Iwan Reaz - Sedingin Salju

Iwan Reaz - Itulah Impianku

Followers

Monday, April 4, 2011

TAUBAT SEORANG PENCURI



Di sebuah Kota Zettriona, tinggal seorang lelaki yang berusia lingkungan 25 tahun. Kerjanya saban hari adalah mencuri harta-harta orang kaya. Biarpun dia adalah seorang penjenayah, namun dia tidak pernah mencederakan atau menyakiti sesiapa. Suatu hari, dia telah berjaya memecah masuk sebuah rumah banglo. Berbekalkan pengalamannya, dia telah berjaya menemui banyak barang kemas dan sejumlah wang yang cukup besar nilainya. Maka, gembiralah hati si lelaki ini sewaktu hendak meninggalkan banglo tersebut.

Akan tetapi, langkahnya terhenti apabila dia ternampak seorang gadis yang sedang nyenyak tidur. Entah mengapa kali ini nafsunya begitu membuak-buak untuk merosakkan gadis itu. Dek kerana tidak mampu melawan bisikan nafsu dan syaitan di sekelilingnya, maka si lelaki ini pun menodai gadis tersebut. Si pencuri itu berasa hairan, mengapa gadis itu seakan-akan tidak melawan walaupun telah terjaga daripada tidurnya?

Setelah rakus mengerjakan gadis itu, lelaki si pencuri itu terduduk di satu sudut. Ditenungnya keadaan gadis itu dari jauh. Pada saat itulah baru dia menyedari bahawa gadis yang dinodainya itu adalah seorang gadis yang kurang upaya, cacat fizikalnya. Hatinya tidak semena-mena dicengkam rasa bersalah yang amat sangat. Dia tidak jadi mengambil harta benda yang telah ditemuinya sebentar tadi.

Sepanjang malam itu, si pencuri asyik terbayangkan gadis berkenaan. Dia benar-benar tersentuh dan perasaan menyesal semakin menebal di sanubarinya. Lantas, dia menghamparkan tikar sejadah lalu bersujudlah dia memohon taubat dan petunjuk daripada Yang Maha Esa. Air matanya deras mengalir mengenangkan dosa-dosa yang telah dilakukannya selama ini.

Keesokan harinya, dia menyertai jemaah Subuh di sebuah masjid. Tamam solat, si pencuri ini datang berjumpa dengan Pak Imam. Wajah Pak Imam yang bersih dan berseri-seri sangat menenangkan hati sesiapa yang memandangnya. Maka, diceritakanlah oleh si lelaki berkenaan tentang kejadian pada malam tadi dan juga penyesalannya atas segala jenayah yang telah dilakukan sepanjang hayatnya.

Kamu benar-benar bertaubat?” soal Pak Imam.

Benar. Sesungguhnya, saya sangat menyesali keterlanjuran saya malam tadi. Demi menebus kesalahan saya, saya ingin mengahwini gadis cacat berkenaan. Saya mahu menjaganya dengan penuh kasih sayang dan saya akan berhenti menjadi seorang pencuri. Saya akan mencari rezeki yang halal buatnya.

Kalau begitu niat kamu, saya akan tolong kamu untuk sampaikan hajat kamu ini pada ibu bapanya. Kamu juga haruslah berani mengaku kesilapan dan keterlanjuran kamu di hadapan mereka. Insya-Allah, semoga mereka dapat memaafkan kesalahan kamu,” ujar Pak Imam.

Maka, Pak Imam dan lelaki itu datanglah bertemu dengan ibu-bapa gadis berkenaan. Namun mereka sudah sedikit terlewat. Orang tua gadis berkenaan telah membuat laporan pada pihak berkuasa. Malah, sebuah pita rakaman CCTV telah diserahkan sebagai bahan bukti. Rupa-rupanya, di dalam bilik gadis itu, telah dipasangkan sebuah kamera CCTV supaya keselamatan anak gadis mereka dapat dipantau.

Namun, keikhlasan dan penyesalan yang terpancar di wajah lelaki berkenaan telah menundukkan amarah kedua-dua orang tua gadis itu. Pengakuannya juga membuktikan bahawa dia benar-benar telah bertaubat. Lantas, Pak Imam memberitahu bahawa lelaki berkenaan mahu menebus kembali kesilapannya dengan mengahwini gadis kurang upaya itu. Kesanggupannya begitu mengharukan orang tua gadis berkenaan.

