing itu adalah 8 tahun, ianya adalah bersamaan dengan manusia yang berumur 40 tahun. Manakala kucing yang berumur 14 tahun, adalah bersamaan manusia yang berusia 70 tahun

*Kucing hanya memerlukan 1/6 daripada cahaya yang diperlukan oleh manusia untuk melihat. Penglihatan kucing di kala waktu malam adalah sangat baik.

Sekian, wassalam.

~semoga niat kita ikhlas.