Iwan Reaz / Iwan Ghazali

Aku pencinta impian, menulis bukan menagih kekayaan, sekadar mendamba secebis keredhaan.

Hazim, Aizat dan Muzik

Novel terkini

Iwan Reaz / Iwan Ghazali

Aku pencinta impian, menulis bukan menagih kekayaan, sekadar mendamba secebis keredhaan.

Iwan Reaz & Wan Shah - Itulah Impian Ku

Silakan follow untuk mengetahui perkembangan terkini.

Selamat Datang

Saturday, March 10, 2012

SPRING BREAK 2012

Assalamualaikum wbt.

Cuti sempena Spring Break sudah hampir tamat. Nampaknya cuti saya kali ini  penuhi dengan aktiviti luar dan dalam rumah.

Aktiviti dalam rumah, menyiapkan manuskrip novel Replika Cinta. Setakat ini tinggal 2 bab terakhir sahaja untuk diselesaikan. Saya juga sudah jatuh cinta dengan novel Replika Cinta ini =)

Selain itu, turut membaca dan menyemak manuskrip novel yang ditulis oleh seorang kawan yang bekerja di GISB. Tajuk karyanya, Tragedi Musafir, sebuah novel bergenre thriller. Semoga karyanya akan berjaya diterbitkan suatu hari nanti.

Aktiviti di luar rumah, berjalan ke tempat orang. Untuk meringkaskan cerita, tengoklah gambar-gambar ini. Untuk album gambar penuh, boleh tengok di Facebook.











Ada insan yang hairan, "aik, bercuti lagi?" Bila saya fikir-fikirkan semula, ya, tahun akhir saya di sini memang banyak berjalan juga. Tetapi tidaklah begitu jauh melainkan ke Las Vegas 2 bulan yang sudah. Dalam hati, saya bersyukur kerana diberi peluang yang sebegini. Dapat mentadabbur alam, menimba ilmu, mengenal masyarakat. Semoga semuanya mendekatkan diri ini kepada Allah SWT.

Setiap orang, ada rezekinya insya-Allah.

p/s- Novel Brrr ... Sejuknya Salji kini sudah berada di pasaran! Dapatkannya segera.

~semoga niat kita ikhlas.

Sunday, February 26, 2012

MENYIRAT CINTA HAQIQI

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah, perkembangan penulisan semakin baik tahun ini. Semoga segalanya dirahmati Allah Taala.

Jumaat yang indah berlalu baru-baru ini, telah terbit sebuah buku yang diselenggarakan oleh Dato Dr Ahmad Khamal Abdullah (Kemala) yang bertajuk Menyirat Cinta Haqiqi. Telah dilancarkan pada hujung minggunya di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak.


Menariknya, buku ini mengumpulkan puisi-puisi yang ditulis oleh Dato Kemala sendiri dan juga 98 penyair Numera. Dimulakan dengan puisi Naratif Yongkamil (46 puisi) oleh Dato Kemala dan diikuti dengan puisi Numera (142 puisi).

Dua daripada puisi berkenaan ditulis oleh saya, Iwan Ghazali - Amarah dan Ilusi Philly.

Puisi Amarah diinspirasikan daripada amarah saya sendiri, yang terpendam dan menggelegak dalam diri, semasa menyertai satu program kelana ke barat Amerika. Sebelum ia meletus, lebih baik saya ekspresikan kemarahan saya itu melalui jalan yang tidak menyakiti orang lain, baik fizikal mahupun hatinya. Jadi, saya salurkan ke dalam bentuk penulisan.

Ilusi Philly pula, saya tulis sebagai tanda penghargaan buat Kota Philly yang saya diami sekarang ini. Tinggal beberapa bulan sahaja lagi sebelum saya meninggalkannya. Banyak suka dan duka yang ditempuh di kota penuh cabaran dan ilusi ini. Hakikat diskriminasi masih tunjang dalam puisi berkenaan.

