Iwan Ghazali (Iwan Reaz)

Aku pencinta impian, menulis bukan menagih kekayaan, sekadar mendamba secebis keredhaan.

Iwan Ghazali (Iwan Reaz)

Aku pencinta impian, menulis bukan menagih kekayaan, sekadar mendamba secebis keredhaan.

Brr... Sejuknya Salji!

Novel Terkini
[ Pandangan Pembaca Novel ]

Iwan Reaz - Sedingin Salju

Iwan Reaz - Itulah Impianku

Followers

Sunday, July 28, 2013

#ohmyramadhan 2012 - Bahagian 1

Assalamualaikum wbt.

Tahun lalu, di bulan yang sama, bulan Ramadhan yang mulia, saya berkongsi status #ohmyramadhan hampir setiap malam. Perkongsian #ohmyramadhan ini lebih menjurus kepada kesilapan-kesilapan yang kita lakukan di bulan Ramadhan.

Jadi di post kal ini, saya dengan rendah dirinya ingin berkongsi semula kesemua status #ohmyramadhan. Semoga ianya bermanfaat buat kita.

#ohmyramadhan-1
Ramai yang bersemangat untuk bertarawikh di malam pertama ramadhan. Bagus! Semua masjid pun biasanya penuh. Tapi di pertengahan semakin berkurang. Di penghujung pula lengang.

Ramadhan pesta ibadah. Ambillah peluang untuk bertarawikh penuh. Setahun hanya di bulan ramadhan. 

Salam ramadhan al-mubarak!



#ohmyramadhan - 2
Setiap tahun kita inginkan Ramadhan kali ini lebih baik daripada sebelumnya.

Tapi ada kita ambil apa-apa tindakan? Atau sama saja perangai macam tahun lepas? 

Ramadhan masih panjang. Rebutlah peluang ini untuk memperbanyakkan serta memperbaiki ibadah kita.

"Sesiapa yang menghidupkan malam ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran daripada Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu." (al-Bukhari)



#ohmyramadhan - 3
Sahur, banyak fadhilatnya. Melewatkan sahur pula lebih afhdal. 

Tapi jangan sampai bilal mula azan anda baru nak suap makanan. 

Rasulullah SAW bersabda: "hendaklah kamu bersahur kerana di dalam bersahur itu ada keberkatannya." (Bukhari - Muslim)



#ohmyramadhan - 4
Berpuasa mengajar kita untuk menyelami kesusahan dan penderitaan orang-orang yang susah disamping meningkatkan rasa syukur pada Allah Taala.

Tapi bila pergi bazar Ramadhan, beli makanan ikut hawa nafsu, satu jari satu plastik makanan (atau lebih), maka lenyaplah hikmah berpuasa ini.

Nak membazar boleh, tapi jangan membazir.

“Sesungguhnya orang yang boros adalah saudara syaitan, sedangkan syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”
(Surah al-Isra : ayat 27)




#ohmyramadhan - 5
Amalan bertukar-tukar juadah adalah satu perkara yang sangat popular di bulan Ramadhan. Selain dapat mempelbagaikan juadah berbuka, ianya juga dapat mengeratkan hubungan kejiranan dan persaudaraan.

Tapi janganlah pula ...

"Terima kasih ya iwan."
"Sama-sama. Errr akak nak bagi saya apa pula? Takkan tak ada apa-apa kot?" 

~Jangan pula harapkan balasan.




#ohmyramadhan - 6
Sempena bulan Ramadhan ni, ramai yang merebut peluang untuk beramal dengan menyalurkan harta benda untuk kebajikan anak-anak yatim, orang miskin, orang sakit dan mereka yang memerlukan. Alhamdulillah.

Tapi jangan pula sibuk-sibuk nak beritahu wartawan, pemberita, masuk tv, sidang akhbar, tweet dan sebagainya.

Rasulullah SAW bersabda, “Sedekah tidak mengurangkan harta. Allah tidak melebihkan seseorang hamba dengan kemaafan-Nya melainkan kemuliaan dan tidak merendahkan diri seseorang melainkan Allah mengangkatnya.” (Muslim, ad-Darimi dan Ahmad)




#ohmyramadhan - 7
Semasa berpuasa, kita bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum, malah mulut kita juga mestilah dijaga daripada sebarang kata-kata yang nista, mengumpat, mencarut dan sebagainya.

Bukan dengan percakapan saja, malah penulisan juga. Usah meluahkan kata-kata kesat di Facebook, Twitter, blog dan sebagainya.

Kongsikan perkara-perkara yang baik. Atau jika tidak, diam itu lebih baik daripada berkata-kata sesuatu yang tidak berfaedah.

Sabda Rasulullah SAW: “Dan barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia mengatakan perkara yang baik atau diam.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)




#ohmyramadhan - 8
Puasa mengajar manusia erti sabar. Namun, apakah maksud sabar yang kita faham?

