Iwan Reaz - Sedingin Salju

Iwan Reaz - Itulah Impianku

Followers

Tuesday, February 7, 2012

Keberkatan Berpagi-Pagi

Assalamualaikum wbt.

Pagi ini saya termenung sebentar di birai katil seusai menyempurnakan tanggungjawab sebagai seorang Muslim dan juga amalan yang lain. Saya terkenangkan kehidupan di asrama dahulu. Sejak tingkatan 1 lagi saya sudah tinggal di asrama. Sejujurnya, saya tidak gemar menjalani kehidupan yang mempunyai peraturan yang ketat. Jadual sudah diatur dan tiada jalan keluar melainkan patuh semata-mata.

Sekarang, saya boleh berdiri atas disiplin sendiri. Tiada peraturan pun yang menetapkan saya perlu itu di sekian masa dan saya perlu ini di sekian masa. Saya boleh patuh dengan pengurusan masa sendiri. Saya juga fleksibel. Jika ada hari-hari yang saya tidak mengikut rutin, saya boleh bertoleransi. Tidak sama dengan di asrama yang mana sesiapa yang melanggar peraturan bakal dihukum atau didenda.

Tetapi setelah saya fikir-fikirkan semula, peraturan yang ketat semasa di asrama dululah yang 'menghasilkan' saya yang seperti hari ini. Jika tidak kerana itu, mungkin kehidupan saya berserabut. Masa entah ke mana. Baru saya sedar betapa kehidupan di asrama dahulu mengajar saya bagaimana mahu berdikari dan berdisiplin.

Bila dikenang-kenang kembali semasa saya di asrama, saya boleh bangun awal sebelum subuh, mandi seorang diri dalam keadaan yang sunyi, berjalan dalam kegelapan menuju ke surau, hajat di hati mahu menjadi orang pertama yang tiba di surau, yang membuka suis lampu, dan kalau boleh menjadi muazzin.

Dunia ibarat roda, terkadang di atas, terkadang di bawah.

Saya pernah berbual dengan rakan-rakan. Mereka meluahkan kekesalan mereka yang sukar untuk berjaga selepas solat Subuh. Dalam hati saya, saya terfikir, susah sangatkah mahu berpagi-pagi? Ternyata kata-kata itu memakan diri saya sendiri. Selepas SPM, mata saya terlalu berat untuk dibuka setelah menunaikan solat Subuh. Lama juga saya terbiasa dengan rutin tidur kembali selepas subuh.

Sukar untuk kembali dengan kehidupan seperti dahulu. Namun alhamdulillah, dengan kefahaman ilmu dan amalannya, kita mampu untuk berubah. Ya, mungkin zaman remaja adalah satu tempoh yang sangat mencabar. Tetapi apabila sudah memasuki alam dewasa, fikiran kita lebih matang dan tahu dengan kesan setiap tindakan kita.

Jadi di kesempatan ini, ingin saya berkongsi sedikit ilmu. Mungkin sebahagiannya saya sudah nyatakan di laman facebook, jadi saya akan menambah sebahagiannya lagi untuk tatapan semua.


Antara keburukan tidur selepas subuh:

 1- Tidak sesuai dengan petunjuk al-Quran dan as-Sunnah.
 2- Bukan termasuk akhlak para salafush soleh.
 3- Tidak mendapat barakah di dalam waktu dan amalannya.
 4- Menyebabkan malas dan tidak bersemangat pada hari itu.
 5- Menghalang datangnya rezeki.
 6-Menyebabkan berbagai penyakit.

 Rasulullah tidak tidur selepas menunaikan solat Subuh kerana Allah memberkati umat ini yang berpagi-pagi, seperti satu hadith yang berbunyi, “Ya Allah, bekatilah umatku yang berpagi-pagi.”

Baginda berdoa kepada Allah supaya memberkati umatnya yang berpagi-pagi, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ashab as-Sunan yang empat dan Ibn Hibban dalam Sahihnya. Nabi melewati anak Fatimah r.ha yang sedang berbaring pada waktu subuh. Maka Baginda bersabda,

"Wahai anakku, bangunlah dan hadaplah rezeki Tuhanmu, dan janganlah engkau jadi dari kalangan orang yang lalai, sesungguhnya Allah membahagikan rezeki manusia di antara terbit fajar hingga terbit matahari" (Diriwayatkan al-Baihaqi)

Rasulullah telah mendoakan yang baik buat golongan yang berpagi-pagi ini. Jadi, terpulang pada kita apakah kita mahu termasuk dalam golongan yang dimaksudkan Rasulullah itu.

Allah telah jadikan siang untuk bekerja dan malam untuk berehat (melainkan mereka yang perlu bertugas di waktu malam demi menyara keluarga). Jadi, mengapa kita menentang fitrah ini pula? Lebih menyedihkan, waktu malam banyak digunakan untuk menonton filem, bermain games dan macam-macam lagi hiburan. Siangnya pula terlajak tidur sehingga terlepas waktu solat.

Renungkanlah teman-teman semua. Semoga kita tidak mensia-siakan kehidupan yang sementara ini.



~semoga niat kita ikhlas.







0 Pandangan:

Post a Comment