Buku Menyirat Cinta Haqiqi ini juga bertujuan untuk mengumpulkan dana Numera bagi dihadiahkan kepada pengkarya yang terlantar sakit dan dhaif. Buku yang dijual pada harga RM50 sebuah, (RM40 bagi pelajar), boleh didapati di kedai buku koperasi Dewan Bahasa dan Pustaka, atau daripada Dato Kemala sendiri di alamat:

Rumah- 321, Jalan Sepakat 8, Taman United, 58200 Kuala Lumpur.
Pejabat - Fakulti Bahasa Moden & Komunikasi, UPM, tingkat 2, bilik 226.

Tahniah Dato Kemala dan semua penyair. Semoga usaha ini mendapat sambutan yang baik dan dirahmati Allah Taala, insya-Allah.

~semoga niat kita ikhlas.

Monday, February 20, 2012

MENGAPA SUAMI PERLU EGO?


Assalamualaikum WBT.

Mengapa tajuk ini yang saya ketengahkan pula kali ini ya? Adakah mungkin kerana sekarang saya sedang rancak menulis Novel terbaru yang bertajuk Replika Cinta? Ada kemungkinan.

Menjadi kelaziman dalam masyarakat kita, yang selalu memasak di dapur adalah golongan isteri. Bukan tiada, tetap ada, tetapi jarang dan sukar untuk melihat para suami yang menyediakan makanan untuk keluarga.

"Suami yang kena masak? Itu Queen control namanya!"

Oh, jangan terlalu cepat menuduh sebegitu. Siapa yang memberi label sedemikian rupa? Adakah seorang suami yang mahu menunjukkan kasih sayang terhadap isterinya dianggap takutkan isteri? Adakah salah seorang lelaki mahu meringankan beban seorang wanita yang dinikahinya?

"Memasak? Basuh baju? Kemas rumah? Ah.. itu semua kerja orang perempuan.  Jatuhlah standard lelaki buat kerja rumah."

Benar, adalah satu tanggungjawab buat para isteri untuk melakukan tugasan rumah. Tetapi tiada salahnya untuk para suami membantu isteri mereka. Mengapa perlu ada ego yang membataskan hubungan cinta ini? Ego yang meretakkan jalinan kasih sayang.

Bagaimana pula dengan akhlak Rasulullah? Sebagai seorang ketua rumah tangga, Baginda menunjukkan contoh yang terbaik dalam mempamerkan sikap kasih sayang dan menghormati isteri-isteri Baginda. Setelah pulang dari pelbagai urusan, Baginda akan membantu isterinya memasak dan membuat kerja-kerja rumah. Kepulangan Baginda ke rumah bukan sekadar untuk bermesra atau berehat semata-mata , tetapi Baginda turut membantu isteri menguruskan rumah tangga.

Aisyah r.ha pernah memberitahu seorang lelaki yang bernama Aswad dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari: “Rasulullah SAW sentiasa membantu ahli keluarganya melakukan kerja rumah. Dan apabila tiba masuk waktu solat, Baginda keluar untuk solat.

Dengan meringankan beban isteri, sebenarnya ia akan meningkatkan lagi perasaan sayang seorang isteri terhadap suaminya. Pada masa yang sama juga, para suami akan lebih menghormati pasangannya. Jadi, persefahaman akan subur dalam setiap hari yang ditempuh dalam alam berumah tangga.

Jadi, kita mahu mencontohi sikap Rasulullah, atau tunduk pada label masyarakat yang pessimis?

Tetapi tidak dinafikan, situasi lelaki enggan ke dapur berlaku kerana lelaki biasanya tidak tahu memasak! Jadi kepada semua pria di dunia ini, tidak kiralah bakal mendirikan rumah tangga, sudah berumah tangga, atau masih belum berniat mahu berkahwin sekalipun, sama-samalah kita belajar memasak.

Jangan amalkan sikap – “rumah bujang, biasalah bersepah.” Ini adalah ideologi sampah. Ideologi ini menyebabkan seorang lelaki bujang terbiasa dengan sikap pemalas dan pengotor. Seorang ustazah yang menguruskan bahagian perceraian di makhamah syariah pernah berkongsi cerita berkenaan satu pasangan yang mana si isteri meminta agar diceraikan. Puncanya? Suaminya suka benar menanggalkan kain pelikatnya lalu membiarkan sahaja kain itu bergulung seperti sarang ular!