Saya mahu menjaga beliau dengan penuh kasih sayang, sehingga akhir hayat saya,” ujarnya.

Kedua-dua orang tua itu bertanya pula pada anak gadis mereka.

Sa… saya… menghormati… keputusannya. Ji... jika benar… dia mencintai saya… kerana Allah… maka… saya juga… mencintainya… sepenuh hatinya saya,” tutur gadis itu dengan penuh kesukaran, kerana kecacatan yang dialaminya.

Menangislah si lelaki ini mendengar pengakuan gadis berkeaan.

Maka, kedua-dua orang tua gadis tersebut telah bersepakat dan bersetuju. Untuk itu, mereka juga telah kembali berjumpa dengan pihak berkuasa untuk menarik kembali laporan yang telah dibuat. Mereka mahu menyelesaikan perkara ini dengan baik. Mereka sedar, bahawa semua orang melakukan kesilapan. Kerana itu, orang yang berani mengakui kesilapan dan bersedia untuk berhijrah kepada kebaikan haruslah dibantu serta diberi dorongan.

Malangnya, ada seorang pegawai polis telah menyalahgunakan rakaman video CCTV yang diperolehi. Dia telah memuat turun video berkenaan di internet. Penyebaran video itu begitu cepat di seluruh Kota Zettriona. Malah, ada juga individu yang tidak bertanggungjawab yang telah memalsukan banyak video seumpama itu untuk menghangatkan lagi keadaan.

Namun perihal itu tidak disedari oleh lelaki berkenaan mahupun di pihak keluarga gadis yang bakal dikahwininya. Pada suatu hari, ketika lelaki ini sedang dalam perjalanan ke bandar untuk membeli barang-barang persiapan hari perkahwinan, sekumpulan warga kota yang telah menyaksikan video rakaman CCTV berkenaan, telah mengepungnya.

Kamu tak patut hidup atas muka bumi ini!
Kamu penzina, perogol, penjenayah!
Kamu sampah masyarakat!

Lelaki berkenaan terkedu mendengar pelbagai dakwaan yang dilontarkan ke atasnya. Tanpa mampu untuk dia menjelaskan perkara sebenarnya, dia telah dipukul bertubi-tubi oleh orang-orang di situ. Akhirnya, dia menemui ajal setelah parah dibelasah.

Berita menyayat hati itu diterima dengan penuh kesedihan oleh gadis yang bakal dikahwininya, keluarganya, juga Pak Imam. Mereka berasa sangat sedih atas kepincangan yang telah berlaku dalam masyarakat sekitarnya. Taubat lelaki berkenaan tidak diketahui oleh masyarakat, sebaliknya hanya kejahilannya suatu ketika dahulu sahaja yang jelas di mata mereka. Maka, hukuman dijatuhkan sesuka hati tanpa sebarang usul periksa. Aib orang lain disebar merata. Fitnah dan tohmah jadi santapan bicara.

-Tamat-

Tinta penulis: Karya ini terhasil setelah pemerhatian Iwan dengan keadaan masyarakat masa kini. Harap para pembaca faham isi tersirat juga pengajaran yang ingin Iwan sampaikan.

"Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang FASIK membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu." (Al-Hujraat,49:6)

~semoga niat kita ikhlas.

4 Pandangan:

  1. "Setelah rakus dikerjakan gadis itu, "
    Rasanya, better "mengerjakan" kot... kan..? kan..? kan..?
    :: Alfi's Blog ::

    ReplyDelete
  2. good one iwan. :)

    betul,org kita sekarang cepat sgt menghukum,tanpa mengira apa cerita/keadaan org tersebut..
    yg salah tetap salah,tp kita sbg manusia tak ada hak utk menghukum sesiapa..

    ReplyDelete
  3. karya yang bagus.pelbagaikan corak cerita menjadikan karya anda unik dan mampu mencuri minat membaca.teruskan usaha menyebarkan ilmu dan berdakwah melalui penulisan.keep it up!

    ReplyDelete
  4. nice one!
    byk pengajran dn nilai mrni dlm satu kisah ini...smoga kta smua dpt mnghayati dn mngamalkn dlm kehidupn.

    ReplyDelete