Adakah hanya dengan menahan lapar, menahan marah serta pasrah dengan segala ujian itu, adalah dikatakan sabar?

Sabar adalah apabila ditimpa musibah, manusia masih mendirikan solat, dalam kepayahan dan kesukaran akan tetap berjemaah di masjid, bangun di tengah malam untuk beribadah serta tidak kedekut untuk membelanjakan harta sekalipun hartanya tinggal sedikit.

"Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira." (az-Zumar, 39:10)





#ohmyramadhan - 9
Ramai yang mengambil peluang di bulan puasa ini bagi memperbaiki ibadah dan menjadikan sebagai titik permulaan untuk istiqamah dalam melaksanakannya.

Selain memperbaiki ibadah kepada-Nya, hendaklah kita turut memperbaiki akhlak dan tingkah-laku kita sesama insan lain.

Jaga hubungan dengan Allah.
Jaga hubungan sesama manusia.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya: 
“Bukanlah iman itu hanya dengan cita – cita tetapi iman itu ialah keyakinan yang tertanam didalam hati dan dibuktikan dengan amalan.”





#ohmyramadhan - 10
Berbuka puasa. Satu kenikmatan.

Namun, jagalah adab semasa hendak berbuka. Rasulullah SAW telah mengajar kita beberapa adab seperti:
-Membaca doa
-Menyegerakan berbuka puasa
-Berbuka dengan buah tamar
-Berbuka dengan bersederhana dan tidak membazir

Sabda Rasulullah SAW, "Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa ketika berbuka mempunyai doa mustajab yang tidak ditolak” (Riwayat Ibn Majah)





#ohmyramadhan - 11
Alhamdulillah, kita sudah pun memasuki fasa ke-2 dalam bulan ramadhan, peringkat yang dikenali sebagai maghfirah (keampunan).

Bukan bermakna waktu lain tiada keampunan. Tetapi rebutlah peluang istimewa yang ditawarkan ini untuk bertaubat, memohon agar dosa-dosa kita sebelum ini diampunkan Allah SWT.

"Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu Allah akan menggantikan kejahatan mereka dengan kebaikan, dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani."
(al-Furqan, 25:70)





#ohmyramadhan - 12
"Hmm, hari ni aku bangun sahur lambat. Dapat makan sikit je. Kelaparanlah aku hari ni nampaknya."

Salah tu. Bersahur bukan kerana mahu kenyang semata. Mana mungkin makan di awal pagi boleh tahan sampai mentari terbenam. Tetapi kita bersahur kerana mahu mendapatkan keberkatan.

Moga-moga puasa kita terhindar daripada perbuatan maksiat, dalam keletihan mampu mendirikan ibadah, dan produktiviti kerja masih berjalan seperti biasa. Itulah keberkatan.

Rasulullah SAW bersabda, "Hendaklah kamu bersahur kerana di dalam sahur itu ada keberkatannya." (Bukhari, Muslim)





#ohmyramadhan - 13
Sempena ramadhan yang mulia ini, marilah kita mempertingkatkan lagi ilmu di dada. Sertai majlis-majlis ilmu, tazkirah dan sebagainya.

Ikhlaskan niat di hati. Mula-mula tak ikhlas pun tak apa, apabila hati dah terbiasa dengan majlis ilmu, lama-lama akan berputiklah cinta. 

Cinta untuk menjadi tetamu taman syurga 

Sabda Rasulullah s.a.w.:
Maksudnya : “Apabila kamu melalui taman-taman syurga , maka hendaklah kamu berhenti untuk menikmati (hasilnya). Lalu Sahabat pun bertanya: Apakah dia taman-taman Syurga tersebut? Rasulullah berkata: Majlis-majlis ilmu. (Hadis riwayat at-Tirmizi).





#ohmyramadhan - 14
Bahagianya berbuka puasa bersama keluarga. Harmoninya berbuka puasa bersama rakan-rakan. Indah dan ceria sekali dapat berbuka puasa beramai-ramai.

Harapnya, dalam menunaikan ibadah seperti solat, membaca al-Quran dan yang lain-lainnya, kita juga memilih untuk melaksanakannya secara berjemaah.

“Sesungguhnya Allah mengasihi kepada orang-orang yang berjihad dijalannya dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah binaan yang tersusun kukuh” (as-Saff, 61:4)





#ohmyramadhan - 15
Apabila puasa tidak lagi dipandang sebagai satu ibadah, menjadi satu budaya dan tradisi semata-mata. Maka, ramailah yang berpuasa tetapi tidak solat. Berpuasa tetapi tidak membayar zakat. Berpuasa tetapi membuka aurat.

Kita mahu puasa kita diterima Allah.
Kita tidak mahu tergolong dalam golongan yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya:

“Ada antara umatku yang berpuasa, tetapi tidak mendapat apa-apa, melainkan lapar dan dahaga.”



Insya-Allah, #ohmyramadhan - 16 hingga 29 akan dikongsikan dalam post yang akan datang.

~semoga niat kita ikhlas