Lucu, tapi benar.

Maka, jadikanlah Rasulullah sebagai ikutan.

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula banyak menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” (Al-Ahzab 33:21)

p/s 1- Doakan penulisan Novel Replika Cinta berjalan lancar. Sekarang sudah Bab 23. Ada lagi 10 Bab untuk ditamatkan. Sasar mahu siapkan by the end of the Spring Break (Minggu pertama bulan March) Insya-Allah.

p/s 2- Saya pandai memasak! :p

~semoga niat kita ikhlas

Tuesday, February 7, 2012

Keberkatan Berpagi-Pagi

Assalamualaikum wbt.

Pagi ini saya termenung sebentar di birai katil seusai menyempurnakan tanggungjawab sebagai seorang Muslim dan juga amalan yang lain. Saya terkenangkan kehidupan di asrama dahulu. Sejak tingkatan 1 lagi saya sudah tinggal di asrama. Sejujurnya, saya tidak gemar menjalani kehidupan yang mempunyai peraturan yang ketat. Jadual sudah diatur dan tiada jalan keluar melainkan patuh semata-mata.

Sekarang, saya boleh berdiri atas disiplin sendiri. Tiada peraturan pun yang menetapkan saya perlu itu di sekian masa dan saya perlu ini di sekian masa. Saya boleh patuh dengan pengurusan masa sendiri. Saya juga fleksibel. Jika ada hari-hari yang saya tidak mengikut rutin, saya boleh bertoleransi. Tidak sama dengan di asrama yang mana sesiapa yang melanggar peraturan bakal dihukum atau didenda.

Tetapi setelah saya fikir-fikirkan semula, peraturan yang ketat semasa di asrama dululah yang 'menghasilkan' saya yang seperti hari ini. Jika tidak kerana itu, mungkin kehidupan saya berserabut. Masa entah ke mana. Baru saya sedar betapa kehidupan di asrama dahulu mengajar saya bagaimana mahu berdikari dan berdisiplin.

Bila dikenang-kenang kembali semasa saya di asrama, saya boleh bangun awal sebelum subuh, mandi seorang diri dalam keadaan yang sunyi, berjalan dalam kegelapan menuju ke surau, hajat di hati mahu menjadi orang pertama yang tiba di surau, yang membuka suis lampu, dan kalau boleh menjadi muazzin.

Dunia ibarat roda, terkadang di atas, terkadang di bawah.

Saya pernah berbual dengan rakan-rakan. Mereka meluahkan kekesalan mereka yang sukar untuk berjaga selepas solat Subuh. Dalam hati saya, saya terfikir, susah sangatkah mahu berpagi-pagi? Ternyata kata-kata itu memakan diri saya sendiri. Selepas SPM, mata saya terlalu berat untuk dibuka setelah menunaikan solat Subuh. Lama juga saya terbiasa dengan rutin tidur kembali selepas subuh.

Sukar untuk kembali dengan kehidupan seperti dahulu. Namun alhamdulillah, dengan kefahaman ilmu dan amalannya, kita mampu untuk berubah. Ya, mungkin zaman remaja adalah satu tempoh yang sangat mencabar. Tetapi apabila sudah memasuki alam dewasa, fikiran kita lebih matang dan tahu dengan kesan setiap tindakan kita.

Jadi di kesempatan ini, ingin saya berkongsi sedikit ilmu. Mungkin sebahagiannya saya sudah nyatakan di laman facebook, jadi saya akan menambah sebahagiannya lagi untuk tatapan semua.


Antara keburukan tidur selepas subuh:

 1- Tidak sesuai dengan petunjuk al-Quran dan as-Sunnah.
 2- Bukan termasuk akhlak para salafush soleh.
 3- Tidak mendapat barakah di dalam waktu dan amalannya.
 4- Menyebabkan malas dan tidak bersemangat pada hari itu.
 5- Menghalang datangnya rezeki.
 6-Menyebabkan berbagai penyakit.

