Iwan Ghazali (Iwan Reaz)

Aku pencinta impian, menulis bukan menagih kekayaan, sekadar mendamba secebis keredhaan.

Iwan Ghazali (Iwan Reaz)

Aku pencinta impian, menulis bukan menagih kekayaan, sekadar mendamba secebis keredhaan.

Brr... Sejuknya Salji!

Novel Terkini
[ Pandangan Pembaca Novel ]

Iwan Reaz - Sedingin Salju

Iwan Reaz - Itulah Impianku

Followers

Saturday, December 31, 2011

Selangkah Di Tahun Baharu


Assalamualaikum WBT.


"Di permulaan kita mungkin bersemangat. Di tengahnya pula kita mungkin terjatuh. Tetapi berusahalah untuk bangkit menuju ke puncak."

Di Malaysia, baru sahaja memasuki tahun baru 2012.

Di Amerika pula, masih berbaki 12 jam lagi.

Saya di mana? Di tengah-tengah? Ikut waktu Malaysia? Atau waktu Amerika?

Saya tidak kisah pun. Berbondong-bondong ucapan Happy New Year yang memasuki ruang inbox atau sembang, saya sekadar membalas dengan balasan Selamat Bercuti. Saya kurang menghayati sambutan Tahun Baharu Masihi. Cuma saya berharap, kalian menyambutnya dengan program-program Islami.

Azam baharu? Azam baharu dan tahun baharu ibarat tidak dapat dipisahkan. Tentu ada sahaja yang mengaitkan. Saya sejak kecil lagi, tidak pernah memasang azam baharu. (Siapa nak serang kenyataan saya ini, seranglah. Masing-masing tentu punyai pendapat sendiri, bukan? Bagi saya, azam baharu boleh dipasang pada bila-bila masa sahaja yang kita rasa perlu. Tidak semestinya menjelang tahun baharu sahaja.

Azam dan perancangan tahunan ada bezanya kah? Entah. Saya kurang pasti dengan galian cari makna di sini. Sekarang saya sedang bercuti. Tafsiran dibuat secara ringkas. Fizikal lebih penat berjalan sambil mentadabbur alam. Mental perlukan terapi untuk menghadapi hari-hari mendatang.

Bagi perancangan tahun 2012 ini, saya menjangkakan satu atau dua buah lagu baru dan juga lebih daripada 2 buah buku untuk diterbitkan. Sama ada penulisnya adalah saya seorang, ataupun satu kumpulan penulis yang bergabung menghasilkan antalogi cerpen mahupun puisi, mahupun gabungan dua penulis dalam menghasilkan novelet (novel pendek), semua itu ada dalam perancangan tahun 2012 saya. Buku yang pertama akan diterbitkan pada awal tahun ini adalah, novel awal remaja terbitan Galeri Ilmu, yang tajuk asalnya adalah Syazwan dan Salji. Tajuknya mungkin berubah. Nantikan novel ini ya.

Dalam tahun ini juga, saya bakal menamatkan pengajian di Amerika Syarikat. Kemudian kembali ke tanah air. Menjadi lebih komited dalam bidang penulisan. Juga mendalami kerjaya baharu yang saya masih rahsiakan. Berdebar juga hati ini. Ada sesetangah yang mungkin sudah mengetahui hala tuju saya. Saya bimbang juga akan persepsi. Namun ini adalah realiti. Saya perlu yakin dengan diri saya dan sentiasa mengharap redha Yang Maha Esa.

Mungkin ada yang berpandangan serong dengan pilihan saya. Sedangkan penglibatan saya dalam aktiviti seni sebelum ini pun, sudah ada yang menggelarkan saya ‘gila nak famous’, ‘poyo’ dan pelbagai lagi lagi lontaran kata yang saya kurang senang, namun saya sambut sahaja kata-kata itu, lalu saya buangkan ke dalam tong sampah. Buat apa saya mahu simpan di peti hati? Mereka fikir saya ‘bajet bagus’. Tetapi setinggi mana pun pencapaian saya, saya tetap merasakan diri ini di bawah. Tiada sebab saya mahu berfikir sedemikian rupa. Bakat ini milik Allah. Bila-bila masa sahaja boleh ditarik-Nya.

Kalian mahu kata saya tipu, katakanlah. Saya mahu membuat kenyataan, “cabang kerjaya mana pun yang saya pilih, saya melaksanakannya lillahi Taa’la. Mahu mentarbiyah umat, bangsa dan diri sendiri. Jalan dakwah yang saya pilih, saya tidak sama sekali terfikir untuk meninggi diri, mahupun merasakan jalan ini adalah lebih baik daripada yang lain.”

Sekiranya kalian masih mahu meletakkan tanggapan negatif, itu terpulang pada kalian. Saya bersama Allah.

Wah, panjang juga entry saya kali ini. Sedangkan saya menulis dalam suasana keletihan. Perjalanan bercuti masih panjang berbaki. Insya-Allah 9hb Jan nanti baru pulang ke Philly. Sekadar berhenti rehat di hotel, membersihkan diri, mendapatkan internet tanpa wayar, menulis blog, dan kembali meneruskan perjalanan.

Doa yang terbaik untuk kalian.
Doa yang terbaik untuk saya.
Doa yang terbaik untuk semua.

Wallahualam.

“Ya Allah, tidak ada kemudahan kecuali sesuatu yang Engkau permudahkan. Engkau menjadikan kedukaan itu mudah sekiranya Engkau kehendaki.”
Amin.

p/s- Perasan tak saya gunakan kata ganti diri saya menggantikan "Iwan" dalam entry kali ini. Setelah bertahun bereksperimentasi, saya mendapati pembaca saya lebih ramai daripada golongan yang muda-muda. Jadi saya berpendapat penggunaan saya lebih bertepatan. (Abang Iwan? Err... panjang sangat)

~semoga niat kita ikhlas.