 Rasulullah tidak tidur selepas menunaikan solat Subuh kerana Allah memberkati umat ini yang berpagi-pagi, seperti satu hadith yang berbunyi, “Ya Allah, bekatilah umatku yang berpagi-pagi.”

Baginda berdoa kepada Allah supaya memberkati umatnya yang berpagi-pagi, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ashab as-Sunan yang empat dan Ibn Hibban dalam Sahihnya. Nabi melewati anak Fatimah r.ha yang sedang berbaring pada waktu subuh. Maka Baginda bersabda,

"Wahai anakku, bangunlah dan hadaplah rezeki Tuhanmu, dan janganlah engkau jadi dari kalangan orang yang lalai, sesungguhnya Allah membahagikan rezeki manusia di antara terbit fajar hingga terbit matahari" (Diriwayatkan al-Baihaqi)

Rasulullah telah mendoakan yang baik buat golongan yang berpagi-pagi ini. Jadi, terpulang pada kita apakah kita mahu termasuk dalam golongan yang dimaksudkan Rasulullah itu.

Allah telah jadikan siang untuk bekerja dan malam untuk berehat (melainkan mereka yang perlu bertugas di waktu malam demi menyara keluarga). Jadi, mengapa kita menentang fitrah ini pula? Lebih menyedihkan, waktu malam banyak digunakan untuk menonton filem, bermain games dan macam-macam lagi hiburan. Siangnya pula terlajak tidur sehingga terlepas waktu solat.

Renungkanlah teman-teman semua. Semoga kita tidak mensia-siakan kehidupan yang sementara ini.



~semoga niat kita ikhlas.







Tuesday, January 31, 2012

Bercuti Di Eagle Rock Resort

Assalamualaikum wbt.

Bercuti lagi? Bukankah semester baru sudah bermula? Hmm, alhamdulillah rezeki yang tidak dijangka. Sehari sebelum percutian ini dijadualkan, saya diberitahu ada satu lagi kekosongan. Memandangkan percutian ini tidak menelan belanja yang tinggi (walhal pengisiannya begitu mahal sebenarnya), jadi saya mengambil peluang tersebut.

Semester ini saya agak sibuk dengan aktiviti penulisan, sehinggakan untuk menulis di blog ini pun jarang-jarang sekali. Jadi untuk post kali ini, sukacitanya saya berkongsi gambar-gambar saya di sepanjang percutian saya di Eagle Rock Resort. Selalu asyik upload gambar di FB saja, kali ini biarlah blog ini pula yang dihiasi dengan gambar-gambar yang menarik.

Bilik 127, saya berkonsi dengan dua pelajar African American yang cukup ramah dan mesra.

Makanan yang dihidangkan cukup lazat. Yang ini pula adalah dessert, setelah kami disajikan dengan appetizer dan entree yang sudah membuatkan kami tersandar kekenyangan.

Bersantai di ruang legar di tingkat dua.

Keesokan paginya, saya bersantai pula di belakang Resort, menikmati pemandangan yang cukup indah dan mendamaikan jiwa.

Di hadapan Resort. Cuma saya seorang sahaja lelaki dari Malaysia yang mengikuti percutian yang dianjurkan oleh Temple University ini.

Pertama kali menunggang kuda yang dikawal sendiri. Laila (lebih kurang bunyi) nama kuda yang saya tunggang ini. Pengalaman yang paling menarik!

Kembali bermain ski setelah hampir 2 tahun tak main. Skill agak merosot, but still having fun.

Antara pengajaran yang dipelajari daripada percutian kali ini adalah - "It's not about age, it's about experience." Kata-kata tersebut asyik berbisik di dalam hati saat melihat kanak-kanak seawal umur 5 tahun yang cukup lincah bermain ski dengan cukup bergaya. Perbezaan umur tidak menunjukkan apa-apa. Yang membezakan adalah pengalaman.

Untuk itu, usah jadikan umur itu sebagai penghalang untuk kita maju ke hadapan. Tidak semestinnya orang yang lebih tua itu lebih handal, sebaliknya lihatlah pada pengalamannya. Begitu juga apabila kita hendak mempelajari sesuatu, jangan segan untuk belajar daripada orang yang lebih muda. Biarpun kita mungkin lebih berusia, tetapi pengalamannya mungkin lebih matang daripada kita.

Sekian saja untuk perkongsian pengalaman kali ini.

p/s-Bulan Februari hampir tiba. Semakin teruja untuk menanti terbitnya Novel Brr... Sejuknya Salji!

~semoga niat kita ikhlas.

Friday, January 20, 2012

Brrr ... Sejuknya Salji!

Assalamualaikum WBT.

Alhamdulillah, dengan izin-Nya, dapat saya melangkah ke tahun baru, semester baru dan banyak perancangan baru.

Terkini, novel Brrr ... Sejuknya Salji! bakal berada di pasaran pada awal Februari ini. Syukur, novel yang disiapkan dalam tempoh 3 minggu ini akhirnya menjadi kenyataan.



Cover yang agak menarik, bukan? Tahniah kepada team penerbitan GISB yang bertungkus-lumus dalam memastikan novel ini 'lahir' dengan baik dan dapat mencapai matlamat yang diingini.

3 minggu saya menulis, waktu itu bukan musim sejuk, tetapi musim panas. Malah, saya menulisnya semasa berada di Malaysia, bukan di Amerika. Tetapi itulah ketentuan Allah SWT. Syukur, saya memperoleh ilham semasa berada di program Tamrin di University of Buffalo. Kerenah seorang rakan saya yang baru pertama kali berjumpa salji memberi saya ilham untuk menulis novel tersebut.

Tajuk asal novel ini adalah Syazwan & Salji ini. Dan watak utama asalnya saya menulis dua beradik lelaki, Syazwan dan Baihaqi. Atas permintaan penerbit, saya menukar watak abang itu kepada seorang kakak. Maka, setelah saya membuat beberapa pengubahsuaian jalan cerita, saya berikan nama watak itu Ida Farzana.

mari berkenalan dengan watak-watak utama.

Bagi saya, novel ini sesuai untuk dibaca oleh semua peringkat umur. Menurut seorang penyunting, banyak yang dia belajar berkaitan kehidupan di Amerika Syarikat secara realistik. Ini kerana apa yang saya lalui, saya terjemahkan pengalaman dan persekitaran saya itu ke dalamnya. Pembaca akan berasa mereka seolah-olah berada di Amerika.

Untuk sinopsis novel, boleh baca di dalam gambar tersebut. Jika ingin tahu lebih lanjut, boleh dapatkan novel itu nanti. Insya-Allah, murah sahaja. Hanya RM13. Boleh dapatkannya di kedai buku MPH, Kinokuniya, Popular Book Store dan kedai-kedai buku terpilih.

Insya-Allah, novel ini menjadikan musim sejuk yang melanda Amerika Syarikat ketika ini begitu istimewa buat saya. Akhir kata, semoga novel ini mampu memberi semangat dan inspirasi kepada para pembaca untuk berkelana ke bumi Amerika tanpa meninggalkan nilai-nilai tarbiyah dalam diri.

Sekian saja. Mohon doa. Wassalam.

P/s - Kata penerbit, novel ini juga sesuai untuk mereka yang kurang gemar (atau tidak suka) dengan subjek Bahasa Inggeris. Alamak, pedasnya, kerana saya juga kurang minat subjek tersebut. Hehe...

~semoga niat kita ikhlas.

Friday, January 13, 2012

Itulah Impianku Piano Version

Assalamualaikum WBT.

Sudah lama tidak kemas kini blog ini. Insya-Allah, selepas ini perlu lebih aktif.

Untuk post kali ini, sukacita saya untuk memperkenalkan video klip terbaru Iwan Reaz.


Video ini sudah lama terfikir untuk merakamkannya. Tetapi kekangan masa sering membataskan. Dan idea asal video juga konsepnya sangat-sangat berlainan dengan apa yang ada sekarang. Mujur, Allah mengurniakan ilham semasa percutian ke West Coast baru-baru ini. Alhamdulillah, segalanya berjalan dengan baik.

Sama sahaja dengan video klip lagu penuh, penceritaan dalam video tidak sama dengan penceritaan di dalam novel. Cuma, ada elemen-elemen tertentu yang berkait rapat dengan kisah di dalam novel. Jika di dalam video klip penuh menceritakan mengenai kasih sayang adik-beradik, video kali ini pula berkaitan dengan persahabatan, yang mana kedua-dua elemen ini terkandung dalam Novel Melodi Hati.

Semoga kita sama-sama dapat menghayati mesej yang ingin disampaikan.

Wassalam.

p/s- Gembira dan teruja kerana Novel "Brr ... Sejuknya Salji" terpilih untuk Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012.

~semoga niat kita ikhlas.

Saturday, December 31, 2011

Selangkah Di Tahun Baharu


Assalamualaikum WBT.


"Di permulaan kita mungkin bersemangat. Di tengahnya pula kita mungkin terjatuh. Tetapi berusahalah untuk bangkit menuju ke puncak."

Di Malaysia, baru sahaja memasuki tahun baru 2012.

Di Amerika pula, masih berbaki 12 jam lagi.

Saya di mana? Di tengah-tengah? Ikut waktu Malaysia? Atau waktu Amerika?

Saya tidak kisah pun. Berbondong-bondong ucapan Happy New Year yang memasuki ruang inbox atau sembang, saya sekadar membalas dengan balasan Selamat Bercuti. Saya kurang menghayati sambutan Tahun Baharu Masihi. Cuma saya berharap, kalian menyambutnya dengan program-program Islami.

Azam baharu? Azam baharu dan tahun baharu ibarat tidak dapat dipisahkan. Tentu ada sahaja yang mengaitkan. Saya sejak kecil lagi, tidak pernah memasang azam baharu. (Siapa nak serang kenyataan saya ini, seranglah. Masing-masing tentu punyai pendapat sendiri, bukan? Bagi saya, azam baharu boleh dipasang pada bila-bila masa sahaja yang kita rasa perlu. Tidak semestinya menjelang tahun baharu sahaja.

Azam dan perancangan tahunan ada bezanya kah? Entah. Saya kurang pasti dengan galian cari makna di sini. Sekarang saya sedang bercuti. Tafsiran dibuat secara ringkas. Fizikal lebih penat berjalan sambil mentadabbur alam. Mental perlukan terapi untuk menghadapi hari-hari mendatang.

Bagi perancangan tahun 2012 ini, saya menjangkakan satu atau dua buah lagu baru dan juga lebih daripada 2 buah buku untuk diterbitkan. Sama ada penulisnya adalah saya seorang, ataupun satu kumpulan penulis yang bergabung menghasilkan antalogi cerpen mahupun puisi, mahupun gabungan dua penulis dalam menghasilkan novelet (novel pendek), semua itu ada dalam perancangan tahun 2012 saya. Buku yang pertama akan diterbitkan pada awal tahun ini adalah, novel awal remaja terbitan Galeri Ilmu, yang tajuk asalnya adalah Syazwan dan Salji. Tajuknya mungkin berubah. Nantikan novel ini ya.

Dalam tahun ini juga, saya bakal menamatkan pengajian di Amerika Syarikat. Kemudian kembali ke tanah air. Menjadi lebih komited dalam bidang penulisan. Juga mendalami kerjaya baharu yang saya masih rahsiakan. Berdebar juga hati ini. Ada sesetangah yang mungkin sudah mengetahui hala tuju saya. Saya bimbang juga akan persepsi. Namun ini adalah realiti. Saya perlu yakin dengan diri saya dan sentiasa mengharap redha Yang Maha Esa.

Mungkin ada yang berpandangan serong dengan pilihan saya. Sedangkan penglibatan saya dalam aktiviti seni sebelum ini pun, sudah ada yang menggelarkan saya ‘gila nak famous’, ‘poyo’ dan pelbagai lagi lagi lontaran kata yang saya kurang senang, namun saya sambut sahaja kata-kata itu, lalu saya buangkan ke dalam tong sampah. Buat apa saya mahu simpan di peti hati? Mereka fikir saya ‘bajet bagus’. Tetapi setinggi mana pun pencapaian saya, saya tetap merasakan diri ini di bawah. Tiada sebab saya mahu berfikir sedemikian rupa. Bakat ini milik Allah. Bila-bila masa sahaja boleh ditarik-Nya.

Kalian mahu kata saya tipu, katakanlah. Saya mahu membuat kenyataan, “cabang kerjaya mana pun yang saya pilih, saya melaksanakannya lillahi Taa’la. Mahu mentarbiyah umat, bangsa dan diri sendiri. Jalan dakwah yang saya pilih, saya tidak sama sekali terfikir untuk meninggi diri, mahupun merasakan jalan ini adalah lebih baik daripada yang lain.”

Sekiranya kalian masih mahu meletakkan tanggapan negatif, itu terpulang pada kalian. Saya bersama Allah.

Wah, panjang juga entry saya kali ini. Sedangkan saya menulis dalam suasana keletihan. Perjalanan bercuti masih panjang berbaki. Insya-Allah 9hb Jan nanti baru pulang ke Philly. Sekadar berhenti rehat di hotel, membersihkan diri, mendapatkan internet tanpa wayar, menulis blog, dan kembali meneruskan perjalanan.

Doa yang terbaik untuk kalian.
Doa yang terbaik untuk saya.
Doa yang terbaik untuk semua.

Wallahualam.

“Ya Allah, tidak ada kemudahan kecuali sesuatu yang Engkau permudahkan. Engkau menjadikan kedukaan itu mudah sekiranya Engkau kehendaki.”
Amin.

p/s- Perasan tak saya gunakan kata ganti diri saya menggantikan "Iwan" dalam entry kali ini. Setelah bertahun bereksperimentasi, saya mendapati pembaca saya lebih ramai daripada golongan yang muda-muda. Jadi saya berpendapat penggunaan saya lebih bertepatan. (Abang Iwan? Err... panjang sangat)

~semoga niat kita ikhlas.

Tuesday, December 20, 2011

Bercuti

Assalamualaikum.

Insya-Allah, sekarang Iwan dalam perjalanan ke Las Vegas, untuk menghadiri satu program tahunan yang dikenali sebagai Muktamar.

Alang-alang sudah berjalan jauh tu, kami melancong sekali ke kawasan berhampiran. Kata orang, sambil menyelam minum air. Percutian kami kali ini mengambil masa 3 minggu.

Dalam pada itu, ada beberapa karya sedang dalam proses yang bakal menjengah pasaran pada tahun hadapan. Insya-Allah, dalam kesibukan bercuti ini, akan curi-curi masa untuk mengemaskini hal berkenaan.

Sekian saja.

~semoga niat kita ikhlas.

Saturday, December 10, 2011

Faham-fahamkan.

Assalamualaikum wbt.

Pada pandangan saya, manusia yang mampu untuk meneruskan kehidupannya dengan baik (survive) di atas dunia ini, adalah mereka yang faham.

Dia faham, mengapa masih wujud jahiliyah dalam diri orang yang ada tarbiyah.

Dia faham, mengapa perlunya tarbiyah, mengapa perlunya kifayah.

Dia faham, mengapa ada orang yang cepat marah, mengapa ada orang yang cukup penyabar.

Dia faham, mengapa manusia diciptakan dengan kelebihan, mengapa pula ada kekurangan.

Dia faham, semua orang mempunyai minat dan citarasa yang tersendiri.

Dia faham, mengapa dia dihadapkan dengan ujian, walaupun dia langsung tidak memintanya.

Dia faham, mengapa apa yang dia mahukan, tidak semuanya akan tercapai.

Paling penting, dia faham tujuannya dihidupkan di atas muka bumi ini.

Anda faham?

Hmm... .... .... .... ....


"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu." [az-Zariyat : 56]

~semoga niat kita ikhlas.

Agamaku Adalah Cintaku

smilies

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites